Komitmen Bebas Asap Rokok Mesti Diterima Rakyat

Komitmen Menteri Kesihatan YB Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad baru-baru ini yang mencadangkan pewartaan restoran terbuka dan parlimen sebagai kawasan bebas asap rokok hendaklah disambut baik oleh seluruh rakyat Malaysia.

Ini menggambarkan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia pada setiap golongan daripada bayi hingga ke warga emas, agar bebas dari ancaman bahaya asap rokok.

Dengan cadangan ini, kawasan bebas asap rokok akan bertambah lagi selain bangunan-bangunan kerajaan, premis-premis tertutup dan juga taman-taman awam yang telah diwartakan sejak beberapa tahun yang lepas.

Rakyat perlu diberikan kesedaran yang meluas akan bahaya pendedahan asap rokok kepada anak-anak, remaja, wanita mengandung dan warga emas yang kebanyakannya adalah perokok sekunder (secondary smoker) kesan daripada aktiviti merokok golongan dewasa.

Kajian telah menunjukkan anak-anak mudah menerima penyakit asthma, jangkitan dan paru-paru kronik akibat daripada keluarga yang merokok di dalam rumah. Bayi dalam kandungan juga boleh menerima kesan  daripada asap rokok antaranya menyebabkan kelahiran pra-matang dan bayi lahir tidak cukup berat. Akibatnya, anak-anak tidak membesar dengan baik dan rumah yang sepatutnya menjadi perlindungan buat mereka kini merosakkan masa depannya.

Kos perubatan bagi penyakit-penyakit akibat daripada asap rokok  seperti penyakit paru-paru kronik, penyakit-penyakit barah dan serangan jantung sahaja telah mencecah RM 3 bilion setahun pada tahun 2014 dan ia semakin meningkat saban tahun dengan peningkatan jumlah perokok daripada pelbagai golongan.

Kadar penyakit dan kematian akibat daripada asap rokok seperti strok dan serangan jantung semakin meningkat dan berlaku pada usia yang lebih muda terutamanya di kalangan perokok tegar. Bukankah ini merugikan sumber tenaga dan kehilangan punca pendapatan kepada keluarga-keluarga muda di Malaysia?

Justeru, Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Islam Malaysia (I-Medik) menyeru tindakan yang menyeluruh melibatkan pelbagai pihak dalam menangani isu pendedahan asap rokok dan mengurangkan jumlah perokok di Malaysia melalui aspek pendidikan, kempen kesedaran dan penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat dan berkesan.

Dr Mohd Ihsanuddin Abas

I-Medik Kuala Lumpur Selangor

(MBBS Monash University, Masters of Public Health UKM)

Leave a Comment