I-Medik sediakan pemeriksaan kesihatan percuma untuk mangsa banjir di Kuantan

BANGI, 27 Dis – I-MEDIK Kuantan menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma kepada mangsa banjir yang ditempatkan di SJK © Chun Ching.

Seramai 54 orang yang berumur antara 12 hingga 70 tahun telah diperiksa oleh tiga orang doktor I-MEDIK dari pukul 10.45pagi hingga ke 1 tengah hari hari tadi.

Antara pemeriksaan kesihatan yang dijalankan termasuklah pemeriksaan tekanan darah (BP), kandungan gula dalam darah (RBS) dan lain-lain seperti batuk, demam dan selesema.

Menurut Dr Norzila Baharin, kebanyakan yang datang membuat pemeriksaan kesihatan adalah penghidap kencing manis dan darah tinggi.

“Setelah membuat pemeriksaan, kami menasihatkan kepada penghidap kencing manis dan darah tinggi untuk tidak malas makan ubat serta menjauhi makanan yang berlemak dan masin.

“Terdapat sebilangan kecil juga yang baru disahkan mengidap kencing manis dan darah tinggi ketika membuat pemeriksaan kesihatan hari ini.

“Untuk kes seperti ini, mereka terus dirujuk ke klinik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di kawasan itu,”  jelasnya.

Pasukan I-Medik Kuantan turut membekalkan kit kebersihan diri yang mengandungi alat-alat seperti berus gigi, ubat gigi dan sabun mandi.

Dr Norzila yang juga merupakan Ketua Wanita ISMA Kuantan berkata, I-MEDIK Kuantan merancang untuk terus memberikan perkhidmatan kesihatan percuma di tempat penempatan banjir yang lain pula.

“Walaubagaimanapun, kami mungkin tidak dapat buat untuk tempoh masa yang lama kerana tidak cukup sukarelawan doktor,” katanya.

Tambah beliau, jika ada sukarelawan doktor yang mencukupi, pemeriksaan kesihatan percuma akan diteruskan pasca banjir dan berpusat di pejabat ISMA Kuantan.

Doktor-doktor kesihatan yang berminat untuk menyumbang tenaga sebagai sukarelawan I-MEDIK boleh menghubungi Dr Mohamad nor bin Sundari, Timbalan Presiden I-MEDIK yang juga merupakan Pakar Bedah Orthopedik & Traumatology di Pusat Perubatan Kuantan di talian 012-3833678.

Leave a Comment