MENU

Info Sihat
Category

2638

Diabetes: Ketahui Risiko Anda!

Info Sihat

16/11/2015

Diabetes merupakan sejenis penyakit kronik yang hebat melanda dunia masakini. Di Malaysia sahaja pada tahun 2014, seramai 2.6 juta orang rakyat Malaysia adalah penghidap penyakit ini. Diabetes atau lebih dikenali dengan kencing manis ialah keadaan di mana kandungan gula (glukos) di dalam darah seseorang melebihi paras normal. Paras normal gula di dalam darah dibahagikan kepada paras berpuasa (fasting glucose level) dan paras rawak (random glucose level).

  • Paras gula berpuasa normal: 4.0 – 6.0 mmol/L
  • Paras gula berpuasa rawak: 4.4 – 8.0 mmol/L

 

cek diabetes

Paras gula yang tinggi di dalam darah boleh berlaku dengan beberapa sebab. Biasanya tahap gula dalam darah dikawal oleh bahan kimia yang dikenali sebagai insulin yang dihasilkan oleh organ pankreas. Fungsi utama insulin ialah untuk mengawal pengangkutan gula dari dalam darah ke sel-sel yang memerlukannya sebagai bahan tenaga terutamanya otot-otot. Oleh hal yang demikian, di dalam pesakit diabetes, tahap gula yang tinggi di dalam darah mungkin disebabkan oleh insulin yang dihasilkan tidak mencukupi atau tindakan insulin sudah kurang berkesan.

mekanisme diabetes

Terdapat tiga jenis diabetes:

Jenis 1

  • Biasanya terjadi di kalangan kanak-kanak atau remaja
  • Hanya boleh dikawal dengan suntikan insulin berserta kawalan pemakanan dan senaman

Jenis 2

  • Biasanya di kalangan orang dewasa berusia 40 tahun ke atas dan individu yang mempunyai berat badan berlebihan
  • Mempunyai sejarah keluarga yang menghidap diabetes
  • Boleh dikawal dengan pemakanan dan senaman atau gabungan pemakanan, senaman dan ubat

Jenis 3

  • Berlaku secara sementara contohnya ketika mengandung
  • Berlaku disebabkan perubahan hormon yang mempengaruhi kadar gula dalam darah

Faktor-faktor risiko

  • Berat badan berlebihan/Obesiti
  • Tidak aktif secara fizikal
  • Pemakanan yang tidak sihat terutamanya makanan dan minuman yang manis serta kandungan gula yang tinggi
  • Sejarah keluarga yang menghidap diabetes

 

makanan

Diabetes itu sendiri sekiranya terkawal akan mengurangkan kesan langsung dan tidak langsung hasil paras gula yang abnormal di dalam darah. Bagaimanapun, sekiranya ia tidak terkawal, ia boleh membawa kerosakan dengan mengakibatkan komplikasi-komplikasi organ-organ lain seperti:

  • Tekanan darah tinggi
  • Serangan jantung
  • Angin ahmar/Strok
  • Penyakit saraf
  • Buta mata
  • Tisu mati (Gangrene) dan kudis sehingga menyebabkan kaki terpaksa dipotong

kesan diabetes

Penyakit diabetes tidak boleh disembuhkan tetapi ianya boleh dikawal dengan:

  • Mengawal pemakanan
  • Bersenam secara konsisten
  • Mengekalkan berat badan unggul (Body Mass Index: BMI) antara 18.5 hingga 23
  • Mengambil ubat diabetes (OHAs) atau suntikan insulin setelah diperiksa oleh doktor

pencegahan diabetes

Sempena Hari Diabetes Sedunia yang disambut pada hari ini 14 November 2015, marilah kita bersama mengambil berat kesihatan kita. Cegah diabetes sebelum ianya berlaku kepada diri kita. Sekiranya kita mempunyai faktor-faktor risiko untuk mendapat diabetes seperti di atas, ayuh berjumpa dengan doktor segera untuk pemeriksaan lanjut.

wdd

Periksa kesihatan diri kita sekurang-kurangnya dua kali setahun untuk memastikan tubuh badan kita sentiasa sihat dan kuat agar dapat melaksanakan tugasan seharian dengan sempurna. Cegah sebelum parah dan mencegah itu lebih baik daripada merawat. Sabda Rasulullah SAW “Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab menunaikan hak terhadap badan kamu.” (HR Bukhari).

“Muslim Sihat, Islam Hebat”

-I-Medik Kelantan-
14 November 2015

Read article

Kenyataan Akhbar KPK: Peningkatan Kes Demam Kepialu di WP KL

Info Sihat

20/10/2015

KENYATAAN AKHBAR

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA 

PENINGKATAN KES DEMAM KEPIALU DI WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR

Kementerian Kesihatan Malaysia ingin memaklumkan sejak minggu pertama bulan Ogos 2015, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKWPKL) telah menerima notifikasi sebanyak tujuh (7) kes demam kepialu. Mereka merupakan buruh binaan yang tinggal di Cheras dan bekerja berdekatan pusat bandar. Seramai 2 daripada 10 kontak yang diperiksa juga didapati positif ujian dan mereka telah diberikan rawatan.

Semenjak itu, beberapa kes lagi telah dinotifikasikan dari beberapa buah hospital kerajaan dan swasta di Kuala Lumpur. Sehingga 18 Oktober 2015, jumlah kes terkumpul adalah sebanyak 32 kes. Daerah Titiwangsa mencatat bilangan kes tertinggi iaitu 16 kes, diikuti Kepong (8), Lembah Pantai (4) dan Cheras (4). Namun begitu tiada kematian dilaporkan.

Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKWPKL) sedang menjalankan penyiasatan epidemiologi di lapangan bagi mengetahui punca jangkitan yang menyebabkan kejadian demam kepialu berlaku. Hasil siasatan di lapangan masih belum dapat merumuskan punca jangkitan serta jenis makanan yang dimakan kerana tiada persamaan di antara kes-kes tersebut.

