MENU

Utama
Category

2111

TAHUN 2017- TAHUN JURURAWAT SIHAT

Kolumnis, Mesej, Motivasi, Utama

16/01/2017

Selamat datang tahun baru 2017!

Jururawat I-Medik berharap semua jururawat memiliki tenaga yang baharu untuk mengemban tugas mulia dalam mengembalikan kesihatan manusia di tempat asalnya – bebas daripada penyakit dan kekangan kesihatan. InshaAllah.

Jururawat I-medik tertarik dengan tema yang dibawakan oleh Persatuan Jururawat Amerika (American Nursing Association) sempena menghadapi tahun baru 2017 dalam nafas seorang jururawat. “Year of the Healthy Nurse” – Tahun Jururawat Sihat. Saya melihat tema ini relevan dengan apa yang dihadapi jururawat kita di Malaysia khususnya.

Menurut ANA, jururawat yang sihat adalah seseorang yang mampu memberikan fokus secara aktif dalam membentuk dan mengawal sinergi yang seimbang secara fizikal, emosi, sosial, peribadi dan keutuhan professional.

Tanpa melanjutkan bicara, kita sendiri – jururawat – di awal profession, bahkan semenjak bergelar sebagai seorang pelajar lagi, sudah sebati dengan nasihat “jururawat adalah teladan kesihatan”. Kita adalah individu kesihatan yang paling hampir dan selalu bersama pesakit dan masyarakat. Sudah tentu, neraca erti sihat bagi sesetengah masyarakat akan sedikit sebanyak melihat bagaimana jururawat memantulkan imej sihatnya.

Sebagai seseorang yang memahami makna sihat lebih daripada orang biasa, jururawat seharusnya menyediakan diri dari segi fizikal, mental, emosi dan spiritual yang baik terlebih dahulu sebelum berhadapan dengan pesakit. Hal ini kerana masyarakat lebih terkesan jika kita melaksakanakan apa yang kita nasihatkan kepada pesakit, pendek kata “cakap serupa bikin”.

Kita mungkin tertanya-tanya, bagaimana seseorang jururawat yang merokok berupaya menasihatkan pesakitnya agar berhenti merokok sedangkan dia sendiri merokok di belakang bangunan hospital atau klinik.

Kita mungkin menjadi segan-silu sekiranya seseorang jururawat yang mempunyai berat badan tahap obesiti memberikan nasihat kepada pesakitnya agar mengambil pemakanan yang seimbang.

Oleh hal yang demikian, jururawat perlu menginsafi bahawa titik tolak ke arah masyarakat yang lebih sihat juga dipengaruhi oleh peribadi pengamal perubatan dan kesihatan seperti jururawat dan doktor.

Justeru, Jururawat I-Medik menyeru agar jururawat melakukan perubahan diri ke arah yang lebih sihat lebih-lebih lagi bersempena dengan tahun baharu ini. Sebagai tambahan, Jururawat I-Medik juga menekankan agar para jururawat muslim juga harus sihat dan kuat dari segi spiritual. Hal ini merangkumi aspek penjagaan ibadah diri, akhlak apabila bermuamalah dengan pesakit dan pengetahuan tentang cabang ilmu fiqh khususnya dalam dunia perubatan. Hal ini penting kerana sejajar dengan kesedaran masyarakat Malaysia yang semakin dekat dengan Islam, jururawat juga harus memenuhi keperluan pesakit dari segi spiritualnya.

Semoga jururawat kita menjadi individu yang mampu menjadi cerminan yang sihat kepada institusi kesihatan lantas berupaya mendidik pesakit dan masyarakat dengan lebih berkeyakinan.

 

photo_2016-10-25_10-45-55Mohammed Rasheedan b Ellin
Jururawat U41
Pengajar Klinikal UNIMAS
Editor, Unit Jururawat I-Medik.

 

 

Read article

1626

I-Medik: KAWAL SELIA ROKOK ELEKTRONIK, VAPE PERLU KE ARAH PENGHARAMAN DEMI KESIHATAN RAKYAT

Kolumnis, Mesej, Utama

04/01/2017

Pada 28 Oktober 2016 yang lalu, mesyuarat Jemaah Menteri telah memutuskan penggunaan rokok elektronik dan vape dikawal selia oleh tiga kementerian, iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Sehubungan dengan itu, Pertubuhan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) berpendapat langkah tersebut harus dilihat sebagai hanyalah langkah awal ke arah usaha yang lebih tegas untuk mengharamkan penggunaannya sama sekali.

Ini kerana rokok eletronik dan vape, samada mengandungi nikotin atau tidak tetap akan mendatangkan kesan sampingan kepada kesihatan.

Usaha berterusan harus dijalankan agar rokok elektronik tidak membudaya di dalam masyarakat sebagaimana rokok, terutama bagi generasi remaja. Ini penting kerana dilaporkan bahawa terdapat 300,000 pengguna rokok elektronik dari kalangan remaja.

Dalam satu kajian melibatkan pelajar-pelajar sekolah di Selatan California, Amerika Syarikat, dimana pelajar dipantau penggunaan vape atau rokok selama 16 bulan, dilaporkan pelajar yang menggunakan rokok elektronik mempunyai 6 kali lebih kecenderungan memulakan tabiat merokok.

Manakala kajian saintis dalam laporan terbaru 2016 menunjukkan formaldehyde yang terhasil dari proses pembakaran “combustion ” cecair vape, yang melalui rongga hidung dan paru-paru, boleh merosakkan gen-gen yang berfungsi untuk melawan jangkitan kuman sama seperti asap rokok, walaupun cecair vape itu tidak mengandungi nikotin. Ini meningkatkan risiko penyakit ke atas pengguna vape.

