#KitaJagaKita

31 Mei: Hari Tanpa Tembakau Sedunia

SmartSelect_20210531-221332_Gmail

31 Mei: Hari Tanpa Tembakau Seduni

Tarikh 31 Mei setiap tahun disambut sebagai “ Hari Tanpa Tembakau Sedunia”. Sambutan ini penting untuk menarik perhatian masyarakat dan pembuat polisi berkaitan dengan penyakit serta mortaliti yang disebabkan oleh merokok. Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 (NHMS 2019) mendapati 21.3% rakyat Malaysia dewasa merupakan perokok. Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, sehingga tahun 2019, bagi setiap RM 4 bilion cukai rokok tahunan yang diterima, pihak kerajaan dan swasta perlu membelanjakan RM 16 bilion untuk rawatan penyakit yang diakibatkan merokok.

Selain itu, sambutan “ Hari Tanpa Tembakau Sedunia” ini amat penting untuk meningkatkan kesedaran berkaitan persekitaran tanpa asap rokok. Menurut Kajian Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 (NHMS), 31% rakyat Malaysia didapati terdedah kepada second hand smoke di rumah manakala 27% terdedah di tempat kerja. Second hand smoke merupakan asap rokok yang disedut oleh orang yang tidak merokok yang berada di sekitar perokok tembakau. Antara bahan beracun dalam asap rokok adalah ammonia, formaldehyde dan arsenik.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 23 Mac 1995 memutuskan merokok adalah tabiat yang diharamkan. Manakala Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor berkuat kuasa 7 Disember 1995 mewartakan pengharaman rokok bagi orang Islam.

Berikut antara hujah pengharaman rokok:
1) Memudaratkan kesihatan kerana boleh meningkatkan risiko penyakit jantung, keradangan paru-paru, kanser serta penuaan pramatang.

Surah al-Baqarah, ayat ke-195 yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”

Sabda Rasulullah s.a.w mafhumnya:

“Tidak ada kemudaratan dan tidak boleh berbuat kemudaratan.”
Riwayat Ahmad (2865) dan Ibnu Majah (2340)

2) Membazir wang dan masa untuk perkara yang tiada keperluannya serta dengan tujuan yang sia-sia walaupun dalam jumlah yang kecil.

Firman Allah swt dalam surah al-Isra’ ayat 26-27 :

Maksudnya: “Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya”.

Pelbagai cara boleh diambil untuk berhenti merokok. Ada pesakit yang cuba berhenti serta merta tanpa bantuan ubat-ubatan dan terapi (cold turkey) tetapi kadar kejayaan teknik ini hanya sekitar 5%. Penggunaan ubat-ubatan seperti rawatan terapi gantian nikotin atau varenicline telah diperkenalkan bagi membantu golongan perokok untuk berhenti merokok. Rawatan terapi gantian nikotin ini boleh didapati dalam bentuk gula-gula getah, sedutan nikotin atau tampalan nikotin dan mampu meningkatkan kadar berhenti merokok sebanyak 50 ke 60%.

Strategi 5Ds juga boleh diamalkan golongan perokok untuk mengatasi pengunduran (withdrawal) nikotin, seperti berikut:

Delay iaitu melengahkan pengambilan rokok sehingga keinginan untuk merokok hilang. Antaranya dengan menangguhkan pengambilan rokok terutama masa 30 minit selepas bangun tidur atau katakan tunggu sebentar jika ditawarkan rokok untuk melengah-lengahkan masa dalam tempoh 5 minit atau lebih.
Distract iaitu mengalihkan tumpuan kepada aktiviti selain daripada yang menglibatkan rokok. Antaranya seperti mengunyah sesuatu seperti buah-buahan. Anda digalakkan mempunyai hobi baru bagi mengisi masa yang digunakan untuk merokok sebelum ini seperti bersenam atau berkebun.
Drink water iaitu minum air terutama air masak untuk melawan keinginan merokok. Elakkan minuman berkafein atau manis kerana ia boleh meningkatkan keinginan merokok.
Deep breaths iaitu menarik nafas dalam sebanyak 10 kali untuk menenangkan diri sambil menutup mata. Meditasi atau berzikir juga boleh diamalkan untuk menenangkan diri.
Discuss your feelings iaitu meluahkan perasaan kepada orang terdekat yang dipercayai atau sesiapa yang boleh menyokong anda untuk berhenti merokok. Jangan berkongsi dengan mereka yang tidak menyokong keinginan anda untuk berhenti merokok.

Selain itu, individu yang dalam proses berhenti merokok juga dianjurkan untuk melakukan kaedah di bawah, iaitu

Escape atau melarikan diri daripada rokok seperti menolak tawaran rokok dari rakan, membuang semua rokok yang ada termasuk benda yang berkaitan rokok (pemetik apim bekas abu rokok dan sebagainya).
Avoid atau mengelak daripada faktor yang mendorong untuk merokok seperti kawasan khas merokok, makanan pedas & minuman kafein.

Sesiapa yang berminat untuk berhenti merokok boleh melawati https://jomquit.moh.gov.my/ atau pergi ke klinik kesihatan yang terdekat.

Walaupun begitu, setiap bantuan yang diberikan tidak akan membuahkan hasil jika keinginan atau kesungguhan golongan perokok hanya seperti melepaskan batuk di tangga. Kejayaan berhenti merokok memerlukan tekad yang tinggi dan sokongan dari orang terdekat. Berbincanglah dengan doktor atau pegawai farmasi anda berkenaan perancangan anda untuk berhenti merokok. Tetapkan tarikh untuk berhenti merokok, letak keyakinan pada diri bahawa anda boleh berhenti merokok, sentiasa berfikiran positif serta maklumkan pada ahli keluarga anda agar mereka boleh menyokong anda sepanjang proses berhenti merokok.

Artikel ini dtulis bersama oleh wakil Sektor Farmasi I-Medik

Pn. Nur Nabilah binti Yusof
Pegawai Farmasi, Klinik Kesihatan Paka, Terengganu

Pn. ‘Aisya Nabilah binti Abd Rahman
Pegawai Farmasi, Hospital Canselor Tuanku Muhriz

 

Sumber:
1) www.who.int/tobacco/communications/events/wntd/en/
1)2) http://iku.gov.my/images/IKU/Document/REPORT/NHMS2019/Fact_Sheet_NHMS_2019-BM.pdf
2)3) https://www.infosihat.gov.my/index.php/isu-semasa/43-bahaya-merokok
3)4) https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/08/597917/kos-rawat-penyakit-akibat-merokok-tinggi-berbanding-cukai-rokok
4)5) https://muftiwp.gov.my/artikel/bayan-linnas/2634-bayan-linnas-siri-ke-18-merokok-hukum-dan-penyelesaiannya

Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on whatsapp