MENU

Comments (0) Kolumnis, Mesej

Apabila Terlajak VIRAL Di Hospital; Jururawat, Telefon Pintar Dan Ambu Bag

Pada 1 Jun lepas, tular di media sosial, sebuah video yang memaparkan seorang Jururawat sedang menggunakan telefon pintar sambil mengendalikan alat bantuan pernafasan (bagging) di katil’.

Sebelum kita menjadi pihak yang mudah melatah dengan sesuatu isu, moleklah kita fahami bahawa seseorang pesakit yang telah diintubasi (seperti di dalam gambar viral), wajib diberi bantuan pernafasan secara berterusan menggunakan ambu bag / bag valve mask (seperti di dalam gambar) sehinggalah ada mesin ventilator yang akan menggantikan tugas ‘manual bagging’. Tugas ini boleh berlarutan sehingga berjam-jam. Pendek kata, selagi tiada mesin ventilator, maka bersiap sedialah tangan seorang petugas medikal untuk mengepam secara manual ‘bag valve mask’ itu. Secara peribadi, saya pernah melakukan prosedur ini bergilir dengan rakan setugas ketika merujuk pesakit ke Hospital lain selama lebih kurang 2 jam. Memang lenguh tangan dibuatnya.

Kita akan melihat senario Jururawat atau pihak medikal melakukan ‘bagging’ ini dalam situasi kecemasan seperti di Unit Kecemasan, Wad atau ketika proses memindahkan pesakit ke unit atau hospital yang mempunyai ventilator. Dalam kes ini, jelas pesakit telah pun stabil dan mungkin sedang menunggu ventilator.

Di bulan Ramadhan yang mulia ini, memandangkan video itu hanya berdurasi 27 saat, ia tidak mampu menggambarkan situasi keseluruhannya. Oleh itu, saya memilih untuk bersangka baik. Mungkin beliau ada urusan penting untuk menggunakan telefon pintar tersebut ketika menjalankan tugas mengepam ‘bag valve mask’.

Namun dalam situasi yang lain, saya berpendapat jururawat di lapangan klinikal adalah seorang atau pihak yang memberikan perkhidmatan langsung kepada pelanggan. Jadi penggunaan telefon pintar secara langsung untuk urusan peribadi wajar dielakkan. Kita seharusnya memaparkan cara kerja yang lebih professional. Jururawat harus tahu bahawa ada seribu satu mata yang sentiasa memerhatikan kita melakukan tugas. Rata-rata pesakit dan ahli keluarga memberi justifikasi mudah atas apa yang mereka lihat.

Dari sudut pandang lain, netizen perlu lebih prihatin dan sensitif bahawa hospital adalah  kawasan larangan mengambil gambar dan video pesakit kerana ia melanggari etika dan kerahsiaan pesakit. Jangan disebabkan video anda, banyak pihak terpalit dan terluka. Ikutlah saluran yang betul. Jangan asyik viral dek mengejar ‘like’ atau kerana rasa amarah. Terlajak perahu boleh berpatah semula, terlajar viral badan binasa.

Islam sentiasa menyarankan kita supaya menjaga tingkah laku dan menghindari fitnah dengan tiga langkah iaitu, menjaga muru’ah (hifzhul muru’ah), waspada terhadap syubuhat (ittiqaus syubuhat) dan menjauhi hal yang haram (ijtinabul muharramat). Allah s.w.t. juga memberi peringatan di dalam Al-Quran, surah As-Syuraa, ayat 30 ”Dan apa musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri dan Allah memaafkan sebagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu).”

Saya sendiri selaku Pengajar Klinikal perlu membawa telefon pintar setiap masa kerana akan menerima panggilan dari dalam dan luar. Memang menjadi satu cabaran untuk saya menggunakan telefon secara professional dengan cabaran aplikasi WhatApps dan FB yang sentiasa memanggil kita untuk melihatnya. Namun saya sebolehnya tidak menjawab panggilan telefon atau membalas mesej di kaunter atau di lapangan umum tempat kerja untuk mengelakkan salah faham. Jika seseorang petugas itu perlu menggunakan telefon pintar  untuk tujuan perubatan, jelaskan kepada pesakit untuk mengelakkan salah faham dan gunakan sewajarnya. Sebenarnya, isu penggunaan telefon pintar ini bukan sahaja berlaku di kalangan jururawat, malah kerjaya lain yang melibatkan pelanggan juga berdepan dengan cabaran etika pekerja menggunakan telefon secara berleluasa.

Kesimpulannya, kes ini telah pun mendapat perhatian serius pihak Jabatan Kesihatan Negeri, justeru kita berharap tindakan penambahbaikan boleh diambil dan semua pihak dapat mengambil iktibar daripada peristiwa ini. Cukup-cukuplah pihak awam mengecam individu terlibat dan profesion kejururawatan. Semoga Allah memberkati segala usaha dan penah lelah semua jururawat dalam memastikan pesakit mendapat perkhidmatan yang terbaik.

 

ATIQAH AHMAD ZAIN
Ketua Sektor Kejururawatan I-Medik
Pengajar Klinikal Hospital Islam Az-Zahrah

Leave a Reply