I-Medik mengalu-alukan keputusan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia kekal mengawal selia penjualan cecair rokok elektronik yang mengandungi nikotin di bawah Akta Racun 1952, dan Akta Jualan Dadah 1952, menjadikan penjualan sediaan yang mengandungi nikotin hanya dibenarkan oleh farmasi berlesen dan pengamal perubatan berdaftar untuk tujuan rawatan perubatan.

Penggunaan vape tanpa nikotin pula akan tetap dikawal ketat di bawah akta baru Kementerian Kesihatan Malaysia bagi menggantikan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 bagi mengawal seliaan penjualan, promosi dan pelabelan yang berkaitan dengan kesihatan , juga larangan penggunaannya bagi orang di bawah umur.

Ini harus dilihat sebagai satu titik permulaan agar penggunaan rokok elektronik dapat diharamkan sepenuhnya di masa hadapan. Selain dari sebab kesihatan, pengguna Muslim wajar mematuhi pengharaman rokok elektronik seperti yang diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis – majlis Fatwa Negeri .

round_DrRafidahProf Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar
Naib Presiden
Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik)

Read article

1227

I-MEDIK SARAWAK SAMPAIKAN PERINGATAN BAHAYA DIABETES KEPADA MASYARAKAT

Aktiviti, Utama

27/12/2016

Kota Samarahan, 23 Disember 2016 – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Samarahan dengan kerjasama Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) Sarawak dan Masjid Darul Taqwa Kota Samarahan telah mengadakan siri ceramah kesihatan yang mana pada kali ini mengupas tajuk Diabetes (kencing manis).

photo_2016-12-27_14-00-25

Ceramah yang telah disampaikan oleh saudara Rasheedan Ellin yang merupakan ketua Biro Dakwah ISMA Samarahan dan juga AJK I-Medik Sarawak. Ceramah ini telah dihadiri lebih 50 orang hadirin pelbagai usia dari sekitar Kota Samarahan.

“Pada tahun 2015, Malaysia mencatatkan bilangan pesakit kencing manis seramai 3.3 juta. Dalam laporan Global Status Report Tahun 2010 pula, Malaysia mencatatkan jumlah peratusan obesiti, lebih berat badan dan kandungan gula berlebihan dalam darah yang tertinggi dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara.”

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ceramah yang bertajuk ‘Diabetes, Manis yang Membunuh di Masjid Darul Taqwa, Kota Samarahan, Sarawak.

“Hal ini sangat merisaukan kerana menggambarkan masa depan kesihatan rakyat Malaysia yang semakin merudum.” Ulasnya lagi.

Penyakit diabetes atau kencing manis merupakan antara pembunuh utama penduduk di Malaysia yang banyak dipengaruhi oleh gaya hidup tidak sihat seperti pemakanan yang tidak seimbang dan kurang bersenam serta merokok.

Siri ceramah kesihatan ini turut dimeriahkan dengan pemeriksaan kesihatan percuma oleh aktivis I-Medik Sarawak dan pelajar kejururawatan daripada Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

photo_2016-12-27_14-00-27

Read article

1334

APA YANG TERSELINDUNG DI SEBALIK SEBUAH MISI PERUBATAN?

Kolumnis, Mesej, Motivasi, Utama

27/12/2016

Salah satu daripada keperluan hidup manusia adalah keperluan kesihatan. Dalam nikmat keselesaan yang kita nikmati, terdapat kelompok masyarakat yang masih jauh daripada akses dan kurang berkemampuan untuk menyempurnakan kesihatan mereka.

Menyertai misi perubatan dan kesihatan bukan sahaja dapat memenuhi keperluan masyarakat kurang mampu, tetapi mendidik diri untuk selalu bersyukur atas nikmat kesihatan dan kemudahan perubatan yang serba mudah. Kerap kali keluhan apabila kami menanyakan kenapa tidak membuat pemeriksaan kesihatan? Penjaganya menjawab, jauh dan kos yang tinggi jika hendak ke pusat kesihatan. Seperti kes di Kampung Sungai Asap, penduduk terpaksa keluar ke Bandar Bintulu hampir 150km jauhnya, dan jika keluar terpaksa mengeluarkan kos juga untuk penginapan.

12841323_1580899902234618_3082476216955097021_o

Misi-misi tahun 2016 I-Medik Sarawak dan Yayasan Ikhlas telah dimudahcara oleh beberapa agensi antaranya Urusetia Saudara Kita (USK) Majlis Islam Sarawak, HIKMAH Sarawak, dan YADIM Sarawak untuk memberikan khidmat perubatan dan kesihatan kepada masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.

Dalam keadaan serba kurang, para sukarelawan tetap memberikan khidmat terbaik kepada pesakit dan masyarakat kampung kerana harapan yang menggunung terpampang dari saat pertama menjejakkan kaki ke kawasan misi. Sukarelawan ini tidaklah melainkan insan yang Allah pilih untuk menyampaikan nikmat-Nya kepada insan lain yang lebih memerlukan.

14720568_1720234578301149_1213372434693592240_n

Allah mencipta pelbagai ruang untuk manusia menjadi bermanfaat. Walaupun objektif misi adalah untuk memenuhi keperluan mereka yang dhaif, namun pelaksanaan misi tersebut mempunyai sebuah misi yang juga penting; menghakis sifat bakhil (menahan harta untuk diinfakkan) dan kikir (tamak dan rakus dengan harta orang lain) dalam diri sukarelawan.

Di dalam hati berbisik, alangkah bagusnya kalau kemudahan dan ubat-ubatan kami serba lengkap dan serba cukup. Namun itulah ibrah dari sebuah misi; melangkau batas rutin biasa dan mengajar erti kemandirian dalam keadaan terdesak. Namun begitu, kualiti kesihatan tanpa kompromi mendesak untuk keperluan kami harus ditambah baik – walaupun hanya sekadar misi. Dengan harapan misi akan datang lebih berjaya dan menepati keperluan perkhidmatan.

