MENU

Comments (0) Kolumnis, Utama

Hidu Gam dalam Kalangan Pelajar – Jangan Ambil Mudah!

Menghidu gam bukanlah perkara baru dalam kalangan pelajar sekolah. Faktornya, gam mudah didapati di mana-mana kedai, murah, dan tidak ada kesalahan undang-undang bagi sebarang pembelian melibatkan gam adalah antara sebab-sebab mengapa ia kerap disalahguna oleh para pelajar. Dengan harga dibawah RM10 sesiapa sahaja boleh mendapatkan gam di kedai-kedai berhampiran. Gam atau di dalam bahasa Inggeris disebut glue sniffing adalah perbuatan menghidu sejenis dadah dikategorikan sebagai inhalants. Terdapat pelbagai jenis gam yang dijual di kedai yang pada asalnya digunakan untuk tujuan yang lain seperti kegunaan industri, kosmetik, bahan mengecat, dan produk petroleum.

Inhalan yang mudah didapati di kedai-kedai

Apakah permasalahan utama di sebalik perbuatan menghidu gam? Walaupun perbuatan menghidu gam adalah mudah dilakukan, tidak memerlukan sebarang peralatan tambahan, namun kesan sampingannya negatif dan amatlah besar. Permasalahan utama melibatkan menghidu gam adalah kerana ia membawa kepada ketagihan. Ketagihan adalah permasalahan yang serius kerana ia melibatkan kerosakan pada sistem saraf (khususnya sistem dopamine) di otak. Ketagihan yang tidak dibendung boleh membawa kepada kerosakan kekal pada fungsi otak dan seterusnya membawa kepada permasalahan melibatkan fungsi otak termasuklah permasalahan pembelajaran dan mental. Menghidu gam secara khususnya pula membawa kepada simptom seperti khayal, euphoria (keseronokan terlampau), muntah-muntah, kekeliruan mental, hilang memori dan juga permasalahan jantung.

 

Sebuah kajian dilakukan di Malaysia berkaitan pengambilan dadah di kalangan pelajar sekolah menengah di Malaysia pada tahun 2016, mendapati bahawa majoriti remaja yang terlibat dengan aktiviti-aktiviti tidak sihat seperti merokok, meminum alkohol, mengisap ganja dan menghidu gam pada umur 15-17 tahun. Daripada 1,800 pelajar yang terlibat di dalam kajian tersebut, lebih daripada 30% (405 pelajar) mendedahkan bahawa ibu bapa mereka tidak melihat aktiviti-aktiviti menghisap ganja, minum alkohol dan menghidu gam sebagai perbuatan yang menyalahi undang-undang.  Persepsi yang salah ini menyumbang kepada peningkatan kesalahan berkaitan dadah di kalangan pelajar sekolah disebabkan pengaruh rakan sebaya. Oleh itu adalah amat penting bagi pihak sekolah, jabatan pendidikan, ibu bapa, serta agensi-agensi yang lain seperti AADK mengetahui corak pengambilan bahan terlarang di sekolah termasuk menghidu gam, bagi mendapatkan solusi terbaik bagaimana permasalahan melibatkan pengambilan bahan terlarang ini dapat dibendung.

 

Jangan memandang mudah perbuatan menghidu gam di kalangan pelajar sekolah. Walaupun perbuatan menghidu gam itu kelihatan mudah, namun kesannya amatlah serius. Oleh itu Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) amatlah menyokong sebarang tindakan untuk membendung gejala menghidu gam dikalangan anak muda.

 

Dr. Nor Ruzaini Sulaiman
Ketua Unit Kawalan Ketagihan Dadah
I-Medik

Leave a Reply