Bilik gerakan telah dibuka bagi menyelaras aktiviti penyiasatan dan kawalan. Sejumlah 37 orang kontak terdiri dari ahli keluarga, rakan sekerja dan pengendali makanan telah disaring dan 24 buah premis makanan diperiksa. Sejumlah 79 sampel najis dan 4 sampel bekalan air minum diambil bagi mengesan kehadiran bakteria ini. Setakat ini belum ada sampel yang dilaporkan positif Salmonella typhii. Pemeriksaan juga dijalankan di kilang-kilang pembekal ais. Di samping itu, aktiviti pemantauan dan kawalan melibatkan sistem pembekalan air telah dijalankan bagi memastikan kualiti bekalan air di WPKL bagi memastikan kualiti bekalan air di WPKL baik.

kepialu

Tifoid atau demam kepialu adalah penyakit yang disebabkan oleh bakteriaSalmonella typhii yang mencemari makanan atau minuman. Seseorang yang dijangkiti akan mengalami gejala di antara satu (1) hingga 3 minggu selepas mengambil makanan atau minuman tercemar. Gejala utama adalah keletihan, demam, sakit perut, sembelit dan sakit kepala. Pesakit juga boleh mengalami cirit-birit dan muntah. Jika tidak dirawat, gejala tersebut boleh berterusan sehingga beberapa minggu dan menyebabkan komplikasi seperti perdarahan dan kebocoran saluran penghadaman, keradangan otak, psikosis dan sebagainya. Mereka juga boleh menjadi pembawa bakteria ini tanpa menunjukkan sebarang gejala. Pembawa boleh menyebarkan bakteria melalui pengendalian makanan atau minuman.

Demam kepialu masih berlaku di beberapa kawasan di Malaysia yang mempunyai liputan bekalan air minum terawat dan penggunaan tandas sanitari yang rendah serta kebersihan persekitaran dan personal yang terabai. Jangkitan juga disumbang oleh pengendalian makanan yang tidak mengikut tatacara yang selamat dan sihat. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merupakan negeri yang sentiasa mencatat kejadian penyakit demam kepialu yang rendah setiap tahun. Kejadian demam kepialu bukanlah keadaan luar biasa di WPKL, dengan bilangan kes semenjak 5 tahun yang lalu adalah di antara tujuh (7) hingga 35 kes setahun.

handwash

ementerian Kesihatan Malaysia ingin mengingatkan orang ramai supaya sentiasa memberikan perhatian tinggi terhadap tahap kebersihan makanan dan minuman yang diambil bagi mengelakkan jangkitan. Pilih kedai atau gerai makan yang bersih, termasuk juga pekerja-pekerja khususnya pengendali makanan yang bersih. Makanan yang panas dan baru dimasak perlu dijadikan pilihan utama. Kebersihan diri (personal hygiene) juga perlu diutamakan khususnya membasuh tangan sebelum makan, selepas makan dan selepas ke tandas. Dapatkan rawatan awal jika mengalami sebarang gejala demam kepialu bagi mengelakkan komplikasi.

Kementerian Kesihatan Malaysia juga sedang berusaha keras menjalankan langkah-langkah pencegahan dan kawalan bagi mencegah penularan jangkitan penyakit ini. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari masa ke semasa.

Sekian dan terima kasih.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

19 Oktober 2015

Read article

Middle East Respiratory Syndrome (MERS)

Info Sihat

27/08/2015

Middle East Respiratory Syndrome (MERS)

Middle East Respiratory Syndrome (MERS) adalah sejenis penyakit jangkitan virus yang dinamakan Middle East Respiratory Syndrome Coronavirus (MERS- CoV). Ia pertama kali dikesan di Saudi Arabia di sekitar tahun 2012. Ia merupakan sejenis virus  RNA bebenang tunggal, spesies aneh yang baru ditemui dan diklasfikasikan dalam kumpulan Betacoronavirus. Virus ini pertama kali dilaporkan pada 24 September 2012 oleh pakar virus Mesir, Doktor Ali Mohamed Zaki di Jeddah, Arab Saudi.

Dilaporkan bahawa kes pertama MERS dikesan di Saudi Arabia pada bulan September 2012. Terdapat juga laporan bahawa terdapat kes-kes yang dikesan lebih awal iaitu pada bulan April tahun yang sama di Jordan.  Pada mulanya kebanyakan daripada kes-kes yang melibatkan jangkitan MERS berlaku di sekitar Saudi Arabia dan Jordan, namun baru-baru ini pada bulan May 2015, dunia digegarkan dengan ‘MERS outbreak’ di Republik Korea di mana antara 17-19 Jun 2015, WHO telah pun mencatatkan sebanyak 166 kes MERS-CoV termasuk 24 kematian. Satu daripada 166 kes tersebut telah dikesan di China. Outbreak yang berlaku di Korea ini merupakan terbesar berlaku di luar Semenanjung Arab setakat ini.

Pada keseluruhannya pula, terdapat 471 kematian yang dicatatkan daripada September 2012 hingga ke 19 Jun 2015 di mana World Health Organization (WHO) merekodkan 1333 kes MERS-CoV yang dibuktikan melalui keputusan makmal.

MERS-CoV

Tanda-tanda MERS-CoV

MERS menyebabkan penghidapnya mengalami masalah kepada saluran pernafasan termasuklah paru-paru di mana kebanyakan daripada penghidapnya akan mendapat gangguan akut pada sistem pernafasan dengan simptom-simptom seperti demam, batuk, dan sesak nafas. Ada pula di kalangan pesakit akan mengalami cirit-birit dan sakit perut. Dilaporkan bahawa 3-4 daripada 10 penghidap MERS akan berakhir dengan kematian.

