MENU

Kolumnis
Category

2212

Osteoporosis Di Kalangan Wanita

Kolumnis, Utama

28/02/2014

Osteoporosis merupakan penyakit tulang reput yang berisiko besar mengakibatkan patah tulang. Ini adalah kerana tulang tersebut telah hilang ketumpatannya dan kurang kualiti dari segi kalsium atau yang dikatakan kurang “bone mass density “(BMD). BMD biasanya paling maksima pada umur 30an dan berkurangan dengan bertambahnya umur terutama selepas putus haid (menopos).

 

Patah tulang boleh berlaku di mana-mana tulang tetapi kebiasaannya berlaku pada tulang belakang, pinggul dan pergelangan tangan. Patah tulang biasanya memerlukan pembedahan, kemasukan ke hospital dengan kadar lama, serta boleh mengakibatkan kecacatan yang kekal, kesakitan yang teruk, terlantar di katil dengan agak lama dan kemungkinan kematian.

Di Malaysia, sekurang-kurangnya 1 dalam 3 orang rakyat berisiko tinggi mendapat osteoporosis. Juga didapati bahawa sekurang-kurangnya separuh atau 50% daripada wanita berumur 50 tahun ke atas mengalami patah tulang disebabkan osteoporosis di mana kaum Cina yang paling tinggi diikuti kaum Melayu dan India.

Oleh itu, kita perlu tahu apa faktor-faktor penyebab dan bagaimana hendak mengelak dari mendapat penyakit ini.

PATOLOGI OSTEOPOROSIS

Osteoblast versus osteoclast aktiviti

clip_image002

Daripada gambarajah di atas, didapati bahawa osteoblast, iaitu sel tulang bertugas untuk membina tulang dengan memasukkan kalsium ke dalam tulang sementara osteoclast juga sel tulang bertugas sebagai memakan tisu tulang dengan menarik keluar kalsium dari tulang. Kedua-dua sel ini adalah penting untuk menjaga keseimbangan kalsium dalam darah serta menjaga kedinamikan dan kesihatan tulang Aktiviti osteoblast dikawal oleh hormone calcitonin dan osteoclast dikawal oleh hormone parathyroid. Ketidakseimbangan yang berlaku di antara kedua-dua hormone dalam beberapa penyakit ini menyebabkan salah satu sel bertugas dengan lebih aktif dari yang lain. Kalau osteoclast lebih aktif, maka BMD rendah dan osteoporosis boleh berlaku.

Klasifikasi Osteoporosis

Terdapat 2 jenis iaitu Primer (Primary) dan Sekunder (Secondary) :

 

1. Osteoporosis Primer

Antara sebab-sebabnya ialah:-

1.Selepas menopos atau putus haid – kurang estrogen sebabkan BMD rendah

2. Berkaitan dengan umur – umur yang meningkat, semakin tinggi risiko dapat osteoporosis

3.Tidak diketahui- jarang berlaku

 

2. Osteoporosis Sekunder

Antara penyebabnya ialah:-

1.Penyakit endocrine seperti Cushing’s Syndrome, hypogonadism, thyrotoxicosis dan hyperparathyroidism.

2.Ubat-ubatan seperti Glucocorticoids atau steroids ( 5 mg sehari untuk lebih dari 3 bulan), Heparin yang digunakan untuk waktu lama dan ubat sawan seperti Phenytoin

3.Penyakit-penyakit kronik seperti kerosakan ginjal atau buah pinggang, penyakit hati seperti liver cirrhosis, penyakit malabsorption iaitu selepas pembedahan buang perut dan penyakit sendi kronik spt Rheumatoid arthritis

4.Lain-lain seperti nutritional iaitu kurang pengambilan zat kalsium dan juga penyakit barah.

FAKTOR-FAKTOR RISIKO (RISK FACTORS)

Faktor-faktor berikut di bawah boleh menyumbang kepada osteoporosis iaitu:-

Faktor-faktor Non-modifiable / yang tidak boleh diubah

    1. Umur yang meningkat
    2. Kumpulan ethnik- orang berketurunan Cina dan “orang putih”
    3. Menopos sebelum masanya iaitu umur kurang dari 45 tahun termasuk menopos disebabkan pembedahan rahim dan ovary
    4. Saiz badan yang sediakala kecil
    5. Keturunan- Sejarah ahli keluarga spt ibu, ayah dan adik beradik yang pernah mengalami osteoporosis

Faktor-faktor modifiable/ yang boleh diubah

    1. Pengambilan kalsium dan Vit D yang rendah- masyarakat di Malaysia kurang minum susu
    2. Tahap aktiviti – kurang senaman boleh reputkan tulang
    3. Merokok berlebihan
    4. Mengambil minuman berakohol
    5. Mengambil caffeine berlebihan
    6. BMI yang rendah iaitu kurang dari 19 kg/m2 ( BMI= Berat (kg) / tinggi(m) x tinggi (m)
    7. Kekurangan hormone estrogen
    8. Makanan yang terlalu asidik – darah perlu pada ph neutral, maka, hormone parathyroid akan rangsang osteoclast ambil kalsium dari tulang

 

 

DIAGNOSA

Osteoporosis dikatakan “silent disease”, di mana biasanya tiada tanda apa-apa. Hanya setelah mengalami patah tulang baru diagnosa dibuat.

Walaubagaimanapun, antara tanda-tanda yang biasa dilihat ialah bongkok yang keterlaluan (dorsal kyphosis) macam dalam gambar awal, patah tulang ketika kecederaan yang minima, kurang ketinggian disebabkan tulang belakang dihimpitkan, dan sakit tulang belakang.

Osteoporosis Primer hanya dibuat setelah di kecualikan sebab-sebab Osteoporosis Sekunder yang telah disebutkan tadi.

Antara penyiastan yang boleh dilakukan ialah:-

  • Bone mineral density test (BMD) – guna mesin X-Ray spt DXA, SXA, juga menggunakan Ultrasound tulang tumit mudah didapati di hospital swasta
  • X-Ray tulang belakang, pinggul
  • Ujian darah/ air kencing – tahap kalsium, fungsi ginjal dan penyakit2 lain
  • Tahap hormone dalam darah – hormone T4, TSH, FSH, LH, testosterone
clip_image004 Contoh x-Ray tulang pinggul seorang pesakit yang mengidap sakit di pinggul kiri menunjukkan tanda osteoporosis tulang pinggul sebelah kiri
clip_image005 Contoh x-Ray tulang peha menunjukkan osteoporosis tulang femur (peha) yang ditunjukkan dalam segi tiga.

clip_image006

LANGKAH-LANGKAH PENCEGAHAN

a)Pengambilan kalsium dan Vit D yang mencukupi

Rakyat Malaysia dikatakan mengambil hanya 300-500 mg susu sehari sedangkan,

Bagi wanita 19-49 tahun – 800 mg sehari diperlukan

Bagi wanita lebih dari 50 tahun – 1000 mg sehari diperlukan

Antara makanan yang mengandungi kalsium termasuk:-

1.Yogurt biasa 2% 1 cawan – 415 mg

2.Susu tinggi kalsium 1 cawan – 500 mg, susu biasa cuma 300 mg

3.Susu skim 1 cawan – 300 mg

4.Keju 1 cawan – 217 mg

5.Kacang soya ½ cawan – 88 mg

6.Broccoli ½ cawan – 89 mg

7. Buah oren – 52 mg

8. Ikan salmon 3-4 oz – 225 mg

Dicadangkan agar di samping minum susu, diambil juga tambahan pil kalsium karbonat atau kalsium sitrat.

