IMEDIK

MEMBANGUN TAMADUN PERUBATAN ISLAM

Influenza

Wabak Influenza sekarang? |

Mungkin ramai telah mendengar mengenai kes-kes kelompok jangkitan Influenza yang semakin banyak kedengaran samada di asrama pelajar, sekolah atau tempat kerja. Ada yang sampai terpaksa dimasukkan ke hospital. Makin risau dibuatnya.

Apa yang kita tahu tentang jangkitan Influenza? Jom kita baca ringkas!

Apa itu Influenza (Flu)?
1. Flu atau demam selsema adalah penyakit pernafasan yang mudah berjangkit.
2. Membawa kepada gejala yang ringan kepada teruk adakala sehingga membawa maut.
3. Ia disebabkan oleh virus Influenza A atau B (jenis virus yang banyak menyebabkan wabak influenza).

Bagaimana Influenza berjangkit?
1. Titisan pernafasan daripada orang yang telah dijangkiti samada melalui batuk, bersin atau percakapan
2. Kadang-kadang berjangkit melalui sentuhan pada permukaan atau objek yang ada virus dan kemudian menyentuh kawasan muka sendiri.

Apakah gejala jangkitan Influenza?
1. Biasanya datang dengan tiba-tiba (Boleh jadi pagi sehat, petang dah tak larat)
2. Antaranya demam selsema (suhu > 38 darjah Celcius), sakit tekak, batuk, sakit kepala, sakit otot, sakit sendi, kelesuan.
3. Ada yang mendapat muntah dan cirit birit (kebiasaannya berlaku pada kanak-kanak).

Adakah Influenza berbahaya?
1. Gejala ringan biasanya bagi individu yang mempunyai daya imun yang kuat.
2. Gejala berbahaya biasanya bagi golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak (terutama <5tahun), orang tua (>65 tahun), wanita mengandung dan pesakit kronik (kencing manis, darah tinggi, sakit jantung etc).

Berapa lama gejala akan timbul selepas dijangkiti Influenza?
1. Selepas terdedah dan dijangkiti Influenza, gejala biasa akan mula timbul selepas 2 hari (1-4 hari)

Apakah komplikasi Influenza?
1. Pneumonia, jangkitan telinga, jangkitan sinus, keadaan penyakit kronik menjadi lebih teruk.

Adakah Flu sama dengan batuk selsema biasa?
1. Batuk selsema biasa kebiasaanya disebabkan oleh jangkitan virus Rhinovirus.
2. Gejala biasanya lebih ringan daripada Flu dan secara umumnya tidak menyebabkan komplikasi kesihatan yang teruk.
3. Biasanya individu akan mendapat batuk + selsema + hidung sumbat (+/- demam ringan)

Apakah cara mengelak jangkitan Influenza?
1. Amal cara hidup sehat dan kebersihan yang tinggi
2. Sentiasa basuh tangan dengan menggunakan air dan sabun/hand sanitizer
3. Amalkan cara batuk yang betul
4. Dapatkan vaksinasi Influenza terutama bagi mereka yang berisiko tinggi

Bagi mereka yang dijangkiti Influenza – apa yang perlu dilakukan?
1. Berehat dirumah dan kurangkan pergaulan rapat dengan orang lain, pakai topeng muka jika perlu
2. Tutup hidung dan mulut apabila batuk serta sentiasa basuh tangan.
3. Pastikan hidrasi badan cukup (minum banyak air)
4. Berjumpa dengan doktor sekiranya gejala menjadi lebih teruk atau tidak berkurangan.

Jangan risau, DG @ Ketua Pengarah Kesihatan kita telah memaklumkan bahawa peningkatan kes-kes Influenza masih lagi dalam julat normal dan hampir sama seperti tahun-tahun sebelum ini. Malah tidak berlaku perubahan mutasi pada virus influenza yang didapati pada kes-kes tersebut.

Apa pun, kita kena selalu pertingkatan kadar kesihatan dan kebersihan kita sentiasa dari masa ke semasa kerana itu sumber utama bagi kebanyakan penyakit berjangkit.

Semoga Allah melindungi dan mengurniakan nikmat kesihatan buat kita semua.

Oleh : Dr Ahmad Muslim bin Ahmad Roslan
Pengerusi I-Medik KL
Pelajar sarjana perubatan keluarga, Uitm Sg Buloh.

Sumber:
1. Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Makluman Mengenai Situasi Semasa
Bagi Tren Jangkitan Influenza Di Malaysia 31 Disember 2019.
2. https://www.cdc.gov/flu/about/keyfacts.htm

Leave a Reply