MENU

Comments (0) Info Sihat, Mesej

Kegagalan Buah Pinggang, Ambil Cakna Sebelum Merana

Kegagalan Buah Pinggang; Ambil Cakna Sebelum Merana

Ramai orang beranggapan mereka cukup sihat, walaupun bertahun-tahun tidak menjalani pemeriksaan kesihatan. Malah, terdapat sebilangan yang beranggapan bahawa mereka tidak akan menghidap sebarang penyakit sedangkan setiap orang mempunyai risiko yang sama untuk diserang penyakit kronik. Penyakit kronik akan menyerang pesakit secara diam dan hanya akan menunjukkan gejala ketika ia berada di tahap yang serius. Itulah sifat penyakit kronik.

Kegagalan buah pinggang merupakan antara penyakit kronik yang seringkali gagal dikenal pasti di peringkat awal terutamanya bagi golongan yang tidak pernah membuat pemeriksaan kesihatan. Kajian oleh Kesatuan Diabetes Amerika menunjukkan  sebanyak 850 juta orang di seluruh dunia menghidapi penyakit kegagalan buah pinggang. Malah, penyakit ini merupakan antara sebab utama yang membawa kepada kematian pesakit di seluruh dunia. Secara normalnya, buah pinggang berperanan sebagai pusat perkumuhan yang akan menapis garam mineral serta air yang tidak diperlukan oleh badan melalui air kencing. Justeru, pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang akan mempunyai kandungan toksin yang tinggi serta garam mineral berlebihan di dalam badan.

Sebab kegagalan buah pinggang

Seorang pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang boleh kehilangan fungsi buah pinggangnya sebanyak 90 peratus tanpa menunjukkan sebarang gejala. Penyakit kegagalan  buah pinggang merupakan salah satu komplikasi daripada penyakit kencing manis. Namun begitu, hal ini tetap perlu diambil berat oleh semua orang terutamanya bagi individu yang mempunyai masalah darah tinggi, obesiti, kandungan kolesterol tinggi dan perokok.

Gejala penyakit kegagalan buah pinggang

Seperti yang dinyatakan di atas, penyakit kronik seperti penyakit buah pinggang ini tidak mempunyai gejala di peringkat awal. Namun begitu, dalam diam kerosakan buah pinggang akan terus berlaku sehinggalah menurut Yayasan Buah Pinggang Amerika hanya 10 peratus sahaja bahagian buah pinggang yang berfungsi, ketika itulah gejala akan dapat dilihat. Antara gejala yang dapat dikenal pasti adalah:

  • Merasa keletihan dan tidak bertenaga
  • Mengalami kekejangan otot
  • Membuang air kencing dengan kerap terutama waktu malam
  • Mengalami bengkak pada kaki dan sendi
  • Mempunyai kulit yang kering dan gatal

 

Kesan penyakit buah pinggang

Jika buah pinggang sudah gagal untuk menjalankan fungsinya, maka pesakit perlu bergantung kepada mesin dialisis darah sepanjang hayat atau melalui pembedahan transplan buah pinggang. Selain itu, fungsi fizikal juga akan terjejas apabila pesakit perlu melalui rawatan berkala dan seterusnya akan menjejaskan fungsi sosial dan emosi pesakit kerana rawatan berkala ini turut memerlukan sejumlah pelaburan yang tinggi memakan ratusan malah ribuan ringgit.

Tindakan kita

Oleh itu, saringan awal adalah penting untuk kita mencegah penyakit kegagalan buah pinggang ini. Saringan ini sangat mudah. Tiga parameter diukur iaitu tekanan darah, kandungan glukosa darah dan kandungan protein dalam air kencing. Jika air kencing menunjukkan ada protein, pesakit disaran menjalani ujian susulan untuk pengesahan kerana ia antara petanda awal kegagalan buah pinggang.

Saringan ini boleh didapati di klinik-klinik berhampiran dengan anda dan terdapat juga badan-badan dan persatuan yang membuat pemeriksaan kesihatan secara sukarela demi memastikan rakyat Malaysia lebih mengambil berat terhadap kesihatan mereka serta menggalakkan orang ramai untuk melakukan pemeriksaan kesihatan berkala.

Selain itu, bantulah ahli keluarga, sanak saudara dan jiran tetangga kita yang menghidap penyakit kegagalan buah pinggang ini. Bantuan boleh diberikan dalam bentuk kewangan, motivasi dan sokongan moral untuk mereka terus tabah mengharungi ujian yang diberikan.

 

 

 

“Sebaik-baik rawatan adalah pencegahan”

Disediakan oleh,

Syafaf binti Jumiran

Setiausaha

Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) Pahang

Ketua Unit Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit, Klinik Kesihatan Bukit Goh.

 

Rujukan:

https://www.alere.com/en/home/lp/world-kidney-day-2019.html

https://myhealth.gov

http://kidneyfund.org

Harrison’s Principles of Internal Medicine (Vol 1, 18th edition)

Leave a Reply