IMEDIK

MEMBANGUN TAMADUN PERUBATAN ISLAM

Kesihatan Gigi Bayi dan Kanak-kanak

kids-developing-jaws-teeth
Persoalan tentang penjagaan gigi bayi dan kanak-kanak sering menjadi persoalan yang ditimbulkan terutama oleh golongan ibu bapa muda yang sedang melalui fasa ini. Satu perkara penting yang perlu difahami oleh golongan ibu bapa ini adalah, kesihatan mulut dan pergigian bukan hanya meliputi aspek:

1) pemberusan gigi, tetapi juga merangkumi
2) SIKAP dan pengetahuan ibu bapa terhadap kesihatan mulut,
3) TABIAT PEMAKANAN dan juga
4) amalan penggunaan botol susu dan TABIAT PENYUSUAN yang betul.

Kadar kerosakan gigi dan kesihatan mulut kanak-kanak telah dibuktikan melalui banyak kajian saintifik, mempunyai kaitan dengan kadar kerosakan gigi ibu bapa, tahap sosioekonomi dan pengetahuan ibu bapa tentang kesihatan mulut. Secara sifir mudahnya, ibu bapa yang mempunyai banyak gigi yang rosak akan mempunyai anak-anak yang juga mudah mendapat kerosakan gigi. Ini berdasarkan banyak sebab sosial dan saintifik yang kurang sesuai diterangkan secara panjang lebar di ruangan ini. Walaubagaimanapun, dengan pengetahuan, kesedaran dan dental education yang betul, masalah ini dapat dicantas dari peringkat akarnya.


TWO IS TOO LATE
. Adalah amat penting untuk setiap daripada kita memahami konsep yang menjadi undang-undang emas pergigian kanak-kanak ini. Jika anda mula membawa anak anda berjumpa doktor gigi pada usia anak dua tahun, anda sebenarnya telah terlambat! Ya, beruntunglah anak-anak doktor gigi yang tidak akan terlepas temujanji ini semenjak berusia satu hari. Adalah disarankan supaya bayi dibawa berjumpa doktor gigi seawal gigi pertama tumbuh (biasanya di usia 6-8 bulan), juga tidak salah jika bermula sebelum gigi pertama muncul. Tujuan utama adalah bagi doktor gigi mengesan apa-apa ketidaknormalan yang mungkin ada di dalam mulut bayi, dan yang paling penting adalah untuk menyediakan bayi dengan SIKAP yang positif tentang doktor gigi dan kesihatan gigi dan mulut. Oleh kerana pertemuan pertama ini biasanya tidak melibatkan kerosakan gigi, kesakitan di dalam mulut mahupun prosedur pergigian yang janggal bagi seorang bayi, ia akan menimbulkan sikap positif dan perasaan seronok untuk hadir ke klinik pergigian. Jangan pula ibu bapa merasa kecewa kerana pertemuan ini ringkas, bersahaja dan tidak melibatkan prosedur kerana kriteria seperti inilah yang memberi impak emosi positif di pemikiran seorang kanak-kanak.

Biasa kedengaran di dalam masyarakat kita pengalaman-pengalaman ngeri dan temujanji pergigian pertama yang berdarah dan menyakitkan. Ini kerana mereka hanya dibawa berjumpa doktor gigi apabila kerosakan gigi sudah di tahap yang teruk, jangkitan kuman sudah terlalu banyak dan prosedur kecemasan seperti cabutan gigi terpaksa dilakukan segera. ‘Pengalaman yang tak dapat kulupakan’ ini sudah pasti melekat di ingatan sehingga ke akhir hayat. Seruan kami; mari elakkan ini berlaku kepada anak-anak kita, dan tidak mustahil untuk mengelakkan sebarang cabutan atau prosedur menyakitkan sehingga usia dewasa (saya adalah salah seorang yang bertuah melalui pengalaman pergigian positif sepanjang hidup kerana tidak pernah mengalami sebarang kerosakan gigi). Anda disarankan hadir ke klinik pergigian kerajaan terdekat, kerana kini klinik pergigian kerajaan terdapat di setiap daerah, dan program kesihatan pergigian kanak-kanak ini memang giat dijalankan. Jika anda merasakan anak anda mungkin sedikit nervous dan memerlukan ruang yang agak sunyi dan perhatian yang lebih, boleh juga hadir ke klinik gigi swasta yang mempunyai kemudahan dan staff pergigian yang mesra bidang pergigian kanak-kanak.

