I-Medik Kelantan menyokong penuh pengharaman penjualan vape dan e-rokok di Kelantan

I-Medik (Pertubuhan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia) cawangan Kelantan menyokong penuh cadangan pengharaman penjualan e-rokok termasuklah vape di negeri Kelantan. Ini berikutan vape mempunyai implikasi yang hampir sama dengan rokok dan mampu memudaratkan kesihatan penggunanya.

Budaya penggunaan vape dan e-rokok yang tidak dibendung dari awal berpotensi menular bukan sahaja kepada  golongan muda, bahkan kepada peringkat kanak-kanak dan wanita.

Adalah juga dikhuatiri pengusaha vape yang tidak bertanggungjawab mencampurkan bahan-bahan terlarang seperti dadah atau ganja ke dalam cecair vape yang akan menyebabkan ketagihan lain dan mampu memberi kesan yang memudaratkan.

Kita seharusnya mengikut jejak langkah negara-negara jiran seperti Singapura & Thailand yang sudah pun mengharamkan penjualan vape. Malah terdapat saranan daripada W.H.O (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) untuk menggalakkan negara anggotanya termasuklah Malaysia untuk menghentikan penjualan dan penggunaan vape.

Statistik barah paru-paru di negeri Kelantan

Kebanyakkan vape dan e-rokok mempunyai nikotin sebagai salah satu daripada kandungan utamanya. Sekiranya diekstrapolasikan implikasi nikotin di dalam rokok terhadap vape dan e-rokok pada jangka panjang, ia mampu menyebabkan barah paru-paru sama seperti rokok.

Barah paru-paru
Barah paru-paru

Statistik menunjukkan 87% daripada barah paru-paru berlaku dikalangan perokok. Secara purata, seorang perokok mempunyai 10 kali ganda risiko menghidap barah paru-paru berbanding seseorang yang tidak merokok. Manakala seorang perokok tegar (merokok lebih daripada 40 batang rokok sehari) mempunyai 60 kali ganda risiko menghidap barah paru-paru. Tambahan pula, wanita mempunyai kecenderungan yang lebih tinggi terhadap karsinogen pada nikotin.

Data daripada Kelantan Cancer Registry Report menunjukkan barah paru-paru menduduki tangga teratas sebagai barah yang paling kerap dihidapi oleh lelaki dengan sebanyak 310 kes direkodkan daripada tahun 2004 ke 2008. Jumlah kes ini lebih tinggi daripada jumlah yang direkodkan 5 tahun sebelumnya.

Barah paru-paru daripada pemeriksaan mikroskopik
Barah paru-paru daripada pemeriksaan mikroskopik

Kebanyakan kes barah paru-paru dikesan berlaku pada pesakit yang lebih muda berbanding statistik sebelum ini iaitu 50 tahun ke atas. Lebih menyedihkan, separuh daripada pesakit baru kanser paru-paru sudah berada pada tahap 4 sewaktu mula di kesan.

Bagi wanita di negeri Kelantan pula, barah paru-paru merupakan barah ke-6 paling kerap dihidapi selepas barah payudara, ovari, pangkal rahim, usus dan kelenjar thyroid.

Kajian juga menunjukkan merokok boleh menyebabkan barah mulut, pharynx, esofagus, pangkal rahim, pundi kencing dan buah pinggang.

Melihat kepada fakta diatas, apakah kita mampu lagi tersenyum dan membenarkan penggunaan vape dan e-rokok di negeri ini? Marilah kita menjadi rakyat yang bijak dengan menyokong usaha murni kerajaan negeri mengharamkam penjualan dan pengunaan vape dan e-rokok.

Keputusan muktamad penjualan vape akan diketahui pada 16 Disember nanti seperti yang dimaklumkan oleh Datuk Abdul Fattah Mahmood, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan & Alam Sekitar Negeri di mesyuarat exco negeri pada 2 Disember lalu.

 

dr-aniza

Dr.Aniza binti Hassan
Pemangku Pengerusi
I-Medik Kelantan
Pakar Patologi (Kajitisu), HRPZII

Leave a Comment