KETUM: Perosak Masyarakat

Daun ketum ataupun di dalam bahasa Inggeris disebut Kratom banyak ditemui di berberapa kawasan Asia Tenggara khususnya di Malaysia, Thailand, Indonesia dan Papua New Guinea.

Antara jenis Mitragyna speciosa (ketum) mengikut warna daun

Di negara kita walaupun ketum digunakan dalam rawatan tradisional, ia hanya digunakan berdasarkan maklumat tradisi dan sehingga kini tiada kajian klinikal dilakukan yang membuktikan keberkesanannya. Antara salahtanggapan tentang ketum adalah mengatakan bahawa ia selamat digunakan untuk tujuan kesihatan disebabkan oleh ia berasal daripada tumbuhan semulajadi. Sebenarnya bukan semua yang berasal daripada tumbuhan semulajadi itu selamat digunakan. Ganja juga berasal daripada tumbuhan semulajadi namun ia juga dikategorikan di bawah dadah merbahaya dan terdapat pelbagai kesan negatif terhadap kesihatan. Terdapat bukti menyatakan bahawa penggunaan ketum mempunyai kesan yang sama seperti berberapa dadah terlarang yang lain termasuk heroin dan morfin yang berada di alam kategori opioids. Justeru itu ia sebenarnya boleh menyebabkan kesan sampingan sekiranya digunakan di dalam jangkamasa yang kerap dan lama termasuk ketagihan, salah guna (abuse) dan seterusnya kematian. Ia kerap digunakan untuk mendapat kesan euphoria ataupun keseronokan yang melampau dalam jangka masa pendek.

Menurut laporan daripada petikan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 1 April 2018, bertajuk Ubah Persepsi Ketum, terdapat kajian yang sedang dijalankan di Malaysia untuk membuktikan bahawa ketum dapat menghilangkan ketagihan terhadap heroin, namun belum terdapat bukti klinikal untuk membuktikannya. Lebih merisaukan, ia hanya akan menambahkan bentuk ketagihan yang baru kepada pengguna heroin.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ada menyediakan program gantian Metadone bagi mereka yang mempunyai ketagihan terhadap heroin dan ia terbukti selamat dan berkesan melalui kajian klinikal yang terperinci dengan syarat ia digunakan atas nasihat dan pemantauan doktor yang bertauliah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Oleh itu, disarankan kepada mereka yang mempunyai masalah ketagihan kepada heroin untuk tidak menggunakan ketum untuk mengatasi masalah ketagihan kepadanya, tetapi dapakatlah nasihat doktor.

 

Kesan buruk penggunaan ketum

Mengikut American Addiction Centers, terdapat kesan-kesan negatif penggunaan ketum dalam jangka masa panjang termasuk sawan, kerosakan hati, masalah kurang selera makan, penurunan berat badan yang berlebihan, masalah tidur dan withdrawal symptoms (kesan sampingan sekiranya berhenti penggunaan setelah penggunaan yang lama termasuk sakit badan, muntah, cirit-birit, perangai agresif dan masalah tidur). Namun kesan sampingan utama adalah ketagihan kepada ketum yang membawa kepada kerosakan fungsi otak dan akal. Ia juga mendatangkan masalah sosial yang lain termasuk keruntuhan akhlak dan moral yang seterusnya merosakkan institusi keluarga. Sebagaimana yang berlaku di Thailand, menerusi sebuah artikel yang diterbitkan oleh British Broadcasting Channel (BBC) bertarikh 13 June 2017, bahawa di penggunaan Ketum di Thailand sangat membimbangkan semenjak 2012 terutamanya di sekitar kawasan Pattani dimana 90% daripada keseluruhan kawasan perkampungan di situ didapati mempunyai penagih dadah dan kebanyakan daripada mereka adalah di kalangan remaja. Kebanyakan daripada mereka mempunyai ketagihan kepada pelbagai dadah selain ketum termasuk amphetamine, metamphetamine dan menghidu gam. Statistik di Pattani pada tahun 2016 menunjukkan terdapat 525 pasangan berkahwin memfail penceraian di mana 80% daripada mereka mengakui bahawa sebab untuk bercerai adalah disebabkan suami mempunyai masalah penagihan kepada dadah. Keruntuhan institusi kekeluargaan tentu sekali membawa kepada permasalahan sosial yang lain.

Justeru itu diharapkan kerajaan dapat menggariskan langkah-langkah sewajarnya untuk mengelakkan daripada pengunaan ketum yang berleluasa di kalangan masyarakat. Walaupun ketum digunakan dalam rawatan tradisional, ia hanya digunakan berdasarkan maklumat tradisi dan sehingga kini tiada kajian klinikal dilakukan yang membuktikan keberkesanannya.

Di samping itu, peranan NGO dan persatuan-persatuan perubatan juga penting untuk menerangkan kepada masyarakat fakta-fakta klinikal tentang pengunaan dadah termasuk ketum. Untuk merungkaikan berberapa permasalahan di sekitar isu ketagihan, Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) mengambil inisiatif menganjurkan Konvensyen Fiqh Kesihatan Mental dan Psikologi 2018 (PSIKOFIQH 2018) dengan tema: KETAGIHAN DARI PERSPEKTIF ISLAM DAN PSIKOLOGI pada 28 April di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Pahang.

Antara isu menarik yang akan dikupas adalah, adakah ketagihan penyakit otak? apakah konsep memelihara aqal terpakai dalam isu terapi metadone dan apa pandangan islam berkenaan saranan menghalalkan ganja dan ketum atas nama perubatan. Diharapkan kepada mereka yang ingin mendapatkan informasi sekitar topik ketagihan termasuk ketum dapat menghadiri konvensyen seperti ini untuk mendapatkan maklumat.

 

Dr Nor Ruzaini Bt Sulaiman
Ketua Unit Kawalan Ketagihan Dadah
Biro Penerangan & Penyelidikan I-Medik

Leave a Comment