 

simptom MERS-CoV

 

Cara penyebaran wabak MERS

MERS-CoV tersebar seperti mana coronavirus yang lain iaitu melalui bendalir/ kahak yang telah dijangkiti kuman MERS-CoV. Kahak/ bendalir yang dijangkiti ini tersebar apabila batuk atau bersin. MERS-CoV juga kerap dijangkiti oleh mereka yang pernah mempunyai kontek bersama mereka yang dijangkiti kuman ini.  Ini terbukti apabila terdapat ramai pertugas kesihatan seperti di hospital dijangkiti kuman ini kerana mereka dikehendaki untuk menjaga dan mengendali pesakit MERS-CoV. Justeru itu, mereka lebih mudah dijangkiti. Ketika tersebarnya wabak MERS di Republik Korea baru-baru ini sekitar bulan Jun 2015, didapati bahawa, 7.9% daripadanya dijangkiti oleh petugas kesihatan yang mengendalikan pesakit MERS- CoV. Setakat ini, kesemua kes MERS-CoV di Republik Korea pula adalah tersebar melalui ‘Single chain of transmission’ dan berkaitan dengan fasiliti kesihatan.

MERS-CoV juga lebih mudah tersebar kepada mereka yang mempunyai tahap imuniti yang rendah (immunocompromised), penghidap kencing manis, kegagalan buah pinggang dan mempunyai penyakit paru-paru yang kronik

Apakah perkaitan MERS Co-V dengan unta?

MERS dipercayai mempunyai kaitan dengan dua jenis binatang, unta dan kelawar jenis baka Afrika Utara. Pada 11 November 2013, Kementerian Kesihatan Arab Saudi telah mengumumkan terdapat kes yang mempunyai perkaitan jangkitan antara manusia dan unta. Namun sehingga kini, World Health Organization (WHO) memaklumkan perkara ini masih dalam kajian dan belum terdapat bukti secara saintifik yang mampu menjelaskan perkaitan antara kedua haiwan ini dengan jangkitan kepada manusia. Walau bagaimanapun, langkah berwaspada tetap diambil oleh kerajaan Arab bagi mengelakkan jangkitan. Sebagai contoh, pemerintah Arab Saudi dikatakan bakal mengharamkan penyembelihan unta untuk korban bagi musim haji tahun ini.

http://www.ismaweb.net/2015/08/mers-cov-arab-saudi-bakal-haram-sembelih-unta-untuk-ibadah-korban/

Kerajaan Malaysia pula mengambil langkah berjaga-jaga dengan melarang jemaah haji dari negara ini daripada melawat ladang ternakan unta selagi virus MERS-CoV tidak dikawal sepenuhnya.

Pencegahan

Orang awam yang ingin mengerjakan Haji dalam masa terdekat ini, membuat lawatan ke negara-negara di rantau Timur Tengah dan Republik Korea yang kini dilaporkan terdapatnya kejadian jangkitan MERS-CoV, dinasihati supaya:

 

  1. Selalu mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau hand sanitizer, terutamanya selepas batuk, bersin atau selepas bersalaman.
  2. Semasa dalam tempoh lawatan:
    1. Sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung (mask) serta hand sanitizeruntuk digunakan apabila perlu.
    2. Elakkan daripada mendekati dan menyentuh orang yang sakit.
    3. Elakkan daripada melawat ladang haiwan, khususnya ladang unta dan menyentuh sebarang jenis haiwan.
    4. Elakkan daripada menjamah makanan mentah, yang tidak dimasak, menjamah buah-buahan atau sayuran yang tidak dibasuh terlebih dahulu atau meminum minuman yang menggunakan bekalan air tidak terawat.
  3. Mereka yang pulang dari lawatan ke negara-negara yang terlibat dengan gejala jangkitan respiratori (seperti demam, batuk, selsema dan sakit tekak) adalah dinasihatkan untuk memakai penutup mulut dan hidung , menjaga adab batuk serta mengamalkan kebersihan diri.
  4. Segera mendapatkan rawatan perubatan sekiranya tidak sihat serta maklumkan sejarah perjalanan mereka kepada doktor yang merawat.

 

Dr Ruzaini bt Sulaiman

Unit Penyelidikan dan Pembangunan

Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik)

 

Read article

2908

MASALAH “OVERACTIVE BLADDER”

Info Sihat

05/11/2014

unnamed (1)
Ketika menunaikan haji pada musim yang lepas, saya berkenalan dengan seorang hajjah berusia dalam lingkungan lewat lima puluhan. Beliau menceritakan, antara kegusaran utamanya sewaktu hendak menerima tawaran mengerjakan haji adalah kerana masalah kerap hendak buang air kencing, dan adakalanya tidak dapat dikawal. Bahkan alasan seperti ini adalah alasan utama ramai kaum wanita yang berusia teragak-agak untuk menuanikan haji.

 

Masalah yang dihadapi beliau adalah apa yang dipanggil pundi kencing yang terlalu aktif atau “overactive bladder”. Ia biasanya melanda wanita berusia, tetapi tidak jarang juga dideritai wanita yang lebih muda terutamanya yang mempunyai ramai anak.

 

Mereka yang mengalami overactive bladder terpaksa ke bilik air lebih daripada 7 atau 8 kali sehari dalam keadaan tergesa-gesa. Adakalanya mereka tidak sempat menyebabkan mereka terkencing di dalam seluar. Oleh kerana itu, kaum wanita yang menderita keadaan ini terpaksa bergantung kepada pemakaian tuala wanita hampir setiap hari, terutama mereka yang bekerja. Disebelah malam, mereka kerap terjaga tidur 1 atau 2 kali semalam untuk bangun kencing. Dari segi amal ibadat, sudah tentulah masalah ini amat dikhuatiri.

 

Apakah punca overactive bladder?

 

Ia dikatakan berpunca dari saraf yang terlalu mudah menerima rangsangan (teruja). Saraf ini merangsang otot detrusor, otot bagi pundi kencing yang sepatutnya berkontraksi (mengepam) hanya apabila jumlah air kencing cukup banyak. Namun, didalam keadaan overactive bladder, jumlah air kencing yang sedikit di dalam pundi sudah berupaya merangsang, menyebabkan pengidap terpaksa segera ke tandas.

