MENU

Utama
Category

1101

5 TIPS DI ALAM HOUSEMANSHIP (Bahagian 3)

Kolumnis, Mesej, Utama

14/11/2016

Tips Keempat : Sentiasa Merancang Masa & Bergiat Aktif Dalam Aktiviti Di Luar Hospital
Berkecimpung dalam sebuah badan bukan kerajaan (NGO) I-Medik, membolehkan saya terlibat dalam aktiviti di luar waktu bekerja. Contohnya memberikan ceramah dan kursus kesihatan di sekolah, kolej perubatan dan universiti, menyertai aktiviti-aktiviti kemasyarakatan, mesyuarat dan lain-lain memerlukan saya merancang jadual saya sekurang-kurangnya sebulan, malah ada juga dua bulan sebelum sesuatu event. Disamping itu, saya juga sudah berkeluarga dan mempunyai anak. Ini tidak menjadikan saya mengabaikan tanggungjawab saya terhadap keluarga dan organisasi NGO.

photo_2016-08-29_16-57-45

Saya akan mengambil peluang untuk cuti berehat dan meluangkan masa bersama keluarga. Ungkapan houseman tiada life sebenarnya terlalu umum. Hendak seribu daya, tak mahu seribu dalih. Perancangan masa dan penyusunan jadual hidup perlu dilakukan awal kerana sememangnya tugasan kita di hospital agak sibuk. Dengan perancangan awal, sekurang-kurangnya kita boleh merancang jadual kerja dan cuti kita dengan baik. Saya juga menyarankan agar para HO turut sama berkecimpung dalam persatuan atau badan bukan kerajaan untuk menjadikan kita sentiasa bersedia dan memastikan masa-masa terluang kita akan terisi dengan perkara yang bermanfaat.

Tips Kelima : Berdoa Dan Bertawakkal Kepada Allah
Pada saya, inilah perkara yang paling penting. Setiap kali kita melangkah keluar daripada rumah ke hospital, sentiasalah berdoa kepada Allah agar dipermudakanh segala urusan pada hari tersebut. Niatkan agar kerjaya kita hanyalah semata-mata kerana-Nya, hanya amalan yang ikhlas kerana-Nya akan diterima dan dikira sebagai ganjaran pahala sebagai bekalan diakhirat kelak.

bacaan-doa-dimudahkan-soal-ujian

Sebagai pengakhiran, ruangan ini sebenarnya terlalu singkat untuk menukilkan segala-galanya berkenaan kehidupan HO. Setiap orang mempunyai caranya yang tersendiri untuk mewarnai kehidupan HOnya. Semoga perkongsian ini bermanfaat dan memberikan sedikit gambaran ringkas untuk doktor pelatih yang sedang berkhidmat dan juga mereka yang bakal berkhidmat kelak. Lakarlah hari-hari HO kita dengan warna-warna yang terang dan ceria.

Dr. Muhammad Hashemi Dahalan B Md Razip
HO, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
Pengerusi I-Medik Kedah.

Read article

1392

5 TIPS DI ALAM HOUSEMANSHIP (Bahagian 2)

Kolumnis, Mesej, Utama

08/11/2016

Tips Kedua : Menambah Dan Perkemas Ilmu
Semestinya kehidupan sebagai seorang doktor tidak lari daripada proses pembelajaran yang berterusan. Namun, hakikatnya ramai para doktor pelatih sudah keletihan setelah pulang daripada tugasan. Manakan tidak, keluar kerja di awal pagi, pulang ke rumah pula sudah lewat petang, dan rutin ini berulang hampir setiap hari. Namun, janganlah jadikan perkara tersebut sebagai alasan untuk kita tidak belajar.

Cubalah cari masa untuk memantapkan beberapa kemahiran asas. Sebagai contoh, kemahiran intepretasi ECG, ABG, chest xray dan mengetahui julat-julat normal sesuatu ujian makmal, sudah tentu ini akan membantu kita untuk manage pesakit. Inginkan bonus? Sudah tentu jika anda dapat memantapkan ilmu berkaitan posting yang anda sedang jalani. Janganlah apabila kadar hemoglobin pesakit 6 mg/dL anda masih tiada wake up call, hanya kerana anda tidak mengetahui julat normal hemoglobin. Bahaya bukan?

knowledge

Tips Ketiga : Bekerjasama Dan Toleransi
Kehidupan sebagai seorang doktor pelatih sememangnya memenatkan, tetapi ia akan menjadi lebih manis sekiranya kita dapat menghidupkan budaya kerjasama dan toleransi sesama doktor pelatih di setiap jabatan. Janganlah menjadi enau dalam belukar, hanya menyelesaikan kerja masing-masing. Hulurkanlah bantuan kepada kawan-kawan yang memerlukan apabila tugasan kita sudah selesai. Ringankanlah mulut untuk bertanya jika ada apa-apa yang boleh dibantu.

Pernah suatu hari, saya dan kawan, bekerja shift pagi pada hari tersebut (shift pagi bermakna boleh pulang pada pukul 5 petang). Hendak dijadikan cerita, hari tersebut sangat sibuk dan saya mempunyai 5 kes baru untuk di clerk manakala kawan saya sudah tiada kerja. Apa yang menyedihkan adalah, kawan saya pulang tepat pukul 5 petang tanpa bertanyakan khabar dan saya terpaksa pulang pukul 8 malam, mujur kawan saya di shift petang datang membantu meringankan beban dengan membantu ambil darah. Apalah salahnya sekiranya sama-sama kita membina suasana yang sihat dalam bekerja. Mungkin hari ini kita senang, bagaimana suatu hari nanti jika kita dalam kesempitan, adakah kawan-kawan kita yang lain sudi membantu?

tolong-menolong-2

 

Dr. Muhammad Hashemi Dahalan B Md Razip
HO, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar,
Pengerusi I-Medik Kedah.

