Kiddie Pack Bawa Mudarat Lebih Daripada Keuntungan Ekonomi

“Kita perlu mufliskan syarikat-syarikat tembakau!” Itulah laungan Margaret Chan Ketua Pengarah WHO yang telah menjadi antara dasar utama WHO di dalam perang melawan tembakau.

Pesanan ini lantang bergema di dalam Mini Symposium: Translating Evidence Towards Tobacco Control Policy in Malaysia yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan pada 19 Disember 2017 di Sunway Medical Centre.

Ia sebuah simposium yang mengumpulkan rakan-rakan NGO dan penggubal polisi di dalam kerajaan dalam usaha menyampaikan fakta-fakta kajian berkenaan perang mengawal tabiat merokok di Malaysia.

Bahaya tembakau dan tabiat merokok tak usah lagi diolah panjang. Semua orang tahu merokok membawa maut dan pelbagai penyakit.

Lebih 6 juta orang meninggal setiap tahun di seluruh dunia akibat merokok. Hampir 10% daripada ini merupakan perokok pasif yang tidak bersalah termasuklah kanak-kanak. Salah satu cara untuk membendung malapetaka kesihatan ini adalah dengan melawan arus perniagaan tembakau itu sendiri.

Melalui rangka kerja yang diperkenalkan oleh Framework Convention on Tobacco Control (FCTC) iaitu sebuah Perjanjian Kesihatan antarabangsa yang dipelopori oleh WHO, pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak kerajaan dalam membendung jualan rokok kepada rakyat Malaysia.

Antara polisi yang memberi kesan secara langsung kepada industri rokok adalah kenaikan cukai rokok, meningkatkan peratusan amaran kesihatan bergambar di atas kotak rokok kepada 50%, dan melarang sebarang bentuk pengiklanan jenama rokok.

Semua ini dilakukan bagi mencapai sasaran yang telah diletakkan FTCT ke atas setiap negara ahli iaitu mengurangkan prevalen perokok kepada 5%. Malaysia telah meletakkan tahun 2045 untuk mencapai sasaran ini.

Antara strategi utama yang paling efektif di dalam mencapai sasaran ini adalah membendung penambahan insiden perokok baru terutama di kalangan remaja dan kanak-kanak.

Peningkatan harga rokok yang mendadak dan penjualan di dalam pek yang lebih besar telah sedikit sebanyak membantu menghalang kanak-kanak dan remaja daripada membeli rokok.

Namun demikian industri tembakau sentiasa mencari kelemahan di dalam sistem yang telah diperkenalkan. Mereka telah secara langsung melobi supaya penjualan rokok di dalam pek yang lebih kecil iaitu ‘Kiddie Pack’ dibenarkan semula.  Kiddie Pack yang hanya memuatkan 10 batang rokok ini dikhuatiri akan meningkatkan penjualan rokok di kalangan remaja sekaligus menghalang usaha kerajaan untuk mengurangkan insiden perokok baru.

Sudah pasti remaja dan kanak-kanak yang baru hendak berjinak dengan rokok akan lebih mampu membeli rokok di dalam kiddie pack berikutan harganya yang lebih murah.

Saya mewakili I-Medik diberitahu oleh pihak penganjur simposium ini bahawa antara alasan utama pihak yang melobi kerajaan supaya memperkenalkan semula kiddie pack adalah untuk membendung penjualan rokok haram.

Buat pengetahuan anda, rokok haram atau rokok seludup dijual pada harga yang sangat rendah berbanding harga sebenar pasaran. Kerajaan dimomokkan dengan alasan bahawa oleh kerana penurunan harga rokok bagi membanteras rokok haram bercanggah dengan tuntutan FCTC, memperkenalkan kiddie pack adalah langkah terbaik.

Kita sudahpun mengambil langkah yang besar apabila menandatangani perjanjian FCTC tersebut. Rokok kita sudah mahal, kotak rokok makin buruk dengan gambar-gambar amaran kesihatan yang mengerikan.

Kini tiada lagi iklan rokok di mana-mana. Malah beberapa bandar utama di Semenanjung Malaysia seperti Melaka, Kelantan dan Terengganu telah mengisytiharkan bahawa mereka adalah Bandar Bebas Asap Rokok.

Kempen Generasi Bebas Asap rokok juga memberi impak besar di dalam masyarakat dengan mensasarkan kepada golongan remaja dan kanak-kanak. Kebanyakan perokok tegar mula merokok diusia muda sebegini.

Amat malang sekali jika pihak kerajaan membenarkan penjualan semula rokok di dalam kiddie pack ini. Ia merupakan seribu langkah kebelakang di dalam perang melawan tabiat merokok.

Segala usaha murni yang telah kita lakukan selama ini di dalam mengurangkan prevalen perokok akan jadi sia-sia. Kalian akan hanya menambah jumlah perokok baru di kalangan kanak-kanak dan remaja. Carilah cara lain yang lebih banyak untuk membendung penjualan rokok haram, bukan dengan memperkenalkan Kiddie Pack.

Kementerian Kesihatan Malaysia secara aktif membantah penjualan Kiddie Pack ini. Saya mewakili NGO yang turut serta di dalam simposium ini ingin mengajak masyarakat secara umum bersama-sama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia membantah penjualan semula Kiddie Pack ini.

Dr. Anas Aminin 
Bendahari I-Medik Wilayah Persekutuan/Selangor

Leave a Comment