 

Saraf yang teruja ini dikatakan berpunca dari jangkitan kuman ke atas saluran kencing, batu karang, kencing manis, kesan kecederaan akibat trauma atau pembedahan pelvik, angin ahmar, Parkinsonism dan kesan sampingan sesetengah ubat. Namun, terdapat banyak kes dimana puncanya tidak diketahui.

 

Bagaimana mengatasinya?

 

Bagi kes-kes yang tidak teruk, mengubah gaya pemakanan adalah satu langkah permulaan.

 

  • Penjadualan pengambilan air. Walaubagaimanapun tidak perlu keterlaluan kerana air kencing yang sedikit dan pekat juga merangsang pundi kencing.
  • Menjauhi minuman berkafein seperti kopi dan minuman berkarbonat. Kafein dikatakan berupaya merangsang saraf.
  • Menjauhi makanan seperti tomato dan buah sitrus seperti oren dan anggur. Buah-buahan ini mengandungi asid sitrik yang boleh merangsang pundi kencing.
  • Mengambil makanan berserat. Ini boleh mengelakkan sembelit yang juga boleh merangsang pundi kencing.
  • Melatih diri sendiri dengan tidak melayan atau melewatkan ke tandas apabila terasa ingin kencing. Bagi sesetengah kes, ketakutan jika terkucil yang amat sangat sebenarnya mendorong kita tidak dapat mengawal perasaan ingin ke tandas.
  • Pengidap digalakkan menunggu beberapa minit selepas membuang air kencing kali pertama, bagi membuang kali kedua agar pundi benar-benar kosong. Dan ini kita dapati bertepatan dengan salah satu adab di dalam Islam dalam membuang air kecil ialah istibrak secara berdehem-dehem selepas selesai. Ini bertujuan meningkatkan tekanan abdomen secara mengeraskan otot perut, yang dapat mengeluar saki baki air kencing di dalam pundi.
  • Menjadualkan pembuangan air kencing setiap 2-3 jam adalah lebih baik dari ke bilik air hanya bila telah terdesak.
  • Melakukan senaman otot lantai pelvik. Ada berbagai jenis senaman lantai, tetapi yang paling mudah saya gambarkan ialah mengesot ke hadapan dalam keadaan duduk dilantai dengan kedua-dua kaki dilunjurkan. Pergerakan ini melatih otot-otot pelvik yang menyokong pundi dan saluran kencing (uretra).

 

Dalam keadaan yang lebih serius dimana pengidap terlalu malu menghadapi situasi ini, adalah digalakkan berjumpa dengan doktor dimana rawatan secara pengambilan ubat dan pembedahan mungkin dicadangkan.

i-Sihat 2

Sebaiknya wanita yang mengalami keadaan ini tidak terlalu risau dan memencilkan diri kerana keadaan ini dihadapi oleh ramai wanita. Dengan menjadualkan pemakanan dan kekerapan ke tandas, lama-kelamaan ia akan dapat di atasi.

 

Berbalik kepada kisah hajjah yang khuatir akan kelancaran ibadahnya, terutama dalam hal menyimpan wuduk bagi dua waktu solat (lantaran jarak masjid yang jauh dari tandas), beliau telah membawa satu beg besar dari Malaysia, yang hanya dipenuhi tuala wanita. Namun beliau sentiasa bersungguh-sungguh berdoa agar Allah mempermudahkan beliau. Berkat doa, dan panduan seperti yang saya ceritakan tadi, dengan izin Allah, beliau hanya menggunakan 10 % dari jumlah tuala wanita yang dibawanya kerana ibadat beliau tidak terganggu dek overactive bladder, sekerap yang biasa beliau alami di Malaysia.

 

Ia menjadi pengajaran kepada saya. Jika kita mengalami situasi overactive bladder, berusahalah mengatasinya sebaik mungkin. Jangan jadikan ia alasan yang menghalang kita ke tanah suci kerana insya Allah, tetamu Allah dipermudahkanNya bagi banyak urusan.

 

 

PROF MADYA DR RAFIDAH HANIM MOKHTAR.

Read article

2052

Ebola: Simptom dan cara mengelaknya

Info Sihat

01/11/2014

PENGENALAN

EBOLA adalah sejenis penyakit serius yang sering menyebabkan kematian, dengan kadar kematian sehingga 90%. Penyakit ini boleh dialami oleh manusia dan dan juga haiwan seperti monyet, gorila dan cimpanzi.

Ebola pertama kali dikesan pada tahun 1976 di sebuah kampung berhampiran Sungai Ebola di Republik Demokratik Congo, dan satu lagi di kawasan terpencil di Sudan. Sehingga kini antara negara yang dijangkiti  dengan penyakit virus Ebola adalah Guinea, Sierra Leone ,Liberia, Nigeria dan Senegal.

10635699_753767551327656_7758928095783995885_n

CARA JANGKITAN

Perumah semula jadi virus Ebola adalah kelawar di mana penularan kepada populasi manusia berlaku melalui sentuhan/kontak langsung dengan darah, cecair, organ atau bendalir badan yang lain daripada haiwan yang dijangkiti Ebola seperti cimpanzi, gorila, kelawar buah atau monyet yang didapati sakit atau mati di dalam hutan.

Ebola kemudian merebak melalui manusia kepada manusia. Anda mungkin terdedah kepada virus Ebola melalui kontak langsung dengan:

1. Cairan badan individu yang sakit atau meninggal dunia akibat penyakit virus Ebola, seperti darah, muntah, najis, air kencing dan sebagainya.

2. Objek yang tercemar dengan virus Ebola, seperti jarum suntikan, peralatan perubatan yang digunakan dan lain-lain lagi.

