MENU

Comments (0) Misi Bantuan

Catatan Hari Ketiga Misi Perubatan I-Medik Pahang

Selepas menikmati sarapan nasi kerabu dan roti jala, kami pun meneruskan perjalanan pada pukul 10 pagi. Ini merupakan hari terakhir misi bantuan kami ke Kelantan.

Kali ini kami diiringi Dr Mohd Syahmi dan isteri Dr Nur Atiqah Zakaria, dua orang graduan Alexandria Universiti yang sedang menunggu HO posting.
Kami teruskan misi kami ke Manek Urai juga pada hari terakhir ini dan kami mulakan klinik bergerak di sebuah rumah yang telah runtuh tetapi penghuninya masih tinggal di situ berbumbungkan kanopi, berkerusi plastik dan sebuah meja kecil. Kedai roti dan rumahnya musnah. Beberapa orang penduduk datang mendapatkan pemeriksaan dan rawatan.
Seterusnya ke stesen keretapi Manek Urai, dan terdapat beberapa orang yang datang meminta ubat. Malangnya, kami tidak dapat nak periksa pesakit sangat kerana hujan turun agak lebat.
Kemudian, kami berhenti solat di masjid berdekatan yang berlumpur dan dalam proses pembersihan oleh warga DBKL. Masjid ini dikatakan dipenuhi air melimpahi bumbung. Di sini kami dikunjungi oleh beberapa orang pesakit yang ingin meminta ubat-ubatan mereka amat menghargai kedatangan kami dan ramai yang mendoakan keselamatan kami. Di sini jugalah kami berjumpa En Rahman. Beliau membawa kami ke rumahnya.
Encik Rahman dan Puan Rahimah telah lama duduk di Manek Urai Lama, alhamdulillah rumah mereka selamat walaupun dinaiki air setinggi bumbung.
En Rahman dan anak perempuannya duduk di atas bumbung selama 15 jam semasa air naik daripada pukul 8 malam sehingga 11 pagi pada 23 hb hingga 24 hb Disember 2014.
Isterinya telah terlebih dahulu diselamatkan oleh pihak Bomba dengan menaiki bot. Dia sendiri nampak semua rumah runtuh dihanyutkan air, lembu dan kambing mati terapung dalam air dan orang ramai berpusu-pusu menyelamatkan diri. Arus air sangat laju pada masa itu dan dia merasakan bahawa dia dan anaknya akan mati. Dia hanya mampu berzikir dan sambil menangis berpelukan dengan anaknya. Allah sahaja yang tahu perasaannya pada waktu itu. Alhamdulillah dengan izin Allah, ada orang kampungnya datang selamatkan dia dengan bot juga pada keesokan harinya.
Mek Embong, 66 tahun dan suaminya Mat Nor, 86 tahun sedang berada dalam rumah mereka apabila air tiba-tiba naik dengan cepat pada malam 23 hb Disember. Alhamdulillah anak lelakinya yang ketika itu datang ke rumahnya dapat menyelamatkan mereka dengan mendukung mereka hingga ke atas bukit. Pasangan warga emas ini yang keluar di akhbar METRO duduk di hadapan tangga rumah mereka. Rumah mereka hancur musnah kecuali tangga dan tandas yang masih utuh.
Pasangan ini berteduh di bawah kanopi bercahayakan lilin kerana menunggu sumbangan orang ramai. Bekalan air telah disambung semula, cuma bekalan eletrik yang masih putus.
Di akhir perjalanan 3 hari kami, kami dijamu dengan roti arab dan lauk tuna dan sardin yang telah dibuat khas oleh Ustaz Hadi dan ikhwah I-Guru lain yang datang dari Perak dan Negeri Sembilan termasuk Ustaz Agus dan Ustaz Azizee membantu masyarakat di Kelantan. Sungguh enak hidangan roti Arab yang panas di waktu musim hujan yang sejuk. Ramai juga orang kampung termasuk kanak-kanak yang mengunjungi khemah mereka untuk merasai roti Arab.
Selain itu, kami juga bertemu dengan seorang gadis berumur 21 tahun yang dikenali sebagai Linda. Linda memberitahu yang rumahnya hancur dihanyutkan air dan sekarang menumpang di rumah emak saudaranya. Linda telah meminta senaskhah Al-Quran sebagai teman di kala kesukaran dan kekusutan dan rasa tidak selesa kerana telah lama tidak membaca Al-Quran. Alhamdulillah, Puan Rohana, AJK Biro Wanita ISMA Kuantan dan sukarelawan I-Medik telah dapat menunaikan hajatnya.
Kami bertolak pulang ke Kuantan pada pukul 11 malam dari Kota Bharu dan baru sahaja sampai ke rumah pukul 5 pagi tadi alhamdulillah.
Banyak lagi kisah sedih, duka dan penuh pengajaran yang tidak sempat dinukilkan.
1 2 3 4 5 6 7 8 9  11 12 13 14 15 16. 17