Alhamdulillah, ramai juga insan di luar sana yang berhati mulia menyumbangkan wang dan kelengkapan misi – ucapan terima kasih setinggi-tingginya. Duit anda bukan untuk membayar elaun sukarelawan namun sepenuhnya disumbangkan kepada mereka yang memerlukan. Semoga Allah membalasnya dengan segala kebaikan. Keperluan misi ini sentiasa berkembang dengan luasnya cakupan kawasan yang menjangkau dari Kuching ke Bintulu (pada tahun 2016) dan semestinya sumbangan anda sentiasa dialu-alukan.

Saya sertakan terus nombor akaun berikut untuk anda menyumbang.

Maybank Islamic I-MEDIK 5628-3463-5104
Maybank Islamic Yayasan Ikhlas 5628-3463-6228

Di saat ini mari kita mendoakan kesejahteraan juga buat saudara yang lebih perit dugaannya; di Aleppo, Arakan, dan Gaza – yang bertumpahan darah mempertahankan nyawa dan tanah air. Allah-lah yang berkuasa mengatur kehidupan hamba-Nya.

الله المستعان
Kembali Menyusun Misi 2017. Jom!

photo_2016-10-25_10-45-55Mohammed Rasheedan b Ellin
Jawatankuasa I-MEDIK Sarawak
Jururawat dan Pengajar Klinikal,
Jabatan Kejururawatan,
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,
Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Read article

2307

GEJALA DADAH (Bahagian 1)

Kolumnis, Mesej, Utama

22/12/2016

Ibu muda itu datang membawa anaknya yang berumur 1 tahun, dengan aduan demam, batuk dan sesak nafas selama seminggu. Bertanya lanjut hal pemakanan si bayi, si ibu sudah sebulan memberi bayinya “susu” dari bancuhan air bersama krimer pekat manis yang biasa digunakan untuk menyediakan minuman seperti teh tarik. Selain dari berat badan bayi yang berkurangan dari yang sepatutnya dan menunjukkan tanda-tanda malnutrisi, bayi tersebut mengalami jangkitan pernafasan pneumonia yang teruk, dengan bibir kebiruan, yang menyebabkan saya terpaksa merujuknya ke hospital besar segera agar mendapat mendapat rawatan lebih intensif. Si ibu rupanya terpaksa tidak menyusukan anak dengan susu badan kerana beliau bekerja. Ditanya tentang sejarah keluarga, beliau mengakui suaminya seorang penagih dadah dan tidak dapat memberikan nafkah beliau anak-beranak. Suami juga kerap meminta wang dari beliau, yang akhirnya memaksa beliau bekerja kerana kesempitan wang. Anak yang masih kecil itu terpaksa dihantar ke penjaga, dengan bekalan “susu” krimer pekat manis, apabila susu formula biasa sudah kehabisan. Sebelum beliau dan bayinya menaiki ambulan untuk dirujuk ke hospital, saya bergegas ke kedai runcit di hadapan klinik bagi membeli setin susu formula dan diberikan kepada beliau. Saya tahu ia tidak mencukupi, dan keadaan akan kembali seperti asal sebaik beliau dan bayi keluar dari hospital nanti, tetapi itulah yang termampu yang saya lakukan sebagai seorang doktor yang baru ditahun kedua perkhidmatan ketika itu.

Oleh kerana itulah, ketika diundang sebagai salah seorang ahli panel Forum Seminar Antarabangsa Pencegahan Penyalahgunaan Dadah (PREVENT 2016) anjuran Pusat Penyelidikan Dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (ACREDA) dan Mahasiswa Sarjana Kaunseling Penyalahgunaan Dadah (SPADA), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bertajuk Adakah Pencegahan Berkesan? , saya mengulangi pendirian, bahawa perang ke atas gejala penagihan dadah ini, baik dari sudut pencegahan, rawatan dan pemulihan dadah perlu diteruskan secara berterusan dan dalam skala yang lebih besar. Pengharaman sebarang bahan yang mempunyai elemen ketagihan perlu sentiasa disokong oleh kerajaan dan semua pihak, walaupun ada gesaan untuk dilonggarkan pengharaman ini demi manfaat pengkomersilan. Impak dadah ke atas faktor sosial, kesihatan penagih dan kesihatan keluarga penagih seperti yang saya gambarkan diawal artikel ini, tidak dapat diukur dengan timbal-balik keuntungan dari pengkomersilan bahan-bahan ketagihan ini.

15578115_717733761715419_4583831449632759193_o

Dadah yang disalahgunakan secara umumnya terbahagi kepada opiate seperti opium, heroin, morfin, kodein; stimulant (dadah perangsang) seperti Amphetamine (pil kuda, yaba), Methamphetamine (syabu, ice), pil ekstasi; depressant (dadah penenang) seperti dormicum, valium, eramin 5; hallucinogen (dadah pengkhayal) seperti LSD, ketamin dan marijuana (kanabis) seperti ganja.

DADAH DAN PELAJAR SEKOLAH

Baru-baru ini Kementerian Pendidikan Malaysia mendedahkan keputusan satu kajian yang melibatkan 35,755 responden merangkumi pelajar tingkatan satu hingga enam yang mendapati 1,457 daripada mereka mengambil dadah. Jumlah ini merupakan 4% daripada jumlah sampel kajian. 74 peratus daripada mereka yang terlibat dengan dadah ini mengambil Methamhetamine, 20 peratus kanabis dan selebihnya dadah jenis lain. Pelajar tingkatan lima mencatat peratusan tertinggi pengambilan dadah iaitu 40.6 peratus, diikuti tingkatan empat (32.5 peratus), tingkatan tiga (19.8 peratus), tingkatan dua (5.4 peratus) dan tingkatan satu (0.08 peratus).