Vitamin D pula, kalau kita terdedah pada matahari selama lebih dari 15 minit sehari, maka sudah mencukupi untuk kita. Bagi, wanita yang berumur, terlantar di katil atau yang kuran membuat aktiviti di luar, maka diperlukan 800 IU sehari yang boleh didapati dalam pil multivitamin atau kalsium. Vit D juga boleh didapati dalam telur, daging dan ikan salmon dan sardin.

b) Tingkatkan berat badan bagi wanita yang BMI kurang dari 19 kg/m2

c) Tingkatkan senaman “weight bearing” atau aktiviti fizikal tetapi jangan keterlaluan

Seeloknya 3-4 kali seminggu untuk 20-30 minit setiap kali untuk mengekalkan

keseimbangan hormone.

Contohnya, lebih baik jalan kaki daripada naik kereta apabila ke kedai berdekatan,

naik tangga daripada naik lif bila ke pasaraya dan berdiri daripada duduk

d) Kepentingan postur atau cara yang betul untuk duduk, jalan dan berdiri, juga untuk angkat

barang, di mana pamphlet boleh didapati di klinik dan hospital.

e) Elakkan minuman berakohol

f) Kurangan pengambilan kopi, teh dan coklat

g) Elakkan merokok

h) Bagi wanita berumur, elakkan daripada mudah jatuh dan tercedera

 

 

 

 

 

 

RAWATAN

Osteoposorosis Primer

1.Rawatan hormone untuk tingkatkan BMD

– Progestin dan oestrogen untuk wanita yang masih ada rahim

– Ostrogen untuk wanita yang tiada rahim

* Kaedah ini hanya untuk merawat dan mengelakkan osteoporosis dalam wanita yang

sudah menopos

2.Biphosphonates. Tablet allendronate 10 mg sehari selama 3 tahun

3. Suntikan hormone parathyroid (FORTEO) – agak mahal, RM 1800 sebulan selama 18 bulan

 

Osteoporosis Sekunder

1.Pesakit yang mengunakan ubat steroids contohnya asthma, boleh mengurangkan risiko dengan  mengambil steroid secara sedutan. Pesakit yang mengunakan ubat yang menyebabkan osteoporosis perlu mengamalkan senaman secara berkala seperti di atas, elakkan aktiviti yang boleh memberi risiko kemalangan yang boleh menyebabkan tulang patah.

2. Bagi pesakit ginjal/ buah pinggang, perlu rawat komplikasi yang timbul dan kalau perlu pesakit perlu rawatan dialysis

3. Mengambil Kalsium dan Vitamin D yang mencukupi setiap hari, dengan dos seperti diberikan di atas untuk mengekalkan BMD dan mengelakkan patah tulang.

4. Mengambil Calcitonin melalui sedutan

5. Amalkan senaman “weight bearing” seperti brisk walking( jalan cepat) sekurang-kurangnya 3-4 kali seminggu bersama keluarga

Kesimpulannya, bagi wanita yang belum menopos dan tiada faktor-faktor risiko yang telah disebutkan tadi, kesedaran tentang penyakit perlu ada dan eloklah diambil langkah-langkah pencegahan yang telah dinyatakan seperti  meminum susu dengan secukupnya. Sementara itu, bagi wanita yang ada factor-faktor risiko, tumpukan usaha untuk merawat penyakit-penyakit berkaitan seperti dalam osteoporosis sekunder sebaik-baiknya.

Bagi wanita yahg sudah menopos, jangan bertangguh untuk membuat ujian BMD, jaga kesihatan anda, amalkan senaman “weight bearing”, elakkan dari aktiviti yang boleh menyebabkan kecederaan dan patah tulang. Puan digalakkan untuk mendapatkan nasihat dari doktor pakar tentang  pengambilan hormon yang boleh mengelak dari osteoporosis.

Akhir kata, sekiranya puan sedang mengalami osteoporosis dan mengalami patah tulang serta kesakitan yang teruk, jangan berputus asa, teruskan rawatan dan sentiasalah berdoa dan bertawakkal dengan Allah.

Artikel telah disunting oleh:

Dr Mohd Nasiruddin Johari, Pakar Otopedik

Kuantan Medical Centre, Kuantan, Pahang.

Read article

1543

Senaman elak osteoartritis

Kolumnis, Utama

01/02/2014

30 peratus penghidap osteoarthritis (OA) adalah golongan berusia 65 tahun ke atas. Sendi lutut adalah yang paling kerap dihidapi OSTEOARTRITIS (OA) ialah artritis yang paling biasa terjadi di dunia.

OA boleh berlaku pada mana-mana sendi terutama sekali pada tangan, lutut, pinggang dan tulang belakang. Ia juga adalah salah satu daripada penyebab kesakitan sendi yang berkekalan. Di Amerika Syarikat, dianggarkan lebih daripada satu bilion dolar Amerika dibelanjakan setahun untuk pembedahan sendi, kebanyakannya akibat OA. Di Malaysia, kajian menunjukkan bahawa 30 peratus daripada mereka yang berumur melebihi 65 tahun menghidap OA dan lazimnya berlaku pada lutut.

Sehingga kini penyembuh untuk OA tidak diketahui dengan jelas, tetapi diagnosis awal amat penting untuk mengelakkan kemerosotan. Ini merangkumi, cara untuk menguruskan kesakitan dan memperbaiki fungsi sendi. Antara kaedah terbaik ialah melakukan senaman yang memberi banyak kebaikan dan membuatkan pengidap OA lebih positif dalam kehidupan. Senaman turut membantu membantu mengurangkan kesakitan dan meningkatkan fleksibiliti di samping, memperbaiki jantung dan peredaran darah. Secara umum, pergerakan fizikal dapat membantu mengekalkan berat badan dan menggalakkan kecergasan fizikal. Paling penting, melakukan senaman tidak memerlukan perbelanjaan yang besar dan kurang kesan sampingan negatif jika dilakukan dengan betul. Justeru, penghidap OA boleh bersenam untuk menjadikan tubuh kuat dan meningkatkan jarak pergerakan serta menurunkan berat badan, khususnya yang mempunyai berat badan berlebihan.

