MENU

Comments (0) Misi Bantuan

Catatan hari ke 2 Misi Bantuan Banjir I-Medik Pahang

Alhamdulillah dapat tidur nyenyak juga walaupun beberapa jam. Seterusnya sarapan di kedai makan di Pasir Hor. Makan nasi kerabu, budu (wajib kalau di Kelantan), dan ayam goreng.
Hari ini misi bantuan diteruskan ke Dabung dan Kemubu. Bertolak pukul 11.30 pagi, sampai Dabong pukul 1.50 tengahari, terus ke Kemubu. Hujan turun agak lebat. Pada hari ini, kami dipandu oleh Ustaz Abdul Rahman, Ustaz Hadi, Cikgu Salahuddin dan sukarelawan Mohd Zulfadhli.
Jalan berlumpur dan agak sempit sebab banyak pokok tumbang dan dawai elektrik terputus dan jatuh ke jalan mengganggu perjalanan. Ada pembersihan kawasan berlaku juga untuk memudahkan laluan. Lumpur setinggi 3/4 inci dan ada tempat yang setinggi 12 inci berjaya diketepikan. Pokok terputus daripada akarnya dan jatuh ke atas rumah.
MasyaAllah betullah yang dikatakan seperti mini tsunami yang melanda. Kesan-kesan air banjir melitupi rumah melebihi paras bumbung jelas kelihatan.

1 2

3 4 5

6 8 9 11 12 13 14 15 16. 17  19


Nampak banyak pihak yang datang membantu, barang-barang keperluan banyak diagihkan, dari segi material dan kebendaan banyak yang dipenuhi. Cumanya bila dilihat dengan lebih mendalam lagi, masih ramai yang tak tutup aurat, masih ramai tak pedulikan solat dan masih ramai yang tak patuhi hukum Allah. Maknanya ramai tak sedar akan kaitan musibah ini dengan kemurkaan Allah swt.
Mungkin ini yang perlu kita titikberatkan, kaunseling dan pengisian kerohanian dari segi pemahaman agama, pemikiran dan perubahan gaya hidup. Perlunya ada sesi susulan dan personal follow up dengan keluarga-keluarga yang terlibat.
Selanjutnya misi ke Kemubu dulu, tetapi kerana sudah ada team doktor KKM di sana, maka kami pun ke Kampung Dabung dan membuat klinik bergerak di Masjid Kg Dabung yang juga ditenggelami air banjir dan berlumpur dari pukul 3 hingga 5.30 petang.
Kami telah memeriksa lebih kurang 20 pesakit yang pelbagai penyakit seperti kulat air, eczema, batuk dan selesema serta penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi. Rata-rata mereka berpuas hati dan bersyukur dengan kehadiran kami.
Lawatan ke Manek Urai
Manek Urai merupakan ground zero semasa banjir. Ustaz Hadi membawa kami melawat tempat ini pada pukul 6.30 petang. Kemusnahan total, baju-baju bertaburan atas jambatan, tunggul-tunggul pokok terperosok di jambatan, kereta-kereta rosak, dan ramainya orang yang datang melihat sendiri dari serata Malaysia.
Di perkampungan Manek Urai Lama pula, sampah sarap berlonggokan, perabut-perabut yang rosak berkumpul setingginya, sekolah, rumah dan bangunan musnah teruk, seolah-olah, Allah telah menghantar seluruh tenteraNYA untuk mengingatkan kita akan keagungan dan kebesaranNYA.
Allah berfirman yang bermaksud,

“Hanya sesungguhnya keadaan Allah Taala, apabila mengkehendaki menjadikan ia akan sesuatu bahawa berkata Ia, baginya ‘Jadilah, maka jadilah ia.”

(Surah Yasin 36: 82)
Kami sempat singgah ke Stesen Keretapi Manek Urai. Jalan keretapi masih elok, cuma banyak bangunan di sekelilingnya musnah, atap sudah tiada dan ada yang terbalik. Di sini kami makan malam bersama-sama nasi dan lauk yang telah dibeli semasa sarapan tadi. Tidak sempat makan tengahari, terus campur lunch n dinner.
Semasa hendak keluar dari stesen keretapi, kami melihat ramai yang tidur dalam khemah sebab rumah-rumah mereka sudah hilang dan tiada lagi tempat berteduh, maka kami pun berhenti untuk berikan makanan, dan barang-barang keperluan harian.
Dalam perjalanan merentasi jambatan di Manek Urai, kami berhenti sekejap dan dikunjungi beberapa orang yang meminta ubat-ubatan. Kami pun memberikannya di samping menghulurkan mainan, sejadah, sleeping bag dan khemah dan apa sahaja yang dipinta.
Pukul 9 malam, barulah dapat kami bergerak ke Kota Bharu dan sampai di bandar Kota Bharu pada pukul 11 malam.

Kesimpulan yang boleh saya ambil:

1. Setiap sesuatu itu datang dari Allah dan akan kembali kepada Allah
2. Setiap musibah yang berlaku pasti ada hikmahnya, cuma kita perlu bersabar dan tabah menghadapinya dengan harapan Allah akan kurniakan rahmat dan kasih sayangNYA di akhirat nanti
3. Kita perlu giatkan dan rancakkan lagi usaha-usaha tarbiyah dan dakwah kita agar dapat mengesani masyarakat dan kembalikan mereka kepada jalan Allah yang benar
4. Kita sendiri perlu dekatkan diri kita dengan Allah swt dengan memperbanyakkan lagi amal dan ibadah.
5. Perbanyakkan amal-amal atau kerja-kerja dengan masyarakat agar kita mendapat kepercayaan masyarakat
6. Setiap kerja yang dilakukan dengan niat yang ikhlas pasti akan diganjari kehidupan duniawi dan ukhrawi insyaAllah
Perkara-perkara yang perlu dilakukan pasca banjir:-
1. Kumpulan-kumpulan pembersihan perlu segera hadir untuk beri bantuan samada NGO atau kerajaan kerana ramai yang tak dapat duduk dalam rumah mereka disebabkan banyaknya lumpur
2. Kerajaan pusat dan negeri atau syarikat swasta perlu segera dirikan rumah-rumah sementara buat penduduk yang terjejas banjir di samping menyediakan keperluan asas seperti air dan elektrik sesegera mungkin
3. Tandas-tandas sementara juga perlu disediakan untuk kegunaan mangsa-mangsa banjir untuk mengelak penyakit berjangkit
4. Sampah sarap dan barangan yang musnah perlu dibuang dan dihapuskan segera untuk mengelakkan penyakit berjangkit seperti denggi, leptospirosis, kolera dan lain-lain.
5. Jabatan Kesihatan Negeri atau NGO perlu bekerjasama memberi penerangan pada mangsa-mangsa banjir akan kemudaratan banjir dan kesan-kesannya serta cara pencegahan penyakit
6. Sukarelawan banjir perlu memakai topeng muka atau facial mask dan sarung tangan apabila membuat kerja di lapangan untuk mengelak debu dan terkena penyakit berjangkit
Diharap agar catatan dan tips ini dapat membantu kita menjalankan tugas bantuan dengan lebih sempurna dan dengan itu mendapat ganjaran Allah semaksima mungkin insyaAllah.

Dr Norzila Baharin

Leave a Reply