Kenyataan Rasmi I-Medik Isu Coklat Cadbury

Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) memandang serius isu DNA Porcine atau babi yang dikesan dalam dua sampel coklat Cadbury yang telah diumumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah pada 24 Mei lalu.


Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 adalah bertujuan untuk melindungi orang awam daripada bahayanya dari segi kesihatan dan penipuan pada penyediaan, penjualan dan perkara-perkara berkaitan dengannya.


Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Haji Othman Mustapha, dalam satu kenyataan pada hari yang sama, mengatakan bahawa sijil pengesahan halal kedua-dua produk berkenaan digantung serta-merta.


I-Medik menyokong tindakan JAKIM tetapi berharap agar tindakan yang lebih serius diambil seperti menggantung sijil pengesahan halal semua produk dan mengarahkan kilang ditutup kerana menganggap CADBURY mempermain-mainkan sijil halal dan tidak peka dengan sensitiviti, perasaan dan kesempurnaan ibadah orang Islam yang mewajibkan makanan yang diambil halal dan bersih.
Ini adalah untuk memberi amaran pada pengilang-pengilang makanan lain agar lebih berhati-hati dan tidak berbuat sambil lewa apabila menyediakan makanan utk keperluan orang Islam.


Seterusnya, I-Medik juga menggesa agar JAKIM menjalankan pemantauan berkala yang lebih kerap kerana dikatakan kali terakhir kilang ini dipantau ialah pada 20 Februari 2014, iaitu 3 bulan lepas. Lebih ramai pegawai-pegawai perlu dilatih untuk memantau, menilai dan menguji bahan ramuan, kaedah pemprosesan, peralatan serta makmal yang digunakan.


I-Medik juga menyarankan agar rakyat memboikot semua produk keluaran Cadbury sehingga permohonan maaf secara terbuka dilakukan dan memastikan semua produk keluarannya disahkan halal oleh JAKIM. Seterusnya pengguna perlu bijak memilih dan menyokong produk keluaran bumiputra.


Dengan ini, orang-orang Islam akan lebih tenang apabila menikmati makanan kerana yakin ianya halal dan bersih serta tidak menganggu sesuatu ibadah atau amalan untuk diterima Allah.

Leave a Comment