MENU

Comments (0) Misi Bantuan

Misi Perubatan ke Kg. Bungan Kecil, Matu

31 Mac 2018, Mukah – Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia atau singkatannya I-Medik cawangan Sarawak telah berjaya menganjurkan Misi Perubatan dan Kemanusiaan I-Medik yang ke-22 pada 24 hingga 25 Mac 2018, sejak dilancarkan pada tahun 2016 lepas.

Misi kali ini disertai gabungan beberapa NGO sperti Yayasan Ikhlas, Urusetia Saudara Kita (USK), dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM). Turut bersama-sama menjayakan misi adalah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS).

Perjalanan misi bermula di Kuching di mana sukarelawan I-Medik bertolak menaiki pacuan empat roda klinik bergerak I-Medik yang mengambil masa tujuh jam untuk sampai ke jeti bot di bandar Sibu. Perjalanan disambung dengan menaiki bot selama satu jam menyelusuri sungai Rejang dan sungai Igan untuk sampai ke Kampung Bungan Kecil.

Seramai lebih kurang 40 orang penduduk Kampung Bungan Kecil di daerah Matu, Mukah telah mendapat khidmat pemeriksaan kesihatan dan bentuan ubat-ubatan secara percuma dalam misi tersebut. Penduduk yang majoritinya berbangsa Melanau berasa sangat bersyukur dan gembira dengan kehadiran I-Medik Sarawak dan gabungan NGO kerana telah meringankan beban mereka untuk melakukan pemeriksaan kesihatan. Secara kebiasaanya, masyarakat kampung perlu menaiki bot selama dua jam untuk sampai ke hospital terdekat dan secara purata menelan kos sebanyak RM50.

Menurut ketua misi, yang juga Pengerusi I-Medik Sarawak, Dr. Mohd. Naqib b. Ahmad Napis, misi kali ini bukan sahaja memenuhi keperluan kesihatan masyarakat di daerah pedalaman, namun I-Medik juga menyediakan aktiviti berbentuk pendidikan kepada kanak-kanak, bantuan wang tunai, bantuan keperluan Muslim seperti al-Quran dan barang keperluan harian.

“I-Medik bukan sahaja merawat, tetapi kita juga memberikan pendidikan agar masyarakat faham dan mengambil langkah pencegahan daripada penyakit, terutama sekali penyakit tidak berjangkit seperti darah tinggi, kencing manis dan tinggi kolestrol,” ujarnya kepada wartawan I-Medik.

Misi seterusnya akan dilaksanakan pada 14 dan 15 April 2018 di lokasi yang akan ditentukan oleh jawatankuasa pengurusan misi perubatan dan kemanusiaan I-Medik Sarawak.

RN Rasheedan Ellin
I-Medik Sarawak

Salurkan sumbangan anda melalui atas talian: bit.ly/kamekprihatin

Leave a Reply