Kini tiba masanya untuk saya berkongsi tentang cara penjagaan gigi bayi dan anak anda. Sebelum gigi mula tumbuh, gusi bayi hendaklah dibersihkan menggunakan kain yang lembut dan bersih bagi mengelakkan sisa susu tertinggal di permukaan gusi. Ini memandangkan bayi sebelum usia 6 bulan tidak dibenarkan untuk minum air kosong yang dapat membantu ‘membilas’ permukaan gusi. Jika tidak dapat mengelap gusi setiap kali selepas menyusu, memadai dengan satu atau dua kali sehari. Amalan ini juga membiasakan bayi dengan ‘sensasi’ penggunaan alatan asing untuk membersihkan mulutnya dan akan lebih mudah menerima berus gigi setelah tiba masanya kelak. Setelah gigi mula tumbuh (biasanya 2 batang gigi bawah hadapan/incisor) ibu bapa boleh meneruskan penggunaan tuala lembab yang bersih untuk mengelap permukaan gigi memandangkan gigi masih belum banyak. Pastikan semua permukaan dibersihkan; permukaan yang menghadap bibir dan permukaan yang menghadap lidah.

Semakin banyak gigi muncul di dalam mulut, ibubapa boleh beralih kepada penggunaan berus gigi tahap bayi yang mempunyai berus pendek dan lembut. Sebenarnya terlalu banyak jenis produk yang terdapat di pasaran, dan ibubapa boleh memilih mana-mana yang sesuai dengan anak anda. Pastikan berus adalah lembut kerana ia lebih selesa untuk mulut bayi, dan pilihlah kepala berus yang kecil. Penggunaan ubat gigi adalah digalakkan setelah kanak-kanak pandai meludah (usia 3 tahun ke atas) kerana tidak digalakkan bayi menelan ubat gigi terutamanya yang berfluorida kerana fluoride overingestion adalah beracun dan jikapun tidak terlebih telan ke tahap merbahaya, boleh menyebabkan fenomena fluorosis ke atas gigi kekal yang sedang terbentuk di dalam gusi. Pembersihan mekanikal (iaitu aksi memberus) dengan cara dan kekerapan yang betul sebenarnya sudah cukup untuk menjaga kesihatan gigi, dan ubat gigi adalah dianggap adjunct kepada pemberusan gigi. Penting untuk ibu bapa memahami bahawa SETIAP permukaan mesti diberus, dan setiap batang gigi sebenarnya mempunyai 3-5 permukaan yang perlu anda beri perhatian. Jangan terpedaya memberus gigi bahagian luar sahaja tetapi ada permukaan yang masih bertampuk dengan plaque dan bakteria. Bolehkah anak anda memberus gigi sendiri tanpa diawasi ibubapa? Ya boleh untuk anak yang sudah faham arahan dan boleh berfikir sendiri, usia 6 tahun ke atas. Sebelum usia ini, ibu bapa bertanggungjawab mengawasi pemberusan gigi agar memastikan pemberusan dilakukan dengan betul dan menyeluruh.

Soalan paling popular dan bisa mendapat anugerah adalah “apakah tips dan cara untuk membuatkan anak saya mudah dan suka menggosok gigi?”. Tiada satu cara yang berkesan untuk semua kanak-kanak, anda lebih mengenali anak anda sendiri. Kami biasanya mengesyorkan supaya pertama; budaya menggosok gigi ini dimulakan dan dibiasakan dengan bayi anda sejak kecil. Antara aktiviti permainan di dalam tab mandi selain itik getah kuning yang mendecit-decit, anda boleh meletakkan berus gigi sebagai salah satu alat permainan untuk dicubanya. Tunjukkan aksi menggosok gigi ini secara ‘tidak sengaja’ dan bersahaja semasa anak mandi dan semasa anda sendiri menggosok gigi supaya masuk ke dalam minda separa sedarnya bahawa menggosok gigi adalah sesuatu yang normal dan sesuatu yang ‘dewasa’ (an adult thing) untuk dilakukan. Ya, banyakkan memahami psikologi kanak-kanak dan berdayakreatif lah dengannya. Selain itu, seperti yang telah saya cadangkan di atas, tips-tips seperti memberi suasana positif dan perkenalan dengan doktor gigi, semua ini membantu menjana tabiat pembersihan gigi yang baik. Antara tips psikologi lain adalah dengan membacakan buku cerita yang membawa mesej yang sesuai dengan kebersihan dan kesihatan gigi dan video-video berkaitan yang mudah didapati di laman internet. Selain itu, bagi anak-anak yang mudah terpengaruh dengan animasi dan imaginasi, ibu bapa boleh menggunakan kaedah bercerita dengan efek suara dan sebagainya semasa memberus gigi seperti menceritakan “wahhh besarnya bakteria di gigi kakak ni .BESAR! TAKUT.! Jom papa tolong beruskan sekarang supaya bakteria tak makan gigi kakak” atau “berus gigi Boboboi abang ini akan bertindak menghapuskan kuman dan bakteria di dalam mulut abang. Buka mulut untuk Boboboi beraksi sekarang”. Lihat, anda Cuma memerlukan sedikit kesabaran dan kreativiti yang tidak terbatas.

