Berpuasa dan Pesakit Jantung

Ramai pesakit saya di klinik jantung bertanyakan sama ada mereka boleh berpuasa di bulan Ramadhan atau tidak. Tiada jawapan semudah ya atau tidak untuk soalan ini. Ini kerana kebanyakkan pesakit jantung turut menghidap penyakit-penyakit lain seperti penyakit kencing manis, darah tinggi dan kadar kolesterol yang tinggi.

Bagi kebanyakkan pesakit jantung mereka adalah digalakkan untuk berpuasa di bulan Ramadhan. Terdapat beberapa kajian saintifik yang menunjukkan bahawa berpuasa di bulan Ramadhan dapat memberikan banyak faedah yang baik kepada pesakit jantung dan mampu mengurangkan risiko mendapat serangan jantung. Di sini saya kongsikan beberapa panduan dan tip-tip kepada pesakit jantung.

 

  1. Teruskan pengambilan ubat-ubatan anda, sekiranya ada ubat yang perlu dimakan dua atau tiga kali sehari, jarakkan masa pengambilan ubat. Sebagai contoh, ambil ubat Ketika berbuka dan bersahur atau Ketika moreh. Saya juga mencadangkan kepada kawan-kawan doktor untuk menukarkan ubat-ubat untuk pesakit jantung kepada sehari sekali dan kebanyakkan ubat-ubat untuk pesakit jantung boleh diambil secara sekali sehari.
  2. Bagi pesakit yang perlu mengawal jumlah pengambilan air, elakkan minum dalam kuantiti secara tiba-tiba Ketika berbuka. Jika mereka merasa terlalu dahaga saya galakkan mereka untuk mengambil seketul ais dan diletakkan di dalam mulut dan biarkan ais mencair di dalam mulut untuk menghilangkan dahaga setelah seharian berpuasa.
  3. Sepanjang Ramadhan, selalunya banyak majlis berbuka puasa. Bagi pesakit jantung terutamanya yang menghidap lemah jantung, saya nasihatkan untuk berhati-hati memilih makanan yang dihidangkan. Pilih makanan yang kurang kandungan garam. Kandungan garam yang tinggi akan menyebabkan pengumpulan air didalam badan dan turut menyebabkan rasa dahaga yang berlebihan dan seterusnya membuatkan pesakit cenderung untuk minum dalam kuantiti yang lebih banyak.
  4. Merokok merupakan faktor utama yang menyebabkan penyakit jantung koronari. Saya harap pesakit-pesakit jantung yang masih merokok dapat mengambil peluang puasa Ramadhan untuk cuba membuang tabiat merokok.

 

Di harap perkongsian saya pada hari ini dapat membantu sedikit sebanyak kepada pesakit-pesakit jantung untuk sama-sama mengimarahkan bulan Ramadhan pada tahun ini dan tahun-tahun yang mendatang. InsyaAllah.

 

oleh:
Dr Mohd Al-Baqlish bin Mohd Firdaus
Pakar Perubatan Dalaman, Pensyarah Perubatan UIAM,
Felo Kardiologi (KKM)

Leave a Comment