3. Cairan badan haiwan yang dijangkiti, seperti darah, cairan badan juga dagingnya.

TANDA-TANDA JANGKITAN

Tempoh inkubasi, atau selang masa dari jangkitan kepada timbulnya gejala, adalah dari 2 hingga 21 hari. Pesakit menjadi berjangkit apabila mereka mula menunjukkan gejala. Antara gejala awal yang mungkin dialami adalah demam, kelesuan, sakit otot, sakit kepala dan sakit sendi. Ini diikuti dengan muntah-muntah, cirit-birit, ruam dan pendarahan.

Jangkitan penyakit virus Ebola hanya boleh disahkan melalui ujian makmal.

ebola-poster4

RAWATAN

Pesakit yang mengalami gejala yang serius memerlukan jagaan sokongan yang intensif. Pada masa ini tiada rawatan khusus untuk menyembuhkan penyakit ini.

Sesetengah pesakit akan pulih dengan rawatan perubatan yang sesuai.

NASIHAT KESIHATAN

– Sekiranya anda mengunjungi negara-negara yang terlibat, ELAKKAN dari mempunyai kontak langsung dengan pesakit, melawat isirumah atau fasiliti kesihatan yang terjejas dengan wabak penyakit virus Ebola.

– Jangan menyentuh barangan atau peralatan yang mungkin dicemari dengan cairan badan pesakit seperti darah, najis, air kencing dan sebagainya.

– Elakkan daripada menghampiri atau menyentuh haiwan mati yang ditemui.

-Mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi.

Dr Thahirahtul Asma’ Zakaria
Aktivis Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik)
Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit,
Kementerian Kesihatan Malaysia.

Read article

4385

Jangan abaikan penjagaan gigi susu

Info Sihat, Kolumnis, Utama

05/08/2014

Ramai ibu bapa menganggap tidak penting menjaga kesihatan gigi susu anak-anak mereka. Alasan yang biasa didengari adalah

“Gigi susu nanti akan luruh juga, jadi kenapa perlu ambil kisah.”

“Kalau rosak pun tak apa sebab nanti ada gigi lain tumbuh.”

Gigi susu

Allah swt mencipta manusia dengan 2 set gigi iaitu gigi susu dan gigi kekal. Gigi susu berjumlah 20 batang manakala gigi kekal pula berjumlah 32 batang. Secara fizikal dan anatominya, gigi susu berwarna putih, bersaiz lebih kecil, mempunyai lapisan enamel dan dentin yang nipis tetapi lapisan pulp yang besar. Gigi kekal pula berwarna sedikit kuning atau krim, bersaiz lebih besar, dan mempunyai lapis enamel dan dentin yang tebal tetapi lapisan pulp yang lebih kecil.

Kesemua 20 batang gigi susu kanak-kanak biasanya sedikit jarak manakala gigi kekal akan tumbuh sebelah menyebelah dan rapat.
Gigi susu akan keluar dari gusi kanak-kanak seawal usia 6 bulan dan menjelang usia mereka 2-3 tahun, kesemua 20 batang gigi akan muncul dari gusi anak.

Pada usia anak menjelang 6 tahun, bermulalah episod di mana gigi susu akan mula luruh secara semula jadi (ingat, ini proses semula jadi, bukan luruh disebabkan kerosakan gigi atau penderaan) dan gigi kekal akan tumbuh menggantikan gigi susu tadi. Fenomena gigi susu luruh dan gigi kekal tumbuh menggantikan gigi susu terus berlaku sehingga mereka berusia 12-13 tahun.

Jika kita melihat secara keseluruhan, gigi susu memberikan perkhidmatannya selama hampir 11.5-122.5 tahun. Ini satu tempoh yang lama bukan?

Adakah ciptaan Allah swt itu sia-sia? Tidak!

Fungsi gigi susu

Gigi susu tidak ubah seperti gigi kekal yang anda miliki, di mana ia membantu mengoyak, menggigit, mencengkam serta melumatkan makanan. Jadi ia berperanan untuk membantu proses penghadaman dan nutrisi pemakanan anak anda. Bayangkan kalau gigi sakit berlaku?

Namun dari aspek yang lain, gigi susu penting bagi penampilan diri untuk menaikkan rasa kepercayaan diri anak-anak anda. Jika tidak percaya, pernahkah anda semasa di zaman kanak-kanak merasa malu untuk senyum, bercakap dengan kawan-kawan apabila gigi anda rongak serta berbau busuk? Secara tidak langsung gigi susu turut membantu aktiviti sosial anak anda seperti kemahiran bercakap dan bergaul dengan kanak-kanak yang lain.

Gigi susu juga sebenarnya membantu mengekalkan ruang dan mengatur susunan gigi susu kekal. Hal ini kerana di bawah akar setiap gigi susu terdapatnya gigi kekal. Sekiranya gigi susu luruh sebelum masa, ini akan menyebabkan gigi yang belakang dari gigi yang luruh tadi untuk bergerak ke hadapan mengisi ruang yang telah kosong itu tadi. Akibatnya, ini akan menyempitkan ruang yang ada dan apabila gigi kekal tumbuh, ia tidak mempunyai ruang yang cukup. Akhirnya ia akan tumbuh sama ada di belakang atau di hadapan menjadikan gigi berlapis-lapis.

Gigi berlapis bukan sahaja kelihatan tidak cantik, malah menyebabkan plak akan mudah terkumpul di kawasan yang berlapis. Ini seterusnya meningkatkan risiko gusi bengkak (gingivitis) dan karies gigi bahkan kos rawatan dan masa juga lebih tinggi untuk rawatan ortodontik.

Kesan akibat mengambil ringan kesihatan gigi susu

  • Karies gigi
  • Gusi bengkak
  • Menjejaskan pemakanan dan penghadaman makanan
  • Sakit gigi (apabila melibatkan jangkitan bakteria ke lapisan pulp) dan menjeaskan aktiviti harian seperti tidak hadir ke sekolah
  • Menjejaskan percakapan
  • Gigi berlapis

decay

Mainkan peranan anda sebagai ibu bapa bertanggungjawab. Antara tips yang boleh diambil.

