MENU

Comments (0) Misi Bantuan

Bantuan Perubatan di Pekan, Pahang

1 2 3

4 5 6

 

 

Pasukan perubatan I-Medik hari ini terdiri daripada saya, Dr Husna dari Pekan, dan Dr Maizatul, Dr Nahdia serta Dr Hakimah dari Hospital Temerloh. Kami juga dibantu oleh mahasiswi UMP dan UIA iaitu Atiqah, Jalilah, Ria, Liya, Nia, Syazana, Syahira, Asma’, dan beberapa akhwat lain.

Hari ini dalam misi bantuan pasca banji di Pekan, semasa berjumpa pesakit di SK Tanah Puteh di Pekan, sempat berbual dengan salah seorang mangsa iaitu Puan A.

Setelah dilakukan pemeriksaan, didapati tekanan darah Puan A agak tinggi iaitu 212/118. Setelah diberikan rehat sebentar dan diperiksa semula, tekanan darahnya masih tinggi. Beliau sebenarnya membuat rawatan susulan di klinik kesihatan untuk penyakit darah tinggi. Kami memberinya surat rujukan untuk pergi ke hospital Pekan, namun beliau enggan. Tetapi selepas dipujuk, dia bersetuju untuk pergi kemudian.

Kami pun bertanyakan tentang rumahnya dan keluarganya. Sambil mengeluarkan air mata, beliau menceritakan tentang kehidupannya yang susah, suami cuma penoreh getah, anaknya baru bersalin dan rumahnya dinaiki air. Dia pun sudah beberapa hari tidak tidur. Mungkin ini antara sebab-sebab tekanan darahnya naik.

Kami menasihatinya agar bersabar dan redha dengan ketentuan Allah serta melihat kepada orang lain yang lebih berat ujiannya seperti di Kelantan yang kehilangan segalanya.

Tugas sebagai doktor ini mulia di sisi Allah tetapi kita perlu lebih peka dengan keadaan pesakit. Luangkan masa untuk bertanya latarbelakang kehidupannya dan keluarganya. Jadi pendengar yang baik. Mungkin dengan ini kita dapat menenangkan jiwanya dan mengurangkan tekanan hidupnya. Hulurkan sumbangan jika dia tiada cukup duit sebagai tambang balik rumah dan sebagainya.

Tugas kita bukan cukup memeriksa dan memberi ubat tetapi juga mengambil peduli tentang dirinya dan keluarganya dan mungkin kita akan mendapat pesakit yang mendengar kata dan ‘compliant’ dengan ubat.

Setelah sesi di SK Tanah Puteh, kami pergi pula ‘home visit’ ke Kg Ubai untuk melihat pesakit-pesakit yang sudah uzur yang susah untuk keluar dari rumah. Kami membuat pemeriksaan dan memberikan ubat-ubatan serta berbual-bual dengan mereka.

Akhirnya, setelah makan tengahari di rumah salah seorang pesakit yang diziarah yang telah memberikan layanan yang istimewa iaitu Encik Zulkifli Abdul Rahman, isteri Puan Saadiah Baharin, ibunya Puan Jah dan keluarga mereka, kami pun bertolak pulang.

Leave a Reply