MENU

Comments (0) Aktiviti

Kos Perubatan di Malaysia: Perlukah rakyat bayar?

Kos Perubatan di Malaysia: Perlukah rakyat bayar?

Kerajaan Malaysia sangat komited dalam memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik sejak dari kemerdekaan negara 62 tahun yang lalu. Ia terbukti dengan peningkatan kadar kelahiran dan penurunan kadar kematian selain peningkatan jangka hayat disebabkan kemajuan kemudahan kesihatan dan capaian yang tinggi di kalangan rakyat Malaysia. Secara umumnya ia dicapai melalui perkhidmatan kesihatan awam yang percuma (bersubsidi) daripada kerajaan bermula dari bayi dalam kandungan sehingga kepada warga emas.

Namun begitu, dengan 4.6% daripada bajet tahunan yang diperuntukkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kerajaan akan menghadapi kesukaran untuk memastikan perkhidmatan bersubsidi akan dapat terus diberikan kepada seluruh rakyat Malaysia untuk tahun-tahun mendatang. Ini terbukti dengan laporan audit yang menunjukkan perkhidmatan kesihatan semakin tenat dengan kekangan staf dan kemudahan fasiliti untuk menampung jumlah pesakit yang bertambah saban tahun. Akibatnya kakitangan perubatan dan kesihatan di klinik-klinik dan hospital-hospital kerajaan akan mengalami tekanan kerja yang tinggi seterusnya boleh menjejaskan kualiti perkhidmatan kesihatan.

Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada kekangan kewangan ini seperti kos kesihatan yang semakin meningkat, populasi penduduk yang semakin bertambah, teknologi-teknologi perubatan yang semakin maju dan permintaan untuk kualiti perkhidmatan yang semakin meningkat dari pelanggan atau pesakit. Kesemua ini pastinya akan memberi kesan kepada perkhidmatan kesihatan subsidi penuh yang ditanggung kerajaan kini.

Populasi Malaysia kini mencecah 33 juta orang telah meningkatkan jumlah perbelanjaan kesihatan awam meningkat daripada RM9 billion setahun pada 1997 kepada RM23 billion pada 2014. Jumlah keseluruhan  perbelanjaan dalam sektor awam dan swasta telah mencapai lebih RM50 billion setahun. Peningkatan ini telah menjadi beban kepada sektor awam kerana kadar penggunaan fasiliti kesihatan awam adalah lebih tinggi iaitu 2.2 juta (78%) kemasukan ke wad hospital kerajaan berbanding 750,000 di hospital swasta pada tahun 2008. Jumlah katil hospital kerajaan juga adalah lebih tinggi iaitu 74% berbanding hospital swasta. Pada masa yang sama perbelanjaan di sektor swasta adalah lebih tinggi dan untuk meningkatkan keupayaan fasiliti dan kualiti perkhidmatan mereka sedangkan perbelanjaan di sektor kerajaan kekal mengikut bajet semasa. Pastinya akan ada kekangan di sektor awam untuk meningkatkan kemudahan fasiliti dan teknologi serta penambahan kakitangan kesihatan untuk memastikan kesinambungan kualiti perkhidmatan yang baik. Maka timbul isu kekangan hospital dari sudut bajet, kakitangan dan kemudahan fasiliti yang ditimbulkan oleh Ketua Pengarah KKM Dato Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini. Persoalannya sejauhmanakah kerajaan masih boleh mampu menanggung subsidi kesihatan kepada rakyat?

Maka tidak hairanlah jika kita melihat kadar perbelanjaan sendiri atau Out of Pocket Payment (OOP) rakyat semakin meningkat di sektor swasta. Kajian menunjukkan rakyat Malaysia berbelanja sendiri (OOP) sehingga 40% daripada pendapatan yang merupakan had maksima yang ditetapkan oleh World Health Organisation (WHO). Ini terbukti apabila statistik menunjukkan perbelanjaan di sektor swasta telah meningkat dari RM 5 bilion pada tahun 1997 kepada RM 20 billon pada tahun 2014 yang kebanyakannya adalah daripada OOP rakyat Malaysia. Meskipun trend pengambilan insurans perubatan atau takaful perubatan meningkat namun kebanyakannya hanya menanggung kos perubatan sekiranya dimasukkan ke dalam wad. Perbelanjaan kesihatan di klinik pesakit luar dan pakar swasta masih menggunakan duit poket atau simpanan para pesakit. Sesetengah pesakit yang bekerja di sektor swasta mungkin mendapat manfaat daripada insurans syarikat masing-masing, namun mereka akan mula terkesan dengan kos perubatan apabila berhenti kerja atau setelah pencen.

Dasar kerajaan menggalakkan perkembangan sektor swasta adalah untuk menampung beban sektor awam yang meningkat. Dan pada masa yang sama menggalakkan rakyat berpendapatan menengah dan tinggi untuk berpindah ke sektor swasta. Namun begitu, bentuk pembiayaan dan pembayaran di sektor swasta hendaklah diperhatikan dengan teliti agar rakyat tidak menanggung beban kewangan yang besar dari sudut perbelanjaan sendiri (OOP) mahupun bayaran premium insurans kesihatan yang tinggi.

Pengenalan insurans MySalam oleh KKM pada awal tahun ini untuk membantu golongan B40 telah menimbulkan tanda tanya akan hala tuju pembiayaan kos perubatan di Malaysia. Adakah kerajaan akan mula mengenakan caj di fasiliti kerajaan dan adakah Malaysia akan berubah kepada penggunaan insurans sepenuhnya untuk menampung kos perubatan oleh kerajaan? Sekiranya ia berlaku apakah bentuk insurans yang sesuai dengan rakyat Malaysia yang akan diperkenalkan oleh kerajaan pada masa akan datang? Rakyat mungkin masih lagi selesa dengan caj RM1 di fasiliti kerajaan namun sekiranya keadaan berubah adakah rakyat sudah bersedia?

Disediakan oleh:

Dr Abdul Rahman Ramdzan & Dr Mohd Ihsanuddin Abas

Unit Kesihatan Awam, Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik)

Leave a Reply