MENU

Author

PEMBUNUH NOMBOR SATU DI MALAYSIA

Aktiviti

27/03/2019

Serangan jantung berpunca dari darah beku yang terbentuk di dalam salur darah di dalam jantung. Dari hari ke hari, kita sering mendengar kawan- kawan atau saudara mara kita yang masih muda dan belum pun melangkah ke usia 40-an, telah meninggal dunia akibat serangan jantung. Perkara ini telah dibuktikan melalui data yang dikumpul dari tahun 2007 hingga 2017 di mana didapati bahawa pembunuh utama golongan yang berusia di bawah 40 tahun adalah serangan jantung. Walau bagaimana pun, terdapat beberapa perkara yang menyumbang kepada kecenderungan seseorang untuk mendapat serangan jantung seperti:

 

  • Lelaki
  • Perokok
  • pesakit kencing manis dan tekanan darah tinggi
  • Tinggi kandungan kolesterol dalam badan
  • Berat badan berlebihan
  • Sejarah ahli keluarga terdekat menghidap penyakit jantung
  • kurang bersukan dan beridah

 

Gejala utama serangan jantung adalah sakit di tengah dada seperti ditekan atau dihimpap oleh batu yang berat. Sakit dada biasanya berlaku ketika rehat dan berlarutan lebih dari setengah jam. Sakit dada kadang kala akan menjalar ke leher, bahu dan tangan sebelah kiri. Mereka yang mengalami serangan jantung biasanya akan turut berasa sesak nafas, berpeluh-peluh, berdebar-debar, loya dan muntah.

 

Jika anda mendapat gejala-gejala tersebut, adalah dinasihatkan untuk mendapatkan khidmat nasihat doktor di mana-mana pusat kesihatan terdekat secara serta merta. Ini kerana, rawatan awal dapat menyelamatkan nyawa anda dan mengurangkan risiko anda dari mendapat komplikasi dari serangan jantung.

 

Siasatan utama yang akan dilakukan sekira anda mengalami sakit dada adalah Elektrokardiogram dan beberapa ujian darah. Jika anda disahkan mendapat serangan jantung, doktor akan menjalankan prosedur koronariangiogram dan koronariangioplasti  secepat mungkin untuk membuka salur darah yang tersumbat oleh darah beku di dalam jantung.

 

Walaupun penyakit serangan jantung merupakan satu penyakit yang boleh dirawat, adalah penting untuk kita mencegah penyakit ini. Keadah utama untuk mencegah serangan jantung adalah berhenti merokok, memastikan anda makan makanan yang rendah lemak, rendah karbohidrat dan mengawal pengambilan garam. Mereka yang berisiko juga disarankan untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat seperti aktif bersukan, beriadah serta mengekalkan berat badan yang ideal. Pesakit yang menghidap kencing manis dan darah tinggi turut dinasihatkan agar sentiasa mengambil ubat yang dibekalkan mengikut sukatan dan arahan yang diberi serta melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala.

Dr Mohd Al-Baqlish Bin Mohd Firdaus

Felo Klinikal Kardiologi PPUM/Pensyarah Perubatan UIAM

Read article

509

JANGAN KENDALI TEKANAN EMOSI DI MEDIA SOSIAL

Aktiviti

25/03/2019

Medial sosial sudah menjadi elemen wajib dalam kehidupan masyarakat hari ini. Lebih dari itu, ia juga sudah menjadi medium utama bagi berkongsi emosi dalam kehidupan seharian. Jika dulu tembok-tembok tepi parit kampung atau kedai kopi di jalan-jalan besar pekan menjadi tempat pelbagai lapisan masyarakat berkongsi cerita, luahan dan emosi, hari ini sosial media menjadi gantinya. Ini terbukti dengan kajian oleh agensi luar negara seperti Hootsuit dan We Are Social yang menunjukkan 79 peratus daripada penduduk Malaysia merupakan pengguna internet. Daripada jumlah berkenaan pula 75 peratus menggunakan perkhidmatan media sosial dan memperuntukkan purata tiga jam sehari di laman media sosial.
Penggunaan yang signifikan ini secara langsung menjadikan pelbagai bentuk emosi dikongsi dalam media sosial saban hari. Emosi suka, marah, benci, risau, takut , sedih dan pelbagai lagi terbit dalam pelbagai bentuk. Tidak kira melalui perkongsian di laman Facebook, cerita di Instastory, cicipan di Twitter dan pelbagai lagi ruang yang disediakan oleh penyedia media sosial hari ini. Tanpa kita sedari, perjalanan hidup kita hari ini dipengaruhi oleh emosi yang terbit dari media sosial. Emosi kita juga ada kalanya dipengaruhi oleh emosi yang dikongsi oleh orang lain melalui media sosial. Ini terbukti melalui kajian yang dilakukan di Amerika melibatkan 600 ribu pengguna Facebook mendapati emosi positif dan negatif boleh disebarkan secara tidak langsung kepada pengguna melalui jenis-jenis hantaran yang terdapat di media sosial. Fenomena yang dipanggil ‘emotional contagion’ ini membuktikan kepada kita betapa besarnya kesan media sosial dalam mempengaruhi emosi dan pskologi manusia.

