BERKENALAN DENGAN KANSER (SIRI 1)

Tak kenal maka tak cinta. Pepatah alasan yang biasanya digunakan bagi remaja yang terpikat dengan kenalan. Tujuan untuk mengenal hati budi sebagai panduan halatuju perhubungan. Begitu juga dengan penyakit kanser, sekiranya kita tidak kenal maka banyaklah teori yang digunapakai bagi menjustifikasi sesuatu tindakan yang kadangkala tidak tepat dalam memahami penyakit apatah lagi dalam pemilihan rawatan.

Kanser merupakan satu penyakit yang amat ditakuti semua lapisan masyarakat. Ianya dikaitkan dengan segala perkara negatif termasuklah putus harapan dan kematian hinggalah ada ungkapan seperti kanser dalam masyarakat yang membawa makna negatif kepada yang dituju.

Apa dia penyakit kanser?
Kanser merupakan satu penyakit ketumbuhan yang mana asal selnya adalah dari sel host badan itu sendiri. Sebagai contohnya, kanser payudara berpunca dari sel payudara. Juga kanser usus adalah berpunca dari sel-sel usus dan bukannya dari sel luaran, virus, bakteria atau kuman apatah lagi “buatan orang”. Sel-sel host badan ini menjalani proses mutasi akibat dari kerosakan sel yang berterusan.

Pada fitrahnya, Allah s.w.t. telah menjadikan perkembangan sel organ atau badan kita dikawal selia oleh dua faktor genetik yang saling mengimbangi pertumbuhan sel iaitu “Oncogene” (pemangkin pertumbuhan) atau “Tumour Supressor gene” (pembantut pertumbuhan). Dalam keseimbangan fungsi, kedua dua faktor ini mejadikan sel-sel tumbuh secara normal dan teratur. Tanpa keseimbangan, ini akan mengakibatkan pertumbuhan sel secara tidak normal hingga mampu melakukan kerosakan kepada sel-sel lain yang dinamakan kanser.

Dengan adanya faktor kerosakan sel yang berterusan yang tidak dibaiki dengan betul kerana faktor host badan yang kekurangkan pertahanan badan dan pembaikian sel-sel yang rosak disebabkan kerosakan yang berterusan dari racun dalam rokok, bahan kimia dalam persekitaran, udara atau makanan dan kekurangan daya pertahanan badan seperti penyakit kencing manis atau daya ketahanan penyakit yang lemah. Ini akan mengakibatkan sel-sel yang rosak tersebut akan terus berkembang dalam kerosakan seterusnya menjadi sel-sel kanser.

Selagi kerosakan sel tidak dibaiki serta sel-sel yang rosak tidak dibuang atau dibunuh maka sel-sel ini akan terus berkembang melakukan kerosakan kepada sel-sel sekelilingnya malah mempengaruhi sel-sel sekelilingnya memberontak dan bertukar menjadi sel kanser. Sel-sel kanser ini tidak lagi akan mengikut arahan perancangan ‘CPU’ utama yang mengawal pertumbuhan normal sel. Maka membiaklah sel-sel kanser ini.

Apakah keperluan pertumbuhan sel kanser?
Oleh kerana pada asasnya sel-sel kanser merupakan berpunca dari sel-sel host badan maka keperluan pertumbuhan sel-sel kanser adalah sama dengan sel-sel normal kita.

Sel badan kita memerlukan Oksigen, nutrient minerals termasuklah amino asid dan glukosa atau gula untuk hidup dan berkembang. Maka inilah juga keperluan sel-sel kanser. Memotong bekalan keperluan sel-sel kanser ini akan juga akan memotong bekalan kepada sel normal badan. Malah, sel-sel kanser adakalanya akan menggunakan resource ini lebih banyak dan cepat dari sel-normal badan. Ini akan mengakibatkan host badan akan lemah akibat kekurangan nutrisi kepada sel normal badan. Sebagai contohnya, sekiranya pesakit kanser meletakkan glukosa atau gula sebagai makanan kanser dan berpantang denganya, ini akan mengakibatkan badan semakin lemah akibat kekurangan glukosa atau gula kepada sel yang normal. Sehingga badan yang kehabisan glukosa akan memecahkan lemak serta otot (protein) kepada gula. Proses ini dinamakan katabolik state. Ini adalah tidak baik untuk pesakit.

Maka bagaimanakah untuk melawan kanser?
Cara yang terbaik secara tradisinya ialah dengan membuang ketumbuhan tersebut. Ini bagi membolehkan kesemua sel-sel kanser dapat dijauhkan dari sel-sel normal sekeliling bagi menghindarkan ianya dipengaruhi sel kanser untuk ditukar menjadi sel-sel kanser. Inilah yang dinamakan pembedahan.

Cara yang kedua ialah dengan memberi ubat yang membunuh sel-sel kanser. Ianya lebih dikenali sebagai ‘Kemoterapi’. Ianya mampu membantu dalam perawatan kanser.

Cara seterusnya ialah dengan memberi rawatan X-ray atau dikenali juga dengan Radioterapi. Ianya satu pancaran X yang bervoltage tinggi dari 6 MegaVoltage hingga 23 MegaVoltage. Rawatan sokongan seperti terapi hormon dan terapi biologikal mampu memberi penambahbaikan dalam perawatan kanser.