Read article

4301

5 TIPS DI ALAM HOUSEMANSHIP (Bahagian 1)

Kolumnis, Motivasi, Utama

01/11/2016

Kerjaya seorang doktor semestinya bermula dengan fasa houseman. Terkini, tempoh housemanship ialah selama 2 tahun dan perlu melalui 6 postings, bersamaan 4 bulan bagi setiap posting sekiranya tiada masalah. Bagaimanakah cara untuk memastikan doktor-doktor pelatih menamatkan tempoh housemanship dalam masa yang ditetapkan? Saya bukanlah yang terbaik untuk memberikan perkongsian, namun, sedikit pengalaman menjadi seorang houseman memanggil diri untuk menukilkan perkongsian dengan harapan ia boleh dimanfaatkan untuk para houseman mahupun graduan perubatan yang bakal menjadi houseman kelak.

Mengapa Perlunya Fasa Housemanship?
Houseman atau bahasa melayunya ‘Pegawai Perubatan Latihan Siswazah’ merupakan satu fasa peralihan seorang graduan perubatan sebelum diberi lesen penuh dan disahkan jawatan sebagai seorang pengamal perubatan. Fasa ini merupakan fasa yang penting kerana ia adalah fasa transisi seorang pelajar ke alam pekerjaan. Dalam dunia kerjaya, kita bukan sahaja mempraktikkan ilmu-ilmu perubatan yang kita pelajari di universiti, namun ia memerlukan integrasi ilmu, kemahiran komunikasi dan memahami carta aliran kerja serta prosedur di sesuatu jabatan.

Sebagai contoh, apabila seorang pesakit datang ke jabatan kecemasan dengan pendarahan yang teruk disebabkan kemalangan jalan raya yang mengakibatkan salur darah utama dibahagian kaki tercedera. Ujian makmal mendapati kadar hemoglobin dalam badannya 6mg/dl dan tekanan darah menurun. Dalam situasi ini, bagi seorang pelajar, mereka hanya mengetahui management dalam situasi ini ialah memasukkan darah tambahan dan menolak pesakit ini ke dewan bedah untuk melakukan pembedahan bagi membaiki salur darah yang tercedera. Hakikat sebenar dalam dunia pekerjaan ialah terdapat banyak proses yang berlaku bagi membolehkan proses transfusi darah berlaku, dan kemudian menolak pesakit ini ke dewan bedah. Seorang doktor perlu memberitahu pegawai perubatan tabung darah, menceritakan history ringkas berkenaan case pesakit tersebut sebelum pegawai tersebut memberikan code transfusi, mengisi borang-borang transfusi darah, mengambil sampel darah, mencari saksi kedua sebelum mengambil darah dan sebelum transfusi bagi tujuan menyemak identiti pesakit.

kecemasan
Samalah juga proses untuk booking case pesakit tersebut untuk melakukan pembedahan. Seorang pegawai perubatan perlu membentangkan relevant history kepada pegawai perubatan bertugas (mengikut jabatan tertentu), mengisi borang-borang yang diperlukan, Bagi hospital yang menggunakan sistem atas talian, kes tersebut perlu di booking terlebih dahulu di dalam sistem. Semua ini pasti akan dirasakan sukar bagi seorang houseman yang baru bekerja kerana pada pengalaman saya ia akan mengambil masa satu ke dua bulan untuk serasi dengan prosedur dan aliran kerja ini. Namun ia akan menjadi mudah dengan berlalunya masa kerana carta aliran kerja ini akan menjadi rutin dalam kerjaya kita. Pada pandangan saya, pentingnya fasa houseman ini adalah untuk mempersiap doktor pelatih sebelum diberi lesen penuh sebagai pengamal perubatan dengan pengalaman yang cukup dan serasi dengan situasi kerjaya yang sebenar.

Tips 1 : Begin With The End In Mind
Kebiasaannya, expektasi seorang speacialist atau MO terhadap HO ialah menyelesaikan order yang dikeluarkan oleh mereka semasa rondaan wad. Adalah sangat baik sekiranya anda berjaya menyelesaikan semua order yang diberikan bagi setiap pesakit yang anda jaga. Namun, janganlah kita hanya menyelesaikan tugasan tersebut semata-mata. Apa yang saya ingin sampaikan ialah, kita perlu belajar dengan cara berfikir: apakah rasional disebalik plan yang diberikan oleh MO/pakar tersebut? Lebih cemerlang jika kita turut sama aktif dalam discussion MO dan pakar dalam memberikan treatment terbaik kepada pesakit kita. Kerana akhirnya, selepas HO, kita akan menjadi MO dan akan bertanggungjawab terhadap pesakit.

Saya berikan contoh, semasa membuat review pagi sebelum kedatangan MO atau pakar, kita mendapati salah seorang pesakit telah berada di dalam wad selama satu minggu, pasti terdetik dalam fikiran kita mengapakah pesakit ini berada dalam hospital terlalu lama dan tidak boleh pulang ke rumah? Sudah pasti persoalan itu juga yang akan ditanya oleh MO atau pakar kita semasa rondaan pagi. Terdapat satu budaya yang tidak sihat dalam kalangan HO ialah untuk menyiapkan morning review tanpa mengetahui apakah yang telah ditulis dalam review tersebut. Mereka hanya copy and paste berdasarkan review hari sebelumnya dan apabila rondaan bersama MO atau pakar, kita tidak tahu apa-apa pun perkembangan pesakit kita. Sudah pasti ini akan menaikkan angin mereka terhadap kita.
review
Solusinya, banyakkan bertanya kepada diri kita sendiri semasa membuat review pesakit. Mengapakah pesakit ini demam di dalam? Apakah puncanya? Perlukah aku membuat ujian chest X-ray dan mengambil sampel darah utk pesakit ini? Mengapa pesakit yang di diagnose pneumonia ini diberi IV Ceftriaxone dan pesakit pneumonia yang lain dalam wad yang sama diberi IV Augmentin? Berikut hanyalah contoh-contoh mudah dan banyak lagi contoh lain yang akan dijumpai semasa membuat review pesakit. Kita akan lebih mudah untuk ingat dan belajar daripada pesakit dan di sinilah akan berlaku proses pembelajaran yang akan menjadikan kehidupan houseman lebih menarik. Letakkan diri di posisi MO atau pakar dan kita akan menjadi HO yang lebih cemerlang.

