MENU

Comments (2) Kolumnis

Ganja Beri Impak Besar Ke Atas Ekonomi Negara

Ganja adalah sejenis bahan kimia yang diharamkan oleh kebanyakan negara di seluruh dunia. Penggunaan ganja bukan sahaja boleh memudaratkan kesihatan, namun ianya mempunyai implikasi yang besar ke atas ekonomi negara. Salah satu kesan utama penggunaan ganja adalah ketagihan kepada penggunanya.

Di Malaysia, statisktik yang telah dikeluarkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan menunjukkan penyalahgunaan ganja pada tahun 2014 adalah sebanyak 1,919 kes, menjadikannya sebagai jenis dadah yang ketiga selepas Opiat dan Methamphetamin.

Dalam satu kajian yang telah dijalankan di Amerika Syarikat, iaitu Drug Abuse Treatment Cost Analysis Program (DATCAP) dalam jurnalnya Journal of Substance Abuse Treatment telah membuktikan bahawa penggunaan ganja akan membebankan ekonomi negara bagi memulihkan kesan buruk daripada penggunaan ganja.

Dalam kajian mereka, kos yang diperlukan di Amerika Syarikat bagi pemulihan untuk setahun adalah sebanyak $1, 869,042. Kos ini diperlukan untuk perkara-perkara seperti penyelenggaraan methadon, rawatan intensif, komuniti terapi dan lain-lain lagi.

Hal ini menunjukkan bahawa kos yang tinggi diperlukan bagi mengatasi impak yang disebabkan penggunaan ganja. Kos yang tinggi ini hanya untuk memulihkan penagih-penagih sahaja manakala kerosakan harta benda dan ketenteraman awam masih belum dikira kos pemulihannya.

Berdasarkan kajian ini, saya berpendapat adalah tidak wajar bagi pemindaan undang-undang untuk penggunaan ganja dari tersenarai sebagai dadah terlarang. Kenyataan ahli pemuda UMNO, Syed Rosli Jamalullail yang meminta kerajaan membenarkan penggunaan ganja di Malaysia bagi menghilangkan tekanan kos sara hidup jika diterima, maka ia akan menambahkan beban negara sahaja.

Saya menyokong kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam yang berkata pindaan undang-undang untuk membenarkan penggunaan ganja dalam masyarakat bukan satu keperluan kepada negara walaupun Belanda dan beberapa negara telah melaksanakannya.

Dalam ajaran Islam, Allah melarang hambanya mencampakkan diri ke dalam kebinasaan. Sepertimana firman Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat 195, yang bermaksud “Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu mencampakkan dirimu ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.” Berdasarkan ayat ini, ganja yang memberi lebih banyak keburukan daripada kebaikan haruslah dilarang penggunaannya.

Justeru, saya menyokong bahawa pindaan undang-undang untuk membenarkan penggunaan ganja dalam masyarakat bukan satu keperluan dan memerlukan kajian yang mendalam sebelum ia dilaksanakan.

Dr Abdul Rahman Ramdzan
Pengerusi I-Medik Sabah
Master student Of Public Health
Universiti Malaysia Sabah

2 Responses to Ganja Beri Impak Besar Ke Atas Ekonomi Negara

Leave a Reply