SIFAT IMPULSIF DI MEDIA SOSIAL
-Apa yang merisaukan ialah fenomena ini bukan sekadar memberikan kesan yang positif. Banyak kesan negatif yang boleh terhasil daripadanya. Antaranya ialah isu kawalan terhadap apa yang kita kongsikan. Apabila kita terbiasa berkongsi apa sahaja dalam fikiran kita dengan andaian bahawa ia adalah ruang peribadi kita, pasti akan ada yang terlajak dan mengakibatkan mudharat kepada orang lain. Kes-kes yang hangat baru-baru ini seperti penghinaan kepada agama, institusi negara dan individu-individu tertentu menunjukkan bahawa perkongsian impulsif di media sosial boleh membawa kepada keadaan yang lebih serius seperti pelanggaran undang-undang dan mengakibatkan gangguan kepada keharmonian.
Kegagalan sesetengah individu untuk mengawal keterujaan untuk berkongsi pendapat, pandangan, emosi dan apa jua maklumat menerusi media sosial bukan sekadar mengakibatkan kesan yang buruk kepada individu tersebut, malah kepada orang lain. Sebagai contoh, penularan fitnah dalam media sosial boleh mengakibatkan mangsa mengalami tekanan mental dan mengakibatkan kesan yang lebih buruk seperti membunuh diri. Oleh kerana tiada kawalan, sesiapa sahaja boleh memberi komen dalam apa jua situasi tanpa memikirkan akibatnya.

MEDIA SOSIAL DAN MASALAH MENTAL
-Selain itu, bagi individu yang mengalami tekanan emosi dan psikologi, meluahkan emosi pada media sosial juga boleh menyebabkan seseorang itu terlepas pandang bentuk penyelesaian lain yang lebih efektif. Tekanan psikologi yang dialami akan gagal diselesaikan sekiranya individu terbabit hanya memilih medium media sosial sebagai jalan penyelesaian. Ini berlaku apabila individu terbabit lebih suka menghabiskan masa di alam maya sehingga mengabaikan penyelesaian yang boleh dilakukan di dunia realiti. Sokongan sosial dan bantuan professional adalah antara asas penting dalam membantu seseorang ketika mengalami tekanan. Jika mereka terperuk dalam dunia maya mereka, mereka akan gagal untuk mendapat akses kepada bantuan ini dengan efektif. Adakalanya keadaan diburukkan lagi dengan nasihat yang tidak tepat yang diperolehi dari media sosial tentang bagaimana mengurus masalah yang mereka hadapi.
Selain itu, ketaksuban terhadap penggunaan media sosial mungkin hakikatnya adalah suatu bentuk ketagihan yang serius. Biarpun ketagihan gajet dan internet belum secara rasmi diklasifikasikan sebagai masalah mental, namun kesan ketagihan ini kepada emosi dan psikologi manusia telah banyak dibuktikan secara saintifik. Bukan sekadar itu, ketagihan peranti elektronik, internet dan media sosial juga merupakan antara penyumbang kepada punca masalah mental yang lebih serius seperti kemurungan, keresahan dan gejala bunuh diri. Antara contoh yang lazim berlaku adalah bagaimana buli siber menyumbang kepada kes-kes kemurungan di kalangan pengguna.

CEGAH SEBELUM PARAH
-Sungguhpun banyak sisi positif media sosial pada perkembangan zaman, kita harus berhati-hati dan meletakkan sempadan yang jelas dalam mengatur penggunaan kita sehari-hari. Biarpun banyak maklumat berguna yang dikongsi di media sosial, kajian psikologi menunjukkan manusia lebih cenderung untuk mengingati aspek negatif sesuatu pengalaman. Fenomena yang dipanggil negativity bias ini dikhuatiri akanmenyebabkan unsur negatif di dalam media sosial harini ini mendominasi cara fikir generasi muda. Ibubapa perlu memainkan peranan dalam mendisiplinkan penggunaan media sosial dikalangan anak-anak agar apa jua masalah boleh dikesan dan dicegah lebih awal. Pastikan penggunaan yang bersesuaian dengan umur dan kematangan anak, pantau secara dekat, banyakkan berbincang secara terbuka mengenai isu yang mereka keliru di media sosial. Sediakan gaya hidupp alternative yang lebih sihat bagi mengatasi lambakan masa yang terluang untuk dihabiskan di media sosial. Akhir sekali, apa yang juga penting, ibu bapa perlu menunjukkan teladan dalam penggunaan yang berhemah.

Dr Rozanizam Zakaria,
Ahli Jawatan Kuasa Pusat Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik)
Pakar Psikiatri UIAM

Read article

343

313

#WajibVaksin

Aktiviti

18/03/2019

18 Mac 2019,Kuala Lumpur.
Setiausaha Agung I-Medik Dr Nor Azyati Binti Yusoff telah mewakili I-Medik untuk menyerahkan Petisyen #WajibVaksin kepada Yang Berhormat Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad. Dr Nor Azyati turut diiringi oleh Bendahari I-Medik, Encik Muhammad Zubair Bin Mohammad Suhaimi ke majlis ringkas yang diterajui oleh Medical Mythbuster Malaysia (M3). Petisyen tersebut merupakan sebahagian daripada kempen #WajibVaksin yang menyokong usaha kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mewajibkan vaksin yang terkandung dalam Program Imunisasi Kebangsaan kepada
seluruh kanak-kanak warganegara Malaysia. Petisyen yang dianjurkan oleh Persatuan Pembanteras Mitos Perubatan Malaysia (Medical Mythbusters Malaysia) berlangsung sejak 25 Februari 2019 lalu, dan berjaya memperolehi sejumlah 119,932 tandatangan.
Selain I-Medik,turut serta 14 lagi NGO (Non-Governmental Organization) yang menyokong ke arah perlaksanaan Akta Wajib Vaksin di Malaysia. Antara NGO yang terlibat adalah:
1. Persatuan Pembanteras Mitos Perubatan Malaysia (Medical Mythbusters Malaysia, M3)
2. ASEAN Commission For the Promotion and Protection of the Right of Women and Children
3. Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia
4. Public Health Malaysia
5. Delegation Of Nurses
6. The Dressar & Co
7. Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA)
8. IKRAM Health
9. Ikatan Pengamal Perubatan & Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik)
10. Persatuan Pakar-Pakar Perubatan Keluarga Malaysia (FMSA)
11. Malaysian Male Nurses (MMN)
12. Islamic Medical Association Malaysia (IMAM)
13. Malaysian Integrated Medical Professionals Association (MIMPA)
14. Medical Tweet Malaysia (MedTweetMY)
15. Immunise4Life
 
