KAEDAH BANTUAN REPRODUKSI- ANTARA SAINS DAN AGAMA

Keinginan untuk mempunyai zuriat adalah fitrah semulajadi dalam diri manusia. Perasaan ini dicampakkan oleh Allah swt untuk memastikan kelansungan manusia di atas mukabumi ini. Walaubagaimanapun, sebahagian kecil pasangan telah ditakdirkan untuk mandul dan kecanggihan teknologi masih belum dapat mengatasi ketentuan Ilahi.

Firman Allah dalam surah as Syuara 42: 49-50

“Allah menciptakan apa yang dia kehendaki, memberikan anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki, dan memberikan anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki atau Dia menganugerahkan jenis lelaki dan perempuan dan menjadikan mandul kepada siapa yang dikehendakiNya. Dia maha menegetahui lagi maha kuasa”.

Islam dan banyak agama lain menitikberatkan soal nasab keturunan dan hubungan darah. Ikatan perkahwinan adalah satu perjanjian untuk memastikan bahawa zuriat yang lahir diketahui dengan jelas nasabnya dan anak-anak yang lahir mendapat hak yang sepatutnya dari ibu dan ayah. Rawatan kesuburan terutamanya kaedah bantuan reproduksi boleh mendedahkan manusia kepada pelbagai teknologi perubatan yang boleh menyebabkan kecelaruan nasab. Justeru itu, pesakit dan pengamal perubatan mestilah memberi perhatian yang serius terhadap isu agama dan etika dalam melakukan rawatan kesuburan ini.

Infertility atau masalah kesuburan adalah satu penyakit. Justeru itu merawat masalah kesuburan ini adalah harus dilakukan selagi mana ia tidak lari dari batas-batas yang ditetapkan oleh agama. Kaedah bantuan reproduksi seperti permanian berhadas (IUI) atau kaedah tabung uji (IVF) adalah diharuskan dengan beberapa syarat;

  1. Ianya melibatkan pasangan yang telah berkahwin
  2. Sperma atau ovum yang digunakan adalah dari pasangan suami isteri yang sah
  3. Prosedur memasukkan kembali embrio yang terhasil mestilah dilakukan ketika institusi perkahwinan itu masih utuh.
  4. Embrio adalah milik bersama pasangan suami dan isteri. Jika terjadi penceraian hidup atau mati, maka embrio perlu dilupuskan dan tidak boleh digunakan oleh mana-mana pihak
  5. Jumlah embrio yang dimasukkan semula ke dalam rahim adalah bersesuaian dan mengikut polisi setempat. Ini bagi mengelakkan komplikasi seperti kehamilan berganda yang terlalu banyak seperti kembar 3 atau empat yang boleh membawa risiko yang tinggi kepada ibu dan janin
  6. Lebihan embrio yang terhasil boleh disimpan (embrio freezing) untuk kegunaan di masa hadapan tetapi embrio ini tidak boleh didermakan kepada pasangan mandul yang lain
  7. Prosedur IVF ini mestilah dilakukan oleh pasukan yang terdiri dari doktor, pakar embryologi dan kakitangan makmal dan jururawat yang beramanah dan sedar akan tanggungjawabnya dalam mengendalikan sperma, ovum dan embrio.
  8. Walaupun umat Islam diharuskan untuk menderma organ, pendermaan sperma dan ovum atau benih wanita diharamkan kerana sel benih membawa maklumat genetik yang akan menentukan nasab
  9. Bagi wanita tanpa rahim atau mempunyai masalah kesihatan yang tidak membolehkan ia mengandung, prosedur ibu tumpang iaitu menumpangkan embrio ke dalam rahim wanita lain adalah diharamkan
  10. Bagi wanita yang dilahirkan tanpa rahim atau wanita yang telah kehilangan rahim, prosedur pendermaan dan pemindahan rahim adalah tidak dibenarkan mengikut Muzakarah Jawatankuansa Kebangsaan Malaysia
  11. Pengklonan manusia untuk apa-apa tujuan sekalipun adalah haram kerana ianya bertentangan dengan fitrah kejadian manusia yang ditentukan oleh ALLah swt.
  12. Diagnosa praimplantasi iaitu di mana sel embrio diambil untuk mengesan sebarang kelainan sebelum embrio dipindahkan ke rahim adalah dibenarkan hanya bagi tujuan pengesanan penyakit.

Kemajuan teknologi telah memungkinkan banyak rawatan yang mustahil di masa lampau. Walaubagaimapun, prinsip dari sudut agama tidak boleh digadaikan. Allah yang menciptakan manusia pasti mengetahui yang terbaik untuk hamba yang diciptanya. Dalam kes-kes yang melibatkan kemandulan kekal seperti tiada rahim dan tiada benih pada lelaki atau wanita, walaupun IVF membolehkan seorang wanita hamil melalui pendermaan sperma dan ovum atau ibu tumpang, kesemuanya ini diharamkan dalam Islam. Prinsipnya; Seorang individu itu dilahirkan dengan mempunyai  hak tetapi hak masyarakat dan hak Allah sentiasa mengatasi hak individu.

 

dr-murizahDr. Murizah Mohd Zain
Pakar Perunding Perubatan Reproduktif & Obstetrik Ginekologi
Hospital Sultanah Bahiyah
Aktivis I-Medik Kedah

Leave a Comment