Trend pengambilan dadah dikalangan pelajar ini membimbangkan kita. Disamping sekolah yang bekerjasama dengan AADK memantau gejala ini, didikan dan pemantauan ibubapa kekal sebagai instrumen paling utama. Kajian menunjukkan remaja mengambil dadah stimulant ini akibat faktor dalaman dan faktor luaran.

FAKTOR DALAMAN

Bagi faktor dalaman, remaja mengambil kerana ingin menghilangkan masalah dan rasa kebosanan.

Oleh kerana itu penting bagi ibubapa untuk menjadi tempat anak-anak merujuk permasalahan mereka dan mendengar luahan rasa remaja.

Ibubapa mesti meluangkan masa untuk anak-anak walau sesibuk mana pun mereka. Meluangkan masa tidak semestinya memerlukan percutian keluarga yang mahal. Memadai memastikan ada aktiviti bersama keluarga walaupun hanya dirumah, agar anak-anak rasa diberi perhatian. Selain daripada itu, ibu atau bapa, boleh bergilir keluar dengan setiap anak remaja seorang demi seorang, sekadar temujanji makan bersama contohnya, agar mereka mendapat momen istimewa atau saat privasi mereka bersama ibubapa.

Sudahkah anda membuat temujanji dengan setiap anak anda agar mereka berasa istimewa?

Remaja juga mengambil dadah kerana rasa ingin tahu, tekanan rakan sebaya dimana mereka tidak berani mengatakan tidak kepada pelawaan rakan, tidak mengetahui bahaya dadah dan terpengaruh dengan dakyah rakan-rakan yang mengatakan dadah boleh memberi faedah seperti dapat menurunkan berat badan, bertenaga, lebih berkeyakinan dan sebagainya. Oleh kerana itu, ibubapa harus menekankan aspek jatidiri dengan memperkasakan anak-anak anda dari sudut membentuk mereka kuat dan yakin mempertahankan pendapat mereka bila berhadapan dengan tekanan rakan-rakan.

Bagaimana membentuk kekuatan jatidiri ini? Ibubapa harus terlebih dahulu menanam rasa percaya kepada diri sendiri pada anak-anak, dengan meraikan pendapat mereka, menghormati pandangan anak-anak, mengambil serius lontaran pendapat mereka dan tidak keterlaluan dalam mengkritik pendapat mereka. Membina kepercayaan diri sendiri itu sebenarnya bermula dari rumah. Bagi seorang remaja Muslim, disiplin menunaikan tanggungjawab untuk solat 5 waktu tanpa diperingatkan, misalnya, adalah 1 pembentukan kawalan diri (self-disciplined and self controlled) yang penting agar remaja, dapat menguasai diri sendiri dan tidak mudah mengalah dengan desakan kawan-kawan dan juga pengedar dadah diluar sana.

Kajian oleh Partnership for a Drug-Free America menunjukkan 50% remaja kurang menggunakan dadah jika mereka mengetahui risiko penggunaan dadah dari ibubapa sendiri. Oleh itu, ibubapa perlu berkongsi maklumat dengan anak-anak apakah bahaya dadah.

Apakah bahaya dadah Methamphetamine?

Apakah yang perlu diterangkan kepada anak-anak remaja anda dan apakah tanda-tanda yang perlu anda perhatikan?

Metamphetamine, walaupun digembar-gemburkan sebagai boleh memberi tenaga, akan “menuntut” semula tenaga tersebut selepas tamat aktiviti dadah tersebut di dalam badan. Penagih boleh berjaga sehingga berhari-hari, namun kemudiannya lesu dan tidur pula berhari-hari. Dadah tersebut boleh menyebabkan percakapan berlebihan, rasa kegelisahan dan panik, hiperaktif, penurunan berat badan yang ketara, menjadi agresif, dan perubahan emosi. Selain daripada itu, terdapat penurunan prestasi pelajaran yang mendadak, kerap ponteng sekolah, hilang minat ke atas perkara yang sebelum ini diminati pelajar, kerap bertukar-tukar kawan (biasanya remaja mempunyai sahabat baik yang dipercayai atau kumpulan kawan rapat “click’). Dari sudut psikologi, pelajar boleh mengalami kemurungan dan mempunyai idea untuk mengambil nyawa sendiri atau mencederakan orang lain.

Dipetik dari buku Garis Panduan Pengendalian Penyalahgunaan Stimulan Jenis Amfetamin oleh Kementerian Kesihatan Malaysia:

“ Methamphetamine/methamphetamine chloride juga dikenali dengan nama Speed, Speedball, Meth, Chalk, Syabu, Ice, Crank, Glass, Crystal, Tweak. Kebanyakan dadah jenis ini diproses secara haram di dalam makmal rahsia oleh mereka yang tidak terlatih. Ia juga boleh diklasifikasikan kepada tiga kategori mengikut kualiti ketulinannya. Sebagai contoh, jenis berkualiti tinggi berwarna putih kristal diikuti dengan yang berwarna putih kemerahan dan yang paling rendah kualitinya pula mempunyai rasa yang pahit. Dadah jenis ini digunakan secara “chasing the dragon” atau menggunakan peralatan yang hampir menyerupai penghisap candu.

Ibubapa dengan itu harus cakna tentang barangan yang dimiliki oleh anak-anak, dan bertindak segera sebelum mereka pergi lebih jauh lagi dalam penagihan.