  1. Kawal pemakanan keluarga anda. Pastikan anak anda mendapat makanan yang berkhasiat. Kawal pemakanan yang tinggi kandungan gula ringkas seperti kek, aiskrim, coklat atau gula-gula.
  2. Jangan biasakan anak anda meminum minuman manis menggunakan botol sebaliknya ajari mereka minum di dalam gelas kesukaannya.
  3. Jangan tidurkan anak anda dengan memberikan botol yang berisi minuman manis. Ini kerana air manis tersebut berkumpul di ruang belakan gigi atas untuk tempoh yang lama dan ini meningkatkan risiko anak anda mendapat karies gigi.
  4. Biasakan anak anda minum air putih, buah-buahan dan sayur-sayuran. Kreatif dalam kaedah pemakanan.
  5. Berus gigi bersama anak anda 2 kali sehari iaitu pada awal pagi dan sebelum tidur. Pastikan anda awasi anak kecil semasa memberus gigi seperti jangan menelan ubat gigi kerana akan menyebabkan fluorosis gigi- iaitu gigi menjadi rapuh.
  6. Gunakan berus gigi yang yang bersaiz kepala kecil untuk memudahkan anak anda memberus. Gunakan jenis berus “soft”, bukan “medium” atau “hard” untuk mengelakkan luka pada gusi. Apa yang penting ialah teknik memberus gigi yang betul, bukan jenis berus yang menentukan bersih atau tidak gigi tersebut.
  7. Gunakan ubat gigi kanak-kanak untuk anak-anak anda yang berusia antara 2-6 tahun. Selepas 6 tahun anda boleh mula berikan anak anda menggunakan ubat gigi dewasa. Tidak perlu gunakan banyak semasa memberus gigi, cukup sekadar saiz sebiji buah kacang pea.
  8. Kerosakan gigi pada kanak-kanak cepat menjadi lebih teruk kerana anatomi lapisan enamel dan dentinnya yang nipis. Maka bawalah anak anda membuat pemeriksaan kesihatan gigi 2 kali setahun untuk mendapatkan rawatan pencegahan
  9. Gunakan kaedah “positive reward” dalam anda menghargai anak anda dalam menjaga kesihatan giginya. Berikan kata-kata yang baik seperti “ibu suka lihat gigi awak yang bersih”. Ingat, jangan gunakan umpan makanan ringan dalam anda menghargai usaha anak anda.

Semoga artikel ini membantu anda untuk lebih cakna kesihatan gigi.

Oleh:
Puan Ummu Hanani Ab Rahman
Aktivis I-Medik Kedah

Sumber: I-Medik Kedah

Read article

1992

Tips-tips kesihatan di bulan Ramadhan

Info Sihat, Utama

13/07/2014

kurma

Setiap kali kedatangan Ramadhan, kita sentiasa memasang niat untuk menjadikan Ramadhan kali ini adalah Ramadhan yang terbaik bagi kita. Terbaik dalam ubudiah kita kepada Allah, terutamanya di dalam melaksanakan ibadah-ibadah khususiah seperti puasa, membaca Al-Qur’an, Solat, Qiamullail, zikir dan sebagainya. Tidak dapat dinafikan bahawa kesemua ibadah tersebut hanya akan dapat dilakukan dengan menetapkan niat, keazaman yang kuat dan kesihatan tubuh badan yang baik.

Untuk menjadikan keadaan fizikal kita berada di dalam keadaan optima pada bulan yang penuh ganjaran ini, dikongsikan bersama beberapa tips yang dapat sama-sama kita amalkan:

1. Bersahur

Makan yang terpenting pada satu-satu hari adalah makan pagi. Sahur adalah makan pagi yang diawalkan sedikit. Kerana itu tidak dinamakan bersahur jika kita mengambilnya pada pukul 12 tengah malam. Waktu sahur adalah di penghujung malam, terutamanya sebelum masuk waktu Subuh. Makanlah ‘slow burning food’ (makanan yang lambat hadam) seperti nasi dan roti semasa bersahur. Kurangkan meminum teh semasa bersahur kerana teh mengandungi ‘theophyline’, satu bahan yang menggalakan kencing. Ini boleh menyebabkan badan akan kehilangan lebih air (dehidrasi) semasa berpuasa.

Pastikan anak-anak kita yang berlatih berpuasa supaya bersahur, kerana badan mereka yang kecil lebih memerlukan makanan yang berzat semasa bersahur untuk bertahan semasa berpuasa di siang hari.

2. Berbuka

Bersegeralah berbuka. Berbukalah dengan makanan ‘simple carbohydrate’ (gula ringkas) terlebih dahulu seperti ruthaab (kurma basah) atau tamar (kurma kering). Ruthaab lebih berkhasiat dari tamar kerana lebih berserat dan kandungan nutrient yang lebih tinggi. Kurma adalah makan ‘low fat, high fibre’ (rendah lemak dan tinggi serat) yang mempunyai 60-70% fruktosa dan glukosa serta pelbagai nutrisi lain seperti protein, zat besi, kalsium, vitamin A dan B. Pengambilan kurma sebagai makanan permulaan berbuka akan memberikan tenaga segera kepada badan yang seharian berpuasa. Ini akan menjadikan badan segera cergas. Berbuka dengan karbohidrat kompleks boleh menjadikan badan lebih letih kerana tenaga di dalam badan perlu digunakan terlebih dahulu untuk menghadam makanan tersebut sebelum menghasilkan tenaga baru.

Bersederhanalah dalam berbuka. Adalah baik jika kita makan sebagaimana kita makan malam pada hari-hari biasa. Makanlah makanan yang seimbang yang mengandungi kesemua elemen yang diperlukan oleh badan terdiri dari karbohidrat, protein, lemak dan vitamin. Perbanyakkan makan berserat dan kurangkan makanan berlemak dan berminyak. Berhenti makan ketika kita mula merasa kenyang.

