MENU

Comments (0) Info Sihat

Kesan Arak Kepada Tekak

Negara digemparkan dengan kematian 36 orang mangsa keracunan alkohol baru-baru ini. Walaupun punca kematian mereka adalah disebabkan arak yang diminum mengandungi paras alkohol yang tinggi, penemuan kajian meta-analisis terbaru membuktikan bahawa tiada paras alkohol minima yang selamat untuk diminum. Arak boleh menyebabkan pelbagai jenis kanser termasuklah kanser tekak yang menjadi laluan makanan dan minuman sebelum masuk ke dalam perut.

Tekak atau nama saintifiknya larynx ialah satu organ dalam leher yang menghubungkan kawasan mulut dengan salur pemakanan esophagus. Selain mengeluarkan suara, tekak juga memainkan peranan penting dalam melindungi salur pernafasan daripada dimasuki sisa-sisa makanan yang boleh mengakibatkan kesesakan nafas. Tekak yang dicemari arak secara berterusan akan mengalami kerosakan pada struktur DNA dan ini boleh mengakibatkan pertumbuhan sel kanser pada tekak.

Kajian membuktikan peminum arak adalah dua kali ganda berisiko untuk mendapat kanser tekak dan risiko ini boleh meningkat mendadak jika peratusan alcohol yang digunakan lebih tinggi atau peminum arak tersebut turut menghisap rokok. Risiko kanser tekak turun sebanyak 15% jika seseorang berhenti meminum arak dalam masa lima tahun.

Walaupun terdapat rawatan yang berkesan untuk penyakit ini, kebanyakan rakyat Malaysia lewat dalam mendapatkan rawatan doktor. Kesannya kanser tersebut boleh membesar dan mungkin memerlukan pembedahan mengeluarkan salur tekak atau laryngectomy terpaksa dilakukan.

Pembedahan membuang salur tekak atau larynx

Salur tekak atau larynx yang dihidapi kanser

Selain kanser tekak, arak juga boleh menyebabkan radang tekak atau laryngitis. Antara gejala penyakit ini adalah seperti suara menjadi serak dan tekak merasa sangat tidak selesa. Oleh itu, jauhilah arak untuk menjaga kesihatan tekak anda.

Disediakan Oleh,


Dr. Khairil Afif Bin Mahmud
Aktivis I-Medik
Pensyarah Perubatan Pelatih
Jabatan Otorhinolaringologi-Pembedahan Kepala & Leher
Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM)

 

Rujukan:

  1. GBD 2016 Alcohol Collaborators. Alcohol use and burden for 195 countries and territories, 1990–2016: a systematic analysis for the Global Burden of Disease Study 2016. Lancet 2018; 392: 1015–35
  2. A Sani et al. Carcinoma of the Larynx in Malaysia, Med. J. Malaysia Vol. 47 NoA December 1992
  3. La Vecchia C et al. Alcohol and laryngeal cancer: an update. European Journal of Cancer. Prev.2008 Apr;17(2):116-24
  4. http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kematian-akibat-keracunan-alkohol-kekal-36-orang-186389
  5. http://www.utusan.com.my/berita/nasional/methanol-30-peratus-hingga-50-kali-lebih-tinggi-punca-keracunan-1.754486
  6. http://www.aicr.org/cancer-research-update/2018/2-7/new-study-clarifies-how-alcohol-causes-cancer.html

 

 

Leave a Reply