Bagaimanapun, sebelum memulakan senaman senaman dapatkan nasihat daripada doktor dan ahli fisioterapi bagi memastikan pergerakan fizikal atau aktiviti yang dilakukan sesuai untuk anda. Penghidap OA juga harus bertanya sama ada selamat atau tidak untuk melakukan senaman apabila sendi anda berasa sakit. Lazimnya, pesakit sakit akan diminta untuk berehat dan menggunakan alat untuk melegakan ketegangan pada sendi apabila berasa sakit. Ada beberapa petua yang boleh damalkan misalnya, bagi osteoporosis lutut, pemakaian kasut yang menyerap hentak, lapik dalaman sendal atau kasut berkusyen boleh membantu mengurangkan ketegangan sendi. Meletakkan ais pada lutut selepas bersenam boleh juga melegakan kesakitan. Untuk berbuat demikian, pesakit hanya perlu meletakkan ketulan ais yang dibalut dengan kain atau pek sayur-sayuran beku di atas lutut selama 10 ke 20 minit. Petua lain yang boleh diamalkan adalah meletakkan kaki dan paras lutut lebih tinggi dari paras badan sewaktu baring dan mengambil ubat penghilang kesakitan. Jika bengkak atau kesakitan berlarutan lebih daripada dua jam rehat atau kurangkan jumlah senaman.

Antara jenis senaman yang boleh dilakukan ialah

* Senaman kekuatan: Ia menggunakan gelung senaman atau alat yang tidak begitu mahal untuk meningkatkan ketahanan.

* Aktiviti aerobik: Membantu memperbaiki sistem peredaran dan memastikan paru-paru berada dalam keadaan sihat.

* Aktiviti pelbagai pergerakan: Memastikan sendi fleksibel.

* Senaman ketangkasan: Membantu mengekalkan kemahiran hidup seharian.

* Senaman leher dan kekuatan belakang: Membantu mengekalkan kekuatan dan kefleksibelan tulang belakang.

 

FAKTA: Osteoartritis Fakta Atau Rekaan?

Ada beberapa fakta tidak benar dan salah faham mengenai OA. Berikut adalah antara fakta penting yang perlu diketahui sama ada mitos atau benar:

1. Mitos

  • * Cuaca sejuk akan membuatkan osteoartritis semakin teruk.
  • * OA salah satu proses penuaan yang tidak dapat dielakkan seperti rambut beruban dan perubahan kulit.
  • * OA disebabkan oleh penggunaan, kehausan dari lusuh terhadap sendi selama bertahun-tahun.
  • * OA tidak boleh diubati.
  • * OA adalah sama seperti osteoporosis.

2. Benar

  • * Walaupun benar sendi yang sakit amat sensitif terhadap cuaca, tiada bukti bahawa iklim jangka masa panjang mempunyai kesan terhadap penyakit itu. Jadi tiada gunanya berpindah ke tempat lain di dalam dunia ini.
  • * OA juga boleh berlaku kepada orang muda, tetapi orang yang lebih tua mempunyai kebarangkalian hilang upaya yang lebih.
  • * Walaupun trauma fizikal memainkan peranan penting dalam permulaan OA, sebab sebenarnya adalah tindak balas autoimun di dalam menyebabkan perubahan mikroskopik di dalam rawan sendi.
  • * Ada banyak rawatan elektif bagi osteoartritis yang akan menolong yang menghidap OA.
  • * Osteoporosis disabitkan dengan densiti tulang yang rendah, manakala OA adalah sebaliknya, yang mana ada pertambahan densiti dan pertumbuhan tulang di keliling sendi.

Read article

1513

Kenapa Dibiarkan Merokok?

Kolumnis, Utama

29/01/2014

  • Berapa billion USD dibelanjakan oleh umat Islam di seluruh dunia untuk rokok?
  • Berapa juta umat Islam yang mati tiba-tiba di serang penyakit jantung akibat rokok?
  • Berapa juta umat Islam yang mati tersiksa dari kanser yang berpunca dari rokok?
  • Berapa ramai di kalangan remaja dan pemuda Melayu Islam yang ketagihan dadah yang bermula dari rokok?
  • Berapa ramai remaja yang digantung persekolahan disebabkan rokok?
  • Berapa ramai imam-imam dan bilal yang nafasnya berbau disebabkan amalan merokok?
  • Berapa juta di kalangan umat Islam yang gagal menunaikan fardhu haji kerana pendapatan hariannya kering dek ketagihan rokok?
  • Berapa dan kenapa?

 

Pada bulan Mac 2009 yang lalu, genaplah empat belas tahun sejak mula-mula fatwa pengharaman merokok dikeluarkan oleh Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Ke-37 pada 23 Mac 1995 lalu. Tetapi ulang tahun ke 14 ini terus disambut dengan begitu dingin sekali kerana rata-rata masih ramai orang Islam khasnya tidak mengetahui atau sengaja tidak mahu tahu tentang wujudnya fatwa tersebut. Oleh yang demikian tabiat merokok semakin berleluasa walaupun kerajaan berusaha untuk membasmi tabiat yang tidak baik di kalangan warga negara ini. Kedinginan hebahan fatwa ini perlu diperbaiki segera sekiranya orang-orang Islam khasnya perihatin tentang kedudukan ummah terutama sekali di kalangan kaum remaja.

Seorang ulama Fiqh Hanafi, Sheikh Muhammad al-Aini yang menyatakan pengharaman merokok adalah berdasarkan kepada empat perkara.

  1. Merokok membahayakan kesihatan (membunuh) seperti yang dipersetujui oleh pakar-pakar perubatan.
  2. Rokok mengandungi bahan dadah yang ditegah seperti yang diberikan oleh hadith Nabi Muhammad SAW.
  3. Asap rokok bukan sahaja menyakiti diri perokok bahkan menganggu orang-orang tidak merokok terutamanya di tempat-tempat awam seperti di tempat-tempat solat di samping menyakiti para malaikat. Kajian perubatan juga mendapati bahawa bayi yang ada dalam kandungan ibu yang menjadi teman hidup perokok juga terkesan dengan kesalahan ini.
  4. Merokok menyebabkan pembaziran yang sangat-sangat dilarang oleh Allah swt dan juga Rasulullah SAW. (Sesungguhnya membazir adalah saudara syaitan)

Fatwa yang memutuskan bahawa tabiat merokok itu adalah haram merupakan langkah permulaan yang amat baik. Malangnya usaha murni ini seolah-olah tidak berkecapaian. Perlaksanaannya terbengkalai sebegitu lama dan tidak menampakkan apa-apa tindak tanduk yang sistematik dalam memperkenalkannya kepada masyarakat Islam khasnya. Suara-suara sumbang telah mula kedengaran agar fatwa ini ditimbang semula.

Kalau kita selalu diperingatkan tentang jangan membazir makanan semasa berbuka puasa dan pembaziran itu adalah amalan syaitan; tetapi pembaziran akibat tabiat merokok tidak dititikberatkan langsung. Apa lagi pembaziran merokok diiringi dengan ribuan kemudaratan. Dalam hal ini ramai di antara kita rasanya telah bersubahat tanpa disedari atau tidak. Ini adalah satu konflik paling besar yang mesti kita selesaikan bersama.