Adalah baik kita berbuka dengan makanan yang dimasak sendiri kerana kebersihan dan kandungan zatnya adalah terjamin. Kurangkan mimuman yang manis semasa berbuka lebih-lebih lagi minuman bergas (soft drink).

3. Selepas Tarawikh

Kita mungkim akan merasa agak lapar selepas tarawih selepasa berbuka secara sederhana. Perbanyakkan minum air kosong bagi menampung kembali kehilangan air badan dalam cuaca tempatan yang panas ini. Dalam keadaan biasa, badan memerlukan 6 gelas air sehari. Adalah baik kita mengambil buah-buahan kerana buah-buahan mengandungi serat dan anti-oksida yang dipercayai boleh mencegah barah. Minum air yang secukupnya dan makanan berserat akan membantu mengurangkan sembelit. Pembuangan air besar yang baik akan membantu badan membuang bahan-bahan toksik. Pastikan kita jangan turus tidur selepas makan. Berilah satu tempoh masa tertentu sebelum tidur.

4. Siang Hari

Puasa yang sebenar akan menjadikan kita lebih fokus terhadap kerja. Jadikan Ramadhan ini satu tempoh kita dapat melakukan tugas-tugas pejabat dengan lebih berkesan. Dengan itu kita lebih dapat memberikan masa kepada ibadah khusus seperti membaca Al-Qur’an dan bersolat. Kurangkan tidur disiang hari , melainkan sekadar untuk mendapatkan tenaga bagi melaksanakan qiam di malam hari.

Selamat menyambut Ramadhan al Mubarak.

Oleh: Dr Zulkifli Yusof,
Naib Pengerusi I-Medik Negeri Kedah

Nota: Dr. Zulkifli merupakan Pakar Perunding ENT di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

Read article

6672

Penggunaan ‘Inhaler’ Membatalkan Puasa?

Info Sihat, Kolumnis

04/07/2014

Ventolin-inhaler
Sebelum kita menjurus kepada Hukum dalam permasalahan ini, penulis lebih cenderung untuk memberi kefahaman kepada para pembaca dan juga pesakit latar belakang isu ini. Ini kerana pasti ada ‘Aplikasi Sains dan Perubatan’ keatas Hukum Syara’ yang berkenaan dan manfaat kepada penganutnya.

Indikasi Penggunaan Inhaler dan Nebuliser:

Nebuliser dan Inhaler atau ‘semburan’ ubat (rujuk photo) digunakan untuk penyakit respiratory acute atau chronic. Ianya diambil sama ada di klinik atau hospital untuk nebulizer, manakala inhaler untuk penggunaan harian di luar hospital. Indikasi termasuk penyakit Asthma, COPD (Chronic obstructive Pulmonary Disease), allergic rhinitis, URTI dan lain-lain lagi. Teknik semburan ini menggantikan pengambilan ubat secara oral. Jadi keberkesanan inhaler lebih cepat dan spesifik. Terutamanya pada serangan acute, dimana bronchus menjadi sempit. Kesan ubat ini menyebabkan bronchus akan mengembang semula dan memudahkan pesakit bernafas.

Tindakan Ubat (Mechanism of Action)

Inhaler ini disedut ke system pernafasan melalui mulut dan ubat aktif akan terus ke bronchus tanpa perlu melalui system darah. Jadi ianya bersifat ‘local effect’ di paru-paru. Tidak mungkin sedutan ubat akan ke system pencernaan (perut). Sekalipun (sekiranya ada) semburan ini ke system pencernaan, ianya tidak memberi kesan atau memberi tenaga kerana tidak berlaku absorpsi ubat ke system darah.

Keperluan dan Kekerapan mengambil Inhaler

Ini bergantung kepada umur pesakit dan ‘severity’ penyakit tersebut. Ada yang perlu mengambil kombinasi lebih dari satu jenis inhaler seperti Steroid-inhaler dan Bronchodilator-inhaler (Salbutamol dan Terbutaline). Bronchodilator-inhaler adalah bersifat ‘short-acting’ dan perlu diambil lebih kerap seperti 3 atau 4 kali sehari. Berbanding steroid boleh diambil hanya sekali sehari.

Fiqh Perubatan Penggunaan Inhaler

Penulis merujuk keputusan ‘Seminar Fekah Perubatan ke-9 yang diadakan di Casablanca, Morocco, 14-17 Jun 1997’, dimana menurut kebanyakan (majority) ahli majlis (iaitu pakar fiqh dan perubatan) ubat semburan hidung (inhaler) dan ubat sedut tidak membatalkan puasa.

Huraian Saintifik

Islam memberi kelonggaran pesakit yang ingin melakukan ibadah termasuk puasa sebagai satu maslahah. Penggunaan inhaler, pada pandangan kasar ianya membatalkan puasa kerana sesuatu bahan yang masuk ke rongga terbuka. Namun begitu dalam kontek ini, penulis merujuk keputusan seminar fiqh di Casablanca itu dan merumuskan rational nya:

(1)    Pesakit Asthma, COPD dan seumpamanya adalah jenis acute dan chronic yang memerlukan rawatan inhaler secara berkala dan tempoh yang lama

(2)    Inhaler (semburan) bersifat ‘local effect’ di paru-paru sahaja. Tidak ada kesan absorpsi ke system pencernaan.

(3)    Inhaler tidak aktif untuk tempoh panjang. Jadi serangan acute asthma contohnya, tidak dapat ditangguh rawatannya. Walaupun pesakit mempunyai maslahah untuk berbuka puasa. Namun kepada pesakit chronic yang perlu mengambil lebih dari 3 kali terutamanya waktu siang, mereka juga berhadapan masalah yang sama untuk berpuasa qada nanti

(4)    Inhaler (semburan) tidak memberi sebarang tenaga tambahan kepada pesakit kerana ianya tidak diserap ke system darah. Sekalipun ada, terlalu minimum

 Kesimpulan:

Penulis sangat bersetuju penggunaan inhaler sewaktu berpuasa kepada pesakit ‘acute dan chronic’ tidak membatalkan puasa seperti keputusan ‘Seminar Fekah Perubatan ke-9 yang diadakan di Casablanca, Morocco’.

