IMEDIK

MEMBANGUN TAMADUN PERUBATAN ISLAM

Fenomena ‘vaping’ dan kesan terhadap kesihatan

Baru-baru ini timbul budaya baru dalam masyarakat di Malaysia iaitu fenomena ‘vaping’ atauelectronic cigarette (rokok elektronik). Ia tumbuh bak cendawan selepas hujan. Malah ada yang tanpa segan silu berkongsi gambar-gambar ‘vaping’ secara berkumpulan.

Kaum wanita juga ramai yang terlibat dengan ‘vaping’ ini. Mungkin kerana mereka menggangap ‘vaping’ tidak berbahaya seperti merokok. Lebih menyedihkan, ada diantara kanak-kanak sekolah rendah yang ditangkap kerana memiliki rokok elektronik yang rupanya seakan-akan pensil. Ini jelas menunjukkan, kebimbangan yang disuarakan orang ramai sejak rokok elektronik mula diperkenalkan telah menjadi kenyataan.

Sebenarnya idea untuk mencipta rokok elektronik ini diilhamkan oleh Herbert A Gilbert pada tahun 1963. Namun, kerana kekangan teknologi pada ketika itu, ia tidak menjadi kenyataan. Pada tahun 2003, seorang ahli farmasi dari China, Hon Lik telah berjaya memperkenalkan rokok elektronik ini dan ia mula memasuki pasaran sekitar tahun 2004/2005.

Sejak awal penggunaannya, ia dikritik hebat oleh pakar-pakar perubatan dan pengkaji toksikologi. Ada diantara pakar perubatan yang bimbang rokok elektronik ini akan menyebabkan meningkatnya budaya merokok dikalangan kaum wanita dan remaja. Ternyata, inilah fenomena yang sedang kita lihat sekarang.

vape

Dari segi kesihatan, rokok elektronik tidak diiktiraf oleh pakar perubatan WHO sebagai langkah untuk berhenti merokok walaupun ramai diantara penggunanya memberikan alasan sedemikian.

Buat masa ini di Malaysia, Klinik Berhenti Merokok yang diadakan khas di klinik-klinik kesihatan seluruh negara masih menggunakan kaedah kaunseling dan terapi nikotin sebagai langkah utama ke arah smoking cessation.

Walaupun rokok elektronik bebas tembakau, ia masih mengandungi nikotin dalam dos yang berbeza serta sejumlah bahan kimia yang lain yang digunakan untuk menghasilkan ‘vapour’ yang kelihatan seperti asap rokok. Berbeza dengan terapi nikotin di klinik kesihatan, dos nikotin yang masuk ke dalam badan perokok dari rokok elektronik sukar dipastikan. Tetapi harus diingat, 60 mg nikotin yang diserap ke dalam darah, mampu membunuh seorang dewasa yang tidak merokok.

Timbul juga kebimbangan pengkaji bahawa bahan-bahan kimia yang digunakan bagi menghasilkan vapour ini boleh menyebabkan risiko untuk mendapat penyakit kanser meningkat.

Tidak kira apa jua alasan yang digunakan oleh pengguna rokok elektronik, jelas hukumnya sama dengan rokok konvensional, iaitu berstatus haram bagi umat Islam. Ini telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam yang bersidang pada tahun 1995.

Saya masih ingat kata-kata pensyarah di Fakulti Perubatan, Universiti Monash tentang merokok. Kata pensyarah tersebut, namakan apa sahaja penyakit yang ada di dalam dunia ini, merokok pasti salah satu daripada risiko bagi mendapat penyakit tersebut. Ini jelas menggambarkan keburukan merokok dari sudut kesihatan.

Tubuh badan kita adalah amanah daripada Allah SWT, maka ia wajar dijaga dengan sebaiknya. Tubuh badan yang sihat menjadikan pemiliknya mudah untuk beribadah kepada Allah. Umat Islam harus sedar, beribadah kepada Allah merupakan matlamat utama kita diciptakan atas muka bumi ini, sesuai dengan firman Allah SWT dalam Surah Az-Dzariyat ayat 56.

“Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah kepada-Ku.”

Malah dalam Surah Al-An’am, ayat 32, telah dijelaskan bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah permainan dan senda gurau, sedangkan akhirat adalah lebih baik bagi orang yang bertaqwa.

“Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain mainan dan senda gurau. Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka tidakkah kamu memahaminya? “

Marilah kita mengambil iktibar, lemahnya bangsa Melayu Muslim pada hari ini adalah kerana jauhnya mereka daripada Islam. Kembalilah kepada Islam bagi meningkatkan martabat bangsa Melayu Muslim.

“KELUARGA BAHAGIA MASYARAKAT SEJAHTERA PEMANGKIN UMMAH BERAGENDA”

 

Dr Nur Farrah Nadia bt Najib
Pegawai Perubatan (A&E) Hospital Penawar

Ahli I-Medik Johor

Leave a Reply