I-MEDIK TERUS MELAKAR SEJARAH – KAYUHAN SIHAT TANPA TEMBAKAU DAN VAPE (S2TV)

BANGI, 9 April – Pertubuhan Ikatan Pengamal Perubatan dan Sains Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Kelab Sukan iFitness Malaysia (i-Fitness) dengan kerjasama Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (MySihat) selaku penaja utama,  telah berjaya menganjurkan Karnival Kayuhan Basikal sejauh 30 km sebagai sebahagian dari kempen Sihat Tanpa Tembakau dan Vape.

Menurut Pengarah Program, Prof Dr Azizi Ayob yang juga merupakan Setiausaha Agung I-Medik, penggunaan rokok dan yang terkini vape di kalangan masyarakat adalah satu fenomena baru yang membimbangkan apabila ia melibatkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk wanita dan kanak-kanak. Terdapat dakwaan pihak-pihak tertentu yang menyatakan bahawa vape ini tidak merbahaya dan merupakan alternatif terbaik kepada perokok-perokok.

Rakan penganjur program, iFitness juga berkongsi keprihatinan yang sama. Menurut Timbalan Pengarah Program dan Pengerusi iFitness, Saudara Muhamad Ikram Badarudin, iFitness yang mementingkan gaya hidup sihat selari dengan agama dan adat budaya amatlah menyokong tema program ini kerana tembakau dan vape mengandungi unsur-unsur yang tidak sihat, di samping tidak selari dengan amalan kesihatan seperti mana yang dituntut oleh agama.

“iFitness dan juga I-Medik akan terus menyampaikan mesej-mesej ini kepada masyarakat”, katanya lagi.

Kayuhan dimulakan dengan senaman pemanasan badan, diikuti dengan bacaan doa sebelum pelepasan dilakukan oleh Pengarah Program Fun Ride.

Seramai lebih 300 orang peserta kayuhan daripada pelbagai latarbelakang telah mengambil bahagian dalam karnival yang bersejarah ini. Selain acara kayuhan, peserta turut berpeluang menjalani pemeriksaan kesihatan percuma oleh I-Medik, mendapatkan informasi kesihatan dari kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat serta mengunjungi pelbagai gerai jualan.

Bersesuaian dengan konsep ‘Fun Ride’, kayuhan ini turut dimanfaatkan oleh golongan keluarga muda yang membawa anak – anak mereka bersama dalam riadah yang semakin popular. Kayuhan ini turut menarik minat golongan veteran dengan peserta paling senior di dalam kayuhan ini merupakan Encik Abdul Samad bin Osman yang berumur 70 tahun.
Mariam Malek
Petugas I-Medik

Leave a Comment