MENU

Comments (0) Kolumnis, Utama

Kenapa Dibiarkan Merokok?

  • Berapa billion USD dibelanjakan oleh umat Islam di seluruh dunia untuk rokok?
  • Berapa juta umat Islam yang mati tiba-tiba di serang penyakit jantung akibat rokok?
  • Berapa juta umat Islam yang mati tersiksa dari kanser yang berpunca dari rokok?
  • Berapa ramai di kalangan remaja dan pemuda Melayu Islam yang ketagihan dadah yang bermula dari rokok?
  • Berapa ramai remaja yang digantung persekolahan disebabkan rokok?
  • Berapa ramai imam-imam dan bilal yang nafasnya berbau disebabkan amalan merokok?
  • Berapa juta di kalangan umat Islam yang gagal menunaikan fardhu haji kerana pendapatan hariannya kering dek ketagihan rokok?
  • Berapa dan kenapa?

 

Pada bulan Mac 2009 yang lalu, genaplah empat belas tahun sejak mula-mula fatwa pengharaman merokok dikeluarkan oleh Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Ke-37 pada 23 Mac 1995 lalu. Tetapi ulang tahun ke 14 ini terus disambut dengan begitu dingin sekali kerana rata-rata masih ramai orang Islam khasnya tidak mengetahui atau sengaja tidak mahu tahu tentang wujudnya fatwa tersebut. Oleh yang demikian tabiat merokok semakin berleluasa walaupun kerajaan berusaha untuk membasmi tabiat yang tidak baik di kalangan warga negara ini. Kedinginan hebahan fatwa ini perlu diperbaiki segera sekiranya orang-orang Islam khasnya perihatin tentang kedudukan ummah terutama sekali di kalangan kaum remaja.

Seorang ulama Fiqh Hanafi, Sheikh Muhammad al-Aini yang menyatakan pengharaman merokok adalah berdasarkan kepada empat perkara.

  1. Merokok membahayakan kesihatan (membunuh) seperti yang dipersetujui oleh pakar-pakar perubatan.
  2. Rokok mengandungi bahan dadah yang ditegah seperti yang diberikan oleh hadith Nabi Muhammad SAW.
  3. Asap rokok bukan sahaja menyakiti diri perokok bahkan menganggu orang-orang tidak merokok terutamanya di tempat-tempat awam seperti di tempat-tempat solat di samping menyakiti para malaikat. Kajian perubatan juga mendapati bahawa bayi yang ada dalam kandungan ibu yang menjadi teman hidup perokok juga terkesan dengan kesalahan ini.
  4. Merokok menyebabkan pembaziran yang sangat-sangat dilarang oleh Allah swt dan juga Rasulullah SAW. (Sesungguhnya membazir adalah saudara syaitan)

Fatwa yang memutuskan bahawa tabiat merokok itu adalah haram merupakan langkah permulaan yang amat baik. Malangnya usaha murni ini seolah-olah tidak berkecapaian. Perlaksanaannya terbengkalai sebegitu lama dan tidak menampakkan apa-apa tindak tanduk yang sistematik dalam memperkenalkannya kepada masyarakat Islam khasnya. Suara-suara sumbang telah mula kedengaran agar fatwa ini ditimbang semula.

Kalau kita selalu diperingatkan tentang jangan membazir makanan semasa berbuka puasa dan pembaziran itu adalah amalan syaitan; tetapi pembaziran akibat tabiat merokok tidak dititikberatkan langsung. Apa lagi pembaziran merokok diiringi dengan ribuan kemudaratan. Dalam hal ini ramai di antara kita rasanya telah bersubahat tanpa disedari atau tidak. Ini adalah satu konflik paling besar yang mesti kita selesaikan bersama.

Soalnya berapa lama lagi kita sanggup bersubahat untuk ‘membunuh’ adik beradik kita, keluarga dan masyarakat kita secara halus?

 

Prof Madya Dr Zainurrashid Zainuddin
Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi,
International Medical University, Seremban

Leave a Reply