MENU

Comments (0) Kolumnis

Jerebu: Uji tahap syukur manusia

rahman

SEREMBAN, 6 Mac – Fenomena jerebu yang melanda beberapa kawasan ketika ini secara tidak langsung menguji tahap kesyukuran kita sebagai hamba kepada Allah apabila nikmat yang diperolehi ditarik untuk seketika.

“Allah S.W.T. telah menganugerahkan nikmat yang tidak terhitung banyak kepada manusia dan akan ditambah berganda sekiranya kita lebih mensyukuri apa yang telah dikurniakan,” demikian ujar Pengerusi Ikatan Pengamal Perubatan Muslim Malaysia (i-Medik) Negeri Sembilan, Dr Aman Ramdzan.

Katanya, meskipun fenomena jerebu yang melanda beberapa kawasan di semenanjung Malaysia telah beransur pulih, namun kesan buruk kepada kehidupan manusia tetap akan dirasai.

“Kesannya bukan sahaja dari aspek kesihatan, bahkan produktiviti masyarakat setempat juga turut mempengaruhi,” ujarnya ketika ditanya mengenai fenomena jerebu yang melanda tanah air baru-baru ini.

Semenanjung Malaysia mengalami panas yang berterusan semenjak akhir-akhir ini menyumbang kepada kebakaran pokok dan tumbuhan di beberapa tempat.

Kebanyakkan kawasan di Semenanjung Malaysia mempunyai bacaan indeks pencemaran udara di skala sederhana, kecuali di Muar yang mencapai tahap tidak sihat dengan bacaan IPU 114 (menurut website Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar).

Manakala kawasan yang mencatat bacaan IPU baik antaranya Wilayah Persekutuan Labuan (39), Paka, Terengganu (26), Tanjung Malim, Perak (48), Kota Tinggi dan Larkin Lama, Johor masing-masing (28) dan (39).

Bagi kawasan yang merekodkan bacaan sederhana pula antaranya ialah Batu Muda dan Cheras, Kuala Lumpur masing-masing (59) dan (54), Wilayah Persekutuan Putrajaya (68), Shah Alam (58), Banting (53), Sibu, Sarawak (53) dan Bakar Arang, Sungai Petani di Kedah (69).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Leave a Reply