Kerjasama ini amat bermakna buat I-Medik bagi menunjukkan komitment I-Medik dalam menghapuskan penyakit cegahan vaksin di Malaysia.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan, turut berterima kasih di atas sokongan NGO yang terlibat, dan berjanji akan memperjuangkan isu ini di parlimen.
Walaubagaimanapun, orang ramai tidak perlu merasa gusar mengenai perlaksanaan Akta Wajib Vaksin ini kerana satu Task Force (Jawatankuasa Kerja Khas) telah ditubuhkan bagi memperhalusi bagaimana usul ini dapat dilaksanakan dengan cara yang terbaik tanpa mempertikaikan mana-mana pihak.
Salinan petisyen tersebut telah diterima secara langsung oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan,
Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad. Beliau juga menyatakan iltizam dan komitmen ke arah mewujudkan
vaksin mandatori, dengan mengambilkira pandangan semua pihak termasuk sokongan rakyat yang
disampaikan melalui petisyen ini.
Untuk maklumat lanjut, boleh berhubung melalui :
medical.mythbusters.malaysia@gmail.com

Read article

727

Kegagalan Buah Pinggang, Ambil Cakna Sebelum Merana

Info Sihat, Mesej

12/03/2019

Kegagalan Buah Pinggang; Ambil Cakna Sebelum Merana

Ramai orang beranggapan mereka cukup sihat, walaupun bertahun-tahun tidak menjalani pemeriksaan kesihatan. Malah, terdapat sebilangan yang beranggapan bahawa mereka tidak akan menghidap sebarang penyakit sedangkan setiap orang mempunyai risiko yang sama untuk diserang penyakit kronik. Penyakit kronik akan menyerang pesakit secara diam dan hanya akan menunjukkan gejala ketika ia berada di tahap yang serius. Itulah sifat penyakit kronik.

Kegagalan buah pinggang merupakan antara penyakit kronik yang seringkali gagal dikenal pasti di peringkat awal terutamanya bagi golongan yang tidak pernah membuat pemeriksaan kesihatan. Kajian oleh Kesatuan Diabetes Amerika menunjukkan  sebanyak 850 juta orang di seluruh dunia menghidapi penyakit kegagalan buah pinggang. Malah, penyakit ini merupakan antara sebab utama yang membawa kepada kematian pesakit di seluruh dunia. Secara normalnya, buah pinggang berperanan sebagai pusat perkumuhan yang akan menapis garam mineral serta air yang tidak diperlukan oleh badan melalui air kencing. Justeru, pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang akan mempunyai kandungan toksin yang tinggi serta garam mineral berlebihan di dalam badan.

Sebab kegagalan buah pinggang

Seorang pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang boleh kehilangan fungsi buah pinggangnya sebanyak 90 peratus tanpa menunjukkan sebarang gejala. Penyakit kegagalan  buah pinggang merupakan salah satu komplikasi daripada penyakit kencing manis. Namun begitu, hal ini tetap perlu diambil berat oleh semua orang terutamanya bagi individu yang mempunyai masalah darah tinggi, obesiti, kandungan kolesterol tinggi dan perokok.

Gejala penyakit kegagalan buah pinggang

Seperti yang dinyatakan di atas, penyakit kronik seperti penyakit buah pinggang ini tidak mempunyai gejala di peringkat awal. Namun begitu, dalam diam kerosakan buah pinggang akan terus berlaku sehinggalah menurut Yayasan Buah Pinggang Amerika hanya 10 peratus sahaja bahagian buah pinggang yang berfungsi, ketika itulah gejala akan dapat dilihat. Antara gejala yang dapat dikenal pasti adalah:

  • Merasa keletihan dan tidak bertenaga
  • Mengalami kekejangan otot
  • Membuang air kencing dengan kerap terutama waktu malam
  • Mengalami bengkak pada kaki dan sendi
  • Mempunyai kulit yang kering dan gatal

 

Kesan penyakit buah pinggang

Jika buah pinggang sudah gagal untuk menjalankan fungsinya, maka pesakit perlu bergantung kepada mesin dialisis darah sepanjang hayat atau melalui pembedahan transplan buah pinggang. Selain itu, fungsi fizikal juga akan terjejas apabila pesakit perlu melalui rawatan berkala dan seterusnya akan menjejaskan fungsi sosial dan emosi pesakit kerana rawatan berkala ini turut memerlukan sejumlah pelaburan yang tinggi memakan ratusan malah ribuan ringgit.

Tindakan kita

Oleh itu, saringan awal adalah penting untuk kita mencegah penyakit kegagalan buah pinggang ini. Saringan ini sangat mudah. Tiga parameter diukur iaitu tekanan darah, kandungan glukosa darah dan kandungan protein dalam air kencing. Jika air kencing menunjukkan ada protein, pesakit disaran menjalani ujian susulan untuk pengesahan kerana ia antara petanda awal kegagalan buah pinggang.

Saringan ini boleh didapati di klinik-klinik berhampiran dengan anda dan terdapat juga badan-badan dan persatuan yang membuat pemeriksaan kesihatan secara sukarela demi memastikan rakyat Malaysia lebih mengambil berat terhadap kesihatan mereka serta menggalakkan orang ramai untuk melakukan pemeriksaan kesihatan berkala.

