‘Computer Vision Syndrome’ Punca Masalah Mata Di Kalangan Pengguna Telefon Pintar

Telefon pintar, tablet, komputer serta pelbagai lagi gajet yang wujud pada masa kini menjadi alat yang paling kerap digunakan oleh segenap lapisan masyarakat saban hari. Perkembangan teknologi telekomunikasi yang berlaku juga dijangka akan menjadikan manusia lebih bergantung kepada alat-alat tersebut pada masa hadapan. Sehingga tahun 2017, dianggarkan bahawa pengguna telefon pintar adalah seramai 2.32 billion orang di serata dunia. Ini menjadikan bilangan pesakit yang mengadu masalah kesihatan akibat penggunaan alat-alat ini juga meningkat setiap tahun.

Computer Vision Syndrome’ merupakan antara masalah kesihatan yang terjadi akibat terdedah kepada penggunaan telefon pintar untuk tempoh yang kerap dan berpanjangan. Terdahulu, sindrom ini dikaitkan dengan skrin yang terdapat di komputer meja sahaja, namun ianya tidak lagi terhad kepada komputer tersebut kerana alat-alat teknologi berskrin lain sudah semakin kerap digunakan. Kajian menunjukkan penggunaan alat teknologi ini melebih dua jam sehari akan membawa risiko 90% kepada sindrom tersebut serta menyebabkan pelbagai kesan sampingan terhadap mata dan penglihatan. Perkara ini menjadi lebih rumit bagi pekerja-pekerja yang menggunakan komputer untuk tempoh masa yang lama.

Antara faktor yang menyumbang kepada risiko mendapat penyakit ini adalah disebabkan imej yang tercipta pada skrin ‘visual display terminal(VDT)’ adalah dalam bentuk piksel yang mana tahap kontras huruf-huruf pada skrin tidak tajam seperti bahan bercetak. Ini menjadikan mata kita menghadapi kesukaran untuk terus fokus pada skrin ketika membaca, seterusnya menyebabkan mata seolah-olah dipaksa untuk kekal meneruskan pembacaan. Keadaan ini mewujudkan ketegangan kepada otot-otot mata yang terlibat dalam proses pembacaan jarak dekat, lantas mengakibatkan keletihan atau ‘fatigue’ kepada mata.

Kebiasaannya, mata manusia akan berkelip secara spontan sebanyak 15 kali dalam satu minit. Walaubagaimapun, dengan meningkatnya tahap fokus mata kita terhadap skrin VDT akan menjadikan mata kita berkelip kurang daripada 5 kali seminit. Kesan daripada keadaan ini akan menyebabkan berkurangnya air mata akibat tersejat oleh udara persekitaran, lalu mendedahkan permukaan mata kita kepada kekeringan.

Simptom-simptom yang kebiasaanya terjadi kepada mereka yang mengalami ‘Computer Vision Syndrome’ ini adalah seperti keletihan mata, mata kering dan gatal, pandangan menjadi kabur, kesukaran untuk fokus pada jarak dekat, pandangan menjadi dua (double vision), dan juga masalah-masalah berkaitan kekejangan otot di leher, bahu, serta tulang belakang disebabkan keadaan tubuh yang tidak sesuai ketika melihat VDT.

Perkara ini menjadi lebih rumit bagi kanak-kanak jika mereka terdedah kepada penggunaan alat-alat teknologi VDT ini terlalu lama. Kajian menunjukkan risiko untuk kanak-kanak mendapat rabun jauh akibat penggunaan VDT yang terlalu lama adalah sebanyak 25-30%. Kanak-kanak mempunyai tahap kesedaran kendiri yang terbatas, di mana mereka cenderung untuk menghadap skrin selama beberapa jam tanpa rehat. Mereka juga sangat cepat menyesuaikan diri dengan merasakan tabiat mereka ketika melihat skrin adalah normal meskipun ianya tidak. Sebagai contoh, kanak-kanak cenderung untuk melihat skrin pada jarak yang terlalu dekat. Keadaan ini bakal meningkatkan risiko untuk mendapat ‘Computer Vision Syndrome’, yang mana ianya lebih sukar untuk ditangani berbanding orang dewasa. Oleh itu, penggunaan telefon pintar atau tablet di kalangan kanak-kanak perlu dipantau sebaiknya oleh ibu bapa.

Pencegahan terhadap sindrom ini merupakan langkah terbaik bagi mengelak daripada menghadapi masalah-masalah tersebut, lebih-lebih lagi kepada kanak-kanak. Antara perkara yang boleh dilaksanakan ialah dengan menghadkan maksima sejam hingga dua jam penggunaan gajet-gajet pintar. Semestinya langkah ini adalah sangat mencabar kerana banyak keperluan rutin seharian dilakukan melalui medium-medium gajet pintar tersebut, namun perkara ini perlu dijadikan latihan bagi mengelak masalah yang timbul daripadanya.

Langkah-langkah lain seperti menetapkan tahap kecerahan alat-alat pintar supaya tidak terlalu terang, memasang skrin anti-silau pada alat-alat tersebut, serta mengambil rehat yang sebentar tetapi kerap daripada melihat skrin secara berterusan adalah digalakkan. Pakar-pakar optik juga menyarankan agar ditetapkan jarak penglihatan daripada skrin sejauh 80 – 90 cm (jarak sejauh 40 cm seperti yang disarankan sebelum ini didapati tidak berkesan mengelak daripada simptom berlaku), disamping menetapkan sudut penglihatan sebanyak 10-20 darjah di bawah garis penglihatan supaya mengelak daripada kekejangan otot dan kekeringan mata.

 

 

 

 

Dr. Muhammad Syamil Mohamad Salmi
AJK Pusat I-Medik
Pegawai Perubatan Sarjana Oftalmologi

Leave a Comment