I-Medik Sabah Hulur Bantuan Banjir ke Pitas

PITAS, 28 Januari: Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia cawangan Sabah (I-Medik Sabah)  dengan kerjasama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan PEMUDA ISMA Cawangan Kota Kinabalu telah melancarkan Misi Bantuan Banjir pada 28 Januari 2017 di beberapa buah kampung sekitar daerah Pitas yang telah dilanda bencana banjir baru-baru ini. Antara kampung yang terlibat adalah Kg. Kusilad, Kg. Kobon dan Kg. Rokum.

Misi ini diketuai oleh Dr Mohamad Sobri Mohamad Saupi, Pengerusi I-Medik Sabah dibantu oleh Ustaz Ismail Estin, Imam Kariah di Pitas serta sokongan dan dokongan kuat YDP ISMA cawangan Kota Kinabalu, Ustaz Dr. Sarip bin Adul. Seramai 16 orang sukarelawan yang terdiri daripada pegawai perubatan, pelajar Universiti Malaysia Sabah dan Kolej Yayasan Sabah telah menyertai pasukan misi bantuan ini dengan membawa bantuan berupa barang keperluan dan wang tunai hasil sumbangan ahli dan dermawan.

16265877_1819632904944523_3912709834016261349_n

“Kampung ini telah dilanda banjir sebanyak empat kali dari hujung tahun lepas. Akan tetapi, banjir kali ini telah banyak memusnahkan tanaman dan menyebabkan perhubungan darat terputus di Kg. Kobon. Kami terpaksa menaiki bot untuk mengambil bantuan yang dihantar”, kata Encik Umar Jaman, wakil dari Kg. Kobon.

Para sukarelawan juga turut menghantar misi bantuan Kampung Rokum dan sempat beramah mesra bersama pengerusi JKKK, En. Ambok Surit. Beliau kelihatan sangat gembira menerima kedatangan para sukarelawan dan mengharapkan aktiviti kebajikan seperti itu dapat diteruskan di masa hadapan.

16406443_1819633134944500_2325383904427445683_n

Difahamkan pihak kerajaan melalui agensi yang ada telah menyediakan pusat pemindahan mangsa banjir dan memberi bantuan kepada mangsa. Adapun sumbangan yang diberikan oleh I-Medik dan ISMA Kota Kinabalu merupakan tanda sokongan dan kebersamaan atas apa yang dihadapi oleh masyarakat setempat. Bantuan diberikan kepada yang terlibat tanpa mengira bangsa dan agama.

“Melihat kedhaifan mangsa banjir sangat menyentuh hati kami kerana mereka tetap tersenyum walau musibah menimpa. Mereka nampak sangat positif dan ceria. Misi pertama saya ini telah membawa seribu makna buat saya dan bakal menjadi inspirasi untuk diri ini untuk turut serta lagi dalam program kesukarelawanan sebegini,” Amirah Farhana, Sukarelawan Misi Bantuan Banjir Pitas.

16265629_1819632851611195_4521578049249511214_n

Misi bantuan banjir ini merupakan misi kemanusiaan pertama bagi tahun 2017 sebagai pembuka tirai kepada program I-Medik Sabah yang lain. Misi ini akan diteruskan lagi secara berkala di daerah lain yang terlibat dan orang ramai dialu-alukan untuk menyumbang kepada masyarakat yang memerlukan untuk misi-misi akan datang. Anda boleh menyumbang ke akaun berikut:

Pertubuhan Ikatan Muslimin Malaysia, Kota Kinabalu
Maybank Islamic | 560214058721
 

 

oleh Wahidatul Husna Zuldin
Sukarelawan I-Medik Sabah

Leave a Comment