IMEDIK

MEMBANGUN TAMADUN PERUBATAN ISLAM

I-MEDIK SERTAI MISI QURBAN DI SABAH

KOTA MARUDU, 14 Sept – Naib Presiden Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Professor Dr Zainur Rashid Zainuddin telah menyertai misi ibadah Qurban Perdana anjuran Yayasan Ikhlas dan Surau Al-Amin Etiqa Dataran Maybank yang bertempat di Kota Marudu dan Pitas, Sabah.

Misi yang dijalankan selama dua hari ini turut dihadiri oleh Tuan Haji Zaim Shaari, Timbalan Pengerusi Yayasan Ikhlas; pasukan daripada Surau Al-Amin Dataran Maybank diketuai pengerusi surau Tuan Haji Zulkafli Jalil; Dr Mohd Sobri Mohd Saupi, Pengerusi i-Medik Sabah serta Pengurus Yayasan Ikhlas cawangan Sabah, En. Mohd Noorulhazery bin Saimin dan ahli Jawatankuasa Eksekutif Yayasan Ikhlas Ustaz Dr. Sarip bin Adul.

Bermula pada 13 September, misi ibadah Qurban dimulakan di Kota Marudu dan telah dikelolakan oleh Ustaz Ikhwan Banturoung Abdullah. Program yang berpusat di Kampung Masolog ini turut mengumpulkan penduduk yang rata-ratanya mualaf dari 11 kampung lain. Rombongan berbesar hati untuk mengagihkan daging qurban kepada penduduk Kg Gana berpusat di surau mereka kerana kedudukan kampung mereka yang terletak 15 km dari Kampung Masolog di atas bukit melalui lereng-lereng bukit yang curam tidak mengizinkan mereka untuk berkumpul bersama-sama dengan yang lain.

photo_2016-09-16_18-49-02Antara penerima daging qurban dan sumbangan aidil adha di Deean Kampung Masolog

Menceritakan detik-detik sama Misi Qurban, Prof Dr Zainur Rashid sangat terkesan apabila melihat pengorbanan seorang gadis berusia 11 tahun yang sanggup berjalan kaki seorang diri sejauh 5 kilometer ke surau Kampung Gana, semata-mata untuk menyertai Misi Qurban Perdana serta menerima sumbangan daging korban.

Apatah lagi beliau terpaksa mewakili keluarganya kerana bapanya keluar mencari nafkah untuk memungut hasil hutan manakala ibu pula perlu menjaga lima orang adik yang masih kecil. Dan yang lebih menarik, mereka merupakan satu-satunya keluarga muslim yang tinggal di kawasan berkenaan.

Misi Qurban Perdana diteruskan pada 14 September di berpusat di Kampung Mulung Kulung, Pitas, menghimpunkan penduduk-penduduk sekitar dari 7 buah kampung yang rata-ratanya berasal dari suku kaum Tombonuo. Misi di Pitas ini dikelolakan bersama oleh Ustaz Ismail Estin, seorang daie yang berjiwa besar dan sangat dihormati di daerah ini.

photo_2016-09-16_18-48-52Bersama penduduk setempat di surau Kg Gana

Rombongan turut mengagihkan daging qurban ke kampung-kampung yang berjauhan dari pusat program. Kedhaifan sebuah keluarga yatim piatu 10 beradik yang dibesarkan oleh kakaknya yang masih diusia remaja turut mendapat perhatian pasukan Yayasan Ikhlas dan Surau Al-Amin, Dataran Maybank.

“Untuk tahun ini sahaja, Surau al-Amin dan Yayasan Ikhlas telah berjaya mendapatkan penyertaan 14 ekor lembu untuk misi korban di Sabah, yang mana dua ekor lembu diagihkan ke Kudat, enam ekor di Kota Marudu dan enam ekor lagi di Pitas. Kita berharap agar misi qurban ini bukan sahaja membantu meringankan beban saudara kita, bahkan dapat menggembirakan mereka sempena kehadiran Hari Raya Adha 1437H. Semoga program ini bukan sahaja diteruskan pada masa datang, malah sumbangan dan bilangan sukarelawan yang terlibat turut bertambah,” ujar Professor Dr Zainur Rashid Zainuddin, yang juga merupakan Jawatankuasa Eksekutif Yayasan Ikhlas.

photo_2016-09-16_18-49-09Bergotong-royong melapah daging di Kg Masolog

Misi Ibadah Qurban Yayasan Ikhlas turut dijayakan di Sarawak, Kelantan, Acheh, Kemboja, Selatan Thailand dan Bangladesh pada tahun ini.

 

Oleh: Dr. Mohd Sobri Mohd Saupi, Aktivis I-Medik Sabah

Leave a Reply