FAKTOR LUARAN

Faktor luar adalah faktor persekitaran, tekanan dari drug pushers atau pengedar dadah juga keldai dadah. Ibubapa perlu mengawasi dengan siapa anak-anak kita berkawan.

Selain daripada itu, dadah kini dijual dalam bentuk yang sama seperti ubat-ubatan lain dalam bentuk pil.

Sebagai contoh dadah dalam kumpulan Methylenedioxyamphetamine atau MDMA, lebih dikenali dengan nama Ecstasy (pil ekstasi), MDM, XTC, E’s, Ease, X, XTC, Eccies, Love Drugs, Hug drug, dan Disco Biscuits adalah lebih kuat daripada bahan kimia induknya iaitu methamphetamine.

Pil ekstasi dijual dalam bentuk tablet kecil atau kapsul berwarna kuning atau putih. Ada juga yang berwarna merah jambu, ungu, biru, berbintik-bintik atau berjalurjalur. Terdapat berbagai-bagai bentuk tablet seperti bentuk hati, dove, robin, rabbit dan champagne bottle.

Penting bagi ibubapa mengawasi pengambilan sesuatu yang kelihatan seperti “ubat” oleh anak-anak.
round_DrRafidah Prof. Madya Dr. Rafidah Hanim binti Mokhtar
Timbalan Dekan Akademik & Penyelidikan,
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Jawatankuasa Pusat I-Medik.

Read article

1424

MALAYSIA DI AMBANG KRISIS POPULASI?

Kolumnis, Mesej, Utama

20/12/2016

Kadar kesuburan di seluruh dunia terutamanya di negara maju dan membangun telah menurun. Malaysia tidak terkecuali dari menyaksikan perubahan ini. Jika 30 tahun dahulu mempunyai 4 ke 5 anak adalah kebiasaan tetapi pada hari ini purata kelahiran setiap keluarga hanyalah 1 ke 3 anak. Mengikut perangkaan yang dikeluarkan oleh PBB, kadar kesuburan rakyat Malaysia semakin merosot di mana antara 2010 ke 2015 kadar kesuburan adalah 1.97 dan pada 2020 dijangkakan menurun sehingga 1.9 dan 1.72 pada 2050.

Ini bermakna satu keluarga secara purata akan hanya mempunyai 1.9 anak dan jika keadaan ini dibiarkan berlarutan ianya akan menyebabkan piramid populasi yang tidak stabil. Kadar kesuburan 1.9 adalah di bawah “replacement fertility” 2.1 di mana kelahiran 2 anak hanya akan menggantikan ibu dan ayah yang akan meninggal dan menyebabkan populasi tidak berkembang. Negara- negara seperti Korea, Jepun, German mempunyai kadar kesuburan di bawah 1.5 dan ini mengundang pelbagai masalah sosial termasuk tenaga kerja yang rendah dan golongan muda yang terpaksa menyara golongan tua yang mendominasi populasi.

Perkara ini terjadi kerana arus modenisasi yang menyebabkan ramai menangguhkan kehamilan sehingga usia berumur dan seterusnya mengalami kesukaran untuk hamil. Dari pengalaman peribadi saya mengendalikan kes-kes kesuburan juga didapati ramai yang mendapatkan rawatan berusia lebih dari 35 tahun.

Justeru itu bagi negara-negara yang mempunyai pertumbuhan populasi yang kecil, berbagai insentif diberikan oleh kerajaan untuk menambahkan pertumbuhan penduduk. Ini termasuk rawatan kesuburan seperti IVF atau Tabung Uji yang disubsidi serta pemberian insentif terhadap kelahiran.

Pemberian insentif kelahiran yang dilakukan oleh Kerajaan negeri Terengganu melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu iaitu memberi bantuan kewangan melalui Tabungan SSPN adalah satu langkah yang baik bagi menggalakkan kehamilan dan seterusnya menambahkan populasi. Di harap akan ada insentif yang serupa untuk membantu pasangan yang sukar hamil bagi mendapat subsidi rawatan kesuburan. Melalui insentif ini sebanyak 100 ringgit tabungan SSPN akan diberikan kepada anak pertama dan 200 bagi anak 2-7.

Walaubagaimanapun, setiap kehamilan seharusnya dirancang dan dipastikan berada dalam keadaan yang selamat. Ini selari dengan konsep yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia yang dikenali sebagai PrePregnacy Care (PPC) di mana kesihatan ibu akan dipastikan berada dalam tahap optima sebelum ibu menempuh kehamilan.

Saya berharap juga agar insentif lain akan di ambil kira pada masa akan datang seperti insentif penjagaan anak, insentif fleksibiliti kerja supaya ibu boleh terus memberikan khidmat kerjaya profesianalisme mereka tanpa menyampingkan tugas utama sebagai ibu dalam rumahtangga yang sejahtera.

 

dr-murizahDr. Murizah Mohd Zain
Pakar Perubatan Reproduktif
Dan Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi
Ketua Wanita ISMA Alor Setar
Jawatankuasa I-Medik Kedah

Read article

1467

KAEDAH BANTUAN REPRODUKSI- ANTARA SAINS DAN AGAMA

Kolumnis, Mesej, Utama

29/11/2016

Keinginan untuk mempunyai zuriat adalah fitrah semulajadi dalam diri manusia. Perasaan ini dicampakkan oleh Allah swt untuk memastikan kelansungan manusia di atas mukabumi ini. Walaubagaimanapun, sebahagian kecil pasangan telah ditakdirkan untuk mandul dan kecanggihan teknologi masih belum dapat mengatasi ketentuan Ilahi.

Firman Allah dalam surah as Syuara 42: 49-50

“Allah menciptakan apa yang dia kehendaki, memberikan anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki, dan memberikan anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki atau Dia menganugerahkan jenis lelaki dan perempuan dan menjadikan mandul kepada siapa yang dikehendakiNya. Dia maha menegetahui lagi maha kuasa”.

