Kerjaya Perbidanan dan Sakit Puan bagi wanita

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Setiap kelahiran adalah di antara tanda keajaiban Tuhan

Ingin saya mulakan serba sedikit coretan mengenai pengalaman peribadi dan pandangan saya terhadap kerjaya di bidang ini. Semoga dengan izin dan petunjuk dari Allah swt, diharapkan penulisan ini akan bermanfaat kepada pembaca melalui apa yang telah diilhamkan olehNya.

Sebelum berkongsi pengalaman sebagai seorang wanita yang berkeluarga dan bekerjaya di bidang yang khususnya melibatkan para wanita ini, saya merasakan satu keperluan untuk memberikan penjelasan kepada para pembaca mengenai  kerjaya di bidang Perbidanan dan Sakit Puan, kepentingannya kepada ummah dan siapakah yang paling layak dipertanggung-jawabkan untuk memastikan wanita yang memerlukan rawatan dalam pengkhususan ini dapat menerima perkhidmatan tersebut dengan adil dan terbaik.

Bidang Perbidanan dan Sakit Puan (Obstetrik & Ginekologi)

Pengamal perubatan yang bekerjaya di bidang ini akan memberikan lebih tumpuan pengkhususan kepada kaum wanita dalam dua bahagian;

Kelahiran melalui pembedahan Caesarean

1-  Bidang Perbidanan (Obstetrik), yang melibatkan kesihatan wanita yang hamil dengan membantu mereka agar memahami erti kandungan sihat, cara- cara penjagaan yang berkesan dan mengenali permasalahan yang mungkin timbul ketika dalam tempoh kandungan dan selepas bersalin. Ia bertujuan agar ibu-ibu yang diberi perhatian dapat melalui pengalaman mereka dengan lebih baik, selamat dan mempunyai anak yang sihat.

Pembedahan ketumbuhan Ovari

2-Bidang Sakit Puan (Ginekologi), yang menjurus kepada kesihatan wanita dari peringkat umur remaja sehingga ke selepas menopos dalam semua aspek kesihatan terutamanya yang melibatkan sistem fungsi organ reproduktif untuk membolehkan mereka mencapai potensi sepenuhnya dalam aspek kesihatan fizikal, mental, seksual dan sosial.

Namun tugas perkhidmatan di bidang ini sebenarnya tidak hanya terbatas kepada merawat pesakit sahaja kerana ia juga menjangkau ke aspek perubatan yang lain seperti menjadi tenaga pengajar kepada pelajar dan pengamal perubatan yang masih di dalam latihan secara am nya atau khusus dalam bidang ini, melakukan kerja–kerja penyelidikan bagi mencari langkah yang sesuai untuk memantau dan memastikan tahap kualiti pekhidmatan yang tinggi dicapai serta  bertanggungjawab ke atas segala permasalahan yang berkaitan dengan perkhidmatan yang diberi oleh individu atau organisasi.

Apakah kepentingan bidang ini kepada umat Islam?

Daripada Abdullah ibn Abbas r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda, “Dua jenis nikmat yang kebanyakan manusia menerima kerugian yang besar iaitu kesihatan dan kelapangan”.

(Hadith riwayat al-Bukhari ; jilid 8 : ms 282).

Jelas disebutkan di atas bahawa Rasullullah saw begitu memberi penekanan kepada penjagaan kesihatan. Oleh kerana  ilmu perubatan berkait rapat dengan penjagaan kesihatan, maka ia mempunyai kedudukan yang mulia di sisi Islam. Imam As–Syafie sendiri begitu memahami ilmu perubatan secara mendalam selain daripada ilmu syariah dan juga bahasa Arab yang merupakan kepakarannya yang diiktiraf ramai. Tepatlah pandangan yang mengatakan bahawa Islam meletakkan ilmu perubatan sebagai fardu kifayah yang perlu dituntut oleh sebahagian umat Islam (Dar Al kutub Al- Ilmiah, Beirut ms 415).

Adalah sangat wajar sekiranya sebilangan wanita daripada kalangan umat Islam mempelajari ilmu perubatan yang diperlukan untuk membantu dan memelihara wanita agar sihat rohani dan jasmaninya. Wanita yang berperanan sebagai isteri dan ibu merupakan tunggak yang kelak menentukan kekuatan institusi sesebuah keluarga seterusnya masyarakat dan bangsa.

Siapakah yang paling layak menggalas tanggungjawab tersebut?

“Siapa yang melakukan rawatan sedangkan tidak diketahui darinya ilmu perubatan maka ia membayar gantirugi (jika berlaku kecuaian) – Ibn Majah, Sunan Ibnu Majah;jld 2:ms271.