Selain itu, bantulah ahli keluarga, sanak saudara dan jiran tetangga kita yang menghidap penyakit kegagalan buah pinggang ini. Bantuan boleh diberikan dalam bentuk kewangan, motivasi dan sokongan moral untuk mereka terus tabah mengharungi ujian yang diberikan.

 

 

 

“Sebaik-baik rawatan adalah pencegahan”

Disediakan oleh,

Syafaf binti Jumiran

Setiausaha

Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) Pahang

Ketua Unit Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit, Klinik Kesihatan Bukit Goh.

 

Rujukan:

https://www.alere.com/en/home/lp/world-kidney-day-2019.html

https://myhealth.gov

http://kidneyfund.org

Harrison’s Principles of Internal Medicine (Vol 1, 18th edition)

Read article

428

Vaksin Dicemari Unsur Logam?  

Info Sihat, Mesej

04/03/2019

Vaksin Dicemari Unsur Logam?

 

Demam, menggigil, sakit tekak

 

Dan kemudiannya

 

Plak tebal terbentuk di tekak

Bengkak kelenjar leher

Sukar menelan

Sesak nafas

 

Boleh membawa kepada kematian

 

 

Itulah antara simptom-simptom perit yang dihadapi oleh bayi, kanak-kanak dan orang dewasa yang dijangkiti penyakit Difteria. Difteria merupakan penyakit berjangkit serius yang disebabkan oleh jangkitan Corynebacterium diphtheria bacteria pada tekak dan saluran pernafasan. 5-10% pesakit yang dijangkiti difteria membawa maut, dan statistik ini meningkat ke 20% untuk kanak-kanak di bawah umur 5 tahun dan dewasa melebihi 40 tahun [1]. Difteria sangat mudah tersebar samada melalui titisan respiratori semasa bercakap, batuk, dan bersin atau merebak melalui sentuhan.

 

Pada 21 Februari 2019, kita dikejutkan dengan satu kes kematian akibat difteria di Johor yang melibatkan seorang kanak-kanak lelaki 2 tahun. 5 lagi kanak-kanak masih ditahan di wad Hospital Sultanah Aminah untuk memantau simptom Difteria. Pesakit yang meninggal dan kakaknya yang berusia 4 tahun dalam kes ini tidak menerima suntikan vaksin bagi menghalang jangkitan Difteria. Sebanyak 18 kes di Malaysia dengan 5 kematian akibat difteria dicatat pada 2018, di mana 4 daripada 5 kes ini tidak menerima imunisasi mencukupi. Terdahulu, pada 2017 terdapat 32 kes dengan 7 kematian [2,3].

 

 

Vaksin untuk Difteria, Tetanus dan Pertussis  (DTaP)  terdapat di dalam jadual imunisasi negara untuk dicucuk pada bayi berumur 2,3,5 dan 18 bulan bersekali dengan vaksin Haemophillus Influenza B (Hib) dan Polio.

 

Terdapat salah faham yang menyebabkan keengganan sebahagian ibu bapa untuk membenarkan anak-anak mereka diberi suntikan vaksin lengkap seperti yang tercatat dalam jadual imunisasi kebangsaan. Antara yang dihebahkan adalah vaksin tercemar dengan unsur logam.

 

VAKSIN DICEMARI UNSUR MERKURI

 

Antara unsur logam yang disering dikaitkan dengan vaksin adalah merkuri.

 

Unsur merkuri yang disebut-sebut itu terkandung dalam sebatian organik Thimerosal, iaitu bahan pengawet dalam vaksin tertentu. Thimerosal bertindak menghalang pertumbuhan kulat dan bakteria pencemar dalam larutan vaksin. Thimerosal ini diurai dalam badan kepada ethylmerkuri yang mudah dikumuhkan dan dikeluarkan dari badan.

 

Ethylmerkuri dari Thimerosal berbeza dengan methylmerkuri yang terdapat dalam sesetengah ikan laut dalam, seperti king mackarel, dan ikan jerung. Methylmerkuri mudah terkumpul dalam badan apabila kita memakan ikan tersebut. Ini antara sebab ibu-ibu mengandung digalakkan untuk mengelakkan pengambilan ikan-ikan ini semasa mengandung.

 

Ethylmerkuri ini juga berbeza dengan merkuri  elemental , iaitu cecair merkuri yang berwarna keperakan di dalam termometer [5,6].

 

Untuk makluman semua ibu bapa, vaksin untuk mencegah DTaP, Polio, Hib,Hepatitis B, BCG dan MMR (measles, mumps dan rubella) TIDAK MENGANDUNGI unsur Thimerosal ini [7].

 

 

ALUMINIUM DAN VAKSIN

 

Aluminium dalam vaksin bertindak sebagai adjuvant. Adjuvant meningkatkan kesan imun badan terhadap vaksin. Unsur aluminium dalam vaksin wujud sebagai aluminum hydroxide, dan aluminum sulfate (Alum). Selain dalam vaksin, aluminium hydroxide ini juga wujud dalam ubat antacid untuk merawat sakit gastrik. Manakala, aluminium sulfate ini juga terkandung dalam air minuman terawat.

 

Aluminium dalam vaksin ini berbeza dengan aluminium oxide yang digunakan dalam penghasilan keluli.

 

Kuantiti aluminium dalam vaksin juga adalah rendah dan kurang risiko kepada kesihatan bayi yang diberikan suntikan vaksin.