Walaubagaimanapun, pemberusan gigi yang baik dan berkala tidak mampu menjamin gigi anak anda tiada kerosakan. Ya, saya serius. Ini kerana bagi bayi dan kanak-kanak, faktor penyusuan adalah antara faktor terbesar menentukan kesihatan gigi mereka. Saya tidak merujuk kepada jenama susu atau peratus kalsium di dalam susu anak anda, tetapi tabiat dan cara mereka menyusu. Satu tabiat yang sangat merosakkan gigi adalah perbuatan membiarkan botol susu atau puting susu di dalam mulut sepanjang anak anda tidur (terutama pada waktu malam). Bagi bayi yang menyusu badan pula, ada yang sangat attached dengan penyusuan atau sensasi menghisap (kerana sucking adalah salah satu cara bayi mententeramkan diri mereka) sehinggakan ibu terpaksa membiarkan sahaja mulut bayi di payudara sepanjang malam, dan bayi mungkin menghisap secara sedikit-sedikit sehingga ke pagi. Susu, seperti juga makanan lain mempunyai kandungan karbohidrat dari jenis laktosa yang juga mempunyai kesan ke atas gigi sepertimana gula lain di dalam gula-gula, kek dan coklat. Serajin mana pun gigi itu dibersihkan, cabaran yang dihadapainya saban malam dari laktosa yang bertakung di permukaan gigi selama 6-8 jam tanpa henti, gigi akan kalah dengan cabaran ini. Ini yang biasa kita nampak corak kerosakan gigi di kalangan kanak-kanak adalah kerosakan gigi atas hadapan, kerana ia sinonim dengan tabiat menyusu. Fenomena ini dipanggil Early Childhood Caries.

Benar, ia penting untuk ibu bapa mengurangkan pemakanan bergula bagi anak mereka, kerana selain dari kesihatan gigi, gula juga tiada nilai zat nutrient untuk tumbesaran badan dan otak, tetapi faktor gula di dalam susu ini hanya sedikit ibu bapa yang mendapat maklumat mengenainya. Lebih menyedihkan, ada ibu bapa yang sengaja memberi minuman bergula di dalam botol susu anak (minuman coklat, air sirap dan sebagainya). Cukup-cukuplah. Tahukah anda anak anda sebenarnya boleh dilatih untuk minum susu dari sippy cup sejak usia setahun? Sebagaimana transisi fasa lain seperti latihan tidak memakai lampin, setiap transisi ini memerlukan usaha, kesabaran dan determinasi yang kuat dari ibu bapa. Namun begitu, jika anak anda memang masih bergantung dengan botol susunya, latihlah mereka untuk menghabiskan susu dalam botolnya,  bilas mulut dengan minum air kosong setelah menyusu; dan hentikan tabiat menyusu untuk menidurkan setelah anak mencapai usia setahun. Gigi yang berada di dalam mulut sepanjang malam haruslah dipastikan bebas dari segala anasir yang mampu merosakkannya. Jika kita gigih memastikan gigi kita diberus dan difloss sebelum tidur, mengapa mengabaikan anak kita?

Ketahuilah bahawasanya tanggungjawab ibu bapa ke atas anak-anak di dalam islam bukan terbatas kepada pendidikan islami semata-mata, tetapi juga kesihatan dan keselamatan anak-anak kerana perkara ini adalah hak asasi kanak-kanak yang dipelihara haknya atas dasar lemah dan tiada dayanya mereka, dan kepada ibu bapa lah tempat mereka bergantung harap. Biarpun di Malaysia belum ada undang-undang yang mampu mendakwa kecuaian ibu bapa yang menjadi penyebab penyakit dan jangkitan kuman pergigian anak-anak, undang-undang ini adalah tidak asing di negara barat yang tegas dengan hak asasi manusia mereka.

Dr Aini Hayati Abdul Rahim

Aktivis i-Medik WPKL/Selangor

JK Dental Chapter i-Medik

 

 

Leave a Reply