Islam dan banyak agama lain menitikberatkan soal nasab keturunan dan hubungan darah. Ikatan perkahwinan adalah satu perjanjian untuk memastikan bahawa zuriat yang lahir diketahui dengan jelas nasabnya dan anak-anak yang lahir mendapat hak yang sepatutnya dari ibu dan ayah. Rawatan kesuburan terutamanya kaedah bantuan reproduksi boleh mendedahkan manusia kepada pelbagai teknologi perubatan yang boleh menyebabkan kecelaruan nasab. Justeru itu, pesakit dan pengamal perubatan mestilah memberi perhatian yang serius terhadap isu agama dan etika dalam melakukan rawatan kesuburan ini.

Infertility atau masalah kesuburan adalah satu penyakit. Justeru itu merawat masalah kesuburan ini adalah harus dilakukan selagi mana ia tidak lari dari batas-batas yang ditetapkan oleh agama. Kaedah bantuan reproduksi seperti permanian berhadas (IUI) atau kaedah tabung uji (IVF) adalah diharuskan dengan beberapa syarat;

  1. Ianya melibatkan pasangan yang telah berkahwin
  2. Sperma atau ovum yang digunakan adalah dari pasangan suami isteri yang sah
  3. Prosedur memasukkan kembali embrio yang terhasil mestilah dilakukan ketika institusi perkahwinan itu masih utuh.
  4. Embrio adalah milik bersama pasangan suami dan isteri. Jika terjadi penceraian hidup atau mati, maka embrio perlu dilupuskan dan tidak boleh digunakan oleh mana-mana pihak
  5. Jumlah embrio yang dimasukkan semula ke dalam rahim adalah bersesuaian dan mengikut polisi setempat. Ini bagi mengelakkan komplikasi seperti kehamilan berganda yang terlalu banyak seperti kembar 3 atau empat yang boleh membawa risiko yang tinggi kepada ibu dan janin
  6. Lebihan embrio yang terhasil boleh disimpan (embrio freezing) untuk kegunaan di masa hadapan tetapi embrio ini tidak boleh didermakan kepada pasangan mandul yang lain
  7. Prosedur IVF ini mestilah dilakukan oleh pasukan yang terdiri dari doktor, pakar embryologi dan kakitangan makmal dan jururawat yang beramanah dan sedar akan tanggungjawabnya dalam mengendalikan sperma, ovum dan embrio.
  8. Walaupun umat Islam diharuskan untuk menderma organ, pendermaan sperma dan ovum atau benih wanita diharamkan kerana sel benih membawa maklumat genetik yang akan menentukan nasab
  9. Bagi wanita tanpa rahim atau mempunyai masalah kesihatan yang tidak membolehkan ia mengandung, prosedur ibu tumpang iaitu menumpangkan embrio ke dalam rahim wanita lain adalah diharamkan
  10. Bagi wanita yang dilahirkan tanpa rahim atau wanita yang telah kehilangan rahim, prosedur pendermaan dan pemindahan rahim adalah tidak dibenarkan mengikut Muzakarah Jawatankuansa Kebangsaan Malaysia
  11. Pengklonan manusia untuk apa-apa tujuan sekalipun adalah haram kerana ianya bertentangan dengan fitrah kejadian manusia yang ditentukan oleh ALLah swt.
  12. Diagnosa praimplantasi iaitu di mana sel embrio diambil untuk mengesan sebarang kelainan sebelum embrio dipindahkan ke rahim adalah dibenarkan hanya bagi tujuan pengesanan penyakit.

Kemajuan teknologi telah memungkinkan banyak rawatan yang mustahil di masa lampau. Walaubagaimapun, prinsip dari sudut agama tidak boleh digadaikan. Allah yang menciptakan manusia pasti mengetahui yang terbaik untuk hamba yang diciptanya. Dalam kes-kes yang melibatkan kemandulan kekal seperti tiada rahim dan tiada benih pada lelaki atau wanita, walaupun IVF membolehkan seorang wanita hamil melalui pendermaan sperma dan ovum atau ibu tumpang, kesemuanya ini diharamkan dalam Islam. Prinsipnya; Seorang individu itu dilahirkan dengan mempunyai  hak tetapi hak masyarakat dan hak Allah sentiasa mengatasi hak individu.

 

dr-murizahDr. Murizah Mohd Zain
Pakar Perunding Perubatan Reproduktif & Obstetrik Ginekologi
Hospital Sultanah Bahiyah
Aktivis I-Medik Kedah

Read article

1194

I-MEDIK NEGERI SEMBILAN BERKHIDMAT KEPADA ORANG ASLI

Aktiviti, Utama

16/11/2016

Hujung minggu adalah masa yang begitu dinanti-nantikan oleh setiap kakitangan awam untuk bersama-sama keluarga dan anak-anak. Namun, lain pula bagi pegawai perubatan berjiwa besar ini. Mereka memilih untuk bersama-sama ‘keluarga baru’ tatkala keluarga dan anak kecil ditinggalkan ketika hujung minggu.

KEM BAKTI. Itulah nama program yang disertai oleh 10 orang pegawai perubatan dari hospital di sekitar Negeri Sembilan (Kuala Pilah, Seremban, Port Dickson dan Rembau). Program yang dianjurkan oleh pihak Persatuan Belia Islam Nasional Negeri Sembilan (PEMBINA) & Pusat Dakwah Islamiah Negeri Sembilan ini mendapat kerjasama dari I-Medik Negeri Sembilan, Yayasan Ikhlas, Pemuda ISMA dan beberapa agensi lain.

