IMEDIK

MEMBANGUN TAMADUN PERUBATAN ISLAM

COVID-19 DAN AGENDA MEMPERKASA PROFESION KEJURURAWATAN


SELURUH dunia meraikan jururawat dalam sambutan Hari Jururawat Sedunia pada 12 Mei yang lepas.

Kerjaya sebagai seorang jururawat saya kira telah menjadi lebih popular setelah wabak COVID-19 melanda negara.

Masakan tidak, setiap hari negara menitipkan doa dan ucapan kepada para barisan hadapan ini agar mereka sentiasa kuat bertarung demi ‘memerdekakan’ negara daripada ancaman wabak jahat COVID-19 yang telah meragut lebih 100 nyawa di dalam negara.

Begitulah darjat kerjaya ini diangkat kerana kemuliaannya merisikokan nyawa untuk menyelamatkan nyawa rakyat jelata yang lain.

Kegigihan dan keberanian jururawat menggalas tugas berat untuk negara ini tiada siapa dapat merasainya melainkan mereka menyarung sendiri pakaian bak angkasawan dan berhadapan secara nyata dengan pesakit COVID-19.

Berapa ramai jururawat sendiri terkena jangkitan COVID-19 ini. Apakah yang mendorong jururawat sehingga sanggup membahayakan nyawa sendiri dan keluarga untuk orang yang tidak pun mereka kenali?

Saya tidak merasakan mereka mengidam-idamkan elaun khas RM400 untuk para barisan hadapan dalam situasi genting ini.

Sirah Nabi juga merakamkan, semasa peperangan Khaibar, sekumpulan jururawat yang diketuai Rufaidah al-Aslami berkhemah di tepi medan pertempuran dan memberikan perawatan kepada para pejuang Islam yang tercedera.

Bagaimana mungkin jiwa yang kecil dan pengecut boleh berada di medan pergelutan yang juga berkemungkinan menjadi korban peperangan.

Mudah-mudahan firman Allah dalam al-Quran ini menjadi motivasi yang paling tinggi buat mereka.

“Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya…” (Al-Maidah, ayat 32)

Tiada siapa dapat menjangkakan dunia dilanda pandemik COVID-19 yang kini telah meragut lebih suku juta kematian dalam masa lebih kurang hanya dua bulan.

Dalam situasi kecemasan ini, negara telah menambah kapasiti jururawat seramai 830 orang1 untuk digembleng melawan COVID-19.

Alhamdulillah rezeki bagi pelatih jururawat yang telah lama menunggu panggilan untuk berkhidmat.

Sudah pasti perasaan mereka bercampur baur; gembira kerana telah mendapat penempatan, sedih dan bingung kerana ditempatkan di barisan hadapan melawan virus yang mengancam negara.

Apa yang kita boleh jangkakan terhadap perkembangan kerjaya jururawat semasa dan selepas COVID-19? Adakah para pelajar di sekolah terinsipirasi dengan watak hero yang diangkat ini? Ataupun menjadi takut untuk bercita-cita untuk menjadi jururawat kerana tingginya risiko pekerjaannya? Tiada siapa yang pasti.

Penambahan jururawat yang dilakukan kerajaan baru-baru ini sudah pasti akan mengecilkan nisbah jururawat kepada pesakit yang kini dianggarkan satu jururawat kepada 302 pesakit (nisbah cadangan WHO adalah 1:200).

Walaupun begitu, saya khuatir nisbah yang telah dirapatkan ini kembali menjarak sekiranya jururawat yang diambil atas dasar kontrak ini tidak diserap penuh dalam perkhidmatan.

Pihak kementerian kesihatan boleh mula menyusun strategi agar jururawat kontrak ini dikekalkan dalam perkhidmatan dengan mewujudkan dan mengembangkan struktur jururawat seperti yang telah dicadangkan ramai ahli akademik kejururawatan sebelum ini.