Soalnya berapa lama lagi kita sanggup bersubahat untuk ‘membunuh’ adik beradik kita, keluarga dan masyarakat kita secara halus?

 

Prof Madya Dr Zainurrashid Zainuddin
Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi,
International Medical University, Seremban

Read article

4541

Another death by home birth

Kolumnis

23/12/2013

Yes, ajal is dictated by Qada and Qadar. But Islam emphasizes on the importance of ikhtiar and sound knowledge, and improve our decision with each experience and knowledge.

childbirth 15 Another death by home birthThere is this wide misconception that natural means Islamic. Natural means leaving things in the hands of Allah SWT. Active interventions mean otherwise, that one is not having enough faith because one depends too much on another human, or on technologies.

This is wrong.

WEIGHING MAQASID AL SHARIAT IN MODERN MEDICINE

I have had the privilege to be an academician in medical faculties of 2 esteemed institutions, previously in IIUM and currently in USIM. Students in both institutions are taught that Islam covers a wide approach in investigation and treatment and that includes a holistic scope. Students are taught on the concept of maqasid al shariat, or purpose of law.

There are 5 purposes of law (maqasid al shariat):

1. preservation of morals and religion (hifdh al diin)
2. protection and maintenance of human life (hifdh al nafs)
3. protection of the human intelect (hifdh al aql)
4. protection of progeny (hifdh al nasl)
5. protection of property rights (hifdh al maal)

In maqasid al shariat, there is no mention on the approach of how one achieves the protection. It is neither natural, nor modern intervention. If either one proves it is better than the other, say to protect one’s life, than we are to choose the better method. In preserving life, it is in fact WAJIB to choose a better method.

OBSTETRIC, HOME BIRTH AND ACTIVE MANAGEMENT OF THIRD STAGE LABOUR (AMTSL)

Obstetric discipline whether in Malaysia or abroad has gathered almost enough data on the risk of home deliveries, our grandmothers’ generations had endured.

There were post delivery bleeding because placenta would not come out which needs blood transfusion, there were cases of cord around neck that babies came out with breathing difficulty that he/she needed ventilator, there were cases that mothers endured prolonged labour that Caesarean section was inevitable. All these need hospital settings.

Injecting certain medicine to make the uterus contract faster to avoid bleeding, as well as helping mother delivering the cord, a procedure called control cord traction (CCT) are procedures in the active management of third stage labour (AMTSL). Yes, these will definitely involve chemicals, help from others and machines. But as I said, the maqasid shariah dictates the importance of preserving life, not the method.

QAWAID AL SHARIAT

This brings us to another concept which is the 5 principles of law (qawaid al shariat):

1. The principle of motives
2. The principle of certainty
3. The principle of injury
4. The principle of hardship
5. The principle of custom

In the principle of certainty (yaqeen), it is stated that a certainty cannot be voided, changed or modified by an uncertainty (al yaqeen la yazuulu bi al shakk).

It stress that any change in treatment or human behaviour should not be based on the new evidence that is not at the level of certainty. The principle has graded the level of knowledge in decreasing order of certainty as below:

Yaqeen (certain)
Ghalabatul Dzon (predominant conjecture)
Dzon (conjencture)
Syakk (doubt)

In medicine, to be certain on important decision, one has to be on the ghalabatul dzon level based on the facts (from experimental, observation, literatures) that he/she has. A 50-50 chance is not enough.

This requires research and studies. Therefore, evidence based medicine with adequate research, is very much Islamic as it provides the objective measure of Qawaid Al Shariat.

I therefore could not comprehend people who reject modern medicine on the grounds that it is less Islamic.

The case where the mother was reported to die because of retained placenta more than a few hours for waiting for it to be expulse naturally, is very much regretted. Studies have shown that AMTSL has reduced the risk bleeding or post partum haemorrhage by 60-70%. This is by comparing of only cases delivered in hospital with many other facilities available. AMTSL even in home birth, in my opinion is helpful. And if AMTSL, which has no contradiction in syariah, and proven in studies to have greater benefit, by the law of preserving life, should be a mother’s choice.

In summary, modern medicine is to reduce all these risks. It’s not intended to cause hardships to mother.

But mothers who nevertheless had to endure hardships because they delivered in hospitals, and they had to share facilities with other patients, knew very well that all those were for the sake of their babies.

So when a mother would like to choose whether it’s a home or a hospital delivery, please weigh your option carefully. Giving birth to enjoy home atmosphere, as I read from the many reasons given by mothers over related blogs or forum, should be rethink by the question: Whose interest do you have in mind, yours….. or the baby’s ?

As for this 2nd case of maternal death reported, al Fatihah. My condolences and may Allah grants great sabr to the family.

P/S: The above note was guided by a module called Medicine and Health : An Islamic Perspective by Prof Omar Hassan Kasule, part of the postgraduate curriculum in IIUM Faculty of Medicine, that integrates aqli and naqli.

Rafidah Hanim Another death by home birthProf Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar
Deputy Dean Academic and Research, Faculty of Medicine and Health Science, USIM
Chief Information, Biro Wanita ISMA
Vice President II, I-Medik
FB Page: https://www.facebook.com/drrafidahhanim

Read article

1796

Kanser Pangkal Rahim dan Vaksin HPV

Kolumnis, Utama

15/12/2013

oleh: Dr Murizah Mohd Zain

Baru-baru ini kabinet telah meluluskan satu peruntukan yang besar melibatkan RM150 juta setahun meliputi 300,000 remaja perempuaan  pada setiap tahun, bagi pembelian vaksin Human Papilloma Virus ( HPV ). Penggunaan vaksin ini diharapkan dapat mencegah berlakunya  kanser pangkal rahim ( servik ). Pelbagai pihak menyambut baik langkah yang telah diumumkan oleh Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Liow Tiong Lai. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengajak para pembaca sekelian menambahkan sedikit ilmu kita dalam bidang perubatan dan seterusnya menilai langkah yang telah diumumkan oleh kerajaan itu.
Kanser servik ataupun kanser pangkal rahim merupakan kanser organ reproduktif wanita yang paling utama dan kanser wanita yang kedua paling kerap berlaku selepas kanser payudara. Kanser servik merupakan kanser yang boleh dicegah dan kunci kepada pencegahannya adalah melalui ujian saringan pap smear. Di negara-negara maju, kanser ini sangat jarang berlaku disebabkan oleh kesedaran dan langkah pencegahan yang diamalkan tetapi di negara kita kejadian dan kematian disebabkan oleh kanser ini adalah masih tinggi.