15016200_596396537224829_4587592555371784726_o

Program yang dianjurkan pada 11-13 November ini menggabungkan tenaga anak-anak muda dari pelbagai latar belakang terutamanya mahasiswa IPTA. Mereka berkampung di Kampung Putra Air Baning Jelebu selama 3 hari 2 malam.

Bagi I-Medik Negeri Sembilan, kesempatan seperti ini digunakan dengan sebaik mungkin untuk membuat ziarah dari rumah ke rumah penduduk di sekitar Kampung Putra. Sebanyak 60 buah keluarga telah berjaya diziarahi oleh pihak I-Medik. Disamping itu, mereka turut membuat pemeriksaan dan memberikan maklumat kesihatan kepada penduduk yang terlibat. Setiap rumah yang diziarahi telah diberikan sedikit cenderahati berupa risalah kesihatan beserta berus dan ubat gigi.

15129540_596395090558307_2392631601675470151_o

15110510_596395097224973_20677242095839161_o

I-Medik Negeri Sembilan mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak PEMBINA & Pusat Dakwah Islamiah Negeri Sembilan atas jemputan ini dan berharap agar kerjasama ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa.

Syabas diucapkan kepada semua pihak yang menjayakan program ini!

Read article

1760

DILEMA PENGESANAN AWAL BARAH KEPALA DAN LEHER: BILAKAH AKAN BERAKHIR? (Bahagian 1)

Kolumnis, Mesej, Utama

15/11/2016

“Saya telah berjumpa dengan 5 orang bomoh sebelum ini, dan doktor adalah ‘bomoh’ saya yang keenam”, kata seorang pesakit barah lidah tahap 4.  Keseluruhan lidahnya telah diliputi barah dan kelenjar limpatik dilehernya telah membalut salur darah utama ke otak.

“Suami saya beritahu, tak perlu saya berjumpa doktor untuk rawatan penyakit saya”, ujar seorang wanita sekitar  40-an, dimana kelenjar limpatik di lehernya sudah sangat besar dan hampir pecah.

“Sebelum ini sudah tiga kali kami berjumpa doktor, tetapi tiada apa-apa yang dilakukan oleh doktor kepada ibu saya”, kata anak kepada seorang ibu pesakit barah lidah yang ‘advanced’ sehingga keluar dari mulut dan menyebabkan beliau sukar untuk makan.

Ini adalah antara luahan-luahan yang biasa diterima di Klinik Barah Kepala dan Leher (Head and Neck Cancer) Jabatan Hidung, Telinga dan Tekak. Rata-rata pesakit tersebut bertemu dengan doktor ketika barah mereka sangat ‘advanced’ (lewat) dan kemungkinan untuk rawatan penyembuhan adalah tipis. Bahkan mereka adalah sebahagian kecil pesakit yang datang pada tahap 4 sehingga tiada rawatan penyembuhan yang boleh ditawarkan.

Audit yang telah dijalankan terhadap pesakit barah kepala dan leher di Jabatan ORL, Hospital Alor Setar pada tahun 2003 kepada hampir 100 pesakit mendapati bahawa 95% pesakit barah kepala dan leher kami berada pada tahap ke 4 (paling akhir). Audit yang hampir sama pada tahun 2008 juga mendapati 90% dari pesakit berada pada tahap ke 4. Pada tahun 2015, terdapat sedikit  peningkatan peratus pesakit barah datang pada peringkat barah yang lebih awal, namun majoriti  masih datang pada tahap yang lewat.

Senario seperti ini memerlukan kita mengenal pasti apakah faktor2 yang menyebabkan perkara seperti ini berlaku serta merangka langkah-langkah yang perlu dilakukan bagi mengatasinya. Secara umumnya, kelewatan kedatangan pesakit barah boleh dibahagikan kepada dua faktor. Peratama, kelewatan disebabkan faktor perawat (professional delay) atau keduanya, kelewatan disebabkan  faktor pesakit (patient delay).

  1. Kelewatan disebabkan faktor perawat (professional delay)
    Doktor-doktor di peringkat rawatan primer perlu mempunyai  pengetahuan asas terhadap gejala-gejala awal barah kepala dan leher. Namun begitu, para doktor muda di negara kita hanya mendapat pendedahan yang singkat terhadap penyakit hidung, telinga dan tekak (ENT) semasa di Fakulti Perubatan dan kebanyakannya tidak mendapat pendedahan semasa menjalani latihan doktor siswazah. Ini menyebabkan mereka kurang mempunyai pengetahuan asas terhadap gejala awal barah kepala dan leher. Tambahan pula barah kepala dan leher berlaku di saluran hidung, mulut dan tekak yang sukar untuk dilihat melainkan dengan menggunakan peralatan khas. Peralatan seperti ini hanya didapati di klinik Pakar ENT.

    Kegalan pengesanan awal oleh doktor-doktor di rawatan primari menyebabkan rujukan yang dilakukan  ketika barah telah membesar dan berada ditahap yang kritikal. Kami kerap mendengar keluhan pesakit barah tahap 4 yang mengatakan mereka berjumpa dengan doktor di klinik kesihatan/hospital daerah ketika barah masih di tahap awal. Akan tetapi pihak doktor gagal mengesannya dan mereka merujuk kepada pakar ketika ia telah berada ditahap ‘advanced’. Ada juga rujukan dibuat kepada bidang kepakaran yang tidak merawat secara lansung terhadap pesakit barah kepala dan leher. Ini menyebabakan tempoh pesakit datang  semakin lewat dan barah semakin membesar.

