MENU

Comments (0) Mesej

Hari Kanser Sedunia 2019; “I AM AND I WILL”

Tanggal 4 Februari ini, seantero dunia akan menyambut Hari Kanser Sedunia 2019 yang bertemakan “I Am and I Will”. Jika diterjemahkan secara literal, rangkai kata tema tersebut bermaksud “Saya Adalah dan Saya Akan” yang bunyinya agak tergantung. Namun, maksud sebenar tema ini ialah untuk memberikan kesedaran kepada diri kita untuk mengakui kanser ialah merupakan salah satu pembunuh utama manusia dan perubahan kepada mengurangkan kadar kematian akibat kanser ini bermula dengan diri kita. Justeru, Jika disesuaikan dengan bahasa Melayu, tema tersebut akan berbunyi “Saya Sedar dan Saya Akan Lakukan Perubahan”.

Konsep perubahan bermula dari kita ini telah dinukilkan dalam Al-Quran sejak 1400 tahun dahulu melalui Surah Ar-Ra’d ayat ke 11 yang bermaksud,

“…Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya”.

Sungguh cantik didikan Islam dan ini menunjukkan betapa agungnya mukjizat Al-Quran yang kekal relevan sepanjang zaman malah turut boleh diaplikasikan dalam usaha mencegah penyakit di bidang perubatan.

Mengikut statistik, dianggarkan seramai 9.5 juta telah meninggal dunia sepanjang tahun 2018 akibat kanser – iaitu kira-kira  26 ribu kematian sehari. Saban tahun, kempen-kempen kesedaran mengenai bahaya kanser ini dijalankan sama ada di peringkat komuniti ataupun kerajaan.

Tanda-tanda awal kanser tidak semestinya hadir dengan wujudnya benjolan yang tidak normal, radang, rasa sakit atau pendarahan dibahagian tertentu, namun  sesetengah tanda yang tidak khusus seperti rasa cepat letih, kurang selera makan atau susut berat badan. Terdapat juga kes yang dikesan secara kebetulan semasa pesakit diperiksa untuk sakit yang lain seperti demam berpanjangan dan sebagainya. Jika terdapat ada tanda-tanda awal kanser, orang ramai hendaklah disarankan agar segera melakukan pemeriksaan kesihatan di klinik-klinik atau hospital berdekatan.

Dengan kemajuan teknologi masa kini, kebanyakan kanser dapat dikesan pada peringkat awal. Ujian saringan bagi kanser payudara dan kanser serviks hendaklah dilakukan secara berkala. Gaya hidup yang tidak sihat seperti amalan seks bebas yang menyebabkan jangkitan kuman penyebab kanser seperti Human Papilloma Virus, Hepatitis, HIV AIDS, Epstein-Barr dan berbagai-bagai lagi virus wajib dijauhkan. Faktor lain seperti tabiat pemakanan, berat badan berlebihan, kurang aktiviti senaman, pendedahan kepada cahaya UV yang berlebihan, pengambilan alkohol, tabiat merokok, pencemaran udara dan penggunaan hormon adalah antara punca kanser yang boleh diubah.

Tabiat merokok yang telah difatwakan haram diketahui umum daripada kajian-kajian perubatan yang membuktikan peningkatan risiko kanser dikalangan perokok dan orang di sekeliling perokok (perokok sekunder). Langkah kerajaan mengenakan larangan merokok ditempat awam dan di tempat makan berkuatkuasa  1 hari bulan Januari 2019 yang lalu dibawah Peraturan 11, Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT 2004) merupakan salah satu usaha untuk mengurangkan risiko kanser di samping penyakit-penyakit lain yang berkaitan dan perlu disokong semua pihak.

Sempena menyahut seruan tema hari Kanser Sedunia tahun ini, “I am and I Will” marilah kita bersama mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan risiko kanser terhadap diri dan masyarakat disamping sentiasa membantu pesakit-pesakit kanser dengan melaksanakan langkah-langkah seperti berikut:

  1. Melakukan aktiviti-aktiviti sihat seperti menjauhkan diri daripada penggunaan tembakau dan alcohol, bersenam dengan secukupnya, pemakanan seimbang dan melindungi diri daripada terdedah kepada cahaya matahari secara berterusan tanpa pelindungan yang wajar.
  2. Mengetahui tanda-tanda penyakit kanser dan melakukan ujian saringan mengenalpasti kanser di peringkat awal seperti yang telah disarankan.
  3. Berkongsi cerita dan pengalaman dikalangan pesakit-pesakit kanser agar dapat meningkatkan motivasi pesakit kanser dalam menghadapi dan melawan penyakit kanser
  4. Menyertai kumpulan-kumpulan sokongan bagi mendapat bantuan dan galakan serta memberikan sumbangan.
  5. Berkomunikasi dengan pihak berkuasa dan badan-badan bukan kerajaan bagi tujuan penyebaran maklumat dan langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk mengurangkan risiko-risiko kanser
  6. Membantu pesakit-pesakit kanser untuk meneruskan aktiviti-aktiviti harian sebelum dan selepas diagnosis mengikut kemampuan mereka untuk mengekalkan normaliti, kestabilan emosi dan jasmani dan kedudukan kewangan.

Rujukan

 

1. World Cancer Day 2019: ’I Am and I Will.’ (2019) Simon, S. (Senior Editor) American Cancer Society. Dimuat turun di laman sesawang:  https://www.cancer.org/latest-news/world-cancer-day-2019.html

 

2. Terjemahan Al-Quran Al-Karim dari http://www.surah.my/13

 

3. Kenyataan akhbar oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia bertarikh 31 Disember 2018 ‘Tempat Makan Sebagai Tempat Dilarang Merokok” dimuat turun secara PDF di laman sesawang:  www.moh.gov.my/index.php/database_stores/attach…/1117

 

4. “Causes of cancer and reducing your riskdaripada laman sesawang Cancer Research UK  dimuat turun dari: https://www.cancerresearchuk.org/about-cancer/causes-of-cancer

 

5. Keutamaan Mengingati Mati (Ogos 2015) Fairuz Hj. Noordin, dari laman sesewang https://ikimfm.my/keutamaan-mengingati-mati/ . Artikel ini telah disiarkan di segmen agama Berita Harian edisi 13 Ogos 2015.

 

Ditulis oleh,
Assistant Prof Dr Nazhan Afeef bin Mohd Ariff @ Ghazali
Pakar Bius, Jabatan Bius dan Rawatan Rapi, UIAM.
Ahli Jawatan Kuasa I-Medik Pahang.

Leave a Reply