Dr. Muhammad Hashemi Dahalan B Md Razip
HO, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar,
Pengerusi I-Medik Kedah.

Read article

1327

SEDETIK NAN VIRAL BUAT HERO TAK DIDENDANG

Kolumnis, Mesej, Utama

25/10/2016

Ledakan teknologi telefon pintar pada penghujung abad ke-20 sedikit sebanyak telah mempengaruhi tingkah laku manusia dan ketamadunannya. Mereka telah mengambil manfaat dari segi mudahnya memperoleh maklumat dan melalui aplikasi real-time, dua dimensi dapat berinteraksi dengan hampir sempurna. Tanpa ketinggian akhlak dan sikap berhati-hati, teknologi umpama pedang ini boleh membunuh manusia, menggalakkan salah laku siber, bahkan boleh mengancam kesejahteraan negara. Nampaknya perkembangan arus teknologi juga hadir dengan kesan sampingan walaupun manfaat terhadap manusia sejagat cukup banyak.

Sikap tidak sabar, populis dan serkap jarang jika hadir bersama kecanggihan teknologi akan menampakkan sisi runtuhnya akhlak manusia. Di mana sahaja terpaculnya aksi-aksi yang dijangka boleh-sensasi, lensa kamera telefon pintar cepat sahaja merakam saat-saat tersebut. Dalam ruangan maya yang tiada batas had, dengan sekelip mata, keaiban manusia menjalar ke seluruh dunia dan pelbagai persepsi hadir mengikut takrifan nafsu dan sifat terburu-buru masing-masing. Hinanya perbuatan ini sehingga boleh timbul fitnah selain secara automatiknya telah tenggelam dalam budaya negatif iaitu mengumpat.

teknologi-canggih

Mungkin kerana nafsu amarahnya, si pelaku telah lupa firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 12.

“Dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengah yang lain. Apakah seseorang kamu suka memakan daging saudaranya yang telah menjadi bangkai, tentulah kamu sekelian benci memakannya.”

Sektor kesihatan Malaysia yang lumayan dari segi bilangan pesakitnya juga tidak terlepas daripada bencana budaya serkap jarang beberapa individu bernafsu, tidak puas hati dan lupa meletakkan neraca akhlak, yang kononnya ingin mendapatkan keadilan segera tanpa memikirkan keaiban yang diterima oleh pemberi khidmat kesihatan. Walaupun doktor sekali-sekala tidak terlepas daripada lensa serkap jarang ini, namun mungkin disebabkan rasa hormat yang lebih tinggi kepada mereka, jururawat lebih mudah diperangkap dan ini telah sedikit-sebanyak telah menjejaskan kehormatan dan maruah profesyen mulia ini.

jururawat-lelaki

Memang tidak dinafikan terdapat segelintir jururawat yang culas semasa melaksanakan tugas. Saya berani mengatakan kerana saya sendiri yang melihatnya. Contohnya tertidur atau bermain ‘Angry Bird’ semasa kawan menyerahkan nota-nota tugas. Namun bilangan yang culas tersebut sangat sangatlah sedikit untuk dijadikan isu berbanding ratus ribu jururawat lain yang sentiasa komited dan berdedikasi melaksanakan amanah. Namun sikap manusia yang suka memilih keaiban, untuk tujuan populariti dan cara mudah untuk menebus rasa tidak puas hati lebih disukai. Mungkin kita renungi bersama-sama bingkisan Imam al-Ghazali untuk kita memahami psikologi mereka:

Imam al-Ghazali ada menyebut enam perkara yang mendorong seseorang itu mengumpat:

  1. Ingin memuaskan hati disebabkan kemarahan yang memuncak hingga sanggup mendedahkan keaiban dan kesalahan orang lain. Jika kemarahan tidak dapat dikawal, ia boleh menimbulkan hasad dan dendam;
  2. Suka mendengar dan mengikuti perbualan orang yang menyerang peribadi dan kehormatan seseorang;
  3. Mahu bersaing dan menonjolkan diri dengan menganggap orang lain bodoh dan rendah;
  4. Disebabkan dengki, dia iri hati dengan orang lain yang lebih beruntung dan berjaya, seperti dinaikkan gaji dan pangkat;
  5. Bergurau dan suka melawak untuk mencela dan mengatakan kelemahan dan kecacatan hingga mengaibkan orang lain;
  6. Sikap suka mengejek dan mencela disebabkan rasa bongkak dan sombong kerana memandang rendah orang lain.

Sehubungan itu, Imam al-Ghazali menyarankan lima perkara untuk menghentikan sikap suka mengumpat, antaranya ialah;

  1. Harus sedar dan insaf mengumpat dan memburuk-burukkan orang lain itu berdosa besar;
  2. Sedar dan membetulkan kesalahan sendiri daripada menyalahkan orang;
  3. Hendaklah berasa malu apabila memperli kecacatan orang lain. Ini kerana mencela kecacatan fizikal seolah-olah mencerca Tuhan yang menciptakan.

