IMEDIK

MEMBANGUN TAMADUN PERUBATAN ISLAM

Diabetes: Ketahui Risiko Anda!

Diabetes merupakan sejenis penyakit kronik yang hebat melanda dunia masakini. Di Malaysia sahaja pada tahun 2014, seramai 2.6 juta orang rakyat Malaysia adalah penghidap penyakit ini. Diabetes atau lebih dikenali dengan kencing manis ialah keadaan di mana kandungan gula (glukos) di dalam darah seseorang melebihi paras normal. Paras normal gula di dalam darah dibahagikan kepada paras berpuasa (fasting glucose level) dan paras rawak (random glucose level).

  • Paras gula berpuasa normal: 4.0 – 6.0 mmol/L
  • Paras gula berpuasa rawak: 4.4 – 8.0 mmol/L

 

cek diabetes

Paras gula yang tinggi di dalam darah boleh berlaku dengan beberapa sebab. Biasanya tahap gula dalam darah dikawal oleh bahan kimia yang dikenali sebagai insulin yang dihasilkan oleh organ pankreas. Fungsi utama insulin ialah untuk mengawal pengangkutan gula dari dalam darah ke sel-sel yang memerlukannya sebagai bahan tenaga terutamanya otot-otot. Oleh hal yang demikian, di dalam pesakit diabetes, tahap gula yang tinggi di dalam darah mungkin disebabkan oleh insulin yang dihasilkan tidak mencukupi atau tindakan insulin sudah kurang berkesan.

mekanisme diabetes

Terdapat tiga jenis diabetes:

Jenis 1

  • Biasanya terjadi di kalangan kanak-kanak atau remaja
  • Hanya boleh dikawal dengan suntikan insulin berserta kawalan pemakanan dan senaman

Jenis 2

  • Biasanya di kalangan orang dewasa berusia 40 tahun ke atas dan individu yang mempunyai berat badan berlebihan
  • Mempunyai sejarah keluarga yang menghidap diabetes
  • Boleh dikawal dengan pemakanan dan senaman atau gabungan pemakanan, senaman dan ubat

Jenis 3

  • Berlaku secara sementara contohnya ketika mengandung
  • Berlaku disebabkan perubahan hormon yang mempengaruhi kadar gula dalam darah

Faktor-faktor risiko

  • Berat badan berlebihan/Obesiti
  • Tidak aktif secara fizikal
  • Pemakanan yang tidak sihat terutamanya makanan dan minuman yang manis serta kandungan gula yang tinggi
  • Sejarah keluarga yang menghidap diabetes

 

makanan

Diabetes itu sendiri sekiranya terkawal akan mengurangkan kesan langsung dan tidak langsung hasil paras gula yang abnormal di dalam darah. Bagaimanapun, sekiranya ia tidak terkawal, ia boleh membawa kerosakan dengan mengakibatkan komplikasi-komplikasi organ-organ lain seperti:

  • Tekanan darah tinggi
  • Serangan jantung
  • Angin ahmar/Strok
  • Penyakit saraf
  • Buta mata
  • Tisu mati (Gangrene) dan kudis sehingga menyebabkan kaki terpaksa dipotong

kesan diabetes

Penyakit diabetes tidak boleh disembuhkan tetapi ianya boleh dikawal dengan:

  • Mengawal pemakanan
  • Bersenam secara konsisten
  • Mengekalkan berat badan unggul (Body Mass Index: BMI) antara 18.5 hingga 23
  • Mengambil ubat diabetes (OHAs) atau suntikan insulin setelah diperiksa oleh doktor

pencegahan diabetes

Sempena Hari Diabetes Sedunia yang disambut pada hari ini 14 November 2015, marilah kita bersama mengambil berat kesihatan kita. Cegah diabetes sebelum ianya berlaku kepada diri kita. Sekiranya kita mempunyai faktor-faktor risiko untuk mendapat diabetes seperti di atas, ayuh berjumpa dengan doktor segera untuk pemeriksaan lanjut.

wdd

Periksa kesihatan diri kita sekurang-kurangnya dua kali setahun untuk memastikan tubuh badan kita sentiasa sihat dan kuat agar dapat melaksanakan tugasan seharian dengan sempurna. Cegah sebelum parah dan mencegah itu lebih baik daripada merawat. Sabda Rasulullah SAW “Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab menunaikan hak terhadap badan kamu.” (HR Bukhari).

“Muslim Sihat, Islam Hebat”

-I-Medik Kelantan-
14 November 2015

Leave a Reply