 

 

 

 

 

Vaksin mencegah penyakit berbahaya

 

Vaksin merupakan satu usaha dalam membendung penyebaran penyakit berbahaya yang membawa maut seperti difteria. Vaksin bertindak merangsang sistem imun badan untuk membina antibodi memori B bagi melawan jangkitan akan datang atau mengurangkan keterukan simptom yang dihadapi.

 

الوِقَايَةُ خَيْرٌ مِنَ العِلَاجِ

Maksudnya: Mencegah itu lebih baik daripada merawat.

 

Peratusan penerimaan vaksin yang tinggi membantu untuk membina imuniti kelompok (herd immunity). Ini menyukarkan penyakit berjangkit merebak kerana tidak ramai boleh dijangkiti. Imuniti kelompok ini penting bagi melindungi bayi yang terlalu muda untuk diberi sesuatu vaksin dari dijangkiti kuman. Imuniti kelompok juga melindungi golongan yang mempunyai sistem ketahanan badan yang rendah seperti kanak-kanak atau orang dewasa yang menerima rawatan steroid dan kemoterapi berpanjangan.

 

Pejabat Mufti Wilayah Perseketujuan Kuala Lumpur turut mengeluarkan kenyataan dalam Bayan Linnas Siri Ke-167: Kewajipan Mengambil Vaksin Mengiku Jadual Imunisasi Kebangsaan Daripada Perspektif Islam [10]. Dalam artikel ini, dinyatakan bahawa pemberian vaksin adalah memenuhi maqasid syari’ah kerana ‘hifz-al nafs’ , iaitu penjagaan nyawa adalah antara perkara yang dituntut.

 

Sebarang usaha untuk meningkatkan pemahaman masyarakat terhadap vaksin adalah perlu disokong, samada melalui agensi kerajaan atau NGO. Disarankan juga untuk kelas-kelas antenatal yang dijalankan oleh mana-mana pihak untuk memberi penekanan kepada bakal-bakal ibu dan bapa akan kepentingan vaksin untuk bayi yang akan lahir nanti.

 

Usaha ke arah mewajibkan vaksinasi terhadap kanak-kanak di peringkat Persekutuan oleh Kementerian Kesihatan juga haruslah disokong kuat bagi mengurangkan jumlah ahli masyarakat yang tidak divaksinasi serta mengelakkan penularan penyakit berbahaya yang membawa kecacatan atau maut.

‘Aisya Nabilah binti Abd Rahman

Pegawai Farmasi HCTM, PPUKM

Ahli Farmasi I-Medik

 

 

 

 

 

Sumber

Read article

511

Bantahan Terhadap Usaha Ke Arah Semakan Kehakiman ke atas Perwartaan Larangan Merokok di Tempat Awam oleh Badan-badan Profesional Perubatan...

Aktiviti

15/02/2019

 

KHAMIS, 14 FEBRUARI 2019

Kami, Persatuan-persatuan Profesional dalam bidang Perubatan dan Kesihatan di Malaysia menyatakan rasa kesal terhadap tindakan sekumpulan perokok yang membuat permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas perwartaan larangan merokok di tempat awam. Menurut sumber yang dipetik daripada media Berita Harian pada 29 Januari 2019, kumpulan perokok ini telah diberikan kebenaran untuk mengadakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang telah mewartakan larangan merokok di semua premis makan sejak 1 Januari 2019 yang lepas.

Dalam permohonan itu, mereka telah mempertikaikan larangan merokok yang diwartakan kerana mendakwa ia bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia Menurut dakwaan kumpulan ini, aktiviti merokok bukanlah satu perbuatan jenayah dan larangan ini telah menyekat hak kebebasan diri individu. Lebih mendukacitakan kesamarataan di antara perokok dan bukan perokok dikatakan telah dicabuli. Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia didakwa mendiskriminasi golongan perokok daripada mengunjungi restoran dan tempat makan.

Sebagai badan profesional perubatan dan kesihatan, isu yang dibawa oleh sekumpulan perokok ini amat tidak berasas. Isu hak kebebasan diri sekumpulan perokok 7 orang ini tidak patut mengatasi hak kebebasan diri untuk menghirup udara yang sihat oleh kumpulan majoriti bukan perokok (77%) yang rata-ratanya terdiri daripada golongan wanita, kanak-kanak dan warga emas. Pada masa yang sama, undang-undang perlu diadakan bagi mewujudkan situasi agar membezakan kelakuan yang mendatangkan risiko kepada orang sekelliling.

Badan–Badan Profesional Perubatan dan Kesihatan sekali lagi membantah perkara ini kerana pendebatan isu penguatkuasaan larangan merokok bukan sahaja akan memberikan kesan larangan di premis-premis makan, malahan di kesemua 23 kawasan yang telah diwartakan sejak 15 tahun yang lepas di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Perwartaan larangan merokok di tempat-tempat awam yang dilaksanakan oleh kerajaan selama ini adalah bertujuan untuk melindungi orang awam daripada bahaya asap rokok sekunder terutamanya kepada golongan wanita dan kanak-kanak. Kajian menunjukkan bahawa bukan perokok sahaja yang terkesan dengan bahaya asap rokok malah orang ramai di sekeliling juga berisiko untuk mendapat pelbagai penyakit akibat menyedut asap rokok ini.

Pihak kami juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia dan Biro Pengaduan Awam Jabatan Perdana Menteri atas kajian yang terperinci yang dijalankan bagi melihat impak kepada kesihatan masyarakat.

