MENU

Comments (0) Info Sihat

Bukan Sekadar Dengkur (Bhgn. 2)

“Sila masuk, encik,”  ujar Dr. Zek

“Macam mana keputusan Ujian Tidur saya tu, Doktor?” Tanya encik Hasbullah penuh kerisauan.

“Sat naa.. Oh ya, berdasarkan Ujian Tidur encik, nisbah berat badan kepada tinggi atau BMI encik adalah 41. Indek apnoea/hyponia adalah 20, baseline saturasi oksigen adalah 95% dan minima saturasi adalah 90%. Berdasar catatan ini 95% kejatuhan saturation adalah disebabkan oleh faktor obstruksi di salur pernafasan,” jawab Dr. Zek sambil melihat kertas di depannya.

“Err.. Doktor, apa maknanya? Boleh terangkan dalam bahasa yang boleh saya faham?”

“Maknanya encik Hasbullah didiagnosa dengan penyakit Obstructive Sleep Apnoea pada tahap sederhana atau moderate. Semasa encik tidur, salur pernafasan encik mengecil dan tertutup. Itu yang menyebabkan encik berdengkur”.

“Tetapi dengkur encik bukan sekadar dengkur biasa,” Dr. Zek cuba menerangnya dalam bahasa mudah.

“Dengkur ni biasa berlaku terutama dalam kalangan lelaki. Pada umur 30 tahun, purata 30% lelaki berdengkur dan pada umur 60 tahun, 60% lelaki berdengkur. Kiranya dengkur ni macam simbol kelelakianlah begitu.”

Tersengih. Bangga sekejap encik Hasbullah mendengarnya, dan kemudian dia menunjukkan enkuirinya semula.

“Eh, perempuan tak dengkur ke? Saya dengar isteri saya pun dengkur juga, cumanya tak teruklah, Doktor,” Encik Hasbullah mempersoalkan pula.

“Perempuan pun boleh berdengkur juga, cuma peratusannya kurang dari lelaki. Biasanya pesakit-pesakit saya, bila suami berdengkur isteri OK saja, tetapi bila isteri berdengkur suaminya datang mengadu kat saya,” seloroh Dr. Zek memberi sedikit jelingan mata kepada pesakitnya itu.

“Betullah, Doktor. Isteri saya tak adalah pula mengamuk kat saya kata dia tak boleh tidur. Tapi dia kesian kat saya yang tiba-tiba tercungap-cungap semasa tidur. Katanya dia nampak saya susah bernafas macam NAK MATI. Saya tak perasan pun masa tidur tapi bangun pagi memang rasa kering tekak dan letih.”

“Hah, itulah bezanya dengan orang yang mengalami habitual snoring – dengkur biasa dengan sleep apnoea syndrome ni. Pada masa tu oksigen ke otak berkurangan menyebabkan pesakit akan kerap terjaga.”

“Doktor, apa rawatan penyakit ni?” tanya encik Hasbullah.

“Setiap penyakit ada ubatnya.  Rawatan sleep apnoea ini terbahagi kepada dua; sama ada secara perubatan atau pembedahan. Pembedahan boleh dilakukan kepada setengah pesakit yang sesuai. Tapi saya merasakan kadar kejayaan dalam kes encik ni agak rendah. BMI lebih 40, biasanya kita tak bedah dah. Lagipun risiko pembedahan agak tinggi. Jika nak buat juga, kena ‘standby’ katil di Unit Rawatan Rapi atau ICU.”

“Hah? Macam tu sekali risikonya?!” Terkejut encik Hasbullah.

“Ya, risikonya memang tinggi. Pesakit boleh berhenti bernafas selepas pembedahan. BAHAYA TU. Jika BMI tak terlalu tinggi, pembedahan adalah satu pilihan yang boleh difikirkan.”

“Dah tu, apa pilihan yang ada pada saya?”

“Rawatan yang lain adalah encik guna satu alat semasa tidur. Alat ni namanya mesin CPAP. Mesin ini akan berikan bekalan oksigen semasa tidur dan membuka saluran pernafasan. Tapi encik kena pakai tiap-tiap hari masa nak tidur,” jelas Dr. Zek.