Pelanggan juga harus faham, jururawat bukanlah ‘vendor machine’ yang anda boleh bayar, pilih dan anda akan dapat seperti yang anda inginkan. Saya yakin setiap jururawat telah memurnikan fikiran daripada memikirkan masalah kehidupan, rumah tangga, karenah majikan, gaji tak cukup, anak-anak yang sakit, dan pelbagai lagi masalah untuk merawat anda dengan senyuman. Fahamilah yang jururawat juga manusia yang mempunyai kehidupan tinggi-rendah seperti anda.

mc-pon-kerja

Walaupun terpaksa berhadapan dengan karenah pelanggan yang licik dan suka mengambil kesempatan, jururawat sendiri harus mengekalkan professionalisme apabila bekerja. Mungkin saya boleh kongsikan beberapa tip yang mungkin berguna yang boleh anda praktikan. Sekiranya sudah, tahniah dan alhamdulillah.

  1. Menggunakan kalkulator sebenar, bukannya telefon bimbit semasa mengira dos ubat atau yang berkaitan dengannya.
  2. Menyimpan katalog produk (Tupperware, Avon, Nutrimetics dan lain-lain) di tempat rehat dan bukan di kaunter tempat anda melaksanakan tugasan anda.
  3. Mengekalkan budaya komunikasi yang jelas dan bersabar dengan aduan dan cercaan pelanggan.
  4. Sentiasa menjadikan kod etika kerja dipatuhi untuk menghasilkan mutu kerja yang konsisten dan perawatan yang berkualiti.
  5. Tidak memuat naik gambar pesakit dan prosedur ke ruangan media sosial.

jururawat-perempuan
Akhirnya, dunia perawatan sedang berhadapan dengan kelompok manusia yang mengalami kejutan kecanggihan teknologi. Oleh sebab itulah lahirnya doktor ‘Google’ yang boleh membuat komentar terhadap justifikasi anda dan juga lahirnya wartawan sensasi yang suatu hari nanti anda mungkin menjadi mangsanya. Namun, harus disedari, segala komplikasi ini tercetus dari permasalahan akhlak manusia yang tidak dibimbing sebaiknya dengan neraca wahyu dan iman. Sekiranya elok imannya, maka eloklah moral dan tingkah lakunya.

 

photo_2016-10-25_10-45-55Mohammed Rasheedan b Ellin
Jururawat U41
Pengajar Klinikal UNIMAS
Editor, Unit Jururawat I-Medik.

 

Read article

4773

AMALAN BERSUNAT PADA WANITA DAN PRAKTISNYA DI MALAYSIA DARI SUDUT HUKUM DAN KESIHATAN

Kolumnis, Mesej, Utama

24/10/2016

Baru-baru ini, hangat kembali diperkatakan tentang amalan sunat pada perempuan di  Malaysia. Dr Farouk Musa, seorang pakar kardiotorasik dari Islamic Renaissance Front (IRF) mendakwa bahawa tiada sandaran dalam hadis tentang perlaksanaannya dan dikhuatiri amalan ini membawa mudarat pada kesihatan wanita. Suka saya membincangkan tentang isu ini supaya masyarakat mendapat penjelasan sepenuhnya dan beramal tanpa was-was dari sudut hukum dan kesihatan.

“Female genital mutilation” FGM vs “female genital circumsicion”
Media barat selalu memperkatakan tentang isu mutilasi genital wanita (FGM) sebagai sesuatu yang menindas kaum wanita. Ini berdasarkan amalan yang dilakukan di sesetengah negara seperti di Afrika dan Asia Barat dan  di mana sebahagian alat kelamin wanita dipotong. Mengikut data yang dikeluarkan oleh UNICEF pada 2013, FGM dilakukan di 23 negara di Afrika.  FGM boleh dibahagikan kepada beberapa tahap seperti tertera di dalam gambarajah di bawah.

anatomi-bahagian-alat-kelamin-wanitaGambarajah anatomi bahagian alat kelamin wanita yang normal

 

tahap-fgm
Gambarajah menunjukkan tahap FGM

Tahap 1: Hanya klitoris di potong sedikit.
Tahap 2: Klitoris dan labia minora dipotong.
Tahap 3: Klitoris, labia minora dan labia majora dipotong.
Tahap 4: Keselurahan alat kelamin dijahit dan ditutup lubang faraj.

Malaysia mengamalkan khatan wanita atau “female circumcision”
Dalam satu kajian yang dilakukan di Malaysia pada tahun 2012 oleh Universiti Malaya, didapati hampir 93% wanita rakyat Malaysia telah melakukan amalan bersunat wanita dan semakin ramai melakukannya di klinik oleh pegawai perubatan. Didapati juga hampir kesemuanya adalah Type 1 iaitu samada sedikit tisu klitoris dipotong atau sedikit tusukan “needle prick” dilakukan pada bahagian klitoris. Sementara satu kajian lain yang dilakukan di bilik bersalin ke atas wanita yang datang untuk bersalin, didapati majoriti telah melakukan sunat. Kajian ini  juga menunjukkan wanita-wanita ini tidak mengalami sebarang kemudaratan pada organ genitalia disebabkan oleh prosedur sunat yang dilakukan dan mereka dapat melahirkan zuriat tanpa sebarang masalah.

Justeru itu, amalan bersunat yang dilakukan oleh masyarakat melayu di Malaysia bukanlah sama seperti FGM yang dilakukan di Negara Afrika dan Asia Barat. Amalan “female circumcision” yang dilakukan di sini adalah selamat dan tidak mendatangkan risiko jangka pendek dan panjang. Sepanjang karier saya dalam bidang perbidanan selama lebih 20 tahun saya tidak pernah berhadapan dengan mana-mana wanita di Malaysia yang berhadapan dengan kesukaran samada untuk hamil ataupun bersalin disebabkan kecederaan dari amalan bersunat ini.

Walaubagaimanpun praktis FGM yang dilakukan seperti tahap 2, 3, dan 4 memang mengundang bahaya dan menganiayai wanita serta patut dihalang.

