IMEDIK

MEMBANGUN TAMADUN PERUBATAN ISLAM

Bolehkah kanak-kanak mengandung?

Kita dikejutkan dengan kejadian kanak-kanak yang masih bersekolah di Tahun 5, dari Pekan Bahau, berumur 11 tahun mengandung. Kanak-kanak itu dilaporkan tinggal bersama neneknya.

Kes ini, dipercayai bukanlah kes pertama di Malaysia kerana akhbar Guan Ming Daily dalam tahun 2010 pernah melaporkan kelahiran bayi oleh pelajar berumur 9 tahun hasil hubungan bersama teman lelaki berumur 14 tahun (rujuk –http://www.guangming.com.my/node/76597). akhbar melaporkan bahawa kanak-kanak perempuan itu dari latar belakang keluarga yang berantakan.

Kita merasa sedih kerana anak-anak semuda ini terpaksa menanggung satu beban besar mengandung sebelum mental dan fizikalnya bersedia, ditambah dengan masalah sosial dan kesannya pada masyarakat.

BOLEHKAH KANAK-KANAK MENGANDUNG SEBELUM DATANG HAID?

Saya belum pasti tentang kes yang baru dilaporkan ini samaada beliau telah datang haid atau belum namun kes kanak-kanak paling muda mengandung ialah kes Lina Medina dari Peru (gambar) yang melahirkan anak melalui pembedahan caesarean dalam tahun 1939 semasa berumur 5 tahun, 7 bulan dan 21 hari .

kanak-kanak perempuan

Secara fisiologinya, kanak-kanak boleh mengandung jika beliau telah mengalami proses ovulasi, yang mungkin berlaku sejurus sebelum beliau mendapat haid yang pertama. Kanak-kanak perempuan yang menghampiri saat baligh boleh mengalami peningkatan hormon Follicular Stimulating Hormon (FSH) dan Luteinizing Hormone (LH) yang mengizinkan proses ovulasi berlaku. Lazimnya sebelum haid kanak-kanak menunjukkan tanda-tanda baligh (puberti) seperti tumbuh tunas buah dada, buku ari-ari, bulu ketiak dan keluar keputihan melalui faraj, mendahului datang haid.

Namun ada sebilangan kecil yang tidak menunjukkan tanda-tanda baligh yang lain, terus mendapat haid pertama. Oleh itu, ada kemungkinan pemangsa, memperdaya anak-anak ini mengatakan mereka tidak mungkin akan mengandung kerana belum datang haid. Selain dari mengetahui perbuatan seks sebelum berkahwin itu haram, anak-anak yang mempunyai pengetahuan asas tentang fisiologi diri mereka diharap lebih berupaya menolak keras ajakan-ajakn tidak wajar ini dari pemangsa.

MASALAH SOSIAL DAN KEUTUHAN KELUARGA

Saya pernah mengendalikan satu kes remaja mengandung luar nikah di sebuah klinik kesihatan di pekan yang kecil. Apabila saya bertanya lanjut, remaja tersebut tinggal bersama neneknya yang mengalami masalah penglihatan. Ujar neneknya, beliau tidak tahu siapa yang keluar masuk rumah. Remaja tersebut mengaku melakukan hubungan luar nikah bersama teman lelakinya di rumah beliau tinggal berdua bersama neneknya. Remaja tersebut dijaga neneknya lantaran ibu bapa telah berpisah. Saya berasa amat sedih dengan kejadian sebegini. Tiada guna menyalahkan sesiapa tetapi kita pasti boleh menginsafi kejadian ini dan menyedari pentingnya sebuah keluarga yang utuh.

Tanggungjawab membesarkan anak-anak kita adalah amat berat lantaran itu mereka harus dibimbing dengan sebaik-baiknya akan perkara-perkara yang menyalahi agama, juga seorang insan yang boleh mereka rujuk dari hal fisiologi tubuh badan mereka dan kemampuan diri mereka untuk hamil.

Kes-kes keruntuhan rumah tangga harus dibendung. Ibu dan bapa harus menyedari mereka mempunyai peranan yang besar membesarkan anak-anak sendiri. Penjaga anak-anak perempuan harus tahu tahap tumbesaran dan tanda-tanda matang mereka, bagi mempersiapkan mereka dengan perubahan fizikal, supaya selari dengan kematangan mental, faham halal-haram dan dapat menjauhkan diri dari diperdaya oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Kita tidak mahu menjadi seperti negara Paraguay yang mempunyai hampir 700 kes kanak-kanak berusia di antara 10-14 tahun mengandung dalam tahun 2014 sahaja, 28 daripada mereka berakhir dengan kematian akibat komplikasi mengandung. Kes-kes ini dilaporkan akibat “domestic abuse” dan kes terbaru dimana kanak-kanak berusia 10 tahun mengandung akibat dirogol bapa tiri.

Dr Rafidah2

Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar
Timbalan Dekan Akademik dan Penyelidikan
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM

 

Leave a Reply