Denggi meragut nyawa; Di mana silapnya?

Berdasarkan pemantauan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kes Denggi di Malaysia terus menunjukkan penurunan tren sejak denggi krisis yang berlaku pada tahun 2015 di mana sejumlah 120,836 kes yang telah dicatatkan pada tahun tersebut dan merupakan kes tahunan tertinggi.

Sepanjang tahun 2017, 83,849 kes Denggi yang direkodkan berbanding 101,357 kes pada tahun 2016, pengurangan sebanyak 17,508 kes (17.3%). Daripada jumlah tersebut, 177 kes kematian telah dilaporkan di seluruh negara berbanding 237 kes kematian akibat Denggi pada tahun 2016. Umum sedia maklum bahawa Denggi boleh membawa maut. Namun masih ramai rakyat Malaysia tidak menjalankan aktiviti pencegahan yang sepatutnya.

Penyakit berjangkit seperti Denggi mempunyai hubung kait langsung dengan persekitaran yang kotor dan situasi ini menggalakkan kewujudan tempat pembiakan Aedes. Tahap pengamalan kebersihan masih tidak setaraf dengan negara maju walau pun Islam menitikberatkan soal kebersihan sehingga menganggapnya sebahagian daripada iman sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim.

Peningkatan sampah serta sistem pelupusannya yang mencabar serta budaya masyarakat yang kurang memberi perhatian terhadap cara pembuangan sampah adalah antara faktor utama menjejaskan status kebersihan persekitaran. Budaya masyarakat yang masih lagi membuang sampah merata-rata, melonggok sampah di tempat yang haram dan kadar kitar semula yang rendah perlu diubah.

Sama ada disedari atau tidak, perbuatan yang tidak berakhlak ini menyebabkan perbelanjaan mengurus meningkat. Oleh demikian, bagi mengurangkan masalah ini masyarakat perlu mematuhi amalan menjaga kebersihan menurut lunas agama, mempunyai kesedaran sivik yang tinggi dan mematuhi undang-undang serta peraturan yang ditetapkan. Jangan nanti ‘Sudah Terhantuk Baru Tengadah’.

Justeru itu, Ikatan Pengamal Perubatan & Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) menyeru agar masyarakat Malaysia mendidik ahli keluarga menjadi insan yang suka kebersihan dan benci pencemaran serta menghayati amalan kebersihan sebagai budaya hidup Muslim sejati. Selain itu juga, I-Medik turut mencadangkan pihak kerajaan agar mewujudkan satu dasar berkaitan kebersihan bagi mewujudkan persekitaran Malaysia yang sihat, selamat dan indah. Tiada Aedes, Tiada Denggi.

Dr Ahmad Farid Nazmi Bin Abdul Halim
Pengerusi I-Medik Selangor & WP

Leave a Comment