IMEDIK

MEMBANGUN TAMADUN PERUBATAN ISLAM

I-Medik selar peniaga vape ugut KKM dalam menjalankan tugas

Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) kesal dengan tuduhan peniaga-peniaga vape dari Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas)  terhadap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah kononnya melakukan rasuah dalam penguatkuasaan rampasan cecair vape bernikotin . Tuduhan ini dibuat tanpa bukti yang jelas dan gagal mengemukakan motif KKM berbuat demikian.
vapers bantah KKM
KKM telah bertindak mengikut saluran yang wajar iaitu di bawah Akta Racun 1952.
Tambahan pula baru-baru ini kita dikejutkan dengan laporan dari Pusat Racun Negara,  USM yang melaporkan telah menerima 2 kes keracunan nikotin akibat terminum cecair berperisa vape, melibatkan kanak-kanak berusia 4 tahun dari Miri dan seorang pemuda berusia 23 tahun dari Lawas, Sarawak.
Di Amerika Syarikat, satu-satunya negara yang mendahului kita dalam pasaran vape, ribuan kes terdedah kepada bahaya (exposure) cairan vape telah direkodkan. Dari jumlah ini, 215 kes keracunan nikotin dilaporkan dalam bulan Februari 2015 sahaja. Lebih 50% mangsa adalah kanak-kanak. Satu kes kematian dilaporkan di Oklahoma apabila si anak berusia 4 tahun berjaya mencapai botol isian semula vape ibunya dan meminumnya.
Walaupun dinafikan oleh golongan vapers, nikotin adalah berkepekatan tinggi dalam bentuk cecair dan sudah ada laporan kes kebocoran cecair vape sebelum ia sempat ditukarkan kepada wap yang mengancam pengguna sendiri.
Selain keracunan, nikotin juga menyebabkan ketagihan dan bagi remaja, ia dapat mengganggu perkembangan kognitif otak yang masih dalam peringkat pembentukan.
Tindakan peniaga Ikhlas ini hanya bermotifkan keuntungan tanpa memikirkan kesan jangka panjang terhadap rakyat Malaysia. Ikhlas tidak wajar mengugut sebuah kementerian yang menjalankan tugasnya dengan penuh tanggungjawab.
demo vapers
Bahaya nikotin dalam vape amat nyata.  Oleh itu,  tindakan KKM dan Ketua Pengarah Kesihatan dalam bertegas merampas cecair vape bernikotin adalah wajar demi mengelakkan tragedi dan bagi memelihara kesihatan masyarakat. I-Medik sekali lagi mengulangi pendirian menyokong sepenuhnya KKM dan Ketua Pengarah Kesihatan demi kesejahteraan rakyat Malaysia.
Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar
Naib Presiden II
Muhammad Zubair M.Suhaimi
Ahli Jawatankuasa Pusat
Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik )

Leave a Reply