Pemilihan rawatan adalah bergantung kepada beberapa perkara yang pada asasnya dari sudut umur, kesihatan keseluruhan, status kecergasan, persediaan pesakit serta yang paling utama jenis-jenis serta risiko setiap bahagian kanser mengikut kategori tersendiri. Ini memerlukan huraian dan perbincangan yang lebih detail dari Pakar onkologi.

Rawatan alternatif / komplimentari
Rawatan alternatif banyak mempengaruhi pesakit hanya kerana menjanjikan zero kesan sampingan dan testimonial kemujaraban rawatan yang dicuba. Walaubagaimanapun perlu dingat beberapa perkara fakta berkenaan perawatan alternatif:

  1. Tahap pembuktian kemujaraban rawatan hanyalah pada testimonial terpilih dan bukannya dari kajian saintifik secara sistem rawak bagi mengelakkan faktor lain dalam mempengaruhi hasil kajian. Sedangkan rawatan konvensional moden memerlukan bukti saintifik atas kajian bertahun tahun sebelum dibenarkan dalam pasaran.
  2. Tempoh sesuatu produk dari berjumpanya bahan dengan kajian serta berada dalam pasaran adalah singkat menjadikan kesan kemujarabannya belum dinilai dengan masa dari sudut kesan jangka panjang. Sedangkan perubatan moden memerlukan jangkamasa sehingga 5 hingga 20 tahun sebelum dipasarkan kerana menantikan laporan penuh kesan rawatan dari segi kesan jangka pendek serta jangka panjang.
  3. Diluluskan KKM sebagai makanan tambahan bagi mengelakkan dari memberi bukti sebenar kemujaraban sekiranya hendak didaftarkan sebagai ubat farmaceutikal.
  4. Tahap kilang GMP hanyalah menggambarkan kilang itu bersih dan selamat, BUKANNYA bermakna rawatan berkesan.
  5. Peruntukan perundangan yang longgar bagi mempertanggungjawabkan pengamal perubatan alternatif sekiranya rawatan tidak berkesan. Sedangkan pengamal perubatan moden di hospital tertakluk kepada akta perubatan yang mana setiap kecuaian boleh didakwa.
  6. Rawatan alternatif kebiasaannya mengikut musim dan tidak kekal.
  7. Penjelasan perawat alternatif tentang fisiologi badan yang salah dan tidak selari dari fisiologi asal kejadian Allah s.w.t. yang telah dibuktikan dengan sains. Sebagai contohnya:
    1. DNA manusia tidak sekali kali sama dengan DNA tumbuhan seperti juga stem cell manusia tidak sama dengan stem cell tumbuhan. Maka, mana mungkin stem cell tumbuhan seperti epal boleh membaiki dan menggantikan stem cell manusia. Apa yang terjadi hanyalah menggantikan khasiat dan kebaikan makan buah epal yang mahal.
    2. Dalam badan manusia Allah s.w.t. telah membuat semua sistem dalam keseimbangan dengan tugas dan tujuan tertentu. Sebagai contohnya dalam perut perlu suasana berasid untuk mencerna makanan. Maka, setiap makanan dan minuman yang masuk dalam apa keadaan serta ph sekalipun akan ditukar oleh sistem asid dalam perut agar berasid. Minuman atau makanan beralkali juga akan ditukar kepada berasid apabila sampai diperut. Sekiranya persekitaran dalam perut beralkali ia akan memberi risiko kepada ketumbuhan/kanser perut.
    3. Perjalanan darah dalam sistem kardiovaskular sentiasa berlaku dan lancar. Sekiranya tidak lancar, akan berlaku “turbulence” atau gelombang arus yang boleh mengakibatkan darah beku dan seterusnya mengakibatkan ischaemia (sel kekurangan darah dan mati). Proses ini tidak lama dan pesakit mempunyai symptom yang serius. Kelancaran darah boleh dibantu apabila kepekatan darah minima.

Penutup
Adalah penting setiap individu terutamanya pesakit dan ahli keluarga pesakit memahami akan apakah kanser dan cara-cara mengatasi serta merawatnya sebelum membuat keputusan atas perawatannya.

Setiap penyakit ada ubatnya Insyallah dan segala penyakit dan penyembuh hanyalah dari Allah s.w.t.. Namun Rasulullah s.a.w. menyuruh kita berusaha berubat dengan cara yang betul yang terbukti keberkesanannya. Itulah konsep usaha, doa dan tawakal.

Insyaallah siri 2 akan menyusul dengan perbincangan dengan lebih detail.

Wallahua’lam.


Dr. Wan Mohd Nazri B. Wan Zainon
Ko-Ordinator Klinikal
Klinikal Onkologi
Hospital USM, Kubang Kerian, Kelantan.
Aktivis I-Medik Kelantan

1 thought on “BERKENALAN DENGAN KANSER (SIRI 1)”

  1. Pingback: Berkenalan Dengan Kanser (Siri 1) | I-Medik Kelantan

Leave a Comment