IMEDIK

MEMBANGUN TAMADUN PERUBATAN ISLAM

Ebola: Simptom dan cara mengelaknya

PENGENALAN

EBOLA adalah sejenis penyakit serius yang sering menyebabkan kematian, dengan kadar kematian sehingga 90%. Penyakit ini boleh dialami oleh manusia dan dan juga haiwan seperti monyet, gorila dan cimpanzi.

Ebola pertama kali dikesan pada tahun 1976 di sebuah kampung berhampiran Sungai Ebola di Republik Demokratik Congo, dan satu lagi di kawasan terpencil di Sudan. Sehingga kini antara negara yang dijangkiti  dengan penyakit virus Ebola adalah Guinea, Sierra Leone ,Liberia, Nigeria dan Senegal.

10635699_753767551327656_7758928095783995885_n

CARA JANGKITAN

Perumah semula jadi virus Ebola adalah kelawar di mana penularan kepada populasi manusia berlaku melalui sentuhan/kontak langsung dengan darah, cecair, organ atau bendalir badan yang lain daripada haiwan yang dijangkiti Ebola seperti cimpanzi, gorila, kelawar buah atau monyet yang didapati sakit atau mati di dalam hutan.

Ebola kemudian merebak melalui manusia kepada manusia. Anda mungkin terdedah kepada virus Ebola melalui kontak langsung dengan:

1. Cairan badan individu yang sakit atau meninggal dunia akibat penyakit virus Ebola, seperti darah, muntah, najis, air kencing dan sebagainya.

2. Objek yang tercemar dengan virus Ebola, seperti jarum suntikan, peralatan perubatan yang digunakan dan lain-lain lagi.

3. Cairan badan haiwan yang dijangkiti, seperti darah, cairan badan juga dagingnya.

TANDA-TANDA JANGKITAN

Tempoh inkubasi, atau selang masa dari jangkitan kepada timbulnya gejala, adalah dari 2 hingga 21 hari. Pesakit menjadi berjangkit apabila mereka mula menunjukkan gejala. Antara gejala awal yang mungkin dialami adalah demam, kelesuan, sakit otot, sakit kepala dan sakit sendi. Ini diikuti dengan muntah-muntah, cirit-birit, ruam dan pendarahan.

Jangkitan penyakit virus Ebola hanya boleh disahkan melalui ujian makmal.

ebola-poster4

RAWATAN

Pesakit yang mengalami gejala yang serius memerlukan jagaan sokongan yang intensif. Pada masa ini tiada rawatan khusus untuk menyembuhkan penyakit ini.

Sesetengah pesakit akan pulih dengan rawatan perubatan yang sesuai.

NASIHAT KESIHATAN

– Sekiranya anda mengunjungi negara-negara yang terlibat, ELAKKAN dari mempunyai kontak langsung dengan pesakit, melawat isirumah atau fasiliti kesihatan yang terjejas dengan wabak penyakit virus Ebola.

– Jangan menyentuh barangan atau peralatan yang mungkin dicemari dengan cairan badan pesakit seperti darah, najis, air kencing dan sebagainya.

– Elakkan daripada menghampiri atau menyentuh haiwan mati yang ditemui.

-Mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi.

Dr Thahirahtul Asma’ Zakaria
Aktivis Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik)
Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit,
Kementerian Kesihatan Malaysia.

Leave a Reply