Punca terjadinya prakanser dan kanser servik adalah disebabkan oleh jangkitan virus yang dinamakan Human Papilloma Virus ( HPV ). Kajian menunjukkan 99.7% daripada kanser servik mempunyai kaitan secara langsung dengan virus HPV ini. Terdapat lebih 100 jenis virus HPV dan ianya boleh dibahagikan kepada virus HPV berisiko rendah yang menyebabkan kutil atau wart dan virus HPV berisiko tinggi yang berkait rapat dengan prakanser dan kanser. Virus ini berkeupayaan untuk memasuki sel permukaan servik dan melepaskan DNA mereka untuk bercantum dengan DNA sel permukaan servik dan seterusnya terjadi pembiakan sel-sel di luar kawalan. Bagi kebanyakan wanita (lebih kurang 80%) yang sihat dan normal serta mengamalkan seks yang baik (tidak berbilang pasangan), mereka dapat menghapuskan jangkitan HPV ini dan bebas daripada mendapat prakanser dan kanser.

Seandainya jangkitan virus ini dapat dicegah, sudah tentu ini dapat mencegah dari terjadinya kanser dan prakanser. Sejenis vaksin HPV telah dicipta oleh saintis yang berupaya untuk mencegah jangkitan terhadap virus HPV. Vaksin HPV yang dinamakan Gardasil dan Cervarix telah diluluskan oleh ‘Federation of Drug Administration’ ( FDA dan ratusan negara di seluruh dunia telah meluluskan penggunaan vaksin ini termasuk Malaysia. Vaksin ini perlu diberi sebanyak 3 kali dalam masa 6 bulan kepada wanita seawal usia 9-26 tahun. Suntikan vaksin ini akan meransang sistem pertahanan badan untuk menghasilkan antibodi terhadap virus HPV yang terkandung dalam vaksin tersebut. Antibodi ini akan menghalang kemasukan atau jangkitan virus HPV ke atas wanita tersebut. Kesan maksima daripada vaksin ini cuma akan diperolehi oleh wanita yang belum terdedah kepada hubungan seks. Sebaik-baiknya vaksin ini diberikan ketika mereka berada pada peringkat awal remaja.


Namun, perlu diingat walaupun vaksin ini berkesan mencegah jangkitan virus HPV yang menjadi punca kanser servik, kesan akhir terhadap pengurangan insiden kanser ini cuma akan dapat dilihat selepas 15-20 tahun program perlalian berjalan. Ujian saringan Pap Smear MASIH perlu dijalankan kerana vaksin ini cuma mencegah 70% daripada kanser servik.

Langkah vaksinasi HPV yang diumumkan oleh kerajaan adalah satu yang baik walaupun ia mempunyai implikasi kewangan yang banyak namun pada masa yang sama masyarakat perlu diberi kesedaran tentang penyakit kanser servik serta langkah pencegahan sekundernyanya melalui ujian saringan Pap smear. Masyarakat perlu mengetahui tentang faktor risiko kanser servik dan seterusnya melalui amalan hidup yang sihat  dapat mengurangkan risiko untuk mendapat kanser serviks. Berikut adalah beberapa kaedah yang boleh diamalkan untuk mencegah kanser serviks;

1. Menambahkan ILMU tentang prakanser dan kanser serviks
2. Menjalani ujian saringan pap smear (ini merupakan kaedah berkesan MENCEGAH kanser serviks)
3. Mengamalkan GAYA HIDUP SIHAT seperti senaman dan pemakanan seimbang. Buah-buahan dan sayuran mengandungi banyak antioksida yang boleh mencegah kanser
4. Mengelakkan daripada tabiat merokok. Bahan-bahan dalam rokok adalah agen prakanser
5. Suami yang berkhatan boleh mengurangkan jangkitan virus HPV kepada wanita
6. Mengamalkan hubungan seks yang sihat dan SELAMAT/SAH. Hubungan seks yang dilakukan secara rambang dan dengan ramai pasangan boleh meningkatkan risiko kanser serviks
7. Vaksin HPV

Saya meyambut baik pengumuman kerajaan untuk program vaksinasi ini. Alhamdulillah, 2 anak perempuan remaja saya akan mendapat faedah dari program vaksinasi ini. (Jika kerajaan tidak memberinya, saya memang bercadang untuk membelinya dari hospital swasta untuk anak-anak perempuan saya pada kos yang ……memang mahal). Namun, pada masa yang sama, penerapan dari aspek pencegahan lain perlu dititikberatkan dan diberi perhatian.

Remaja juga perlu dinasihati vaksin HPV bukanlah tiket untuk amalan seks bebas. Ianya mencegah dari HPV tapi seks bebas mengundang pelbagai penyakit lain; hepatitis, AIDS, syphilis, gonorrhea dan bermacam-macam lagi. Asas kepada pencegahan adalah menjauhi amalan-amalan yang tidak sihat dan menjalani kehidupan selaras dengan tuntutan agama kerana itulah dalam Islam pencegahan lebih utama dari perawatan.

Selamat membaca dan untuk anak remaja- selamat “bervaksinasi”.

Dr Murizah Mohd Zain
Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi
Hospital Sultanah Bahiyah
Alor Setar, Kedah

Read article

2235

Salah Laku Seksuan Remaja, Apa Penyelesaiannya?

Kolumnis

29/10/2013

KES SENARIO
Kes A Gadis A, berumur 16 tahun didapati kerap berkeadaan murung. Apabila ditegur oleh ibunya, A cuba mengelak. Namun keadaan perutnya yang semakin membuncit menyebabkan sukar untuk A menyimpan rahsia tersebut. A melarikan diri dan tinggal bersama keluarga angkatnya di ibu kota. Beliau hanya dibawa ke hospital untuk melahirkan kandungannya ini.
Kes B Gadis B, berumur 18 tahun adalah seorang pelajar kolej swasta yang sangat aktif. Akibat ketelanjuran bersama teman lelakinya, B disyaki mengandung. Ujian kencing yang dibuat di sebuah klinik swasta mengesahkan bahawa B telahpun hamil dan kandungan janin kembar telahpun disahkan melalui ujian ultra sound. B cuba untuk menyembunyikan kandungannya sehingga terpaksa ponteng kuliah. Rahsianya terbungkar apabila B melahirkan kandungan kembarnya yang pramatang di dalam tandas asrama kolej tersebut.
Kes C Gadis C, berumur 15 tahun adalah seorang pelajar sekolah menengah. Beliau ditahan oleh pasukan polis kerana disyaki membuang bayinya apabila mayat seorang bayi yang baru sahaja meninggal dunia ditemui kira-kira 100 meter daripada rumahnya. Walaupun C menafikan dakwaan tersebut, pemeriksaan kesihatan telah mengesahkan bahawa beliau mempunyai banyak tanda-tanda bahawa gadis C baru sahaja melahirkan kandungannya.

babyterbiar

PENDAHULUAN

Begitulah sebahagian daripada ratusan kes senario yang pernah saya depani berlaku akibat salah laku seksual remaja. Berita seumpama ini semakin kerap dilaporkan di dada-dada akhbar dan di kaca-kaca televisyen. Orang ramai pula semakin risau dan mula bersuara walaupun majoritinya masih buat tidak kisah terhadap gejala sosial yang semakin merebak ini.