FGM; adat atau ibadat?
Berkhitan atau bersunat merupakan perkara yang disyari’atkan di dalam Islam. Sabda Rasulullah s.a.w.;

الْفِطْرَةُ خَمْسٌ -أَوْ خَمْسٌ مِنَ الْفِطْرَةِ- الْخِتَانُ، وَالاسْتِحْدَادُ، وَتَقْلِيمُ الأَظْفَارِ، وَنَتْفُ الإِبِطِ، وَقَصُّ الشَّارِبِ
“Lima perkara yang merupakan fitrah; berkhitan (bersunat), mencukur bulu kemaluan, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan menipiskan misai”. (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Khatan untuk lelaki adalah wajib manakala bagi wanita pula, ulama berbeza pandangan tentang hukumnya. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada 2009, telah membincangkan tentang Hukum FGM. Muzakarah telah memutuskan bahawa amalan berkhatan bagi wanita adalah sebahagian daripada syiar Islam yang perlu dilaksanakan oleh umat Islam namun diberi kelonggaran seandainya mendatangkan kemudaratan. Muzakarah bersetuju memutuskan hukum berkhatan bagi wanita adalah wajib.

Pada pandangan saya walaupun di sana ada perbezaan pendapat dari segi hukum, perkara paling baik adalah menghormati keputusan yang telah dipersetujui oleh institusi agama di negara kita. Tambahan pula, praktis yang dilakukan di negara kita tidaklah seperti yang dilakukan di negara lain yang boleh membawa kemudaratan pada wanita. Tidak perlulah Dr Farouk Musa membangkitkan tentang perkara ini melainkan di sana ada tanda-tanda praktis yang berbeza daripada kebiasaan yang telah dibumikan dalam masyarakat kita. Menaikkan isu ini, hanya akan menambahkan kecelaruan dalam masyarakat.

 

dr-murizahDr. Murizah Mohd Zain
Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi & Pakar Perubatan Reproduktif,
Aktivis I-Medik Kedah.

Read article

1676

MERUNGKAI MISTERI KEMATIAN

Kolumnis, Mesej, Utama

12/10/2016

Autopsi. Bedah siasat. Curi organ. Kalimah yang kerapkali dikaitkan dengan perkhidmatan forensik. Bidang perubatan forensik memang selalu dimomokkan dengan fenomena-fenomena yang tidak enak didengar. Seringkali juga dikaitkan dengan kejadian mistik dan aneh.

Bagi orang kebanyakan, perbincangan mengenai mati ibarat satu pantang nenek moyang. Seboleh-bolehnya tak mahu disebut langsung. Hakikatnya, kematian merupakan satu perkara rutin, dan bilangannya semakin meningkat seiring dengan peningkatan populasi setempat. Dengan peralihan zaman, pengurusan kematian juga terevolusi membentuk satu bidang yang memerlukan satu sistem yang terancang.

Jabatan forensik, atau dulunya lebih dikenali dengan panggilan rumah mayat, diwujudkan untuk mengurus proses keluar masuk mayat-mayat di hospital. Bagi kematian dalam hospital, biasanya mayat akan terus diserahkan kepada waris, kecuali jika melibatkan isu-isu sensitif. Lain pula halnya jika mayat itu dibawa masuk oleh polis.

Kes mediko legal melibatkan soal undang-undang dan penyiasatan polis, yang mana kebiasaannya memang memerlukan bedah siasat. Perlu ditekankan bahawa pihak hospital TIDAK BERHAK untuk melakukan bedah siasat tanpa kebenaran waris, kecuali dengan arahan polis atau majistret. Sekiranya arahan dikeluarkan, maka bedah siasat perlulah diteruskan, kecuali dengan arahan polis untuk membatalkannya. Soalnya disini, kenapa perlu dibedah siasat?

for

Di forensik, kami dilatih untuk berfikir diluar kotak. Sebagai contoh, dalam satu kemalangan kereta yang melibatkan kematian pemandunya. Antara persoalan yang timbul adalah, adakah dia mati disebabkan kemalangan, ataupun kematiannya yang menyebabkan kemalangan? Atau adakah terdapat unsur jenayah?

Umumnya, bedah siasat bertujun untuk mencari sebab kematian. Mudah bunyinya. Sebab kematian boleh menentukan samada insurans bernilai ratusan ribu ringgit layak dituntut atau tidak. Ia juga menentukan samada kes kematian mengejut berubah menjadi kes berprofail tinggi seperti pembunuhan, dera, rogol dan sebagainya. Kalau anda masih ingat nama-nama ini: Canny Ong, Noritta Samsudin, Altantuya Shariibu, Sosilawati Lowiya, Nurin Jazlin. Sayangnya, kes-kes sebegini selalunya berakhir dengan misteri.

nurin

Dengan kemajuan sains, pemeriksaan bedah siasat bukan sahaja terbatas kepada pembedahan mayat. Pemeriksaan dibuat dengan teliti menggunakan teknologi masakini seperti toksikologi, radiologi, histologi, entomologi, DNA dan sebagainya. Kadang-kadang keadaan mayat tak sempurna seperti yang diharapkan, contohnya seperti mayat reput, terbakar, terpotong-potong, tertanam dalam simen, dan banyak lagi. Ini menyukarkan proses pengecaman dan penyiasatan, dan menjuruskan kepada perlunya kepakaran dan kemahiran dalam mengendalikan kes-kes seperti ini.

Seiring dengan kemajuan, penjenayah juga semakin kreatif untuk menghindar daripada tindakan undang-undang. Oleh itu, pihak berwajib juga perlu lebih kreatif bertindak untuk menghadapkan golongan ini ke muka pengadilan. Setakat ini, belum ada kaedah yang mampu menggantikan bedah siasat dalam penyiasatan mayat. Memang berat hati menjalankan pembedahan ke atas mayat, tapi ianya terpaksa juga dilakukan demi keadilan dan kemaslahatan waris si mati. Teknologi seperti autopsi virtual yang sekarang ini diaplikasikan kepada mumia  agak berpotensi untuk menggantikan bedah siasat ke atas mayat, akan tetapi setakat ini ia belum mampu menandingi ketepatan hasil siasatan melalui bedah siasat.