  1. Kelewatan disebabkan faktor pesakit (patient delay)

    Kelewatan rawatan barah berlaku jika pesakit gagal megenali gejala-gejala awal barah kepala dan leher. Jenis barah kepala dan leher yang kerap berlaku di negara kita adalah kanser pangkal hidung (nasopharyngeal carcinoma), kanser mulut (oral cancer) dan kanser peti suara (laryngeal cancer). Jika seseorang mengalami air liur yang mengandungi darah (blood stained saliva) dan kurang pendengaran jenis konduktif, ia mungkin petanda awal kepada barah pangkal hidung. Ulcer atau isi yang tumbuh di lidah atau bahagian lain mulut lebih dari 2-3 minggu berkemungkinan merupakan gejala awal barah mulut. Manakala suara yang parau (hoarseness) selama lebih dari 2-3 minggu perlu dibawa berjumpa doktor kerana ia kemungkinan gejala awal barah peti suara.

hnc_head_art

Satu lagi masalah yang dikenalpasti adalah kesukaran pesakit mendapat rawatan dari pakar. Ini berlaku terutamanya bagi pesakit yang tinggal di kawasan pendalaman. Walaupun kos rawatan di premis kerajaan di negara kita adalah amat murah, mereka sukar bertemu dengan pakar perubatan melainkan dirujuk oleh doktor di rawatan primer. Sebahagian pesakit di kampung-kampung tidak berminat untuk bertemu dengan pakar perubatan di hospital yang lebih besar disebabkan faktor jarak atau kekangan ekonomi. Ditambah lagi dengan bentuk rawatan barah yang intensif dan lama menyebabkan masa mereka untuk mencari nafkah akan terjejas.

Satu lagi keadaan yang menyebabkan pesakit barah lambat berjumpa doktor adalah kepercayaan mereka terhadap pengamal rawatan alternatif. Janji-janji manis peluang untuk sembuh yang diberikan oleh golongan ini menyebabkan pesakit akan terus mendapatkan rawatan dari mereka, sedangkan barah semakin merebak dan membesar. Setelah pesakit  gagal sembuh selepas bertemu 4-5 bomoh, barulah mereka datang berjumpa doktor. Ketika itu barah telah sampai ke tahap yang ‘advanced’. Bahkan ada dikalangan pesakit yang disahkan oleh doktor mengalami barah diperingkat awal, tidak mengikuti nasihat doktor tetapi sebaliknya menghilangkan diri dan mendapat rawatan alternatif dari bomoh. Mereka  datang semula berjumpa doktor pakar ketika barah telah sampai ke tahap yang tidak boleh disembuhkan.

Kesimpulannya, barah kepala dan leher adalah sejenis barah yang ganas dan merebak dengan cepat. Pengesanan dan rawatan awal adalah sangat penting bagi membolehkan kemungkinan untuk sembuh semakin tinggi. Dengan itu apa-apa faktor yang boleh menyebabkan kelewatan mendapatkan rawatan pakar- sama ada disebabkan oleh pesakit atau doktor- perlu diatasi.

Dibahagian kedua nanti, saya akan kongsikan apakah langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengatasi kelewatan ini.

 

round_DrZulkifliDr Zulkifli Yusof,
Ketua Jabatan,
Konsultan Hidung, Telinga dan Tekak,
Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
Jawatankuasa I-Medik Pusat.

 

 

 

 

Read article

1992

29.7% REMAJA TERJEBAK GEJALA MEMBACA DAN MENONTON CERITA LUCAH

Aktiviti, Utama

15/11/2016

PETAGAS, 13 November- “Membaca dan menonton cerita lucah mencatatkan peratusan salah laku remaja tertinggi selepas lepak dan bergaduh. Kajian menunjukkan 29.7% daripada jumlah keseluruhan remaja di Malaysia sudah terjebak dengan gejala buruk ini seawal usia lapan tahun lagi,” ujar Dr Aliff Asyraf Salleh, dalam ‘Program Melangkah Ke Alam Baligh’ yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Kampung Contoh (SKKC), Petagas, baru-baru ini.

photo_2016-11-15_14-09-13

Dr Aliff Asyraf Salleh, aktivis I-Medik Sabah turut berkata, “Serangan siber dan pemikiran yang telah dilakukan secara perlahan-lahan dan dirancang dengan penuh strategi menyebabkan remaja Islam kini terbelenggu dengan sistem hidup ciptaan Barat sehingga hilang jati diri sebagai remaja yang ‘merdeka’.”

Ujarnya lagi, “Jadi, jangan hairanlah jika hari ini kita melihat remaja sebaya adik-adik yang berumur 13 tahun hamil anak luar nikah ataupun menghidap penyakit-penyakit kelamin seperti syphillis dan HIV hasil daripada melakukan hubungan seks rambang dan lebih dari satu pasangan.”

Dr Aliff Asyraf Salleh yang juga merupakan Pengerusi PEMBINA Sabah turut menerangkan sistem reproduksi remaja lelaki dan tanggungjawab yang perlu dipikul apabila sudah mencapai akil baligh.

“Pilihan ada di tangan adik-adik samada ingin menjadi remaja yang ‘merdeka’ dan berjaya atau remaja bermasalah yang terbelenggu dengan nafsu dan kehidupan dunia. Ketahuilah, setiap anggota badan adalah amanah daripada Allah SWT. Jika baik kita menjaganya, maka baiklah kesudahannya dan begitu juga sebaliknya,” katanya mengakhiri slot pembentangan ‘Kenali Diri: Modul Reproduksi Remaja’.

Program yang dianjurkan oleh Biro Keluarga dan Masyarakat (BKM) ISMA Kota Kinabalu itu adalah dengan kerjasama I-Medik Sabah dan telah disertai hampir 200 orang pelajar Tahun Lima dan Enam SKKC.

photo_2016-11-15_14-09-21

Disediakan oleh,
Sakinah Binti Sobri
Aktivis I-Medik Sabah

Read article