Laksana Semula PKP 14 Hari Mampu Turunkan Kes COVID-19

BANGI, 15 Ramadan 1442H, Selasa – Menutup sekolah dan menukar kepada sesi pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) sememangnya bukan keputusan yang mudah kerana membabitkan nasib jutaan murid dan pelajar seluruh negara.

Selain itu, penutupan sekolah ketika musim perayaan juga bukan langkah berkesan bagi menurunkan kes jangkitan COVID-19 dalam komuniti, lebih-lebih lagi apabila rakyat dibenarkan beraktiviti seperti biasa.

Meskipun memahami keperluan menutup sekolah jika terdapat kes positif dan kluster untuk saringan dan kuarantin, Ahli Jawatankuasa (AJK) Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Dr Ihsanuddin Abbas berpendapat, tak sepatutnya sekolah yang tidak terdapat kes positif ditutup.

Ini kerana katanya, mereka tidak terkesan atau berisiko rendah untuk dijangkiti.

“Keputusan juga sepatutnya dibuat berdasarkan kadar kebolehjangkitan dan status PKP di kawasan berkenaan.

“Contohnya Ro yang meningkat di Kelantan dan arahan PKP pastinya ada keperluan untuk menutup sekolah-sekolah buat sementara waktu sehingga jangkitan komuniti terkawal,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Pada masa sama, Dr Ihsanuddin menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) melihat statistik jangkitan kluster di antara sekolah harian dan berasrama.

Dalam pemerhatian beliau, kes di kluster sekolah asrama adalah hampir tiga kali ganda kes di sekolah-sekolah harian – walaupun jumlah sekolah yang terlibat adalah sama dalam kumpulan berkenaan.

Ini bermakna sekolah yang mempunyai lebih lama kontak sesama mereka lebih mudah menjangkiti ramai berbanding sekolah tidak berasrama yang risiko bersentuhan lebih terhad, katanya.

“Sepatutnya sekolah-sekolah di kawasan PKPP dan PKPB dibenarkan terus dibuka dengan proses PdP seperti biasa mengikut SOP. Hanya sekolah yang terdapat kes positif dan di dalam kawasan PKP dan PKPD ditutup sepanjang status berkenaan.

“Selain itu, menutup sekolah semasa musim perayaan tidak akan berkesan menurunkan kes dalam komuniti jika rakyat terus dibenarkan bergerak dan beraktiviti seperti biasa.

“Apakah jaminan kes akan menurun atau risiko jangkitan di sekolah menurun selepas sebulan bercuti dan anak-anak dibawa berjalan-jalan, bercuti atau menghadiri jamuan hari raya?” soalnya.

Beliau turut menyarankan, kerajaan mengumumkan PKP sepenuhnya selama 14 hari seperti sebelum ini – bukan hanya menutup aktiviti sosial dan ekonomi semata-mata – sekiranya serius mahu menurunkan kes.

“Pada masa sama, majlis-majlis perhimpunan sosial dan keraian juga hendaklah juga dihentikan dalam tempoh ini.

“Pendekatan yang sama diambil oleh negara-negara lain seperti Australia, New Zealand dan Jepun iaitu membuat ‘lockdown’ penuh apabila berlaku peningkatan kes positif di negara mereka,” katanya.

Leave a Comment