Muhd Yazid b Abdul Suhaimi
Pegawai Sains Forensik,
Jabatan Forensik, Hosp Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
Ketua Unit Media, I-Medik Kedah.

Read article

1290

KONVENSYEN MAHASISWA PERUBATAN MUSLIM MALAYSIA (KAMPUS 2016)

Aktiviti, Utama

11/10/2016

Bismillahirrahmanirrahim…

Ikatan Pengamal Perubatan & Kesihatan Muslim Malaysia (I-MEDIK) dengan besar hatinya akan menganjurkan sebuah program mega sekali lagi pada tahun ini iaitu “KONVENSYEN MAHASISWA PERUBATAN MUSLIM MALAYSIA (KAMPUS 2016)” dengan tema “PEMERKASAAN KESUKARELAWANAN”.

Butiran program adalah seperti berikut:-

Program: KONVENSYEN MAHASISWA PERUBATAN MUSLIM MALAYSIA (KAMPUS 2016)
Tempat: Dewan Kuliah 1, Bangunan Praklinikal PPUKM/HUKM Cheras, KL.
Tarikh: 15 Oktober 2016 (Sabtu)
Masa: 8.00 am – 5.00 pm

Topik Menarik!
1. Kesukarelawanan: Rugikah Kita?
oleh Dr Rozanizam bin Zakaria (Registrar, Jabatan Psikiatri, HUSM Kubang Kerian)

2.  Peduli dan Prihatin
oleh Dr Mohamad Nor Bin Sundari (Pakar Perunding Bedah Ortopedik & Traumatology, Pusat Perubatan Kuantan)

3. Pasca Bencana
oleh Prof. Madya. Dr. Nora binti Mat Zin (Psikiatris/Pensyarah, Jabatan Psikiatri, Kuliah Perubatan UIAM Kuantan)

4. Bual Bicara: Forum
Prof. Dr. Zainur Rashid bin Zainuddin (Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan, IMU)
Prof. Dr. Azizi bin Ayob (Pengarah Program Perubatan, School of Medicine, IMU)
Dr. Mohd Khairol bin Jambli (Pegawai Perubatan UiTM Sarawak, JK Eksekutif Yayasan Ikhlas)

Yuran :
Individu (RM30.00)
Berkelompok 5 orang (RM120.00)
Berkelompok 10 orang (RM200.00)

JOM DAFTAR SEGERA!!!

http://bit.ly/kampusindividu
http://bit.ly/kampuskelompok

*Pembayaran yuran hendaklah dibuat ke akaun : 5628 3463 5104 (Maybank Islamic I-Medik)

photo_2016-10-11_10-41-39

Read article

1418

ALZHEIMER’S DISEASE: MENGINSAFI KESEMPURNAAN AKAL

Kolumnis, Motivasi, Utama

22/09/2016

Hari itu merupakan giliran saya untuk membantu Pakar Psikogeriatrik di Klinik Memori jabatan kami. Pakcik Abdullah (bukan nama sebenar) berusia 75 tahun dipimpin masuk oleh anak perempuan dan cucunya. Ini adalah lawatan rutin beliau ke klinik kami untuk berjumpa pakar setiap 3 bulan. Beliau telah didiagnos menghidap Alzheimer’s Disease sejak beberapa tahun yang lepas. Saya membelek-belek fail beliau; bermula dengan masalah memori; sering terlupa dan tersalah letak barang, kemudian sering sesat dan tidak tahu bagaimana untuk pulang ke rumah sendiri selepas keluar ke kedai makan, penyakit Pakcik Abdullah semakin teruk selepas kematian isterinya. Beliau kini sudah tidak dapat mengecam muka, terlupa dan kadang-kadang tertukar nama anak-anak sendiri. “Oh rupa-rupanya pakcik dahulu bekerja sebagai seorang guru,” saya bermonolog sendiri apabila membaca sejarah sosial beliau.

Sementara menunggu kedatangan pakar saya berbual dengan Puan Hamidah (bukan nama sebenar), anak kepada Pakcik Abdullah. Anak kedua daripada sepuluh beradik ini ternyata seorang anak yang baik dan sangat berbakti kepada ayahnya. Kini Pakcik Abdullah tinggal bersama-sama dengan beliau dan keluarganya. Memandangkan beliau tidak bekerja dan merupakan seorang suri rumah sepenuh masa, maka tanggungjawab menjaga ayah diletakkan sepenuhnya di atas bahu beliau. Anak-anak yang lain akan datang menjenguk dan melawat sekali sekala di hari minggu dan musim perayaan. “Benarlah kata orang ibu ayah boleh menjaga anak-anak yang ramai, tetapi anak-anak yang ramai belum tentu boleh menjaga ibu atau ayah seorang”, saya bermonolog lagi.

Puan Hamidah meluahkan rasa sedih atas keterbatasannya menjaga ayahnya yang tua yang kini memerlukan perhatian seperti anak kecil. Pakcik Abdullah kini bergantung kepadanya untuk diuruskan rutin seharian seperti membersihkan diri, memakai baju dan makan minum. Terbaru Puan Hamidah mengadu keadaan ayahnya yang kerap meracau, berhalusinasi dan bersikap agresif sehingga kadang-kadang di luar kawalan.

rosethumbnailsmallfb1
Kisah Pakcik Abdullah adalah satu kisah tipikal untuk seorang penghidap Alzheimer’s Disease. Umum mengetahui Alzheimer’s Disease adalah satu bentuk penyakit nyanyuk (dementia) yang paling biasa, yang disebabkan oleh kehilangan progresif sel saraf otak. Pesakit Alzheimer’s Disease menghadapi kemerosotan fungsi mental yang akhirnya akan menjejaskan rutin harian mereka. Simptom yang dikaitkan dengan penyakit ini adalah 4A: amnesia (masalah memori), agnosia (tidak dapat mengenal objek atau orang sekeliling), aphasia (masalah komunikasi) dan apraxia (masalah pergerakan).