Menurut petikan rancangan Bicara Pengguna siaran RTM pada 11 Januari 2019, satu kaji selidik persepsi masyarakat berkaitan cadangan larangan merokok di restoran telah dijalankan oleh Biro Pengaduan Awam Jabatan Perdana Menteri pada tahun 2017. Seramai 430 responden terdiri daripada orang awam dan 350 responden terdiri daripada pemilik premis perniagaan. Hasil kajian membuktikan majoriti responden yang terdiri daripada perokok semasa (58%), bekas perokok (85%) dan bukan perokok (97%) serta pemilik premis perniagaan makan (75%) bersetuju agar semua tempat makan dijadikan sebagai kawasan larangan merokok.

Manakala kaji soal selidik pada tahun yang sama yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia di seluruh negara membuktikan hasil yang sama dimana 79.5% daripada 1379 responden bersetuju jika perwartaan larangan merokok di restoran dikuatkuasakan.

Kajian-kajian yang dijalankan ini membuktikan usaha mendapatkan pendapat dan maklumbalas daripada rakyat samaada daripada kalangan perokok, bukan perokok, bekas perokok dan pemilik premis makan telah pun dijalankan secara meluas, iaitu dua tahun sebelum undang-undang ini diwartakan oleh kerajaan.

Kami di sini ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan terutamanya pihak KKM yang telah berjaya mewartakan undang-undang ini pada 1 Januari yang lepas setelah 4 tahun tertangguh sejak ia mula dicadangkan pada tahun 2015. Keluhan masyarakat selama ini telah didengari dan rata-rata rakyat berpuas hati kerana bebas untuk menghirup udara yang segar tanpa asap rokok di tempat-tempat awam terutama tempat makan.

Kami sekali lagi menyatakan kekesalan ke atas semakan kehakiman ini dan sekiranya keadilan golongan majoriti bukan perokok dipersiakan kami badan Profesional Perubatan dan Kesihatan bersedia untuk berjuang mempertahankan perwartaan larangan ini demi menyelamatkan generasi anak-anak dan cucu cicit kami daripada bahaya asap rokok.

Walaubagaimanpun, kami tetap menghormati keputusan mahkamah dalam memberikan kebenaran untuk meneruskan hak pemohon ini sebagaimana yang termaktub di bawah perlembagaan negara.

Kami amat berharap YAB Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, YAB Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan YB Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad akan kukuh dengan pendirian dalam mempertahankan undang-undang perwartaan larangan merokok di tempat awam ini daripada ditarik balik.

Kami yang menjalankan amanah:

-Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia
-Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health)
-Medical Mythbusters Malaysia (M3)
-Medical Tweet Malaysia (MedTweet)
-Family Medicine Specialists Association of Malaysia (FMSA)
-Ikatan Pengamal Perubatan & Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik)
-Malaysian Thoracic Society
-Delegation of Nurses (DON)
-Malaysian Integrated Medical Professionals Association (MIMPA)
-Malaysian Academy of Pharmacy (MAP)
-Malaysia Pharmaceutical Society (MPS)
-Asthma Malaysia
-Green Crescent Malaysia (GCM)
-Malaysian Society Of Anaesthesiologists
-College Of Anaesthesiologists, Academy of Medicine, Malaysia
-Malaysian Society of Haematology
-Malaysian Green Lung Association (Green Lung)
-National Cancer Society of Malaysia (NCSM)
-Malaysian Association of Adolescent Health (MAAH)
-Islamic Medical Association of Malaysia (IMAM)
-College of Emergency Physicians, Academy of Medicine, Malaysia
-Malaysia Society of Ophthalmology
-Society of Aeromedicine Malaysia
-Malaysian Society of HIV Medicine
-Malaysian Resuscitation Association (MyRES)
-Malaysian Women’s Action for Tobacco Control and Health (MyWatch)
-Malaysia Orthopaedic Foot and Ankle Society (MOFAS)
-Persatuan Malaysian Male Nurses (MMN)
-Family Medicine Association of USM (FAMOUS)
-Malaysia Laryngectomee Association (MLA)
-Malaysian Paediatric Association (MPA)
-Consumers Association of Penang (CAP)
-Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna-pengguna Malaysia (FOMCA)

Read article

304

Arahan tanda larangan merokok adalah jelas

Aktiviti

07/02/2019

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Ho Su Mong, Presiden Persatuan Am Pemilik Kedai Kopi Malaysia Singapura mengenai kekeliruan tentang spesifikasi tanda larangan merokok yang diterbitkan oleh The Star Online pada 5 Februari 2019 adalah dangkal.

Adakah beliau tidak mengetahui sama sekali tentang spesifikasi yang telah digariskan dalam Jadual Ketiga [Perenggan 12(1)(a)] Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004? Di dalam jadual tersebut dengan jelas menyatakan bahan, bentuk/saiz, perihal serta reka bentuk tanda larangan merokok sebagai panduan umum. Jadual tersebut bukanlah suatu perkara yang baru.

Ini adalah salah satu tindakan untuk mengelirukan masyarakat umum, sekali gus mahu mencabar pewartaan larangan merokok di semua premis makanan sejak 1 Januari 2019. Jika mereka patuh dengan arahan tersebut, kenyataan sedemikian tidak patut ditimbulkan.

Sikap sedemikian tidak membantu inisiatif kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok dalam usaha memastikan kesihatan rakyat tidak terjejas akibat bahaya asap rokok.

Oleh :
Dr Ahmad Farid Nazmi Bin Abdul Halim
Unit Kawalan Rokok & Vape
Ikatan Pengamal Perubatan & Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik)

Read article

1194

Hari Kanser Sedunia 2019; “I AM AND I WILL”

Mesej

04/02/2019

Tanggal 4 Februari ini, seantero dunia akan menyambut Hari Kanser Sedunia 2019 yang bertemakan “I Am and I Will”. Jika diterjemahkan secara literal, rangkai kata tema tersebut bermaksud “Saya Adalah dan Saya Akan” yang bunyinya agak tergantung. Namun, maksud sebenar tema ini ialah untuk memberikan kesedaran kepada diri kita untuk mengakui kanser ialah merupakan salah satu pembunuh utama manusia dan perubahan kepada mengurangkan kadar kematian akibat kanser ini bermula dengan diri kita. Justeru, Jika disesuaikan dengan bahasa Melayu, tema tersebut akan berbunyi “Saya Sedar dan Saya Akan Lakukan Perubahan”.

