IMEDIK

MEMBANGUN TAMADUN PERUBATAN ISLAM

Kenyataan Rasmi I-Medik dalam Isu Vaksin

Susulan daripada kematian akibat difteria, suatu penyakit yang boleh dicegah melalui vaksinasi, I-Medik mengajak masyarakat agar memahami prinsip pencegahan dan rawatan dalam Islam.

Difteria adalah penyakit yang disebabkan oleh bakteria Corynebacterium diphteriae. Ia tersebar melalui titisan cecair pernafasan. Bakteria ini menjangkiti tekak (tonsil dan farinks) dan menghasilkan toksin yang menyebabkan keradangan di sekitar tekak dan bengkak leher yang boleh menyebabkan pesakit sukar bernafas. Toksin ini juga boleh menyerap ke dalam darah, melumpuhkan saraf dan menyebabkan keradangan jantung (miokarditis) yang menyebabkan kematian. Jangkitan difteria mempunyai kadar kematian yang tinggi, iaitu antara 25 ke 50%.

Vaksin difteria terkandung dalam vaksin lima (5) serangkai, DTaP-IPV//Hib (Difteria, Pertusis, Tetanus, Polio dan Haemophilus influenzae type b). Ia diberikan pada usia 2, 3, 5 dan 18 bulan. Liputan imunisasi yang melebihi 95% dalam komuniti akan memberi imuniti kelompok (herd immunity) dan melindungi kanak-kanak daripada dijangkiti bakteria ini. Kanak-kanak yang telah menerima imunisasi lengkap hanya akan mengalami gejala ringan apabila dijangkiti dan terlindung dari komplikasi.

Islam amat menggalakkan bagi setiap individu untuk berubat bagi segala penyakit yang dihadapinya. Ini adalah kerana pemeliharaan jiwa termasuk di antara objektif utama syariat (maqasid syariah) dan dengan berubat seorang insan berusaha untuk memelihara jiwa dan raganya. Terdapat banyak hadith yang mana Nabi s.a.w. mendorong umatnya untuk berubat antaranya: Dari Usamah bin Syarik, dia berkata, seorang Arab badawi pernah bertanya kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam:

يا رسول الله ألا نتداوى ؟ قال : ( تداووا ، فإن الله لم يضع داء إلا وضع له شفاء إلا داء واحد ) قالوا : يا رسول الله وما هو ؟ قال : ( الهرم ).

Yang bermaksud: Wahai Rasulullah, apakah kita perlu berubat? Nabi bersabda, Berubatlah, kerana sesungguhnya Allah tidak menurunkan penyakit, kecuali pasti Dia menurunkan penawarnya, kecuali satu penyakit (yang tidak ada ubatnya). Mereka bertanya lagi: Apakah dia? Nabi s.a.w. menjawab: Penyakit tua.

Dr. Yusuf al-Qaradhawi telah ditanyakan di dalam rancangan Fatawa Mubasyirah berkenaan hukum pemberian vaksin kepada anak-anak kecil dengan tujuan mencegah dari penyakit antaranya anggota badan tidak berfungsi. Maka jawab beliau:

Ini (mengambil vaksin) adalah suatu yang fardhu. Kerfadhuan yang bersifat agama bahkan ia suatu kewajipan yang bersifat islami. Jika tidak dilakukan, anaknya akan tertimpa bahaya. Aku pernah melihat seorang kanak-kanak yang sedang solat tarawih bersama kami dan dia berjalan dengan menggunakan tongkat sedangkan dia Masha Allah masih sihat. Bila ditanya dia menjawab: Tanyalah kepada si ayah. Lalu kata si ayah: Kami abaikan memberi vaksin kepadanya semasa kecil lalu dia ditimpa dengan anggota badan yang tidak berfungsi.

 

Leave a Reply