Islam melarang pengamalan ilmu ini oleh sesiapa sahaja kecuali mereka yang telah dididik dan berkemahiran di bidang kedoktoran kerana ia melibatkan keselamatan nyawa manusia. Tiga prinsip utama yang harus dipegang oleh seorang doktor muslim ialah prinsip tidak menzalimi atau mendatangkan kemudaratan kepada orang lain, belas kasihan dan menyayangi orang lain dan prinsip memegang janji.

Jelaslah bahawa tanggungjawab ini perlu diletakkan ke atas mereka yang berkemampuan atas ketentuan Allah swt. Saya berpendapat begini kerana ilmu perubatan terutamanya dalam bidang O&G memerlukan individu itu yang sanggup berkorban masa, kerehatan, harta dan nyawa dalam melaksanakan segala tugasan yang berkaitan.  Allah telah berfirman; “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang di usahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya” (Al Baqarah: ayat 286).

Adakah terlalu berat tugasan di dalam bidang ini?

Berat atau tidak sesuatu usaha itu bergantung kepada individu yang melaksanakannya. Secara realitinya, walaupun laporan statistik pada tahun 2011 menunjukkan terdapat penurunan kadar kelahiran bayi di Malaysia dari 20 hingga 50 peratus tetapi statistik tempatan menganggarkan  kelahiran seorang bayi dalam setiap 58 saat.  Dengan kadar kelahiran yang begitu tinggi, kemungkinan kadar morbiditi dan mortaliti (kematian) di kalangan ibu dan bayi menjadi tinggi juga adalah tidak mustahil.

Malaysia telah menunjukkan reputasi yang baik dalam mengawal kadar morbiditi dan mortaliti di kalangan rakyatnya yang kini setaraf, bahkan lebih baik daripada kebanyakan negara–negara yang membangun dengan penambahbaikan usaha-usaha yang dijalankan dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan. Oleh kerana itu adalah logik sekiranya ahli perubatan yang terlibat dalam bidang ini diperlukan untuk sentiasa berada dalam keadaan yang bersedia dan juga mampu bekerja lebih masa.

Bagaimana dengan pengalaman peribadi saya?

Saya ingin berkongsi pengalaman bekerja dalam bidang yang saya kira mencabar terutamanya bagi seorang wanita yang berkeluarga. Walaupun pengalaman ini mungkin tidak setara jika dibandingkan dengan mereka yang telah berkecimpung lebih lama, tetapi ia cukup berharga untuk membuatkan saya menyedari kebesaran Allah swt, mensyukuri nikmatnya dan bermahasabah diri di mana sebagai hambanya yang lemah dan mudah lalai, cabaran hidup juga mampu adakalanya menggugat pertimbangan akal dan emosi di tempat kerja.

Setelah menuntut selama 6 tahun untuk menggenggam ijazah kedoktoran, saya memulakan perkhidmatan di United Kingdom, di tempat saya menuntut sebelumnya.

Masyarakat Islam bukanlah golongan majoriti di sana tetapi saya kagum dengan cara layanan para doktor terhadap pesakit-pesakit. Sifat rendah diri, menghargai masa, melayani setiap persoalan yang timbul dari pesakit atau pihak keluarga adalah ciri-ciri yang dimiliki oleh kebanyakan ahli perubatan di negara tersebut.

Bagaimanapun, saya bagaikan dikejutkan dengan aliran eletrik bervoltan tinggi apabila saya kembali ke tanah air untuk memberikan perkhidmatan kepada masyarakat sendiri kerana cara layanan yang ditunjukkan oleh pengamal perubatan di sini agak berbeza. Saya mengambil masa yang agak lama untuk menyesuaikan diri.

Bersama keluarga tercinta yang memahami dan banyak berkorban

Alhamdulillah dengan sokongan yang tidak berbelah bagi dari suami dan keluarga yang tercinta dan berkat pertolongan dan perlindungan daripada Allah swt, saya mula meminati bidang ini dan memahami dengan lebih mendalam tentang kehendak dan keperluan kaum wanita di Malaysia yang nyata tidak boleh di sama kan dengan mereka dari negara- negara yang lebih maju dan membangun.

Setelah lebih 17 tahun berkecimpung dalam bidang ini, boleh saya katakan bahawa tiada satu saat pun yang boleh saya kesali, walaupun ia bermakna melepaskan peluang mengikuti perkembangan tumbesaran anak–anak kerana nikmat Allah swt yang dapat saya rasai dari pengorbanan yang dilakukan secara sedar atau tidak, lebih menjangkau daripada apa yang diharapkan. Telah ramai sahabat- sahabat yang lebih muda turut sama menuruti jejak ini dengan harapan agar perubahan yang lebih ketara dapat dilunaskan untuk para wanita di Malaysia terutamanya.