 

STATISTIK

Kita tidak mempunyai laporan statistik yang tepat mengenai jumlah sebenar remaja yang hamil di Malaysia. Namun peningkatan kejadian buang bayi, remaja ponteng dan berhenti sekolah, remaja melarikan diri dari rumah dan peningkatan kes-kes remaja yang hamil dan bersalin membuktikan bahawa permasalahn ini menjadi semakin parah. Malahan saya pernah berhadapan dengan 3 kes remaja yang hamil yang hampir melahirkan anak ketika mereka hanya berumur 13 tahun. Dinisbahkan sebagai pelajar sekolah menengah, mereka baru berada di tingkatan satu.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim telah menyatakan bahawa seramai 17,303 anak luar nikah Melayu telah didaftarkan di seluruh Negara sepanjang tahun 2009 seperti yang dilaporkan oleh akhbar Berita harian bertarikh 21hb Mac 2010. Menurut beliau lagi, bilangan itu meningkat 762 kes berbanding tahun sebelumnya. Pada 2008 seramai 16,541 anak luar nikah didaftarkan di JPN manakala pada 2007 seramai 16,1000. Ini bererti seramai kira-kira 65 bayi di luar nikah dilahirkan di kalangan orang Melayu. Jumlah ini tidak termasuk di kalangan kes buang bayi yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Walaupun laporan JPN dan JKM tidak pernah menyatakan umur sebenar ibu-ibu yang melahirkan anak di luar nikah ini, kejadian ini seharusnya sudah lebih dari cukup untuk membuka mata masyarakat umum bahawa salah laku seksual atau lebih tepatnya kejadian zina semakin merebak termasuk di kalangan remaja Melayu.

Sebahagian besar daripada mereka yang terlibat dalam gejala seks luar nikah adalah di kalangan kumpulan remaja di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan juga di sekolah menengah. Ini merupakan satu kejadian yang sangat menggerunkan kita semua.

 

PUNCA-PUNCA KEJADIAN

Memang banyak pendapat dan kritikan daripada pelbagai pihak yang diutarakan apabila gejala pembuangan bayi mendapat liputan meluas media. Ada yang menyalahkan remaja yang tidak berupaya mengawal tuntutan nafsu, malah ada juga yang menuding jari kepada institusi keluarga yang goyah. Ada yang menyalahkan pihak sekolah yang gagal mengawal disiplin pelajarnya dan ada yang mengkritik kementerian pendidikan yang gagal memperkenalkan pendidikan seks kepada remaja berkenaan. Ada yang menyalahkan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan ramai yang mempertikaikan usaha ulama yang terlalu sedikit bagi membendung masalah ini.

Ada yang mengatakan gejala pembuangan bayi adalah kesan akibat pembangunan pasca kemodenan. Pada era globalisasi dengan kecanggihan perkembangan teknologi komunikasi turut mempengaruhi perlakuan seksual remaja. Ada yang mengatakan bahawa media adalah punca bagi segala-galanya dan kerajaan bertanggung-jawab sepenuhnya terhadap kejadian yang semakin merebak ini.

ADANGAN CARA PENYELESAIKAN

Persoalannya yang utama sekarang bukanlah untuk kita menuding jari kepada siapa yang paling bersalah di dalam hal ini tetapi adalah bagaimana permasalahan ini boleh kita tangani bersama sehingga ke tahap sifar atau minima sekurang-kurangnya.

1-Peranan ibubapa

Ibu bapa adalah contoh tauladan kepada anak-anak dan berperanan untuk mendidik anak-anak dengan didikan Islam dan akhlak yang terpuji semenjak mereka kecil lagi. Para ibu bapa yang tidak berkemampuan mesti memohon bantuan dan pertolongan dari pihak-pihak lain yang boleh membantu mereka dalam mendidik anak-anak. Aktiviti anak-anak serta keluar masuk meraka mestilah diperhatikan secara berpatutan sebelum nasi menjadi bubur.

2-Peranan Remaja

Remaja sendiri mestilah pandai menjaga diri masing-masing dengan memilih rakan-rakan yang baik sebagai kawan sepergaulan mereka. Mereka seharusnya memiliki idola remaja yang boleh diikuti sebagai pemangkin kepada kehidupan mereka yang yang bermotivasi yang berasaskan kepada contoh tauladan yang baik.

3-Peranan Masyarakat Awam

Dalam kehidupan sosial, Islam telah menentukan sistem perkahwinan, batas-batas pergaulan antara lelaki dan wanita, batasan aurat bagi lelaki dan wanita dan sebagainya yang mana ia akan mencegah pelbagai punca kepada pintu penyimpangan seksual yang mengakibatkan kerosakan akhlak dan lain-lain. Islam memandang masyarakat sebagai kumpulan individu yang memiliki pemikiran dan perasaan yang sama, serta interaksi di antara mereka perlu diatur oleh suatu aturan yang tertentu.

Masyarakat awam mesti bersikap sensitif dengan apa yang berlaku di sekeliling kita. Kita semua mesti berperanan untuk memperbaiki keadaan yang ada sekarang.

4-Peranan NGO

NGO memainkan peranan yang sangat penting dalam menangani permasalahan ini. NGO boleh membantu remaja menghala-tujukan kehidupan mereka agar lebih terarah dan terurus. Banyak NGO di Malaysia yang bergiat aktif bagi menangani permasalahan remaja Melayu seperti Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), ABIM, HALUAN, JIM, Yayasan Amal dan lain-lain. Aktiviti-aktiviti dan program yang dianjurkan oleh NGO-NGO ini yang mengambil berat mengenai remaja seharusnya disokong oleh semua pihak termasuk dari pihak kerajaan sendiri. Bantuan teknikal dan kewangan yang diperlukan oleh NGO yang menangani remaja seharusnya disalurkan kepada mereka secara yang optima.

5-Peranan Guru dan Sekolah

Guru-guru dan sekolah memainkan peranan yang sangat penting dalam pendidikan remaja. Fokus pendidikan tidak hanya terfokus kepada pencapaian akademik semata-mata. Aktiviti-aktiviti dan program pelajar juga mestilah menjuruskan kepada pembinaan sahsiah yang terpuji dan pembinaan generasi muda yang cemerlang yang bakal menggantikan kepimpinan negara di masa aka datang. Pelajar-pelajar yang bermasalah mestilah dikenalpasti dengan lebih awal dan disalurkan kepada program pemulihan atau panambahbaikan secara sistematik.

6-Peranan Kementerian Pelajaran

Usaha Kementerian Pelajaran bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang merangka dan menyelaraskan Garis Panduan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan (GPPKRSK) dengan peruntukan RM 20 juta bagi menangani masalah terbabit adalah amat dihargai. Namun usaha ini tidak membuahkan sebarang hasil yang positif sekiranya tidak dilaksanakan secara serius atau secara sambil lewa sahaja. Cadangan untuk memperkenalkan pendidikan seks kepada remaja di sekolah adalah cadangan yang baik tetapi mestilah dimulakan dengan kajian yang mendalam bagi mempastikan keberkesanan penyampaian silibus tersebut. Penglibatan para ibu-bapa memahami isu ini dan sokongan terhadapnya pasti akan membantu keberkesanannya.