Konsep perubahan bermula dari kita ini telah dinukilkan dalam Al-Quran sejak 1400 tahun dahulu melalui Surah Ar-Ra’d ayat ke 11 yang bermaksud,

“…Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya”.

Sungguh cantik didikan Islam dan ini menunjukkan betapa agungnya mukjizat Al-Quran yang kekal relevan sepanjang zaman malah turut boleh diaplikasikan dalam usaha mencegah penyakit di bidang perubatan.

Mengikut statistik, dianggarkan seramai 9.5 juta telah meninggal dunia sepanjang tahun 2018 akibat kanser – iaitu kira-kira  26 ribu kematian sehari. Saban tahun, kempen-kempen kesedaran mengenai bahaya kanser ini dijalankan sama ada di peringkat komuniti ataupun kerajaan.

Tanda-tanda awal kanser tidak semestinya hadir dengan wujudnya benjolan yang tidak normal, radang, rasa sakit atau pendarahan dibahagian tertentu, namun  sesetengah tanda yang tidak khusus seperti rasa cepat letih, kurang selera makan atau susut berat badan. Terdapat juga kes yang dikesan secara kebetulan semasa pesakit diperiksa untuk sakit yang lain seperti demam berpanjangan dan sebagainya. Jika terdapat ada tanda-tanda awal kanser, orang ramai hendaklah disarankan agar segera melakukan pemeriksaan kesihatan di klinik-klinik atau hospital berdekatan.

Dengan kemajuan teknologi masa kini, kebanyakan kanser dapat dikesan pada peringkat awal. Ujian saringan bagi kanser payudara dan kanser serviks hendaklah dilakukan secara berkala. Gaya hidup yang tidak sihat seperti amalan seks bebas yang menyebabkan jangkitan kuman penyebab kanser seperti Human Papilloma Virus, Hepatitis, HIV AIDS, Epstein-Barr dan berbagai-bagai lagi virus wajib dijauhkan. Faktor lain seperti tabiat pemakanan, berat badan berlebihan, kurang aktiviti senaman, pendedahan kepada cahaya UV yang berlebihan, pengambilan alkohol, tabiat merokok, pencemaran udara dan penggunaan hormon adalah antara punca kanser yang boleh diubah.

Tabiat merokok yang telah difatwakan haram diketahui umum daripada kajian-kajian perubatan yang membuktikan peningkatan risiko kanser dikalangan perokok dan orang di sekeliling perokok (perokok sekunder). Langkah kerajaan mengenakan larangan merokok ditempat awam dan di tempat makan berkuatkuasa  1 hari bulan Januari 2019 yang lalu dibawah Peraturan 11, Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT 2004) merupakan salah satu usaha untuk mengurangkan risiko kanser di samping penyakit-penyakit lain yang berkaitan dan perlu disokong semua pihak.

Sempena menyahut seruan tema hari Kanser Sedunia tahun ini, “I am and I Will” marilah kita bersama mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan risiko kanser terhadap diri dan masyarakat disamping sentiasa membantu pesakit-pesakit kanser dengan melaksanakan langkah-langkah seperti berikut:

  1. Melakukan aktiviti-aktiviti sihat seperti menjauhkan diri daripada penggunaan tembakau dan alcohol, bersenam dengan secukupnya, pemakanan seimbang dan melindungi diri daripada terdedah kepada cahaya matahari secara berterusan tanpa pelindungan yang wajar.
  2. Mengetahui tanda-tanda penyakit kanser dan melakukan ujian saringan mengenalpasti kanser di peringkat awal seperti yang telah disarankan.
  3. Berkongsi cerita dan pengalaman dikalangan pesakit-pesakit kanser agar dapat meningkatkan motivasi pesakit kanser dalam menghadapi dan melawan penyakit kanser
  4. Menyertai kumpulan-kumpulan sokongan bagi mendapat bantuan dan galakan serta memberikan sumbangan.
  5. Berkomunikasi dengan pihak berkuasa dan badan-badan bukan kerajaan bagi tujuan penyebaran maklumat dan langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk mengurangkan risiko-risiko kanser
  6. Membantu pesakit-pesakit kanser untuk meneruskan aktiviti-aktiviti harian sebelum dan selepas diagnosis mengikut kemampuan mereka untuk mengekalkan normaliti, kestabilan emosi dan jasmani dan kedudukan kewangan.

Rujukan

 

1. World Cancer Day 2019: ’I Am and I Will.’ (2019) Simon, S. (Senior Editor) American Cancer Society. Dimuat turun di laman sesawang:  https://www.cancer.org/latest-news/world-cancer-day-2019.html

 

2. Terjemahan Al-Quran Al-Karim dari http://www.surah.my/13

 

3. Kenyataan akhbar oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia bertarikh 31 Disember 2018 ‘Tempat Makan Sebagai Tempat Dilarang Merokok” dimuat turun secara PDF di laman sesawang:  www.moh.gov.my/index.php/database_stores/attach…/1117

 

4. “Causes of cancer and reducing your riskdaripada laman sesawang Cancer Research UK  dimuat turun dari: https://www.cancerresearchuk.org/about-cancer/causes-of-cancer

 

5. Keutamaan Mengingati Mati (Ogos 2015) Fairuz Hj. Noordin, dari laman sesewang https://ikimfm.my/keutamaan-mengingati-mati/ . Artikel ini telah disiarkan di segmen agama Berita Harian edisi 13 Ogos 2015.