Masih ramai para pesakit yang sebilangannya telah menjadi sahabat saya kini berterusan meminta nasihat dan konsultasi. Dan ada juga yang tidak saya kenali secara dekat tetapi mengenali saya dari jauh dan terus ingin membalas dengan apa yang termampu. Namun bukan itu yang harus kita harapkan kerana setiap umatnya harus berpegang dengan ayat- ayat Allah yang menyeru hambanya melakukan kebaikan dengan penuh kesabaran tanpa mengharapkan balasan di dunia kerana yang pasti adalah balasan yang tidak ternilai nikmatnya di akhirat.

Sue-famili1

Apakah yang telah mendorong saya untuk terus berkecimpung dalam bidang O&G sedangkan banyak bidang lain yang boleh saya terokai?  

Seorang wanita adalah makhluk Allah yang agak kompleks. Bukan secara zahirnya tetapi dalamannya. Saya berpendapat seorang wanita adalah lebih arif mengenal sifat seorang wanita yang lain, lantas lebih mudah memahami masalah atau kerumitan yang dihadapi. Pada hakikatnya, ramai yang tidak menyedari bahawa berkhidmat dalam bidang seperti ini bukanlah hanya melibatkan perlaksanaan kerja seperti mengambil nota, menjahit luka atau memberi ubat–ubatan. Ia melibatkan kebijaksanaan berkomunikasi, mencadangkan pilihan rawatan yang terbaik kepada setiap individu mengikut kesesuaian, melakukan prosedur atau pembedahan dengan cara yang paling selamat malah berkesan dan yang paling penting adalah sebagai pemangkin kepada perubahan ke arah yang lebih baik.

Ini hanya mampu saya lakukan apabila saya meletakkan diri saya sendiri dalam keadaan pesakit tersebut, bermakna saya sendiri berkongsi pengalaman hidup sebagai seorang wanita apabila berbicara atau berbincang dengan mereka di samping memahami keadaan masyarakat dan persekitaran.

Adakah ini bermakna bidang O&G hanya sesuai buat seorang doktor wanita sahaja?

Walaupun ini adalah sesuatu yang ideal tetapi saya kurang bersetuju dengan pendapat tersebut bahawa kepakaran obstetric dan ginekologi hanya untuk wanita sahaja kerana penambahbaikan kepada sesuatu perkhidmatan hanya akan lebih berkesan dengan adanya kerjasama dan sumbangan daripada ke dua-dua pihak kerana sifat dan cara berfikir kaum lelaki dan wanita ternyata berbeza tetapi saling melengkapi. Walau bagaimanapun, batas-batas yang telah digariskan oleh hukum syarak perlu dijadikan panduan supaya kepercayaan yang diberi oleh pesakit juga tidak berbelah bagi.

Allah telah berfirman dalam surah An-Nur; ayat 30 – “Katakan kepada lelaki yang beriman supaya mereka menahan sebahagian penglihatan dan menjaga kehormatannya. Yang demikian itu lebih suci untuknya. Sesungguhnya Allah itu tahu apa yang mereka perbuat”.

Adalah penting bagi para pengamal perubatan (doktor) lelaki menjaga adab dan etikanya di mana mereka hanya berhak untuk melihat aurat seorang wanita yang haram baginya sekadar yang diperlukan sahaja bagi tujuan rawatan sahaja.

Kesimpulan

Adalah penting bagi setiap pelajar terutamanya para mahasiswi perubatan yang berpotensi di dalam ilmu perubatan mempertimbangkan untuk menceburi bidang kepakaran ini kerana kemajuan sesuatu bangsa itu terletak kepada nadi penggeraknya yang sihat pada rohani dan jasmani. Kaum wanita merupakan sebahagian besar daripada jentera tersebut maka sudah tentulah perhatian yang secukupnya perlu diberi kepada mereka.

Sebagai seorang wanita yang juga bakal menggalas tanggungjawab sebagai isteri dan ibu, tidaklah  seharusnya menjadi alasan untuk seorang mahasiswi itu menceburi bidang yang mencabar seperti O&G. Tidak dapat dinafikan bahawa pengorbanan yang besar diperlukan tetapi percayalah nikmat yang dikurniakan kepada mereka yang redha dengan perjalanan yang telah ditentukan oleh Allah swt itu amatlah manis dan infiniti kerana tiada apa yang akan dapat menghilangkan rasa dahaga anda untuk terus berjuang (sekiranya perjuangan itu ditujukan hanya untuk Allah swt) dengan cara apa sekali pun kecuali dengan kehendakNya.

Itulah kemanisan yang paling berharga boleh saya kongsikan di sini agar para pembaca memahami tentang kewujudan, kepentingan dan kebesaran menceburi bidang seperti ini. Wallahuaalam.

Ditulis oleh:

Sue-22

Professor Madya Dr. Sharifah Sulaiha Syed Aznal

Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi

Department  of Obstetrics and Gynaecology

International Medical University

Leave a Comment