Apa yang dapat diambil pengajaran hari ini ialah:-
1. Di saat-saat kecemasan, kita mampu berbuat sesuatu di luar kebiasaan kita seperti kisah-kisah yang diceritakan di atas. Ini bermakna kita semua masih ada banyak lagi potensi yang boleh digarap dan dimanafaatkan untuk agama dan ummah.
2. Apabila dalam kesusahan dan ‘catastrophe’ seperti bencana banjir ini, kita mampu bersatu untuk membantu sedaya mungkin tanpa mengira parti politik atau NGO atau bendera apa yang kita kibarkan. Buktinya ramai sungguh yang datang untuk membantu daripada seluruh pelusuk negara. Oleh itu, umat Islam mampu bersatu dan bersama di kala kesusahan dan kesenangan.
3. Masih ramai lagi penduduk yang perlukan ubat-ubatan, kain telekung, Al-Quran, pakaian dan peralatan persekolahan dan juga makanan. Walaupun ramai yang datang menghulurkan bantuan, namun pengagihan tidak berlaku secara sekata, jadi ada lagi yang tidak mendapat barang-barang keperluan ini.
4. Perlunya ada satu badan induk yang mengendalikan ‘relief effort’ dan misi bantuan daripada pelbagai NGO dan agensi-agensi ini di mana semua tempat termasuk kampung-kampung di pendalaman mendapat semua barang-barang bantuan sama rata.
5. Pasukan-pasukan perubahan masih lagi diperlukan terutama di pasca banjir ini kerana ramai mangsa banjir yang sakit yang memerlukan pemeriksaan dan rawatan terutama yang tinggal di kawasan pendalaman kerana tiada akses untuk keluar disebabkan jambatan runtuh, jalan pecah, hospital dan klinik mengalami banjir dan sebagainya. Antara penyakit yang perlukan ubat ialah asthma, kencing manis, darah tinggi, sakit kulit, jangkitan kuman dan sakit mental serta ‘constipation’. Ramai juga yang kehilangan ubat-ubatan mereka.
6. Ramai mangsa banjir yang risau dan khuatir kerana kehilangan dokumen-dokumen penting seperti kad pengenalan, sijil lahir, sijil kahwin, sijil-sijil persekolahan dan lain-lain. Diharap agar agensi-agensi kerajaan memudahkan proses mendapatkan sijil-sijil yang baru seperti membuka UTC di kampung-kampung.
Diharap agar Allah memudahkan urusan kehidupan mangsa-mangsa banjir dan meredhai segala amalan dan ibadah mereka.
Begitulah berakhirnya catatan selama 3 hari berada di bumi Kelantan. Penuh rasa sedih dan duka dan tidak kurang banyak ilmu dan pengajaran yang diraih sebagai bekalan kehidupan di masa-masa mendatang. Sesungguhnya tarbiyah itu boleh didapati di mana-mana sahaja dan dalam apa keadaan pun jua.

Moga kita sentiasa diberi petunjuk dan hidayah oleh Allah swt untuk mendapat tarbiyah dalam setiap sesuatu yang kita lalui dan alami.

Dr Norzila Baharin

Leave a Reply