 

Ditulis oleh,
Assistant Prof Dr Nazhan Afeef bin Mohd Ariff @ Ghazali
Pakar Bius, Jabatan Bius dan Rawatan Rapi, UIAM.
Ahli Jawatan Kuasa I-Medik Pahang.

Read article

Malaysia: Negara Sihat Tanpa Asap Rokok

Info Sihat, Mesej

04/02/2019

 

1 Januari 2019 perlu dipromosi sebagai tarikh keramat dalam membendung isu dan budaya merokok di Malaysia seiring dengan misi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menurunkan prevalen merokok kurang daripada 5% menjelang tahun 2045 dalam kalangan rakyat Malaysia. Semua premis makanan telah diwartakan sebagai kawasan larangan merokok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018 bermula 1 Januari 2019. Sebelum ini, arahan tersebut hanya melibatkan restoran berhawa dingin. Kali ini, arahan tersebut diperluaskan ke restoran tidak berhawa dingin, restoran dan warung berkonsep terbuka, trak makanan yang menyediakan meja dan kerusi serta restoran yang berada di atas kapal dan keretapi.

Pewartaan ini adalah komitmen Kerajaan Malaysia sebagai negara anggota kepada Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC). Langkah tersebut merupakan inisiatif KKM memperluaskan lagi kawasan larangan merokok dan membudayakan amalan tidak merokok serta melindungi orang awam daripada bahaya asap rokok.

Pelbagai reaksi dapat kita lihat sejak pengumuman cadangan untuk mengisytiharkan semua premis makanan sebagai kawasan larangan merokok oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye di persidangan Dewan Negara pada 5 September 2018. Memang tidak dapat dinafikan, akan timbul bantahan daripada golongan perokok. Manakala ada juga segelintir pemilik restoran yang turut sama membantah arahan tersebut. Antara alasan utama adalah tindakan penguatkuasaan ini bakal menjejaskan perniagaan mereka. Tambahan pula, tujuh individu telah memfailkan semakan kehakiman di mahkamah untuk mencabar penguatkuasaan larangan merokok di semua premis makanan dan baru-baru ini mereka memperoleh kebenaran untuk mencabar larangan tersebut. Namun begitu, KKM sama sekali tidak perlu tunduk kepada desakan sedemikian.

Tidak perlu tangguh
Kini sebulan telah berlalu. Syabas kepada KKM kerana tidak menangguhkan peraturan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan. Namun demikian, penglibatan secara holistik di mana kerjasama di antara pihak berkuasa serta agensi berkaitan, pemilik premis makanan, masyarakat setempat dan golongan perokok sendiri amat diperlukan untuk memastikan kejayaan pelaksanaan larangan tersebut.

Selain daripada aktiviti penguatkuasaan, pemilik premis makanan memainkan peranan penting untuk memastikan pematuhan penuh kepada usaha-usaha bebas asap rokok. Pemasangan papan tanda larangan merokok mengikut spesifikasi di tempat strategik serta melupuskan penggunaan bekas abu rokok adalah tindakan asas yang perlu dilaksanakan. Jika ada pelanggan yang merokok, pemilik premis harus tegas menghalang perbuatan tersebut. Persekitaran bebas asap rokok sama sekali tidak merugikan pemilik restoran dan gerai makanan. Pelanggan akan tetap mengunjungi premis makanan kerana makan adalah keperluan asas kehidupan. Bahkan keluarga bersama anak-anak kecil pasti memilih premis yang bebas daripada asap rokok.

Perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok
Umum mengetahui rokok memudaratkan kesihatan namun masih ramai masyarakat yang merokok. Ketagihan nikotin merupakan punca utama mengapa golongan perokok mengalami kesukaran untuk berhenti merokok. Oleh demikian, mereka seharusnya memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok yang disediakan oleh KKM di seluruh negara menerusi klinik kesihatan serta hospital terpilih. Dua perkara utama yang perlu dititikberatkan sebelum menjalani proses berhenti merokok adalah membuat keputusan tegas untuk meninggalkan tabiat merokok serta merancang persediaan bagi memudahkan usaha. Ahli keluarga serta rakan taulan perlu membantu dan menyokong usaha mereka untuk berhenti merokok.

Perluasan kawasan larangan merokok merupakan salah satu daripada strategi untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang sihat dan bebas daripada amalan merokok. Tindakan bersepadu daripada pelbagai kementerian, agensi, masyarakat dan individu perlu dikerah untuk merealisasikan agenda tersebut. Ia harus dipacu di semua peringkat secara proaktif dan berterusan.

Peranan NGO
Badan bukan kerajaan (NGO) perlu terlibat secara langsung untuk memperkasakan masyarakat mengenai isu berkaitan kesan tembakau dan produk tembakau terhadap kesihatan. Setiap NGO mempunyai kumpulan sasar, kemampuan serta kepakaran masing-masing. Pendidikan kesihatan melalui kempen media, siri ceramah berfokus di sekolah dan universiti, menganjurkan kempen anti tembakau seperti riadah berbasikal atau pertandingan video serta aktiviti out-reach dapat membantu pihak KKM melaksanakan advokasi. Sokongan sedemikian amat diperlukan dalam usaha mencegah budaya merokok dari berleluasa di Malaysia.

Dr. Ahmad Farid Nazmi Bin Abdul Halim
Ketua Unit Kawalan Rokok &Vape
Ikatan Pengamal Perubatan & Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik)

Read article