MENU

Comments (0) Info Sihat

Diet untuk Kegagalan Tumbesaran dan Perkembangan (Failure to thrive)

Setiap kanak-kanak yang sihat akan mengalami tumbesaran yang pesat pada peringkat awal. Namun begitu, di dalam sesetengah kes, terdapat juga kanak-kanak  yang gagal mencapai standard pertumbuhan yang normal. Keadaan ini dinamakan sebagai Failure to thrive (FTT) atau Kegagalan Tumbesaran dan Perkembangan. Ini bermaksud kegagalan perkembangan dan pertumbuhan fizikal kanak-kanak yang biasanya disusuli dengan kegagalan perkembangan motor dan sosial.

Faktor-faktor yang menyumbang kepada kegagalan tumbesaran dan perkembangan ini adalah masalah perubatan yang mengganggu pengambilan makanan kanak-kanak itu sendiri seperti penyakit jantung kongenital, penyakit usus dan gangguan sistem saraf. Selain itu simptom-simptom perubatan seperti muntah-muntah, cirit-birit, hilang selera makan dan kembung perut juga mengganggu tahap pengambilan makanan bagi kanak-kanak dan seterusnya tumbesarannya menjadi terbantut.

Salah satu intervensi bagi kanak-kanak yang mengalami kegagalan tumbesaran ini adalah terapi pemakanan dimana pesakit akan dirujuk kepada pegawai dietetik atau pegawai sains pemakanan. Sewaktu intervensi diberikan, feeding barrier juga akan diakses  seperti adakah pesakit mengalami sakit mulut, atau terdapat ulcer pada mulut, sakit tekak, sakit gusi atau masalah pergigian. Feeding barrier ini juga merupakan penyumbang kepada kekurangan pengambilan makanan bagi kanak-kanak. Modifikasi terhadap diet diperlukan sesuai dengan keadaan kanak-kanak berkenaan.

Kegagalan tumbesaran dan perkembangan ini menjadi kerisauan di kalangan para ibu terutamanya. Secara umumnya, apa yang ibu-ibu atau keluarga boleh lakukan adalah menetapkan jadual makan yang teratur kepada anak. Makanan harus diberikan mengikut jadual bagi mengelakkan tabiat grazing iaitu makan makanan dalam kuantiti yang sedikit secara berulang-ulang sepanjang hari, tanpa mengira waktu dan tempat, boleh jadi ketika bermain, menonton atau melakukan aktiviti lain sambil makan. Akibatnya anak berkenaan berisiko untuk kekurangan zat apabila makanan yang dimakan itu rendah kalori dan berasa seolah-olah kenyang sepanjang masa padahal kuantiti atau kalori makanan yang diambil hanyalah sedikit. Alangkah bagusnya sekiranya anak ini dapat didisiplinkan waktu pemakanannya dan suasana tempat makan yang sepatutnya. Saranan untuk mengambil 3 kali waktu makan utama beserta sekurang-kurangnya dua kali waktu snek adalah digalakkan.

Kegagalan tumbesaran juga boleh berlaku bagi bayi yang lewat diberikan makanan pelengkap (complementary food). Weaning diet atau pengenalan makanan pelengkap di antara umur 4 hingga 6 bulan boleh dipertimbangkan, secara individu ke atas bayi yang mengalami pertumbuhan yang kurang memuaskan, setelah segala usaha untuk memperbaiki amalan penyusuan dilakukan.

Makanan yang telah dihancur lumat sehingga boleh diberikan kepada anak berusia 4-6 bulan sebagai makanan pelengkap

Kanak-kanak yang mengalami kegagalan tumbesaran seharusnya mengambil makanan seimbang dan berkalori tinggi. Pelbagaikan jenis makanan yang berkhasiat berpandukan piramid makanan. Berikan makanan berkarbohidrat seperti nasi, roti, mi, dan pasta sebagai sumber tenaga utama. Sertakan buah-buahan dan sayur-sayuran untuk membekalkan vitamin dan mineral. Di samping itu berikan makanan berprotein seperti ayam, ikan, telur, daging dan kekacang untuk membina tisu badan dan otot, serta membekalkan zat besi bagi pembentukan sel darah merah.