Kementerian juga berperanan dengan peranan yang lebih luas yang tidak hanya memfokuskan pelajar dan guru dengan kejayaan dalam bidang akademik sahaja bahkan juga cemerlang di dalam pembentukan sahsiah dan kepimpinan remaja.

7-Peranan Media

Media memainkan peranan yang sangat penting terhadap apa yang telah dan sedang berlaku pada ketika ini. Remaja negitu terpengaruh dengan budaya barat dan apa yang ditunjukkan oleh para artis samada dari dalam atau dari luar Negara. Sudah semestinya perlu ada pengawalan media terhadap semua filem luar mahupun tempatan agar tidak bersifat keterlaluan dalam usaha untuk menghiburkan masyarakat umum. Majalah dan penerbitan lucah mesti dihentikan seberapa segera oleh pihak berwajib agar tidak terus menyuburkan budaya yang negatif ini. Sebelum nasi menjadi bubur, langkah-langkah proaktif kepada pihak media mestilah disegerakan.

8-Peranan Parlimen

Permasalahan salah laku seksual remaja dan belia kini sudah sampai ke tahap yang kritikal. Isu ini mestilah dibincangkan secara serius di peringkat parlimen tanpa memandang kepada mana-mana latar belakang parti politik. Ahli politik dan ahli parlimen mestilah mengenepikan pandangan peribadi dan kepartian bagi menangani isu nasional ini. Permasalahan remaja dan belia ini adalah agenda bersama yang mesti diperjuangkan oleh semua pihak.

Penutup

Remaja dan belia adalah agen perubahan. Remaja dan belia hari ini adalah pemimpin yang akan memimpin negara di masa akan datang. Permasalahan remaja hari ini yang semakin kritikal memerlukan usaha yang menyeluruh lagi bersepadu daripada semua pihak. Bukanlah masanya yang tepat untuk kita menuding jari kepada pihak-pihak yang tertentu bagi memikul beban dan tanggung-jawab ini. Ini adalah isu nasional yang mesti ditangani oleh kita semua sebagai agenda bersama.

Oleh :

Prof Madya Dr Zainur Rashid Bin Zainuddin

 

Ahli Jawatankuasa  i-Medik

Beliau juga adalah merupakan:

Timbalan Dekan, International Medical University, Dan Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi, Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan

Read article

2083

Sebelum Dan Selepas Ramadhan Tetap Sama?

Kolumnis

25/07/2013

RAMADHAN

Ucapan dan doa yang biasa kita dengar iaitu ucapan kesyukuran kerana diizin oleh Allah SWT berada di dalam bulan Ramadhan pada tahun ini, dan berharap akan bertemu lagi pada Ramadhan akan datang. Tetapi apakah rasa syukur ini di iringi dengan perbuatan atau sekadar keindahan kata-kata sahaja?

Sepatutnya di antara bukti kesyukuran ialah semakin ditingkatkan amalan pada sepuluh hari terakhir. Namun di Malaysia, beriktikaf di dalam masjid dan membaca Al Quran tidak menjadi budaya setiap kali datangnya Ramadhan.

Kisah beberapa keluarga orang Arab yang berkerja di Malaysia, di mana setiap kali datangnya bulan Ramadhan mereka akan mengambil cuti panjang untuk menyambut Ramadhan di Negara masing-masing. Alasan mereka ialah  bulan Ramadhan di Negara mereka adalah bulan pesta rohani atau pesta beribadah, sebaliknya di Malaysia suasana itu tidak wujud.

Di kebanyakan Negara Arab setiap kali menjelang berbuka puasa, bukan sahaja di sekitar masjid tetapi di tepi jalan raya didirikan khemah-khemah untuk mengagihkan secara percuma makanan berbuka. Sebaliknya di negara kita tidak terkira banyaknya khemah di bazaar Ramadhan dan pesta makanan ini sudah lama menjadi  pemandangan biasa . Orang Arab ini mengeluarkan wang untuk mencari pahala, tetapi orang kita mengumpul wang lebih untuk beraya!

Semua orang maklum, pada sepuluh malam terakhir, masjid/surau di negara kita semakin lenggang, sebaliknya di Negara Arab masjid semakin penuh. Rumah mereka di terangi lampu sejak malam pertama Ramadhan, manakala orang kita rumahnya malap sepanjang Ramadhan, tetapi bergermalapan pada malam raya. Ucapan ‘ Ramadhan karem’ merupakan ucapan yang sering diucapkan oleh orang Arab, dan banyak terdapat kumpulan tadarus, sebaliknya di  negara kita pula, hanya AJK dan orang ‘kaki masjid’ sahaja yang bertadarus!

Media elektronik dan cetak di negara kita TIDAK MESRA RAMADHAN, di mana bahan hiburan masih seperti biasa dan rancangan agama sekadar tempelan sahaja. Orang kita masih lagi setia di hadapan televisyen, membaca bacaan ‘rojak’ dan telinga masih suka mendengar lagu-lagu yang melalai, malah lagu-lagu raya yang bertalu-talu didendangkan sehingga membuatkan emosi semakin teruja menyambut adil fitri. Sekiranya radio ini memperbanyakan bacaan Al Qur’an, akan ada pertanyaan, “ Ada ke  orang besar yang mati pada hari ini?”.

Ceramah, tazkirah dan khutbah Jumaat tentang lalilatu qadar sentiasa disebut dan diperdengarkan, tetapi masih banyak masjid yang berkunci dan terus sepi.

Ini adalah TREND lama apabila Melayu  layu pada bulan Ramadhan, setelah anak-anak mereka layu dengan dadah, anak luar nikah, corot dalam banyak hal dan pelbagai gejala negatif yang lain. Sekiranya kita mengakui  dengan ‘merangkul dan mengekalkan kejuaraan’ dalam  budaya buruk di kalangan bangsa kita ini  adalah musibah dan bala dari Allah SWT, maka kita juga patut mengakui bahawa ianya juga satu musibah apabila orang kita tidak cenderung untuk mendekatkan diri kepada Allah. Jika pada bulan Ramadhan amalan mereka lesu, apalagi pada bulan-bulan lain. Dan musibah ini akan terus melanda apabila semakin banyak peringatan yang dibuat, mereka TETAP TIDAK BERUBAH. Yakinlah, jika kita kekal dengan gaya beribadah sebegini, maka bala terhadap bangsa kita akan terus kekal. Juga kerana kita bukan bangsa yang secara kolektifnya bersungguh dekat dengan Allah, malah longgar ikatan ukhwahnya.

