MENU

Comments (0) Kolumnis, Motivasi, Utama

ALZHEIMER’S DISEASE: MENGINSAFI KESEMPURNAAN AKAL

Hari itu merupakan giliran saya untuk membantu Pakar Psikogeriatrik di Klinik Memori jabatan kami. Pakcik Abdullah (bukan nama sebenar) berusia 75 tahun dipimpin masuk oleh anak perempuan dan cucunya. Ini adalah lawatan rutin beliau ke klinik kami untuk berjumpa pakar setiap 3 bulan. Beliau telah didiagnos menghidap Alzheimer’s Disease sejak beberapa tahun yang lepas. Saya membelek-belek fail beliau; bermula dengan masalah memori; sering terlupa dan tersalah letak barang, kemudian sering sesat dan tidak tahu bagaimana untuk pulang ke rumah sendiri selepas keluar ke kedai makan, penyakit Pakcik Abdullah semakin teruk selepas kematian isterinya. Beliau kini sudah tidak dapat mengecam muka, terlupa dan kadang-kadang tertukar nama anak-anak sendiri. “Oh rupa-rupanya pakcik dahulu bekerja sebagai seorang guru,” saya bermonolog sendiri apabila membaca sejarah sosial beliau.

Sementara menunggu kedatangan pakar saya berbual dengan Puan Hamidah (bukan nama sebenar), anak kepada Pakcik Abdullah. Anak kedua daripada sepuluh beradik ini ternyata seorang anak yang baik dan sangat berbakti kepada ayahnya. Kini Pakcik Abdullah tinggal bersama-sama dengan beliau dan keluarganya. Memandangkan beliau tidak bekerja dan merupakan seorang suri rumah sepenuh masa, maka tanggungjawab menjaga ayah diletakkan sepenuhnya di atas bahu beliau. Anak-anak yang lain akan datang menjenguk dan melawat sekali sekala di hari minggu dan musim perayaan. “Benarlah kata orang ibu ayah boleh menjaga anak-anak yang ramai, tetapi anak-anak yang ramai belum tentu boleh menjaga ibu atau ayah seorang”, saya bermonolog lagi.

Puan Hamidah meluahkan rasa sedih atas keterbatasannya menjaga ayahnya yang tua yang kini memerlukan perhatian seperti anak kecil. Pakcik Abdullah kini bergantung kepadanya untuk diuruskan rutin seharian seperti membersihkan diri, memakai baju dan makan minum. Terbaru Puan Hamidah mengadu keadaan ayahnya yang kerap meracau, berhalusinasi dan bersikap agresif sehingga kadang-kadang di luar kawalan.

rosethumbnailsmallfb1
Kisah Pakcik Abdullah adalah satu kisah tipikal untuk seorang penghidap Alzheimer’s Disease. Umum mengetahui Alzheimer’s Disease adalah satu bentuk penyakit nyanyuk (dementia) yang paling biasa, yang disebabkan oleh kehilangan progresif sel saraf otak. Pesakit Alzheimer’s Disease menghadapi kemerosotan fungsi mental yang akhirnya akan menjejaskan rutin harian mereka. Simptom yang dikaitkan dengan penyakit ini adalah 4A: amnesia (masalah memori), agnosia (tidak dapat mengenal objek atau orang sekeliling), aphasia (masalah komunikasi) dan apraxia (masalah pergerakan).

Terkini di Malaysia dijangkakan terdapat 50 000 pesakit Alzheimer’s Disease, tetapi kebanyakan daripada mereka tidak didiagnos dan mendapat rawatan yang sepatutnya. Risiko untuk menghidap Alzheimer’s Disease meningkat seiring dengan meningkatnya usia. Risiko bertambah sekiranya mempunyai sejarah keluarga yang menghidap Alzheimer’s Disease, berjantina perempuan dan pernah mempunyai sejarah kecederaan kepala.