“Oh, leceh la macam ni, doktor. Rasanya tak larat saya nak guna tiap-tiap hari. Hospital kerajaan berikan percuma alat ni?”

“Tak, kerajaan tak berikan alat ni. Harganya mahal. Satu unit mencecah 7 hingga 8 ribu ringgit. Pesakit kena bayar sendiri, cumanya kami boleh membantu dapatkan pembekalnya. Jika pekerja kerajaan, boleh usahakan bayaran balik dari pihak kerajaan.”

“Tak mampu saya, Doktor. Saya kerja swasta. Gaji pun kecil.”

Mengeluh. Termenung pesakit itu seketika.

“Beginilah encik Hasbullah, asas kepada rawatan penyakit encik Hasbullah ni terletak kepada encik sendiri. Encik mesti cuba sedaya upaya mengurangkan berat badan, tukar corak pemakanan dan sentiasa bersenam. Saya akan rujuk encik untuk berjumpa dengan pegawai pemakanan untuk dapatkan nasihat. Tetapi encik sendiri bertanggungjawab terhadap kesihatan encik.”

“Semangat kena selalu kuat, tak mahu jadi macam yo-yo. Perlu berterusan! Jika encik boleh kurang berat badan secara konsisten, masalah encik boleh berkurangan dan mungkin terus hilang tanpa rawatan perubatan atau pembedahan,” jelas Dr. Zek.

“Baik doktor, saya akan cuba dengan segenap kudrat yang ada.”

“Jangan lupa, rokok tu kena berhenti ya?” celah Dr. Zek.

“… baiklah.” Encik Hasbullah tunduk, matanya mencuri pandang pegawai perubatan di hadapannya.

* * * * *

Beberapa bulan selepas tarikh tersebut, Dr. Zek seperti kebiasaannya meluangkan masa hujung minggu beriadah di Taman Rimba Bara. Cuma hari ini dia mengikuti trail yang melalui sebuah taman kanak-kanak. Ramai orang yang sama-sama beriadah dengan ahli keluarga. Tiba-tiba telinganya menangkap suara yang memanggil namanya.

“Dr. Zek.. Dr. Zek!”

Dr. Zek memalingkan kepala ke belakang.

“Dr Zek kan? Kenal saya lagi?”

“Rasa macam pernah jumpa. Pernah datang konsultasi dengan saya ya? Pesakit saya ramai. Biasa saya cam mukanya saja, tapi nama dah lupa. Nama encik siapa ye?” Jawab Dr. Zek sambil menggaru kepala yang tidak gatal.

“Sayalah Hasbullah yang dulu mengidap OSA tu!”

Dr. Zek samar-samar teringat kisah pesakitnya ini, dan perkataan DULU itu seperti membawa khabar gembira buatnya.

“Oh, encik Hasbullah ke ni? Lain sangat rupanya. Nampak berbeza. Saya macam ingat-ingat lupa tadi. Tapi tak berani nak tegur sebab tak ingat jumpa di mana.”

“Saya dah kurus, Doktor! Saya bersungguh-sungguh ikut nasihat doktor. Isteri saya kata saya sekarang dah tak berdengkur dan tercungap-cungap semasa tidur seperti dulu. Tak pekena teh tarik, roti canai kat kedai mamak tengah malam dah. BMI saya pun dah bawah 30. Bangun pagi dah tak letih. Rasa dah jadi orang baru yang lebih cergas dan bertenaga. Terima kasih, Doktor. Saya betul-betul ikut nasihat yang doktor berikan hari tu. Susah juga mulanya, tapi keluarga saya memberi sokongan. Kehidupan saya dah semakin ceria. Isteri saya pun semakin sayang kepada saya,” bersinar-sinar mata encik Hasbullah memberitahu Dr. Zek.

Senyum Dr. Zek… Alhamdulillah…

TAMAT

 

*nama pesakit dan doktor hanyalah rekaan semata-mata dan bukan nama sebenar

 

Dr Zulkifli b Yusof
Ketua Jabatan dan Konsultan
Jabatan Otorinolaringologi
Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar 

Leave a Reply