IMEDIK

MEMBANGUN TAMADUN PERUBATAN ISLAM

Hidayah-related Vomiting

Muntah atau ‘vomiting’ seringkali dikaitkan dengan penyakit tertentu sebagai satu reaksi normal oleh sistem pencernaan manusia. Muntah juga disebabkan ganguan organik dan juga ‘functional’. Ini termasuklah akibat daripada keadaan penyakit seperti ‘acute appendicitis’, ‘cholecystitis’, gangguan di saluran intestinal, atau peritonitis. Infeksi oleh pelbagai micro-organisma seperti virus, bakteria, dan parasit lain di saluran pencernaan secara tipikal menyebabkan muntah serta kesakitan pada perut.

Namun begitu, ‘muntah’ yang ingin penulis kongsikan disini mungkin ‘functional’ atau mungkin juga bentuk yang lain. Penulis gambarkan sebagai ‘hidayah-related vomiting’. Walaupun dan sememangya tiada dalam kamus perubatan untuk terma ini! Kisah benar ini telah mendapat perhatian penulis untuk sama-sama kita telusuri betapa Allah SWT itu Maha Berkuasa keatas hamba-hambanya. Akan ada kisah dan peristiwa yang biasa pada kita tetapi tidak pada mereka yang belum mengenali Islam. Ianya bermula bila penulis baru-baru ini berkesempatan berjumpa dengan kenalan lama yang pernah sama-sama bersekolah di Sekolah Menengah Inggeris Ipoh hampir 30 tahun lepas. Sewaktu sekolah dahulu, beliau masih belum memeluk Islam dan menggunakan nama keluarga Hokkien nya sebagai Lim.

Kisah titik tolak hidayah ini bermula sewaktu beliau terlibat dalam satu kemalangan motorsikal sekitar tahun 1988 yang hampir meragut nyawanya. Namun Allah masih menyayanginya, setelah koma selama dua minggu , Lim pulih dari kemalangan tersebut selepas keluar dari hospital. Apabila pulang ke rumah, ibunya merenih sup tulang khinzir sebagai salah satu kaedah tradisional untuk memulihkan kesihatan beliau. Namun setiap kali beliau memakan sup tersebut, Lim merasa tidak sedap badan dan mual.  Sedangkan makanan itu tiada unsur kontaminasi oleh micro-organisma lain selain unsur khinzir. Simptom ini, walaubagaimanapun tidak ‘terlintas’ oleh  Lim untuk mengaitkan dengan adanya kaitan dengan permulaan ‘hidayah’ Allah padanya.

Akibat daripada pengalaman tersebut , Lim tidak lagi memakan makanan berunsur khinzir. Lim seterusnya  melanjutkan pelajaran ke luar negara dan berkesempatan bekerja sambil belajar di sebuah restaurant masakan Hong Kong di London. Semasa bekerja disitu, makanan turut disediakan untuk pekerja. Namun setiap kali beliau makan, beliau mengalami yang sama iaitu terasa mual dan tidak sedap badan.  Beliau teringat peristiwa lama yang membuatkan Lim bermuhasabah diri.
Hasil daripada kajian beliau, makanan yang disediakan di restoran tersebut menggunakan minyak khindzir.   Sejak dari itu, Lim mula memikirkan apakah hikmah kedua-dua episod tersebut. Pemikiran Lim di luar kotak itu menjurus kepadanya untuk mengkaji dan mendalami Islam dan membuat perbandingan dengan agama lain. Setelah yakin dengan agama Islam, sekembalinya dari luar negara, akhirnya Lim mengucap dua kalimah syahadah pada sekitar 1997.  Episod muntah ini hanyalah salah satu daripada beberapa episod yang menjadi pemangkin kepada pembukaan hidayah pengislaman Lim.

Penulis dengan rasa rendah diri dan bersyukur, sempat bersalaman dan memeluk Lim dalam pertemuan makan-makan bersama teman-teman dari sekolah yang sama. Kisah ini memberi keyakinan kepada penulis betapa hebatnya dalam setiap inci perancangan Allah. Kita harus terus berdoa meminta hidayah Allah senantiasa. Ya Allah ya tuhanku, engkaulah sebenar-benar tuhan, rezekikan kami dengan hidayahMu yang berkekalan kepada kami semua. Ameen.


(penulis telah mendapat izin untuk kisah ini ditulis dan paparan foto)

Leave a Reply