Terkini di Malaysia dijangkakan terdapat 50 000 pesakit Alzheimer’s Disease, tetapi kebanyakan daripada mereka tidak didiagnos dan mendapat rawatan yang sepatutnya. Risiko untuk menghidap Alzheimer’s Disease meningkat seiring dengan meningkatnya usia. Risiko bertambah sekiranya mempunyai sejarah keluarga yang menghidap Alzheimer’s Disease, berjantina perempuan dan pernah mempunyai sejarah kecederaan kepala.

Dalam sesetengah kes yang teruk pesakit boleh mengalami masalah tingkahlaku dan psikologi yang juga dikenali sebagai BPSD (Behaviour and Psychological Symptoms of Dementia). Mereka boleh berhalusinasi (biasanya dilihat bercakap sendirian dan mengatakan boleh mendengar suara-suara ghaib atau melihat bayangan), bertindak agresif atau menjadi murung. Alzheimer’s Disease tidak hanya memberi kesan besar kepada penghidapnya, tetapi juga mereka yang menjaga pesakit kerana ianya menagih pengorbanan masa, tenaga, wang ringgit dan perasaan.

Terdapat beberapa ayat Quran yang menyebut tentang penyakit dementia atau nyanyuk ini. Antaranya dalam surah An –Nahl ayat ke 70 Allah berfirman:

an-nahl-70Dan Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada); kemudian Ia menyempurnakan tempoh umur kamu; (maka ada di antara kamu yang disegerakan matinya), dan ada pula di antara kamu yang dikembalikannya kepada peringkat umur yang lemah (peringkat tua kebudak-budakan), sehingga menjadilah ia tidak ingat akan sesuatu yang telah diketahuinya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa. (An-Nahl:70)

Sekiranya kita benar-benar mentadabbur ayat ini kita akan merasakan betapa kerdilnya kita sebagai hamba dan betapa besar dan berkuasanya Allah sebagai pencipta. Dia telah melengkapkan penciptaan akal kita, sehingga dengannya kita boleh berfikir, merancang, mencipta memori, berkomunikasi dan bergerak. Namun Dia jugalah yang berkuasa untuk menarik balik nikmat-nikmat ini seperti yang kita lihat dengan pesakit Alzheimer’s Disease akan sedikit demi sedikit hilang keupayaan kognitifnya dan di akhirnya menjadi seperti kanak-kanak kecil yang terpaksa bergantung kepada orang lain untuk diuruskan rutin hariannya. Benar terdapat ubatan untuk penyakit ini, tetapi peranan ubat adalah lebih kepada untuk memperlahankan penyakit, bukannya menyembuhkan.

Sekiranya salah seorang daripada ibu bapa kita diuji dengan penyakit ini cubalah untuk memahami dan jalankanlah kewajipan kita sebagai seorang anak yang baik. Tidak dinafikan banyak pengorbanan yang perlu dilakukan untuk menjaga pesakit Alzheimer’s Disease, tetapi di saat kita merasa sangat penat berhadapan dengan kerenah mereka, kenangilah segala jerih payah yang telah mereka lalui untuk membesarkan kita. Ingatlah seruan Allah yang menyuruh kita berbuat baik kepada mereka seperti dalam surah Luqman ayat ke 14:

luqman-14
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). (Luqman:14)

Juga jadikanlah hadis nabi yang menyebut tentang ruginya seseorang yang tidak berbakti kepada kedua orang tua pada waktu mereka masih berada di sisi kita sebagai motivasi untuk kita bersama:

رَغِمَ أَنْفُ، ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ، ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ مَنْ أَدْرَكَ أَبَوَيْهِ عِنْدَ الكِبَرِ، أَحَدُ هُمَا أَوكِلَيْهِمَا، فَلَمْ يَدْخُلِ الْجَنَّةَ

“Celaka, sekali lagi celaka, dan sekali lagi celaka orang yang mendapatkan kedua orang tuanya berusia lanjut, salah satunya atau keduanya, tetapi (dengan itu) dia tidak masuk syurga” [Hadits Riwayat Muslim 2551, Ahmad 2:254, 346]

 

dr-zihan-Dr Siti Nor Fazihan Binti Najid-
Pegawai Perubatan,
Jabatan Psikiatri Dan Kesihatan Mental,
Hospital Raja Perempuan Zainab II.
AJK I-Medik Kelantan 2016.

Read article

1736

KONVENSYEN MAHASISWA PERUBATAN MUSLIM MALAYSIA (KAMPUS 2016)

Aktiviti, Iklan, Utama

19/09/2016

Bismillahirrahmanirrahim…

Ikatan Pengamal Perubatan & Kesihatan Muslim Malaysia (I-MEDIK) dengan besar hatinya akan menganjurkan sebuah program mega sekali lagi pada tahun ini iaitu “KONVENSYEN MAHASISWA PERUBATAN MUSLIM MALAYSIA (KAMPUS 2016)” dengan tema “PEMERKASAAN KESUKARELAWANAN”.