Dalam sesetengah kes yang teruk pesakit boleh mengalami masalah tingkahlaku dan psikologi yang juga dikenali sebagai BPSD (Behaviour and Psychological Symptoms of Dementia). Mereka boleh berhalusinasi (biasanya dilihat bercakap sendirian dan mengatakan boleh mendengar suara-suara ghaib atau melihat bayangan), bertindak agresif atau menjadi murung. Alzheimer’s Disease tidak hanya memberi kesan besar kepada penghidapnya, tetapi juga mereka yang menjaga pesakit kerana ianya menagih pengorbanan masa, tenaga, wang ringgit dan perasaan.

Terdapat beberapa ayat Quran yang menyebut tentang penyakit dementia atau nyanyuk ini. Antaranya dalam surah An –Nahl ayat ke 70 Allah berfirman:

an-nahl-70Dan Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada); kemudian Ia menyempurnakan tempoh umur kamu; (maka ada di antara kamu yang disegerakan matinya), dan ada pula di antara kamu yang dikembalikannya kepada peringkat umur yang lemah (peringkat tua kebudak-budakan), sehingga menjadilah ia tidak ingat akan sesuatu yang telah diketahuinya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa. (An-Nahl:70)

Sekiranya kita benar-benar mentadabbur ayat ini kita akan merasakan betapa kerdilnya kita sebagai hamba dan betapa besar dan berkuasanya Allah sebagai pencipta. Dia telah melengkapkan penciptaan akal kita, sehingga dengannya kita boleh berfikir, merancang, mencipta memori, berkomunikasi dan bergerak. Namun Dia jugalah yang berkuasa untuk menarik balik nikmat-nikmat ini seperti yang kita lihat dengan pesakit Alzheimer’s Disease akan sedikit demi sedikit hilang keupayaan kognitifnya dan di akhirnya menjadi seperti kanak-kanak kecil yang terpaksa bergantung kepada orang lain untuk diuruskan rutin hariannya. Benar terdapat ubatan untuk penyakit ini, tetapi peranan ubat adalah lebih kepada untuk memperlahankan penyakit, bukannya menyembuhkan.

Sekiranya salah seorang daripada ibu bapa kita diuji dengan penyakit ini cubalah untuk memahami dan jalankanlah kewajipan kita sebagai seorang anak yang baik. Tidak dinafikan banyak pengorbanan yang perlu dilakukan untuk menjaga pesakit Alzheimer’s Disease, tetapi di saat kita merasa sangat penat berhadapan dengan kerenah mereka, kenangilah segala jerih payah yang telah mereka lalui untuk membesarkan kita. Ingatlah seruan Allah yang menyuruh kita berbuat baik kepada mereka seperti dalam surah Luqman ayat ke 14:

luqman-14
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). (Luqman:14)

Juga jadikanlah hadis nabi yang menyebut tentang ruginya seseorang yang tidak berbakti kepada kedua orang tua pada waktu mereka masih berada di sisi kita sebagai motivasi untuk kita bersama:

رَغِمَ أَنْفُ، ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ، ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ مَنْ أَدْرَكَ أَبَوَيْهِ عِنْدَ الكِبَرِ، أَحَدُ هُمَا أَوكِلَيْهِمَا، فَلَمْ يَدْخُلِ الْجَنَّةَ

“Celaka, sekali lagi celaka, dan sekali lagi celaka orang yang mendapatkan kedua orang tuanya berusia lanjut, salah satunya atau keduanya, tetapi (dengan itu) dia tidak masuk syurga” [Hadits Riwayat Muslim 2551, Ahmad 2:254, 346]

 

dr-zihan-Dr Siti Nor Fazihan Binti Najid-
Pegawai Perubatan,
Jabatan Psikiatri Dan Kesihatan Mental,
Hospital Raja Perempuan Zainab II.
AJK I-Medik Kelantan 2016.

Leave a Reply