Kita juga sudah biasa diperingatkan tentang kembali fitrah sebaik tamat ramadhan, tetapi slogan dan ungkapan ini sekadar pemujuk minda dan berlalu begitu sahaja. Jika amalan pada bulan mulia ini sekadar sambil lewa dan tidak berubah dari tahun-tahun sebelumnya, maka sukar mencapai darjah ketaqwaan hakiki.

Pada bulan-bulan lain, pada setiap minggu pada hari Jumaat para khatib menyeru agar kita meningkatkan keimanan dan beramal dengan Islam, tetapi sejauh mana seruan itu benar-benar berkesan dalam jiwa. HIDAYAH ITU UNTUK MEREKA YANG BERUSAHA DAN IKHLAS MEMBUKA JIWA UNTUK MENERIMA HIDAYAH.

Tujuan UTAMA tulisan ini ialah mengajak untuk MEMIKIRKAN DIRI SENDIRI dan MENILAI DIRI serta tidak memberi alasan  orang Melayu juga seperti anda!

Begitu juga kita sudah biasa di peringatkan tentang apakah perubahan yang sepatutnya kita lakukan selepas keluar dari ‘sekolah Ramadhan’ ini!

Beberapa perkara yang sepatutnya kita ubah selepas ramadhan ini ialah:-

  1. Kerap berjemaah di kariah terutama waktu maghrib dan Isyak
  2. Setelah mampu berjemaah maghrib dan isyak, berusaha ISTIQAMAH subuh berjemaah
  3. Menimba ilmu pada kuliah magrib/subuh setelah ikhlas mendengar tazkirah ramadhan.
  4. Membaca Al Qur’an pada setiap hari, dan merancang untuk khatam pada bulan lain
  5. Mengurangkan mendengar radio atau menonton rancangan TV yang tidak berfaedah
  6. Setelah mampu 12 jam tidak merokok, maka mengapa terus ketagih pada bulan lain? Rancang untuk terus berhenti merokok yang sudah diharamkan oleh jumhur ulamak Malaysia sejak 1994 dan ulamak Al Azahar pada 1982 lagi. Iman yang rendah akan berpegang kepada hukum makruh, padahal mengakui bahawa para ulamak adalah penyambung tugas Nabi.
  7. Silaturahim ditingkatkan setelah berbual mesra ketika tarawih dan moreh.
  8. Kepada yang cinta kepada makanan dan berbadan besar, berubahlah kepada berpada pada makan-minum dan berusaha menjadi muslim yang ‘smart’ bentuk tubuh badan dan kecergasannya.

Semoga falsafah Ramadhan tidak d idalam minda atau sebagai teori semata-mata.  Juga semoga kita tidak tergolong dalam maksud hadis Nabi SAW, berpuasa tetapi sekadar lapar dan letih. Jika amalan ibadah dan amal kehidupan sebelum dan selepas Ramadhan TETAP SAMA, maka kita bimbang amalan puasa pada tahun ini tidak bermutu dan rendah nilai pahalanya. Setelah TAHU, maka BERUBAHLAH…..

Read article

1507

Perdagangan Buah Pinggang

Kolumnis

22/06/2012

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan kira-kira 66,000 kes pemindahan buah pinggang, 21,000 kes pemindahan hati dan 6,000 pemindahan jantung telah dijalankan di seluruh dunia pada tahun 2005.

Dengan berlakunya peningkatan global penyakit buah pinggang dan bekalan yang semakin berkurangan bagi buah pinggang untuk rawatan kesihatan telah membawa kepada peningkatan besar dalam perdagangan buah pinggang haram.

Namun, WHO menganggarkan bahawa hanya kira-kira 10% daripada permintaan bagi pemindahan buah pinggang telah dipenuhi pada sepanjang tahun 2005.

Dianggarkan secara konservatif bahawa sebanyak 15,000 kes buah pinggang diperdagangkan secara haram pada setiap tahun.

Kidney Transplant Apabila hidup terdesak...

Buah pinggang (kidney)

Secara purata, seseorang ‘penderma’ akan dibayar USD 2,000.00-6,000.oo (RM 6,600.00-20,000.00) untuk satu buah pinggangnya. Namun, tidak ada rawatan perubatan selanjutnya untuk ‘penderma’ tersebut selepas pembedahan ini.

Hasilnya, ramai ‘penderma’ yang telah mengalami komplikasi perubatan yang serius dan menanggung kos perubatan yang besar, selain daripada meninggalkan mereka dengan wang yang sedikit atau tidak ada wang langsung untuk terus hidup.

Bebarapa orang yang menjalani pembedahan menerima buah pinggang di Cina mendakwa bahawa mereka dikehendaki membayar sebanyak antara USD 10,000-60,000.00 (RM 66,000-200,000.00) bagi satu buah pinggang yang diterimanya.

pakistan organ trafficking Apabila hidup terdesak...

‘Penderma’ yang menjadi mangsa…di Pakistan

Saya berpandangan bahawa ini adalah satu jenayah yang serius. Tidak ada negara di dunia yang membenarkan penyeludupan organ tetapi perdagangan organ haram ini telah hidup subur akibat dibelenggu kemiskinan dan rasuah seperti di Brazil, Israel, Afrika Selatan, Indonesia, India, Pakistan, Iraq, Mesir dan juga di Cina.

Alhamdulillah, setakat ini saya belum pernah mendengar sebarang berita tentang rakyat Malaysia yang terpaksa ‘menderma’ buah pinggang atas desakan hidup tetapi saya tidak dapat menafikan bahawa di sana ada rakyat Malaysia yang terlibat di dalam kes ‘membeli’ buah pinggang yang diperdagangkan daripada negara-negara tadi.

Keadaan terdesak menyebabkan ramai pembeli “terlepas pandang” atau mewajarkan menyalahi undang-undang antarabangsa dan tidak berperikemanusiaan ini dengan membeli organ yang diperdagangkan.

organ surgeon Apabila hidup terdesak...Buah pinggang (dan organ-organ lain) juga kerap digunakan sebagai cagaran untuk peminjam wang di beberapa wilayah di India. Majoriti penderma ini terpaksa menjual buah pinggang mereka demi untuk melunaskan hutang setelah mendapati diri mereka terjerut dalam hutang yang serius.

Sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata apabila kebanyakan ‘penderma’ yang terdesak ini berkata”

“Saya akan melakukannya sekali lagi……”

“Saya mempunyai keluarga untuk disara……”

“Apa pilihan yang saya ada?……”

Baca lagi :

http://modern-injustice.com/

http://berkeley.edu/news/media/releases/99legacy/11-03-1999b.html

http://news.upickreviews.com/8-countries-where-human-organs-are-harvested

http://www.huffingtonpost.com/2009/07/24/illegal-organ-trafficking_n_244686.html?view=print&comm_ref=false

http://www.moh.gov.my/images/gallery/orga/edu/awam/Pemindahan_Organ_IslamBM.pdf

Oleh Prof Madya Dr Zainurrashid

Read article