Butiran program adalah seperti berikut:-

Program: KONVENSYEN MAHASISWA PERUBATAN MUSLIM MALAYSIA (KAMPUS 2016)
Tempat: Dewan Kuliah 1, Bangunan Praklinikal PPUKM/HUKM Cheras, KL.
Tarikh: 15 Oktober 2016
Masa: 8.00 am – 5.00 pm

Topik Menarik!
1. Kesukarelawanan: Faedah dan Risiko
oleh Dr Rozanizam bin Zakaria (Registrar, Jabatan Psikiatri, HUSM Kubang Kerian)

2.  Peduli dan Prihatin
oleh Dr Asrenee binti Abdul Razak (Ketua Jabatan Psikiatri, HUSM Kubang Kerian)

3. Pasca Bencana
oleh Prof. Madya. Dr. Nora binti Mat Zin (Psikiatris/Pensyarah, Jabatan Psikiatri, Kuliah Perubatan UIAM Kuantan)

4. Bual Bicara: Forum
Prof. Dr. Zainur Rashid bin Zainuddin (Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, IMU)
Prof. Dr. Azizi bin Ayob (Pengarah Program Perubatan, School of Medicine, IMU)
Dr. Mohd Khairol bin Jambli (Pegawai Perubatan UiTM Sarawak, JK Eksekutif Yayasan Ikhlas)

Yuran :
Individu (RM30.00)
Berkelompok 5 orang (RM120.00)
Berkelompok 10 orang (RM200.00)

JOM DAFTAR SEGERA!!!

http://bit.ly/kampusindividu
http://bit.ly/kampuskelompok

*Pembayaran yuran hendaklah dibuat ke akaun : 5628 3463 5104 (Maybank Islamic I-Medik)

photo_2016-09-19_09-08-32

Read article

1306

I-MEDIK SERTAI MISI QURBAN DI SABAH

Aktiviti, Utama

16/09/2016

KOTA MARUDU, 14 Sept – Naib Presiden Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Professor Dr Zainur Rashid Zainuddin telah menyertai misi ibadah Qurban Perdana anjuran Yayasan Ikhlas dan Surau Al-Amin Etiqa Dataran Maybank yang bertempat di Kota Marudu dan Pitas, Sabah.

Misi yang dijalankan selama dua hari ini turut dihadiri oleh Tuan Haji Zaim Shaari, Timbalan Pengerusi Yayasan Ikhlas; pasukan daripada Surau Al-Amin Dataran Maybank diketuai pengerusi surau Tuan Haji Zulkafli Jalil; Dr Mohd Sobri Mohd Saupi, Pengerusi i-Medik Sabah serta Pengurus Yayasan Ikhlas cawangan Sabah, En. Mohd Noorulhazery bin Saimin dan ahli Jawatankuasa Eksekutif Yayasan Ikhlas Ustaz Dr. Sarip bin Adul.

Bermula pada 13 September, misi ibadah Qurban dimulakan di Kota Marudu dan telah dikelolakan oleh Ustaz Ikhwan Banturoung Abdullah. Program yang berpusat di Kampung Masolog ini turut mengumpulkan penduduk yang rata-ratanya mualaf dari 11 kampung lain. Rombongan berbesar hati untuk mengagihkan daging qurban kepada penduduk Kg Gana berpusat di surau mereka kerana kedudukan kampung mereka yang terletak 15 km dari Kampung Masolog di atas bukit melalui lereng-lereng bukit yang curam tidak mengizinkan mereka untuk berkumpul bersama-sama dengan yang lain.

photo_2016-09-16_18-49-02Antara penerima daging qurban dan sumbangan aidil adha di Deean Kampung Masolog

Menceritakan detik-detik sama Misi Qurban, Prof Dr Zainur Rashid sangat terkesan apabila melihat pengorbanan seorang gadis berusia 11 tahun yang sanggup berjalan kaki seorang diri sejauh 5 kilometer ke surau Kampung Gana, semata-mata untuk menyertai Misi Qurban Perdana serta menerima sumbangan daging korban.

Apatah lagi beliau terpaksa mewakili keluarganya kerana bapanya keluar mencari nafkah untuk memungut hasil hutan manakala ibu pula perlu menjaga lima orang adik yang masih kecil. Dan yang lebih menarik, mereka merupakan satu-satunya keluarga muslim yang tinggal di kawasan berkenaan.

Misi Qurban Perdana diteruskan pada 14 September di berpusat di Kampung Mulung Kulung, Pitas, menghimpunkan penduduk-penduduk sekitar dari 7 buah kampung yang rata-ratanya berasal dari suku kaum Tombonuo. Misi di Pitas ini dikelolakan bersama oleh Ustaz Ismail Estin, seorang daie yang berjiwa besar dan sangat dihormati di daerah ini.

photo_2016-09-16_18-48-52Bersama penduduk setempat di surau Kg Gana

Rombongan turut mengagihkan daging qurban ke kampung-kampung yang berjauhan dari pusat program. Kedhaifan sebuah keluarga yatim piatu 10 beradik yang dibesarkan oleh kakaknya yang masih diusia remaja turut mendapat perhatian pasukan Yayasan Ikhlas dan Surau Al-Amin, Dataran Maybank.

“Untuk tahun ini sahaja, Surau al-Amin dan Yayasan Ikhlas telah berjaya mendapatkan penyertaan 14 ekor lembu untuk misi korban di Sabah, yang mana dua ekor lembu diagihkan ke Kudat, enam ekor di Kota Marudu dan enam ekor lagi di Pitas. Kita berharap agar misi qurban ini bukan sahaja membantu meringankan beban saudara kita, bahkan dapat menggembirakan mereka sempena kehadiran Hari Raya Adha 1437H. Semoga program ini bukan sahaja diteruskan pada masa datang, malah sumbangan dan bilangan sukarelawan yang terlibat turut bertambah,” ujar Professor Dr Zainur Rashid Zainuddin, yang juga merupakan Jawatankuasa Eksekutif Yayasan Ikhlas.

photo_2016-09-16_18-49-09Bergotong-royong melapah daging di Kg Masolog

Misi Ibadah Qurban Yayasan Ikhlas turut dijayakan di Sarawak, Kelantan, Acheh, Kemboja, Selatan Thailand dan Bangladesh pada tahun ini.

 

Oleh: Dr. Mohd Sobri Mohd Saupi, Aktivis I-Medik Sabah

Read article