Oleh:
Prof Dr Azizi Ayob
Setiausaha Agong I-Medik

Read article

4909

Tekanan Darah Tinggi

Info Sihat, Utama

15/06/2014

Hrt Trace

Sistem jantung dan saluran darah (Cardiovascular system) merupakan struktur penting di dalam badan manusia untuk membekalkan darah ke seluruh tubuh badan. Jantung bekerja seperti sebuah pam yang bertugas dengan mengecut dan berehat sepanjang masa tanpa henti. Tekanan darah yang diukur dalam unit mmHg semasa jantung mengecut dipanggil sistolik dan tekanan darah yang diukur sewaktu jantung berehat dipanggil diastolik.

images

Penyakit tekanan darah tinggi bermakna bacaan tekanan darah (BP) menunjukkan bacaan sistolik 140mmHg atau lebih dan/atau bacaan sistolik 90mmHg atau lebih.

HPT

Tekanan darah tinggi berpotensi menjadi pembunuh senyap dengan mengakibatkan banyak komplikasi sekiranya tidak dikawal dan dirawat. Oleh hal yang demikian, langkah pencegahan dengan mengetahui faktor risiko adalah penting. Mereka yang berisiko tinggi ialah:

  • Usia melebihi 35 tahun
  • Perokok
  • Mempunyai berat badan yang berlebihan (obesiti) atau gemuk
  • Mempunyai sejarah keluarga yang menghidap penyakit tekanan darah tinggi
  • Wanita yang pernah mengalami tekanan darah tinggi semasa mengandung
  • Tidak mengamalkan pemakanan yang sihat
  • Tidak mengamalkan senaman yang mencukupi
  • Sentiasa dalam keadaan tertekan/stres

Terdapat beberapa langkah pencegahan awal untuk mengelakkan penyakit tekanan darah tinggi:

  • Amalkan pemakanan sihat dengan kurangkan makanan berlemak, manis dan masin
  • Amalkan senaman atau aktiviti fizikal secara konsisten
  • Tidak merokok
  • Capai dan kekalkan berat badan unggul
  • Pupuk minda sihat dan tangani stres
  • Lakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala dan sasarkan tekanan darah anda dalam paras normal iaitu 120/80mmHg atau kurang.

Food Pyramid3

Sekiranya tekanan darah anda diluar nilai normal, sila berjumpa dengan doktor segera untuk pemeriksaan lanjut. Anda turut dinasihatkan untuk menjaga kesihatan anda secara meyeluruh dan disarankan untuk memeriksa kesihatan anda sekurang-kurangnya dua kali setahun sesuai dengan sabda Rasulullah SAW “Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab menunaikan hak terhadap badan kamu.” (HR Bukhari).

“Muslim Sihat, Islam Hebat”

Sumber: http://imedikkelantan.wordpress.com/2014/05/24/tekanan-darah-tinggi/

Read article

1671

Kenapa bayi saya kuning?

Info Sihat, Utama

31/05/2014

Bayi kuning atau lebih tepat disebut sebagai ‘neonatal jaundice’ merupakan fenomena yang sering melanda bayi dari hari kedua kelahiran sehingga berusia seminggu. Proses ini merupakan fisiologi kepada  bayi yang baru dilahirkan atau disebabkan oleh masalah pemecahan sel darah merah yang akan menyebabkan bilirubin dalam darah meningkat.

Antara faktor-faktor yang boleh menyebabkan bayi kuning adalah:

  • Kurangnya penyusuan ibu
  • Bayi mempunyai masalah ketiadaan enzim G6PD (yang mana enzim ini boleh menghalang pemecahan sel darah merah) atau ketidaksamaan kumpulan darah  anak dan ibu.
  • Cephalohematoma/Subaponeurotic haemorrhage (pembengkakan di lapisan kulit kepala)
  • Jangkitan saluran kencing (UTI)
  • Masalah saluran pemakanan yang tersumbat/masalah fungsi hati

Bilamana bilirubin dalam darah  meningkat, bayi akan kelihatan kuning dan kurang menyusu. Jika dibiarkan tanpa rawatan yang sepatutnya, tahap kekuningan bayi akan meningkat sehingga kekuningan boleh dilihat di tapak kaki dan tapak tangan. Tapi awas, pada tahap  ini, jika ibu bapa masih berdegil untuk tidak membawa anak anda berjumpa doktor dengan segera, kemungkinan anak itu akan mengalami kecacatan kekal kerana tahap bilirubin yang tinggi akan menjadi toksik kepada sel-sel otak. Jika sel-sel otak rosak, akan jadilah anak yang terencat akal dan lambat dalam segala segi perkembangan sama ada motor, penglihatan, sosial dan IQ  bayi tersebut.

Antara rawatan-rawatan yang ditawarkan untuk bayi kuning adalah phototerapy atau terapi cahaya UV. Atau jika tahap bilirubin itu terlalu tinggi, pertukaran darah (exchange transfusion) akan dilakukan untuk menyelamatkan bayi. (Penulis baru semalam melihat proses exchange transfusion dilalukan selama 4 jam)

Pesanan untuk ibu bapa, jangan berdiam diri jika anda melihat bayi anda kuning dan jangan pula panik. Segeralah berjumpa doctor yang berdekatan untuk mengetahui tahap bilirubin bayi anda. Dan jika tahap bilirubin tinggi dan perlu dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut, jangan mencari alasan untuk mencuba rawatan tradisional dulu sebulum nasi menjadi bubur.

 

Oleh :

Dr Nurul Izza Mohd Zahidi

Aktivis I-Medik Kelantan

Pegawai Perubatan Siswazah HRPZ II KOTA BHARU

Read article