ISU VAKSIN : HALAL ATAU HARAM?

Imunisasi atau Vaksinasi merupakan salah satu kaedah pencegahan yang dapat dilakukan bagi mengelakkan penyakit – penyakit  berbahaya  yang  mengancam  nyawa seperti  demam  campak  (measles),  tibi  (batuk  kering),  batuk  kokol  (pertussis), difteria,  tetanus  (kancing  gigi)  atau  polio,  khususnya  terhadap kanak-kanak.  Namun begitu, mutakhir ini semakin ramai ibu bapa yang menolak pengambilan vaksin kerana menerima pelbagai maklumat dan dakwaan yang salah berkenaan vaksin. Antaranya ialah vaksin mengandungi bahan yang merosakkan otak, menyebabkan autism dan beberapa kesan sampingan lain. Bukan itu sahaja, malah vaksin juga dilabelkan sebagai haram dan didakwa merupakan konspirasi Yahudi untuk melemahkan umat Islam.

Natijahnya, penyakit berjangkit yang sebelum ini dapat dikawal, telah muncul kembali dan menjadi ancaman kepada masyarakat. Kebimbangan golongan ini terhadap vaksin menyebabkan mereka tidak memvaksinkan anak tanpa menyedari bahawa keengganan mereka akan meletakkan tahap kesihatan masyarakat awam pada tahap berisiko tinggi dan terancam. Penyakit-penyakit yang selama ini hanya dapat dilihat di dalam buku teks sahaja telah kembali dan kos rawatan penyakit tersebut nyata lebih tinggi berkali ganda berbanding mengambil suntikan vaksin.

Sebenarnya penggunaan  vaksin  dalam  program imunisasi  bagi  mengelak  bahaya  penyakit -penyakit  yang  berkenaan  adalah diharuskan oleh syarak selaras dengan Kaedah Fiqhiyyah iaitu kerosakan  adalah  didahulukan  daripada  mencari kemaslahatan. Dalam hal ini Islam amat menitikberatkan keselamatan  umat  manusia.  Perlu difahami  bahawa  sesuatu  perkara  yang  hendak  dilaksanakan  untuk  maslahah ummah  hanya  diperakukan  oleh  syarak  sekiranya  tidak  bercanggah  dengan Maqasid  Syar’iyyah  iaitu  menjaga  agama,  nyawa,  aqal,  keturunan  dan  harta.

Menurut  fuqaha’,  sebarang  penyakit  perlu  dihindari,  dirawat  dan  diubati.  Dalam konteks ini pencegahan daripada sebarang bentuk gejala yang boleh menjejaskan kesihatan dan nyawa adalah menjadi pegangan dan keutamaan ajaran Islam.

Berdasarkan ketetapan dan panduan syarak tersebut, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia sejak dari tahun 1988  lagi  telah  mengeluarkan  beberapa  pandangan  hukum  yang  berkaitan langsung  dengan  imunisasi  yang  seharusnya  menjadi  panduan  seluruh  umat Islam, antaranya Imunisasi Hepatitis B Menurut Islam, Pandangan Islam Terhadap Imunisasi Campak, Tibi, Batuk Kokol, Difteria, Tetanus Dan Polio, Ubat Pelalian Rubela  (Imunisasi  Rubela),  Hukum  Suntikan  Pelalian  Vaksin  Meningococcal Meningitis  Oleh  Orang  Islam,  Hukum  Penggunaan  Vaksin  Biothrax  Dan  Vaksin Rotateq Yang Menggunakan Unsur Babi Dalam Proses Penghasilannya, Hukum Pengambilan  Vaksin  Human  Papilloma  Virus  (HPV)  dan  Hukum  Penggunaan Vaksin Meningitis Menveo. Maklumat-maklumat mengenai keputusan tersebut boleh diperolehi  melalui Portal e-fatwa (www.e-fatwa.gov.my).

Sekiranya dinilai daripada fatwa-fatwa yang telah diputuskan, jelas Islam tidak mengHARAMkan vaksin. Para mufti dan ulama telah bersidang dan menjalankan kajian berkenaan isu ini sebelum diputuskan. Fatwa bukan dibuat secara semborono kerana ia melibatkan prinsip Islam dan penyelidikan secara holistik sebelum fatwa tersebut dikeluarkan. Justeru, umat Islam harus bersangka baik dan meletakkan kepercayaan kepada pihak berkuasa dalam menjalankan tugas serta tidak melampau dalam hal yang boleh menjurus kepada kekeliruan dan kekacauan di dalam masyarakat.

Tidak dinafikan bahawa melangkah ke dunia yang serba moden dengan maklumat di hujung jari membawa manfaat yang besar bagi petugas kesihatan memandangkan para pesakit sudah mula peka terhadap penyakit, rawatan dan ubat-ubatan yang diterima. Hal ini selaras dengan kempen “Kenali Ubat Anda” yang dilancarkan oleh Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memberi kesedaran kepada masyarakat agar mengambil tahu tentang ubat masing-masing untuk mengelakkan kesilapan-kesilapan yang boleh membahayakan nyawa pesakit. Walau bagaimanapun, adalah dinasihatkan kepada semua pihak agar menapis info yang diterima dan tidak hanya percaya kepada info-info yang diviralkan tanpa merujuk kepada pihak yang lebih berautoriti.

 

Ku Hasna Zayani Bt. Ku Zainol Abidin
Ketua Penolong Pengarah,
Amalan & Perkembangan Farmasi,
Jabatan Kesihatan Negeri Kedah.
Jawatankuasa I-Medik Kedah.

Leave a Comment