Berikut merupakan beberapa cara yang boleh diamalkan sebagai panduan kepada ibu bapa di rumah bagi membekalkan makanan berkalori tinggi :-

  1. Daripada memberi nasi putih sahaja setiap hari, anda boleh pelbagaikan jenis nasi seperti nasi goreng nasi ayam, nasi lemak atau nasi beriyani asalkan ianya tidak pedas dan terlalu masin. Harus diingat bahawa pemakanan seimbang adalah penting. Jadi sekiranya anda menyediakan nasi goreng kepada anak anda, pastikan ada tambahan protein seperti ayam, telur atau daging dan juga sayur-sayuran.
  2. Makanan bergoreng adalah digalakkan seperti mee goreng, bihun goreng pasta goreng kerana makanan bergoreng berkalori tinggi. Sekiranya anda menyediakan bubur nasi, ikan dan ayam haruslah digoreng terlebih dahulu sebelum dicampur ke dalam bubur nasi tersebut.
  3. Ayam atau ikan digoreng bersalut tepung bagi meningkatkan lagi kadar serapan minyak seterusnya meninggikan kalori makanan. Kenalkan juga sayur bergoreng dalam makanan harian.
  4. Sediakan juga makanan berkalori tinggi pada waktu snek seperti biskut atau roti atau lempeng yang disapu jem/ marjerin/ madu/ mentega kacang, kuih muih bergoreng atau bersantan, cucur jemput, ubi kentang goreng atau kentang putar bersama ayam dan daging, bergedil, roti yang dicelup dengan telur bersusu, sandwich tuna/telur/ sardin yang disapu dengan marjerin. Puding yang dibuat dengan mencampurkan susu penuh krim juga boleh dijadikan snek yang berkalori tinggi.
  5. Makan bijirin sarapan atau oat bersama susu penuh krim.
  6. Hidangkan minuman berkhasiat seperti susu penuh krim/ susu kocak (milkshake)/ susu berperisa, atau buah yang dikisar bersama susu penuh krim untuk dijadikan jus. Susu Pemakanan lengkap (complete nutrition) juga boleh disajikan.
  7. Sediakan juga produk tenusu seperti yogurt, dadih, aiskrim, ice-blended drink dan keju.

Para ibu juga mungkin sedar bahawa anak-anak ini selalunya cepat bosan dengan suatu jenis makanan. Sebagai contoh, sekiranya pada hari pertama kita sediakan nasi putih bersama ayam goreng, dan kita dapati anak makan dengan penuh berselera dan dalam kuantiti yang bayak. Keesokannya kita juga menyediakan nasi bersama ayam goreng juga dengan harapan anak kita akan makan dengan kuantiti yang banyak juga tetapi yang berlaku adalah sebaliknya. Pada hari ketiga, ada kemungkinan anak kita akan semakin kurang makan atau tidak mahu menjamah makanan kerana kita menyediakan menu yang sama juga. Justeru kepelbagaian menu yang dihidangkan juga memainkan peranan dalam memastikan anak yang kurang tumbesarannya mengambil makanan secukupnya. Ibu bapa atau penjaga harus menjadi kreatif dalam menyediakan menu atau diet kepada kanak-kanak.

TIP MENINGKATKAN PENGAMBILAN MAKANAN ANAK ANDA

  1. Kenalpasti makanan kegemaran anak anda.
  2. Hidangkan makanan dalam pelbagai cara/warna/gaya masakan supaya kelihatan menarik dan menyelerakan.
  3. Makanlah bersama keluarga dalam suasana yang riang dan gembira.
  4. Makanlah pada waktu yang teratur.
  5. Elakkan pengambilan snek berhampiran dengan waktu makan utama.
  6. Libatkan anak anda dalam merancang menu, membeli dan menyediakan makanan.
  7. Kenalkan pelbagai jenis makanan baru kepada anak anda.
  8. Teruskan pemberian susu dan hasil tenusu.

Bagi bayi di bawah satu tahun, corak pemakanan adalah sedikit berbeza kerana bayi masih memerlukan makanan yang lembut sepert bubur nasi roti dan sebagainya. Justeru cara untuk meningkatkan kalori makanan adalah bergantung kepada corak pengambilan makanan bayi tersebut. Rujukan kepada pegawai Dietetik atau pegawai sains pemakanan adalah perlu supaya intervensi secara individual dapat diberikan bersesuaian dengan pengambilan makanan bayi berkenaan.

P/s: Pemakanan berkalori tinngi ini hanya bersifat sementara sahaja iaitu sehingga anak berkenaan mencapai berat badan yang normal.

Noor Taufikhiah bt Harun
Pegawai Dietetik U41
Hosp. Bukit Mertajam

Rujukan:

  • Diet untuk Kegagalan Tumbesaran dan Perkembangan (Failure to Thrive), Kementerian Kesihatan Malaysia, 2008.
  • Garis Panduan Pemberian Makanan Bayi dan Kanak-Kanak Kecil, Bahagian Pemakanan Kementerian Kesihatan Malaysia 2008
  • Essential Practical Guidelines For Failure To Thrive Patients

Leave a Reply