Kanser Usus Besar

The Digestive system 2

Kes 1.

Encik MS berumur 45 tahun dan bekerja sebagai seorang pengurus di sebuah syarikat swasta. Beliau sebelum ini sihat tetapi semenjak enam bulan beliau menghidapi pendarahan semasa membuang air besar. Darah yang keluar bersama-sama dengan najis berwarna merah seperti darah yang keluar akibat luka. Dalam masa yang sama setiap kali selepas membuang air besar rasa tidak puas timbul. Encik MS telah beberapa kali berjumpa beberapa orang doktor di klinik swasta dan diberitahui bahawa penyakit yang dihadapinya adalah buasir. Disebabkan tidak puas hati dengan rawatan yang diberikan oleh doktor-doktor di klinik swasta, beliau telah mengambil keputusan untuk mendapat rawatan lanjut di hospital kerajaan.

 

Hasil pemeriksaan yang dilakukan oleh doktor di klinik surgeri, mendapati beliau menghidap penyakit kanser usus besar pada bahagian rektum. Hasil penyiasatan dan ujian yang dijalankan menunjukkan kanser tersebut masih belum merebak kebahagian-bahagian lain dalam tubuh badan. Seminggu selepas penyiasatan dilakukan pembedahan telah dilakukan untuk membuang kanser pada bahagian rektum.

KANSER USUS BESAR (KOLON DAN REKTUM)

Kanser usus besar adalah kanser yang ketiga dari segi kekerapan dan yang kempat dari segi kekerapan kematian disebabkan oleh kanser di seluruh dunia. Di Malaysia kanser usus besar merupakan kanser yang utama menyerang kaum lelaki dan yang ketiga menyerang kaum wanita. Dari segi perbezaan etnik, ianya tidak menggambarkan banyak perbezaan dari segi kekerapan di negara ini.

Faktor-Faktor Penyebab Kanser Usus Bes

Umur – mereka yang telah berumur melebihi 60 tahun di negara barat
Pesakit “Inflammatory Bowel Disease” (Radang Usus) – Ulcerative Colitis dan Crohn’s Disease
Keturunan – FAP dan HNPCC
Mereka yang menghidap kanser usus besar di masa lalu.
Alkohol
Merokok
Kurang mengambil fiber dari sayuran dan buah-buahan
Banyak mengambil lemak dan daging
Simptom Penyakit Kanser Usus Besar.

Simptom-simptom yang ditunjukkan bergantung kepada di manakah terjadinya kanser usus tersebut. Biasanya dibahagikan kepada kanser usus pada bahagian kanan, bahagian kiri dan rektum.

Simptom Kanser Usus Besar Bahagian Kanan.
Pucat (Anemia)
Bengkakkan usus pada bahagian kanan

Simptom Kanser Usus Besar Bahagian Kiri
Sembelit
Sakit perut pada bahagian kiri
Berak berdarah
Kembung perut

Simptom Kanser Rektum
Sembelit
Tidak puas berak
Perubahan saiz pada najis
Berak berdarah

Simptom-simptom umum adalah seperti tidak selera makan, berat badan menurun dan kurus, jaundice dan susah bernafas. Ianya bergantung samada kanser tersebut telah merebak ke organ-organ lain seperti hati dan paru ataupun tidak.

Pemeriksaan dan Penyiasatan

Mereka yang mempunyai symptom-simptom di atas mestilah berjumpa dengan doktor di hospital dengan segera. Banyak terjadi pesakit menerima rawatan daripada klinik-klinik swasta tidak dirujuk ke hospital dengan segera.

Di klinik surgeri di hospital sejarah penyakit akan diambil oleh doktor dan diikuti dengan pemeriksaan fizikal. Bagi kanser yang terjadi berhampiran dengan dubur ianya dapat dikesan dengan pemeriksaan digital.

Pemeriksaan selanjutnya melibatkan:
Pemeriksaan darah
X-ray dada
ECG
Kolonoskopi dan biopsi
Computed-tomography scan (CT scan)
Magnectic resonance imaging (MRI)

Rawatan

Rawatan kanser usus besar melibatkan kolon terdiri daripada:
Pembedahan
Kimoterapi

Bagi kanser kolon, kimoterapi diberikan sebanyak enam kali dalam masa enam bulan apabila kanser telah merebak ke kelenjar kelenjar dalam perut.

Manakala rawatan kanser rectum terdiri daripada:
Pembedahan
Kimoterapi
Radioterapi

Radioterapi dan kimoterapi diberikan apabila kanser rectum terlalu besar dan telah merebak kebahagian kelenjar.

Prognosis.

Pesakit akan pulih seperti biasa setelah menerima rawatan jika kanser usus besar belum merebak ke organ-organ lain seperti kelenjar, hati dan paru-paru.b

Disediakan oleh:
Prof Dr Azmi Md Nor
Pakar Perunding Bedah Kolorektal
Jabatan Surgeri
Kulliyyah of Medicine
International Islamic University Malaysia

Leave a Comment