Setelah mengisi kawasan ataupun sektor yang mempunyai kuantiti jururawat yang kritikal, kementerian kesihatan dengan nasihat bahagian kejururawatan bersama-sama membangunkan jawatan-jawatan yang lebih strategik seperti “Advance Practice Nurse” yang sangat-sangat diperlukan untuk mendaya guna kepakaran jururawat terutama dalam aspek perancangan, penyeliaan dan penilaian praktis perawatan yang dilaksanakan.

Hal ini kerana situasi semasa, berapa ramai jururawat pakar yang mempunyai pengalaman bekerja dan kelayakan akademik yang tinggi (doktor falsafah) akhirnya menyertai bidang akademik kerana tiada perjawatan yang sesuai dalam bahagian perkhidmatan.

Bukankah ini suatu pembaziran kepakaran untuk terus diterjemahkan dalam ruangan amali?

Kita mungkin masih belum berjaya sepenuhnya dalam aspek perubatan pencegahan atau kesihatan awam yang mencakupi aktiviti promosi kesihatan.

Sudah tiba masanya kerajaan dan kementerian kesihatan lebih serius dalam melahirkan jururawat pakar yang berkemahiran dalam pengurusan, pendidikan dan penyelidikan yang berkaitan dengan kesihatan komuniti.

Sekiranya jururawat yang berkhidmat di medan masyakarat mempunyai pendidikan paling kurang sarjana muda, sudah tentu mereka memiliki kemahiran asas untuk mengendalikan kajian penyelidikan memandangkan suasana praktis bersandarkan bukti ataupun “evidence-based practice” kian menjadi dalil dalam penentuan keputusan.

Apatah lagi sekiranya jururawat memiliki kelayakan sarjana ataupun doktor falsafah (PhD), sudah tentu mereka lebih berkelayakan dan kompeten untuk memimpin dan berkolaborasi dengan profesion yang lain; kerana jururawat mempunyai ciri unik yang berdiri sendiri dalam perkhidmatan mereka iaitu penyayang dan mengambil berat ataupun yang biasa disebut sebagai “caring”.

Kita boleh perhatikan, siapakah yang lebih prihatin kepada masyarakat awam dalam penjagaan ibu-ibu selepas bersalin? Siapakah yang lebih hampir kepada masyarakat dalam hal ehwal kesihatan mental dalam komuniti? Siapakah yang lebih mesra menyapa masyarakat untuk memberi pendidikan kesihatan berkaitan diet yang sihat, perancangan keluarga, sistem sanitari dan vaksinasi? Sudah semestinya mereka yang bergelar jururawat.

Mereka selayaknya digalakkan dan diberikan peluang yang lebih besar untuk mempelajari prinsip asas melakukan kajian saintifik, reflektif berkesan, perancangan berasaskan model, asas statistik, bahkan kepimpinan kejururawatan.

Betapa besarnya lagi peluang dan ruang untuk profesion ini berkembang agar setanding dengan kerjaya yang lain.

COVID-19 mengajar kita pentingnya mempunyai benteng sistem pengurusan kesihatan yang mampan. Sebagai rakyat marhaen yang juga meneliti perkembangan geopolitik negara, kita kena akui dunia diambang ketidakstabilan.

Kita boleh lihat bagaimana cubaan (bahkan telah berjaya) China menguasai perairan Laut China Selatan dan membina kekuatan ketenteraan yang bukan alang-alang. Petanda peperangan semakin tiba (walaupun desas-desus perang biologinya telahpun bermula).

Pembangunan sistem perubatan kecemasan peperangan seharusnya menjadi perhatian juga, dan sudah tentu jururawat bakal menjadi barisan hadapannya juga.

Persoalannya, adakah perjuangan asas memantapkan profesion kejururawatan telah selesai? Tepuk dada tanya selera, jika belum kita tidak akan ke mana-mana.

Selamat Hari Jururawat 2020!

“Nurses: A Voice to Lead
Nursing the World to Health”
Mohammed Rasheedan Ellin
Jururawat
Sektor Kejururawatan
Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan (I-Medik)

Mohammed Rasheedan bin Ellin
Pengajar Klinikal, Jabatan Kejururawatan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) & Aktivis Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik)

Leave a Reply